Laman Webantu   KM2A1: 5275 File Size: 8.9 Kb *



TJ SP MGG: Jenayah dan Polis
By M.G.G. Pillai

22/8/2001 7:36 pm Wed

[Institusi polis sudahpun rosak sebab itulah jenayah kini sudah semakin merebak. Gaji yang tidak memadai dengan kerja menyebabkan mereka enggan berkhidmat sebaiknya dan kerapkali menjadi seorang yang dipenuhi perasaan geram dan tegang. Tidak hairanlah ramai yang terjebak dalam penyelewengan atau mengganas bukan-bukan seperi yang dilapurkan oleh Suhakam.

Sepatutnya kerajaan memberi ganjaran atau komisyen kepada polis untuk SETIAP kes (atau saman?) yang diselesaikan. Ini akan menambah minat dan perangsang kepada mereka untuk berkhidmat. Jika tidak mereka akan lebih berkhidmat kepada penyangak.... - Editor]


Jenayah dan Polis

(Crime and Police)

Oleh: M.G.G. Pillai

Seorang doktor yang sudah berusia sedang memandu sebuah kereta BWM bersama isteri di sisi, tiba-tiba menjadi kaget apabila dihimpit oleh sebuah Mercedes Benz, yang mengasak agar BMW itu berhenti.

Doktor itu berjaya melarikan keretanya dan cuba medapatkan bantuan jirannya seorang menteri kabinet yang sudah pasti mempunyai seorang anggota polis mengawal perkarangan rumahnya. Doktor itu telah membelok masuk rumah jirannya sambil isterinya menjerit dengan kuat meminta pertolongan. Pengawal polis yang bertugas tidak membuat sebarang tindakan, sambil melihat salah seorang perompak keluar daripada Mercedez untuk meragut tas tangan wanita tua itu dengan selamba. Menteri yang mendengar hingar-bangar itu menekan punat isyarat kecemasan, tetapi sudah terlambat.

Seorang bekas menteri kabinet, pernah bercerita bagaimana anak lelakinya kerap mengambil pistol kepunyaan polis pengawal apabila pengawal itu terlelap ketika bertugas, namun tidak pula pengawal itu menggelabah bila mendapati senjatanya itu sudah tiada. Pengabaian tugas adalah perkara biasa di kalangan pengawal yang bertugas di kediaman para menteri.

Kalau itu sahaja yang berlaku, tidak mengapalah. Kini, tidak ada sesiapa yang mengharapkan polis akan bertindak cepat setiap kali keadaan menghendakinya.

Pernahkah anda mengalami kemalangan? Anda terpaksa bermukim di balai polis, hanya untuk diberitahu bahawa polis tidak boleh berbuat apa-apa selagi orang yang turut terbabit dengan kemalangan anda itu tidak membuat laporan polis. Laporan anda itu adalah mengikut syarat undang-undang dan menjadi tugas anda untuk dikemukakan kepada syarikat insuran yang menangani kereta milik anda. Peraturan yang menghendaki anda membuat laporan polis selepas berlakunya kemalangan itu, sudahpun terabai.

Jenayah Yang Tidak Diselesaikan

Akan tetapi, semua itu adalah perkara kecilan sahaja. Yang menakutkan kita ialah pencapaian polis dalam menyelesaikan kes jenayah. Seorang gadis telah dibunuh dengan kejamnya tidak jauh daripada ibupejabat polis. Kes itu telah lama dilupakan. Ia menjadi satu jenayah yang tidakpun diselesaikan. Namun, tiba-tiba muncul pula satu organisasi ala-Taliban, yang lebih menakutkan dan lebih garang dan dahsyat daripada kumpulan yang sebelumnya. Dapat pula polis menyiasatnya dan membabitkan kumpulan itu kepada beberapa pembunuhan yang dahsyat dan jenayah yang serius dan lebih hebat. Tetapi, tidak pula ada sesiapa yang didakwa di mahkamah.

Nampaknya, keselamatan rakyat marhaen sudah menjadi satu tandatanya yang semakin menakutkan. Dalam masa dua minggu yang lalu, sekumpulan perompak masuk menceroboh sebuah rumah dan mengikat si suami dan mencabul kehormatan si isteri di depan matanya. Dalam satu kes lagi, seorang anak perempuan berusia 10 tahun telah dicabul di hadapan ibu bapanya.

Seorang penduduk di kawasan berlakunya insiden pertama tadi, telah bertindak melaporkan di balai polis akan wujudnya beberapa pendatang asing di kawasan perumahannya. Mereka ini daripada Indonesia semuanya dan menjadi jirannya yang baru. Polis menjawab, oleh kerana tidak ada jenayah yang mereka lakukan, pihak polis tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

Saya telah menasihatkannya mengambil ingatan nombor anggota polis yang terbabit dan menyatakan namanya dalam surat aduan dengan sekeping salinan kepada Ketua Polis Negara serta Menteri Halehwal Dalam Negeri. Polis tidak boleh menolak sesuatu aduan. Lagipun, ada undang-undang yang menghukum dengan berat sebarang aduan palsu. Beberapa tahun dulu, pihak polis enggan menerima aduan saya, tetapi berlembut apabila saya maklumkan bahawa perkara itu akan saya laporkan kepada Menteri Halehwal Dalam Negeri, bernama Dr. Mahathir Mohamad, seandainya mereka menolaknya.

