Laman Webantu   KM2A1: 5283 File Size: 15.5 Kb *



Dari Afghanistan Ke Bolecistan
By CDB

23/8/2001 10:04 am Thu

[Apabila kerajaan terlalu galak mengembar-gemburkan isu KMM tentulah ada muslihat di situ. Soalnya mengapa perlu diperbesarkan sedangkan belum dibuktikan terlebih dahulu. Ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang kerana mengaibkan orang tanpa dibicarakan dulu. Lagipun jika benar anggota KMM itu mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara militan - itu masih tidak salah di sisi Islam kerana dia cuma berniat sahaja.

Bukankah ini ada dalam al Quran? Mengapa Malaysia yang mengaku negara Islam tidak memakai al Quran? Takkan ketua polis negara yang sudah pergi haji itu masih belum habis mengaji lagi? Selagi tidak ada perbuatan ataupun catatan yang meyakinkan, seseorang itu tidak boleh dihukum sebarangan. Sampai sekarang kerajaan tidakpun membicarakan mereka yang terbabit kerana semuanya berdasarkan 'niat' sahaja.... jika tidak sudah lama mereka yang terbabit ini dibicarakan sahaja.

Niat itu bukan soal mahluk tapi soal tuhan. Kerajaan sekarang sudah berlagak seperti tuhan...
- Editor
]


DARI AFGHANISTAN KE BOLEHCISTAN..

Pada mulanya saya dah malas nak meneruskan untuk menulis tajuk ini. Maklumlah, negara kita kini dah terlalu kerap sangat menjadi pentas sandiwara. Negara ini kini seolah-olah sebuah pentas besar yang begitu kerap sekali membuat pementasan teater dan sandiwaranya, apatah lagi semenjak pengarah teater tersebut beralih lokasinya ke Putrajaya dari Jalan Dato' Onn dulu. Tetapi apabila diminta oleh seorang Serikandi Reformasi kita supaya saya meneruskan topik ini untuk renungan dan tenungan rakyat, maka terpaksalah saya meneruskan coretan minda saya untuk kesekian kalinya di laman-laman reformasi ini.

Pada saya, rentetan kejadian demi kejadian yang berlaku semenjak tahun-tahun kebelakangan ini tidak lebih dari pementasan sebuah teater agung yang diarahkan oleh seorang pengarah hebat semata-mata untuk meraih sokongan dan mengalih perhatian semata-mata. Dan entah kenapa pula, semenjak tahun-tahun kebelakangan ini juga, apa jua yang muncul di 'pentas' itu akan dianggap sebagai 'teater' atau ' sandiwara' sahaja oleh majoriti rakyat. Dah berjangkit dan terkena sindrom 'sandiwara' agaknya rakyat Malaysia sekarang ini. Dah tertanam dalam minda mereka semua yang berlaku adalah 'sandiwara' yang dipentaskan. Pelikkan? Tapi itulah kenyataannya.

Selepas episod Al-Maunah yang menonjolkan kehebatan Jeneral Zaini sebagai hero utamanya, manakala Mohd Amin sebagai 'crooknya', rakyat dah semacam mangli dengan beberapa drama panas yang muncul selepas itu. Kalaupun mungkin kejadian yang berlaku itu betul sebahagianya atau sepenuhnya, maka mentaliti rakyat tetap akan menganggap ianya 'pementasan teater' semata-mata. Parah sekali sebuah kerajaan yang telah hilang sama sekali integriti dan kredibilitinya. Tambah memburukkan keadaan ialah apabila 'pelakon-pelakon tambahan' yang bernama polis seolah-olah 'over acting' dalam memainkan peranannnya sehinggakan 'penonton' naik jelak dan menyampah ! Episod 'pelancar roket' dan 'grenade' Ezam yang masih belum dijumpai sehingga kini meskipun sudah lebih 5 bulan 'rusuhan ganas' di Bandaraya KL meletus semakin menyerlahkan lagi kebebalan 'pelakon pembantu utama' yang bernama Norian Mai itu, sekali gus memadamkan terus kepercayaan rakyat terhadap kewibawaannya selaku Ketua Polis Negara.

