Laman Webantu   KM2A1: 5272 File Size: 19.4 Kb *



MMMM: B1 - Mana Gemilangnya Jalur Itu?
By Marhain Tua

21/8/2001 10:04 pm Tue

[Jelas kini rakyat mula serba-salah untuk memasang bendera Malaysia walaupun ia sudah diberi nama baru 'jalur gemilang' yang manja itu. Lagipun jalur yang dipasang dulu dibiayai oleh MBf gagal memberi sebarang kegemilangan untunya. MBf lingkup dihenyak rugi menggunung sebanyak RM2.6 bilion dan hutang melambak mencecah RM1.3 bilion. Dengan kerajaan menyelamatkan MBf bermakna wang rakyat telah diambil untuk mengongkos jalur ini seperti kata budak kecil dalam cerpen ini.

Proton adalah industri yang tidak berdasarkan meritokrasi patutlah ia gagal untuk hidup sendiri. Ketiadaan saingan yang mencabar menyebabkan ia asyik goyang kaki sedangkan tempoh untuk menurunkan tarif duti mengikut AFTA sudah semakin dekat. Sampai sekarang tiada tanda Proton mampu mencipta sesuatu yang mengancam kerana ia sudah menjadi spesis yang terancam... sehingga Petronas terpaksa datang menyusu dan mendodoikan.... tetapi tidak pernahpun ditangan-tangankan. - Editor]


MMMM1: Mana Gemilangnya Jalur Itu?

Kelmarin anakku bersama isteri dan dua anak mereka datang untuk bermalam di hujung minggu. Rupanya isteriku sudah sedia tahu kedatangan mereka kerana beliau sudah lama berbincang di telefon dengan menantunya, sebelum itu.

Tidak pula aku tanyakan apakah topiknya, kerana memang itulah stail hidup kami selama ini. Kalau ada perkara serius yang anak-anak dan menantu bincangkan, mereka digalakkan bercakap mengenainya di telefon dulu. Dengan cara itu terperam segan silu untuk bercerita benar dan menggunakan perkataan yang mereka mungkin segan untuk menyerlahkannya bila bersemuka.

Aku boleh meneka ada sesuatu yang tidak kena, kerana isteriku lama duduk di depan rumah seolah-olah menunggu ketibaan mereka. Dia pura-pura membetulkan posisi pasu bunga di halaman rumah, seolah-olah pasu itu sudah lama terabai. Sedangkan itulah hobinya di sebelah pagi menunggukan munculnya matahari.

Namun, teka-teki itu aku peram juga kerana mahukan keseronokan terus meneka apa yang terselindung antara seorang ibu dengan menantu perempuannya. Apakah itu masalah anak kami dengan tanggungjawabnya sebagai seorang suami ataupun sebagai seorang ayah; ataupun masalah di sebelah ibubapanya yang mungkin marah-marah, ataupun berkaitan anak mereka yang mencetuskan masalah?

Kira-kira satu tahun dulu, mereka menghadapi krisis rumah tangga yang serupa kerana si isteri mogok sehingga memerlukan si suami memujuk. Apabila gagal, mereka datang ke rumah untuk mendapat petunjuk.

'Apakah kerana masalah kereta baru buat rumah tangga bercelaru?' kataku, ketika itu.

Mereka terdiam sahaja sambil berpandangan antara satu dengan lain. Kami berbincang itu di malam hari selepas anak-anak mereka sudah lama tidur lena. Punca perbalahan adalah soal membeli kereta baru untuk menggantikan yang sudah lima tahun usianya. Si isteri mahukan kereta itu ditukar dengan yang baru, mengikut trenda selera adik-adiknya yang lain yang sudah memiliki kereta baru semuanya. Suaminya pula bersetuju tetapi tidak mahu menukarnya dengan jenis yang sama, kerana dia dapat tahu kereta jenis itu banyak yang dibawa balik dari negara luar untuk dikitar semula. Alang-alang menukar yang baru biarlah beli yang betul-betul sahih barunya. Si isteri masih mahukan 'Proton' juga kerana harga jual-balik memang tinggi dan banyak pilihan warnanya. Lagi pun katanya, 'kita menyokong industri kereta negara.'