Rakyat marhaen pada masa kini sudah takut dengan pihak polis. Sekitar tahun 50-an dan 60-an, adalah menjadi kebiasaan kepada pemilik rumah melaporkan kepada balai polis setiap kali mereka tidak ada di rumah, untuk ke tempat lain. Kerana itu ada pegawai polis yang datang menjenguk rumah itu agar tidak dimasuki orang. Tetapi, kalau perkara ini dibuat sekarang bererti anda menjemput nahas dan bencana. Rakyat marhaen sudah semakin menjauhkan diri dari pihak polis, sebaik mungkin. Mereka sudah tidak dianggap kumpulan yang boleh dibuat kawan.

Jenayah sudah berleluasa di Lembah Kelang, dan begitu juga di seluruh negara. Apa yang tersiar dalam akhbar hanya merupakan contoh sahaja. Ada bukti yang menunjukkan kebanyakan jenayah ini dilaksanakan oleh pekerja Indonesia, sama ada yang datang dengan izin ataupun sebaliknya. Kumpulan bajingan ini semakin galak mengganas dan turut mencabul wanita pula. Tetapi, bukan sahaja kumpulan daripada Indonesia yang terlibat. Terdapat pendatang Bangladesh, kebanyakannya pendatang haram yang menambahkan masalah ini. Sikap polis yang dingin dalam menangani masalah ini menjadikan perkara itu semakin berat.

Menakutkan Para Pengkritik

Akan tetapi, apabila ketua pemuda UMNO, ataupun presiden MCA ataupun MIC membuat laporan polis yang selalunya untuk menakutkan para pengkritik mereka, polispun bertindak dengan serta merta. Apabila Ketua Polis Negara menghenyak timbalan perdana menteri yang baru ditangkap dan dipecat dulu, dan berbohong pula akan perkara itu, sudah tentu pegawai bawahannya berbuat gelagat begitu juga dengan sesiapa yang mereka tahan.

Tanyalah mereka yang pernah ditahan di bawah ISA apakah mereka pernah dihenyak oleh polis. Untuk rakaman, mereka akan menafikannya, tetapi secara peribadi mereka akan mengakuinya. Tidak ada siapapun yang percaya dia tidak akan diapa-apakan apabila ditahan oleh polis, walaupun bukan di bawah ISA.

Operasi pembenterasan jualan video porno, mengikut ceritanya, adalah bertujuan menghenyak pengedar baru yang cuba mencabar keutuhan pengedar yang sedia ada, agar mereka tidak menyesakkan ruang jualan di tepi jalan. Betapa ia telah menjejaskan pengedaran video politik, adalah sesuatu yang belum dapat dipastikan. Bolehlah dijangkakan, apabila pencabar baru itu sudah tertekan dan terhumban, pihak polis tidak akan berminat lagi dengan penjualan VCD, porno, rakaman ceramah politik, baik yang asli dan yang dicetak-rompak.

Bukanlah bersalahan kalau seseorang itu tersilap dalam persepsinya dan anggapannya, kalau ramai orang yang mempercayainya, kebenarannya itu sudah tidak menjadi persoalan lagi. Itulah sebabnya martabat kerajaan jatuh terhenyak sebelum ia bertindak membuat pengakuan betapa seorang ketua polis negara telah menghenyak dan melebamkan mata seorang bekas timbalan perdana menteri yang baru sahaja dipecat jawatannya. Itulah yang terjadi kepada Anwar Ibrahim pada 1998 (dan dia pukul dengan ganasnya itu ketika kedua tangannya digari dan matanya ditutup rapi - penterjemah).

Walau bagaimanapun kita perhatikan perkara ini, pihak polis sudah tidak mengambil sikap berkecuali lagi. Seandainya rakyat biasa mempunyai masalah dengan wakil rakyatnya terutama sekali mereka daripada BN, sehingga mencetuskan perbalahan, dia tidak boleh mengharapkan polis berkecuali dalam hal itu, dan mendakwa wakil rakyat tersebut seandainya beliau bersalah. Mereka tidak akan melaksanakan siasatan, lainlah pihak atasan mahu menjadikan kes itu sebagai satu contoh dan mengaibkan wakil rakyat itu.

Satu ketika dulu, polis merupakan perisai terhadap jenayah dan tekanan politik. Kini, tidak ada yang sedia dikorbankannya untuk menjadi perisai itu. Inilah satu lagi tanda betapa jentera kerajaan sudah mereput tanpa boleh diubati. Inilah yang tidak boleh diperbaiki selagi kerajaan sendiri tidak ketentuan mahu meneruskan khidmatnya ataupun merelakan diri untuk pergi, (ataupun menunggu bila kena cabut lari).

Terjemahan: SPAR-01-??




Asal:

KM2 5273: MGG: Crime and The Police