Dan terkini, bagaikan ledakan bom-bom yang digugurkan oleh pesawat-pesawat tentera Russia di Afgahanistan dalam tahun 1979 dahulu, tiba-tiba negara digemparkan oleh Norian Mai dengan apa yang dinamakan sebagai ancaman Kumpulan Mujahidin Malaysia atau ringkasnya KMM. Semasa mula-mula muncul di 'layar perak', ianya dinamakan KMM. Apabila mendapati sambutan penonton kurang memberangsangkan, pengarah teater telah mengarahkan Norian menukarkan tajuknya menjadi KMMM. Makin banyak pulak 'Mnya'. Lenyap seketika KMM, sebaliknya gempar pula dengan KMMM yang 'kununnya' sangat militan dan berbahaya. MasyaAllah, orang Islam apa nama jadahnya Norian Mai ni apabila tidak segan silu menamakan ahli-ahli KMM tersebut sebagai 'pengganas'. Apa bezanya Norian dengan Ariel Sharon yang memanggil pejuang Palestine itu sebagai 'pengganas'?

Berhubung dengan apa yang dikatakan sebagai ancaman KMMM ini, saya amat tertarik dengan pendedahan yang 'tidak disedari' oleh Berita Minggu pada 19 Ogos lepas mengenai biodata seorang anggota Mujahiddin tersebut, iaitu Sdr Zulkifli @ Musa Abdul Hir yang menjadi buruan Norian Mai semenjak minggu lepas itu. Apabila membaca artikel tersebut saya merasa cukup bangga dan syukur kepada Allah s.w.t kerana rupa-rupanya di zaman moden ini, di zaman ledakan teknologi maklumat ini dan di zaman dunia di mana anak-anak mudanya begitu asyik maksyuk dengan dunia hiburan dan berpoya-poya, rupa-rupanya masih ada di antara kita yang begitu kental semangat jihad dan kecintaannya terhadapa Allah dan RasulNya. Saya memetik kembali tulisan tersebut untuk pembaca menilainya kembali manusia yang digelar oleh Norian Mai sebagai 'pengganas' itu.

'Zulkifli minat jadi pejuang sejak kecil (BM:19 Ogos 2001)

KUALA LUMPUR: Zulkifli @ Musa Abdul Hir yang didakwa menjadi ketua kumpulan militan Malaysia (KMM) dikatakan menunjukkan minat menjadi pejuang jihad sejak di bangku sekolah lagi. Dia melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat selepas berjaya mendapat biasiswa kerajaan, dan sekembalinya ke tanah air di bekerja sebagai jurutera di Telekom Malaysia. Sumber memberitahu Berita Minggu Zulkifli pernah belajar di Sekolah Datuk Abdul Razak Seremban dari 1979 hingga 1983 dan sejak itu dia sering memperkatakan mengenai peperangan di Afghanistan yang baru bermula apabila Russia menawan negara itu pada 1981.

'Zulkifli adalah seorang anak muda yang mempunyai perasaan cepat marah dan berjiwa memberontak walaupun mempunyai personaliti yang tenang dan pendiam. Dia pernah menyatakan satu hari nanti dia akan pergi ke Afghanistan untuk berjuang bersama pejuang Mujahidin di sana,' kata sumber itu ketika ditemui semalam. Katanya, kemarahan Zulkifli terhadap musuh Islam menjadi lebih ketara apabila berlakunya pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di khemah pelarian Sabra dan Shatila di Lubnan oleh militia Kristian yang bersekutu dengan Israel pada 1982. Zulkifli juga menunjukkan kebenciannya kepada pihak berkuasa pada masa itu kerana mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa untuk melindungi orang Islam. 'Dia sering memberitahu kerajaan terlalu lemah dan tidak mempunyai kesungguhan untuk benar-benar membantu orang Islam,' katanya.

Menurutnya, Zulkifli melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dalam bidang kejuruteraan dan sering menghantar surat yang membincangkan perkara yang sama iaitu jihad. Katanya, pada 1991 selepas Zulkifli balik dari luar negara, dia menyewa rumah di Seksyen 19 Shah Alam, Selangor. Pada masa itu, Zulkifli belum lagi mempunyai pekerjaan tetap. Zulkifli ke Afghanistan selepas memperoleh Ijazah Kejuruteraan di Amerika Syarikat dan menghabiskan masa kira-kira setahun sebagai seorang penembak curi bersama kumpulan Mujahidin yang dipimpin oleh Gulbbudin Hekmatyar ketika penaklukan Soviet di Afghanistan. Dia juga berperanan sebagai tukang masak di dalam rejimen Mujahidinnya. Dengan berbekalkan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan, Zulkifli juga ditugaskan sebagai tukang baik pulih. Dia bertanggungjawab dalam menyelenggara peralatan telekomunikasi serta bertindak sebagai ahli unit pemusnah bom.