Aku memang bersemangat dengan kata-kata menantu perempuanku itu. Memang ada semangat nasionalisnya. Tetapi aku bertanya hanya empat soalan sahaja untuk mereka carikan jawapannya:

Pertama, apakah kalian sedar, ada kereta 'proton' yang dikatakan baru sebenarnya kereta kitaran semula dari negara barat selepas digunakan sebagai kereta-sewa. Kedua, Apakah seronoknya berkereta baru, kalau kalian mesti membayar hutangnya setiap bulan? Ketiga, kenapakah tidak digunakan wang yang sepatutnya membayar hutang kereta yang bakal dibeli itu untuk kalian bercuti dengan anak-anak keluar negara? Keempat, apakah tercemar persaudaraan kalian dengan adik-beradik semata-mata kerana kalian tidak mengikut stail mereka bertukar kereta?

Dengan soalan itu aku pun berundur untuk tidur, memberikan mereka peluang mencari jawapannya semalaman mungkin merujuk dulu kepada ibu mereka sebelum memberitahu aku apa kesudahannya.

Keesokan hari, sekembali aku daripada masjid, kelihatan anak menantuku bersama anak-anaknya sibuk mencuci kereta mereka. Suaminya tidak kelihatan di situ. Berdetik hatiku, apakah mereka sudah membuat keputusan menjual kereta itu seperti yang diingini oleh menantuku? Apakah kerana itu anak lelaki kami tidak sama mencuci keretanya? Aku diam membisu memerhatikan senario itu di sebalik jendela sambil otak tuaku terus ligat mencari jawapan lain pula. Tiba-tiba isteriku meletakkan tangan di bahu dan bertanya: 'Apa yang abang fikirkan? Abang ingat pilihan mana yang mereka putuskan?'

'Kalau melihatkan gelagat mereka,' kataku semakin percaya anak lelaki aku sengaja tidak mahu bersama mereka ketika itu, 'mereka akan pulang dan menjual kereta itu.'

Demikianlah pendapatku kerana tahu sangat pendirian anakku. Kalau dia membuat sesuatu keputusan dan akujanji tidak rasmi, dia tetap melaksanakannya.

Isteri aku tersenyum, memberi isyarat aku tersilap. Rupanya, anakku pergi ke pasar dengan basikal tua aku. Memang begitu yang dibuatnya sekali sekala membeli-belah di kedai kampung kami sambil mengambil kesempatan bersalam mesra dengan orang kampung dan rakannya semasa kecil dulu.

Mereka telah memberitahu ibu mereka, bahawa mereka tidak jadi menjual kereta itu, kerana berminat mahu keluar negara untuk bercuti sekeluarga.

Aku bersyukur kepada Allah swt. kerana mendorong mereka membuat keputusan yang tepat. Tanpa aku memberikan alasannya, mereka mampu meneka apakah pilihan terbaik di sebalik semua cadangan aku itu. Rupanya mereka tahu apa yang terbaiknya.

Aku berpendapat, salah satu sebab kenapa bangsaku mundur dalam mengejar pengetahuan adalah kerana mereka terikat dengan budaya berbelanja di luar upaya dan kepentingannya. Bangsaku lebih gemar berbelanja untuk menunjuk-nunjuk dan cuba menandingi apa yang ada pada wakil rakyat, ataupun para jiran yang berada. Mereka lebih sanggup berhutang sana-sini semata-mata mahu menunjukkan mereka mampu membeli. Soalnya apakah wakil rakyat dan jiran yang kaya itu membelinya dengan wang pencarian yang halal?

Sebenarnya aku berbangga melihatkan semakin ramai anak-anak Melayu yang berkereta sekarang ini. Tetapi kenapakah ramai sangat yang membeli kereta Perodua dan Proton sahaja, sedangkan anak-anak kaum lain membeli kereta import? Kenapakah hanya anak-anak muda Melayu yang menyokong industri kereta negara? Kenapakah kaum lain sanggup membeli kereta yang dikenakan cukai import yang berganda tingginya? Jawapannya terletak kepada faktor 'puas hati'. Mereka sanggup berbelanja besar membeli kereta import kerana kualitinya tinggi dan kereta itu bukan kitaran semula. Kedua, kalau kita mesti sokong industri kereta, kata mereka, ia harus bermula daripada orang atasan, baik di pihak swasta ataupun kerajaan.

* * *


Pada kali ini, aku masih keliru apa pula hajat anakku datang berziarah tanpa membawa buah tangan, seperti kebiasaannya. Itu adalah satu isyarat bagiku. Pada kebiasaannya, anakku datang ke rumah dengan membawa beberapa barang kegunaan di dapur, cukuplah untuk kami makan untuk setengah bulan, tanpa aku perlu membelinya lagi. Kadang kala dia membeli daging dan ayam untuk ibunya buatkan rendang ataupun masak kuning yang kemudiannya mereka bawa pulang.

