Laman Webantu   KM2A1: 5278 File Size: 6.1 Kb *



TJ SP MGG: Cara Membeli Komputer Peribadi Dengan Perisian Yang Dicuri
By M.G.G. Pillai

22/8/2001 8:27 pm Wed

[Kalaulah kerajaan betul-betul serius mahu menangani kes cetak rompak IT sudah lama kedai perisian ciplak di Imbi Plaza itu tidak ujud. Petugas perlu hadir setiap hari di Imbi, bukannya sekali sekala yang tentunya mudah diagak bila (melalui akhbar atau orang dalam yang dibayar lumayan). Yang BSA ini pula satu hal - banyak kes berakhir dengan perisian tulen dibeli dan 'janji tak buat lagi'...

Jika kerajaan betul-betul ingin melindungi pengguna, ia seharusnya merencana dengan teliti skim membeli melalui KWSP. Bukannya terngadah bila ada yang terkena - yang tentunya mengaibkan kerajaan juga.
- Editor
]


Cara Membeli Komputer Peribadi Dengan Perisian Yang Dicuri

(How To Buy A Personal Computer With Pirated Software)

Oleh: M.G.G. Pillai

Sesiapa yang menggunakan wang simpanan di KWSP untuk membeli komputer peribadi terpaksa menunggu tidak menentu untuk menerimanya Sementara itu kos pembelian dipotong dulu dari akaun caruman untuk dikirimkan kepada orang tengah, sebuah syarikat bernama OdaSaja, yang semestinya mempunyai kaitan rapat dengan pihak yang berkuasa dalam negara. Komputer itu akan diserahkan kepada pembeli beberapa bulan lamanya, itu pun kalau terlaksana. Kini, Kementerian Perdagangan tempatan dan hal ehwal pengguna mengumumkan betapa komputer peribadi yang dibekalkan itu mengandungi perisian yang tidak sah. Para pembekal komputer, seperti yang diberitahu, telah menipu para pembelinya. Kita juga diberitahu bahawa 'penjenayah', begitulah perkataan yang gemar digunakan oleh orang kerajaan, tidak boleh melarikan diri dan kementerian 'tidak akan teragak-agak mendakwa mereka'. Nampaknya yang dikatakan 'mengejutkan' itu adalah perkara yang memang sudah pun mengejutkan. Timbalan perdana menteri pernah menyebut angka 100,000 buah PC peribadi yang masih belum diserahkan walau pun pesanan sudah dibuat berbulan-bulan dulu.

Perkara semacam ini memang sudah lama dijangkakan: rencana itu memang berbentuk setengah masak dan tidak direncana dengan baik, seperti juga pelbagai rancangan yang dilakar oleh pihak kerajaan. Ia memberi ruang kepada para kroni, pak pacak, dan suku-sakat orang atasan mengaut keuntungan daripada projek yang diperuntukkan kepada rakyat marhaen. Inilah yang membuatkan rakyat marhaen menjadi kumpulan yang sentiasa rugi, apa juga yang direncana oleh kerajaan ini. Tentu anda sedar kini, betapa komputer yang serupa dapat dibeli di kedai yang sama dengan harga yang lebih murah lagi Cubalah lawati beberapa pengedar yang tersenarai sebagai pembekal KWSP. Pada satu hari saya telah melakukannya dan mendapati tidak satu pun syarikat itu yang mempunyai perisian tulen. Mereka hanya memiliki Microsoft Windows. Kementerian kerap bersuara lantang, selalunya kerana dicuit oleh dalang, mengenai perisian cetak rompak, selalunya apabila diminta oleh sejenis haiwan yang tamak haloba yang bernama 'Business Software Alliance' dan beberapa klonnya.

Apakah kerajaan serius membanteras perisian yang dicetak-rompak. No! Kerana itu perniagaan seperti di bangunan Imbi Plaza tidak akan wujud. Gelagat kerajaan ini adalah laksana mengacahkan pedang ke arah para lanun, menakutkan mereka agar tidak menyamun. Kerajaan telah pun mendapatkan injunksi terhadap beberapa peniaga di Imbi Plaza, tetapi kebanyakkan mereka sudah pun berpindah di bangunan sebelah. Perniagaan mereka semakin mewah. Kita tunggulah apakah kementerian akan menghenyak mereka pula. Kalau dilakukan, bukannya untuk membanteras kerja-kerja lanun itu. Apa pun, memang tumpuan dipusatkan kepada bahan porno dan video politik. Perisian yang dicetak rompak, adalah termasuk dalam kategori yang lain. Peniaga di Imbi Plaza menerima tindakan serbuan terhadap mereka sebagai risiko perniagaan yang perlu dihadapi.

Tindakan kerajaan selama ini bukannya menghapuskan lanun cetak-rompak perisian, mahu pun merubah perangai manusia membeli yang dikatakan 'tulen' dan 'asli'. Apatah lagi setelah komputer yang dibeli secara rasmi melalui kerajaan yang dengan rasminya mengumumkan segala perisian yang ada bersama pembelian itu adalah barangan palsu. Apabila tidak ada sesiapa yang peduli, dan mahu ambil-tahu, tidak ada perubahan yang boleh berlaku. Pihak penguatkuasaan boleh melalak dengan segala ugutannya. Semua itu adalah kenyataan hasrat bertindak sesuatu yang tidak akan terlaksana . Jadi, kenapakah saya tidak hairan diberikan layanan haprak seandainya membeli komputer melalui KWSP? Seperti orang lain yang tidak berfikir mengenainya? Apa pun saya mesti menjangkakan menerima sebuah komputer yang diisi dengan perisian Windows. Yang lain itu adalah perkara yang sama, tanpa ada perubahannya.

The Business Software Alliance perlu menambah kakitangannya sebanyak 50 kali ganda seandainya ia serius mahu membasmi lanun cetak rompak. Semua petugas itu mesti diiringi oleh pengawal bersenjata untuk menjaga keselamatan mereka. Tetapi, lebih berminat menangkap segelintir pengguna perisian cetak-rompak dan memaksa mereka membeli yang aslinya, selepas itu mereka boleh bergoyang kaki dan melapangkan dada. Jika tidak, tentulah BSA menyerbu Imbi Plaza dan tapak perniagaan seperti itu setiap hari di setiap negeri. Tentu sudah banyak mayat orang yang dibunuh terapung-apung dalam sungai, tidak semestinya di Malaysia sahaja. Hakikat ini tidak mahu diperakui oleh kerajaan, apa lagi oleh BSA. Jadi, kenapakah kita mesti disarankan menggunakan perisian yang asli? Apakah yang dilakukan oleh kementerian berkenaan mengenai muslihat terbaru berkaitan dengan skandal perisian tiruan ini?

M.G.G.Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-??




Asal:

KM2 5268: MGG How To Buy A Personal Computer With Pirated Software