Sumber itu berkata, Zulkifli pernah bercerita bom yang digugurkan serta jerangkap samar yang dipasang oleh tentera Russia biasaannya akan digunakan semula anggota Mujahidin selepas dimatikan oleh beliau. 'Bagaimanapun, Zulkifli terpaksa pulang awal dari Afghanistan ke Malaysia kerana menguruskan hal keluarga di kampung iaitu Muar, Johor,' katanya. Beliau berkata, rumah sewa Zulkifli adalah tempat berjumpa bagi beberapa rakan yang berminat di dalam peperangan jihad. Beberapa rakannya yang ditemui di situ adalah ahli veteran perang Afghanistan. 'Bagaimanapun mereka tidak pernah bercakap mengenai penggunaan senjata secara terus untuk menggulingkan kerajaan. Mereka hanya duduk dan bercakap soal politik dan mendengar cerita perang oleh veteran perang Afghanistan,' katanya. Beliau berkata, satunya petanda pada masa itu yang menunjukkan Zulkifli mempunyai pertalian dengan pergerakan jihad antarabangsa ialah dia menyatakan boleh menghantar mereka yang berminat menyertai peperangan di Chechnya dan Bosnia. Sumber itu bagaimanapun tidak begitu percaya Zulkifli masih komited dalam pergerakan jihad bersenjata kerana pada masa itu dia sudah mempunyai rancangan untuk berkahwin dan berkeluarga. Satu sumber lain pula berkata, Zulkifli juga dikenali dengan nama Cheng di kalangan rakan sekolahnya kerana paras rupanya seperti orang Cina.'



Nah, demikianlah betapa hebatnya anak muda bernama Zulkifli ini. Kalaulah benar apa yang diceritakan itu, betapa tinggi dan mulianya kedudukan dan martabat anak muda itu di sisi Allah s.w.t. Bandingkan antara seorang yang berjuang untuk mempertahankan agama Allah dengan nyawanya sendiri dengan seorang yang ingin meruntuhkan agama Allah seperti anak-anak Mahathir. Bandingkan antara Marina Mahathir yang mengedarkan kondom percuma untuk dipasangkan di 'senjata' lelaki yang ingin mengadakan maksiat (meruntuhkan agama Allah) dengan anak muda bernama Zulkifli yang menghunuskan senjatapinya untuk membunuh musuh-musuh Allah. Dan kepada anak muda yang mulia dan berani ini si Norian memanggilnya sebagai 'pengganas'? Subhanallah !. Sesat dan keparat apakah namanya si Norian ini? Kerana nak mengambil hati tuannya di Putrajaya itu, Norian sanggup memanggil tentera Allah yang mulia ini dengan gelaran yang sebegitu buruk dan hina?

Saya percaya isu KMMM ini hanyalah suatu momokan yang sengaja dipentaskan secara 'gempar' untuk mencetuskan suasana dan perasaan cemas di kalangan rakyat dan menimbulkan elemen ketakutan terhadap PAS selepas propaganda isu negara Islam gagal lagi untuk memesongkan kiblat rakyat dari berpaling sokongan terhadap BA. Kegagalan teater 'Al-Maunah' untuk meraih simpati rakyat membenci PAS tidak mematahkan semangat sang pengarah untuk terus berkarya menghasilkan teater-teater lebih hangat dan mendebarkan semata-mata untuk melahirkan sentimen kebencian dan ketakutan terhadap perjuangan PAS.

Berkebetulan imej pejuang-pejuang Mujahidin tersebut seiras dengan ahli-ahli PAS dan sudah semestinya mereka akan menyokong perjuangan PAS, maka polis telah dipaksa untuk menggali semula kubur yang telah terbenam hampir lebih 15 tahun dahulu untuk mem bolehkan justifikasi relevan dengan senario politik semasa PAS dalam menghadapi fitnah UMNO. Walhal, benar seperti kata Dato' Kamaruddin Jaafar, ahli Parlimen Tumpat bahawa kerajaan dan UMNO sendiri yang telah mengiktiraf perjuangan Mujahidin Afghanistan dan membuka pejabat perwakilannya di Kuala Lumpur tidak lama dahulu. Malah Gulbudin Hekmatyar pernah datang ke Kuala Lumpur untuk menjelaskan perkembangan terkini perjuangan Mujahidin di Afghanistan. Dan kini, kenapa tiba-tiba isu kumpulan mujahidin ini muncul bagai halilintar membelah bumi?