Tetapi, kalau dia terburu-buru, memang tidak ada masa untuk membeli sesuatu. Ataupun dia sengaja membuat begitu kerana mahu membeli di pasar-mini koperasi kampung sebagai kiasan dia masih terus menyokong.

Aku perhatikan sahaja air muka anakku dan melihatkan pula wajah menantuku. Aku cuba meneka apa masalah mereka, kali ini. Apakah mengenai kereta lagi ataupun masalah memilih destinasi untuk keluar negara dan bercuti. Aku terlihat isteriku berbisik dengan menantunya, sambil pelukannya masih mendakap cucunya yang nombor dua yang sudah pun berusia lima tahun. Cucuku yang sulung masih lagi dalam pelukan ayahnya yang meniti tangga, sambil berhati-hati memeluk anak yang sedang tidur-mati.

Setelah memberikan mereka masa untuk berehat, kami pun makan malam bersama walau pun sudah terlewat. Ketika itu aku melihatkan ada keceriaan di wajah anakku dan isterinya. Entahlah, mereka ceria dibuat-buat ataupun kerana hidangan masakan ibu yang memang lazat. Aku biarkan sahaja isteriku berjenaka dan turut ketawa sekali-sekala, walau pun jenaka itu adalah lelucon purba. Memang isteriku suka mengulang jenaka lama laksana Mahathir dengan ucapannya. Setiap kali isteriku berjenaka semacam itu, anak lelakiku akan menjeling padaku memerhatikan reaksi ayahnya. Kalau dia terdengar ketawaku dia pun akan sambut dan memanjangkan hilainya satu harakat lagi. Itu sudah semacam satu perjanjian antara kami anak-beranak sejak dulu, mungkin seterusnya sehingga kami mati. Mungkin itu yang membuatkan ibunya sentiasa muda rupanya, sepuluh tahun lebih muda daripada usia sebenarnya.

Sambil makan itu aku tidak nampak ada masalah besar antara anakku berdua. Maklumlah mereka sudah berkenalan lama dan sudah berumahtangga tujuh tahun lamanya. Dari ekor mataku aku kerap terlihat isteriku membesarkan matanya kepada anakku itu seolah-olah ada isyarat memulakan sesuatu. Sekali-sekala aku terlihat juga menantuku menyiku tangan suaminya. Aku tidak pasti apakah itu satu isyarat ataupun mereka masih bertengkar lagi, kali ini tanpa suara dan tikaman mata, cuma dengan tangan dan kaki.

'Anak kamu berdua sudah makan, Atan ?' Aku tanyakan dengan selamba setelah melihat dia hampir selesai dengan makanannya.

Abdul Rahman begitulah nama anak sulungnya, sedangkan yang kedua bernama Abdul Razak. Yang ketiga nanti mungkin Hussin On agaknya. Yang keempat, kalau lelaki juga mungkin mereka kena fikirkan satu nama pilihan lain. Mungkin Anwar Ibrahim ataupun Ezam, gamaknya. Kalau perempuan yang muncul, mungkin mereka pilih nama Wan Azizah ataupun Bahirah ataupun Siti Farida. Pilihlah apa sahaja, kataku dulu, asalkan tidak Rafidah, Umi Fildah ataupun Darasuntik, sudahlah.

'Belum ayah!' jawabnya pendek, seperti biasa. Dia lebih suka bercerita panjang dengan ibunya daripada dengan aku, kerana soalan balik itu yang tidak sanggup ditanganinya.

'Kenapa terburu-buru sangat sampaikan anak tidak diberi makan dulu?' aku soal untuk mengacah sahaja. Supaya dia dapat rileks sebelum mengemukakan masalahnya?

Atan mengerling wajah ibunya sambil aku dapat melihat isterinya menyiku lagi. Dia masih tidak menjawab soalan aku itu.

'Hai, sejak bila kalian berdua pandai main siku-siku' Selepas dapat dua anak?' tanyaku dengan iringan sedikit ketawa.

Atan mengalihkan tangan kirinya untuk berpeluk tubuh sambil melihat pinggannya yang sudah kosong itu. Dia melihat dulu wajah ibunya yang memberi isyarat sesuatu yang merupakan rahsia mereka berdua sejak dulu. Itulah cara mereka mengalahkan aku dengan berdalih akan sesuatu untuk menyejukkan perasaan marahku dulu. Atan sudah pun mempunyai dua orang anak, aku masih tidak tahu apakah rahsia isyarat antara dia dan ibunya. Aku memang biarkan perkara itu sebagai satu harta mereka berdua - harta menyimpan rahsia mengenai cara menipu seorang bapa.

'Begini abah....!' kata Atan sambil memandang kepadaku.

'Semalam, Tati kena marah oleh ayahnya, kerana cuba memasang bendera pada kereta kami!'

Aku tersentak dengan pendedahan itu. Aku tidak sangka itu masalah mereka. Aku fikirkan mereka bermasalah kerana mencari kata sepakat mengenai destinasi percutian.

Ayah Tati adalah sahabat lamaku, seorang pejuang tulen. Pernah meredah hutan hampir tiga puluh tahun lamanya, mengejar komunis dan menumpaskan petualang komando Indonesia yang mendarat di Johor satu ketika dulu. Johan nama orang tua itu yang sebaya umurnya dengan aku. Aku tahu isi perutnya kerana kami pernah tidur sebantal semasa muda dulu, cuma mimpi kami yang berbeza selalu.

Tati ataupun Hartati adalah anak sulungnya yang kini menjadi isteri kepada anak sulungku. Walau pun dia menantuku, isteriku amat menyayanginya seperti anak perempuan sendiri. Kadang kala dia lebih berminat membincangkan perkara yang serius dengan ibu mertuanya daripada dengan ibunya sendiri.

'Kenapa ayah kamu marah Tati?' tanyaku dengan selamba.

Tati terdiam seribu bahasa sambil menundukkan muka. Aku kehairanan dengan sikapnya itu kerana dia seorang anak yang teguh hatinya. Kadang kala dia sahaja yang berani berdebat dengan ayahnya. Yalah....debat seorang anak dengan bapanya, takkan dia mahu berikan ayahnya kalah, jatuhlah air muka si ayah....

'Begini Yang..' kata isteriku.

Kalau isteriku menyebut 'Yang' aku sudah tahu maknanya. Dia jarang menggunakan perkataan singkat bererti 'sayang' itu melainkan untuk mengenakan aku. Tetapi, aku gembira kalau sekali-sekala dia gunakan perkataan itu. Lebih mesra daripada perkataan 'awak' yang digunakan oleh warga ibu tua zaman ini. Entah kenapa agaknya, semasa muda mereka panggil 'abang' dan 'sayang'. Ada pula yang panggil 'ling' dan 'di' ataupun 'dar' atau pun 'darling'. Bila sudah tua hangkoi mereka tukar dengan panggilan 'awak'. Apakah itu tanda mereka sudah kena menopos?

Aku semakin hairan, apakah susahnya meletakkan secebis kain yang dipanggil 'Jalur Gemilang' di cermin kereta, kalau hanya sebagai simbol menyambut ulang tahun kemerdekaan. Bukannya itu perkara baru di negara ini.

Aku masih teringat satu ketika dulu apabila hampir setiap kereta di negara ini mencacakkan satu tiang kecil dengan sehelai kain berjalur-jalur sehinggakan menakjubkan para pelancung. Ketika itu rakyat mudah mendengar pemimpin kerajaan seperti Anwar. Pasang bendera di kereta katanya, rakyat pasang jalur gemilang di merata tempat, bukan sahaja di kereta, di bangunan tinggi-tinggi, di rumah kediaman dan kedai. Malahan ada yang memasang bendera besar di lori sehinggakan polis terpaksa menahan segelintir mereka setiap hari. Kalau bendera besar yang dipasang, mereka tidak lagi menggunakan batang penyapu sebagai tiang, mereka gunakan batang buluh dan paip-besi sebagai penegaknya. Kalau ada tiang telefon yang tumbang, mungkin ada yang mengambilnya untuk dijadikan tiang.

Keadaan sudah berubah kini. Laungan memasang bendera dilaungkan di sana-sini. Lima belas juta bendera dikatakan akan diagihkan. Menteri yang gila menajanya semakin gila lagaknya mahukan syarikat swasta muncul dengan berbelanja menyediakan bendera. Tetapi, bagaimanakah syarikat swasta mahu menyediakan bendera, sedangkan bendera yang diagihkan oleh kerajaan tidak terpasang di kereta dan tidak diketahui mana terbangnya?

Memang aku pun hairan kenapa rakyat jelata boleh bertindak seolah-olah mereka berpakat? Tidak pun ada sebarang berita agar rakyat bermuafakat tidak memasang bendera. Setiap waktu ada siaran radio yang menyiarkan nombor kereta yang menang hadiah kerana mengibarkan bendera. Tetapi, rakyat tidak juga teringin mahu memasangnya.