Kalau pun benar anggotanya (KMM) pernah berjuang di Afghanistan, kerajaan sepatutnya memberikan pujian dan penghargaan terhadap jasa-jasa dan perngorbanan mereka membantu sesama Islam, sama seperti kerajaan menyokong dan mengiktiraf perwakilan Mujahidin di bawah Hekmatyar dahulu. Nampak sangat zalim dan kejamnya kerajaan Mahathir ini kerana akan sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan survival kuasa dan politiknya tidak terancam sekalipun terpaksa membunuh orang yang mungkin pernah menolongnya suatu ketika dahulu.

Dalam banyak hal yang telah berlaku sebelum ini, tahap kepercayaan umum terhadap kerajaan Mahathir hampir menyamai zero. Dalam keadaan hilang wibawa di kalangan rakyat ini dan dalam usaha untuk terus memberikan tekanan terhadap pembangkang, sang diktator biasanya akan mencari isu-isu gempar yang menggerunkan supaya rakyat akan berfikir seribu kali untuk menyokong pembangkang. Dengan manipulasi berita yang disiarkan secara menggila oleh media cetak dan elektronik, Mahathir cuba memainkan psikologi rakyat akan bahayanya menyokong PAS. Buktinya? Pendedahan mengenai apa yang dikatakan ancaman KMMM mungkin diharapkan dapat menyakinkan rakyat bahawa PAS sebenarnya menuju ke arah perjuangan yang ekstrim dan mencetuskan keganasan untuk mencapai cita-cita politiknya.

Kegagalan menghidupkan semula isu Amanat Hj Hadi, pengharaman nama Islam pada nama parti, Al-Maunah yang mahu dikaitkan dengan PAS dan terkini KMMM yang cuba digambarkan penglibatan PAS baik secara langsung mahupun tak langsung, menunjukkan bahawa kerajaan Mahathir akan berbuat apa sahaja untuk menjamin survival kuasanya. Kalau benda yang tak ada pun boleh diada-adakan (peluru 500 biji 'milik' Dato Nalla), apatah lagi benda yang dah pun sedia wujud, seperti anggota Mujahidin itu. Maka lagilah senang untuk memanipulasikannya. Mungkin salah satu tugas utama polis Cawangan Khas ialah mencari dan mereka-reka bukti untuk mensabitkan tuduhan terhadapa kesalahan yang tidak pernah pun dilakukan oleh yang dituduh. Maka dalam kes KMMM ini, apakah tidak mustahil untuk pihak polis 'menghidupkan' semula anggota-anggotaa KMM itu demi menjayakan watak-watak dan lakonan yang dikehendaki oleh sang pengarah? Kalau Amanat Hj Hadi yang dah berkubur 20 tahun pun mampu diberi 'nafas baru' oleh sang pengarah, apakah tidak mungkin isu KMM ini tidak dapat disegarkan kembali dengan lebih sensasi dan mendebarkan ?

Komunis Rusia di Afghanistan dah berkubur, USSR dah lenyap dari peta dunia, Gulbudin Hekmatyar dah hilang entah ke mana, tiba-tiba pejuang Mujahidin yang dah berbelas tahun kembali dari medan perang di Afghanistan itu muncul di Kuala Lumpur lebih 15 tahun kemudian untuk mengebom dan merompak bank? Apakah tidak mungkin pihak SB yang menyamar atau mereka yang diupah oleh polis atau sang pengarah sendiri melakonkan semua watak yang penting ini ? Kalau afidavit Dato Nalla yang direka-reka oleh Musa Hassan itu pun boleh menghiasi semuka penuh akhbar-akhbar perdana, masakan tidak mungkin isu KMM ini dapat menghiasi ruang muka yang sama sejak seminggu dua ini?

Samada KMM atau KMMM benar-benar wujud atau hanya cerita dongeng sang pengarah semata-mata, hanya Allah s.w.t. dan Norian Mai sahaja yang tahu, tetapi percubaan untuk mengaitkannya dengan PAS dan BA semata-mata untuk meraih sokongan rakyat merupakan suatu kesalahan yang tidak harus dimaafkan sama sekali. Dengan peranan akhbar yang boleh dimanipulasikan sesuka hati, dengan pihak polis berpihak secara nyata kepada regim yang zalim itu, apakah tidak mungkin isu KMMM dan anggota-anggotanya itu merupakan sebahagian lagi rentak tari dan drama hebat terkini yang cuba dipentaskan secara sensasi demi meraih simpati? Namun, di negara serba boleh ini, segala-galanya adalah mungkin. Dari Bukit Jenalek ke Amanat Hj Hadi, kini singgah sebentar di Afghanistan. Inilah istimewanya negara 'Bolehcistan' acuan si Maha Haprak yang makin terdesak itu !!


Cucu Datuk Bahaman
23 Ogos 2001