Satu ketika dulu bendera percuma diagihkan oleh kerajaan kerana bendera itu ditaja oleh MBF Holdings sebuah syarikat senaraian papan pertama di BSKL. Lebih satu juta ringgit mereka belanjakan untuk menyediakan bendera. Orang ramai kagum dengan syarikat itu, lagi pun pengerusinya ialah seorang anak raja istana Negeri Sembilan yang merupakan sahabat karib seorang maharajah tua. Aku turut kagum ketika itu kerana turut melihatkan beberapa pencakar langit yang tertegak di Batu Tujuh Jalan Teluk Kemang. Inilah syarikatnya yang memiliki 'World Marina Resort' di mana kondominium mewahnya dibeli oleh rakyat asing untuk bersantai di Port Dickson.

Ketika mendengar kisah bendera tajaan MBF itu aku pun pergi melihat apartment yang tersergam tinggi. Aku menjadi terkejut kenapa banyak sangat apartment yang tidak terjual lagi. Tidak berapa jauh dari situ banyak lagi apartment yang tinggi-tinggi yang tidak berpenghuni, kerana sijil kelulusannya belum diberikan lagi.

Aku menjadi kehairanan kenapa, seperti hairannya aku kenapa nama Port Dickson itu tidak ditukar sahaja. Apa pentingnya menyimpan Port Dickson tanyaku pada isteri pada satu hari.

'Aha ya! ' jawab isteriku ku dengan satu kehairanan juga.

'Apa salahnya PD itu dijadikan Pantai Damai ?' tanyaku kepada isteri yang setia.

'Mungkin mereka lebih selesa dengan panggilan Pidi saja' katanya.

'Betul,' kataku. Kalau kita boleh tukarkan PS menjadi PK apa salahnya tukar makna PD itu? '

'Macam mana tu?' tanya isteriku lagi.

'PS itu kan Port Swettenham, dan kini ditukarkan menjadi PK bererti Pelabuhan Kelang. Takkan nak tukar jadi PIS ataupun PISS,' Jawabku.

'Macam mana tu?' tanya isteriku lagi sambil tersenyum sikit kerana dia tahu aku mula mengusiknya.

'PIS bererti Pelabuhan Isa Samad...!'

'Aha...PISS itu apa..?'

'Entah,' kataku. Orang putih kata 'terkencing'.


Dia menganggukkan kepala. Entahkan setuju ataupun kerana sudah semakin mengantuk ketika itu.

Memang di waktu itu kami di PD melihatkan banyak bangunan tinggi yang tidak ada sijil kelulusannya. Bermacam jawapan yang didengar. Ada yang berkata kerana bangunan itu tidak mengikuti pelan asal yang mesti menyediakan satu tangki penyucian benda najis, yang dulu kala disalurkan terus ke laut. Ialah semacam yang diuruskan oleh 'Indah Water' baru-baru ini.

Aku bertanya pihak yang tahu, kenapakah di saat bangunan siap baru mahu kenakan denda kepada pemaju, sedangkan tahap kerjanya dipantau dulu-dulu untuk menentukan mereka membuat kolam kitaran air-kumbah itu? Ada yang mencebik sambil menggosok dua jari seolah-olah meniru penggurup wang mengira wangnya. 'Apa maknanya itu bang?' tanya isteriku.'Itukan tanda orang kira duit?' jawabku. 'Kira duit ke ataupun sogok duit?' tanya isteriku semula.

Demikianlah pengalaman kami dengan MBF dan Port Dickson. Kami gembira ketika itu melihat MBF menaja bendera percuma di bulan merdeka. Tup-tup, beberapa minggu kemudiannya, tersiar berita syarikat itu terpaksa di 'bailout'oleh kerajaan. 'Kalau begitu,' tanya salah seorang cucuku, rakyat yang berbelanja membeli bendera itu?'

'Begini bang...!' isteriku menyedarkan kau daripada lamunan itu. 'Tati tersinggung dengan cakap bapanya kerana menegah memasang bendera di kereta mereka.'

Aku diam sahaja sambil memikirkan alasan besanku itu.

'Abah...!' kata anak sulungku dengan berlembut seolah-olah dia simpati dengan isterinya. 'Tati kecewa kerana ayahnya marah.'

'Marah...?' soalku lagi.

'Ya...! Ayah suruh kami tanggalkan bendera itu daripada cermin kereta dan tidak membenarkan kami memasangnya lagi.'

'Hmmm ' kataku

'Yang buat Tati terkejut, ayahnya berkata: 'Apakah kamu tahu bendera yang terpasang itu adalah lambang betapa orang Melayu sudah menjadi satu bangsa pariah di dunia ini?'

Aku terkejut dengan cerita anakku itu. Pariah.....? Apakah orang Melayu sudah menjadi satu bangsa pariah di dunia ini?

....bersambung....

-Marhaintua-
20Ogos, 2001