Laman Webantu   KM2A1: 5293 File Size: 11.9 Kb *



MMMM: B3A - Kebangkitan Reformasi Di Malaysia
By Marhain Tua

24/8/2001 8:37 pm Fri

[Reformasi tetap tidak berkubur walaupun beberapa pemimpin pembangkang dan pelajar ditangkap. Sebaliknya setiap tangkapan itu telah melahirkan kebangkitan yang tidak terduga. Baru-baru ini Reuters memaparkan gambar seorang kanak-kanak berdemo bersama poster anti ISA. Apakah polis berani menangkap kanak-kanak ini?
- Editor
]


MMMM

Bab 3A: Kebangkitan Reformasi Di Malaysia

Hukum Karma Yang Mula Bergema

Apabila kita sebut reformasi di negara ini, berapa ramaikah rakyat negara ini yang sedar, siapakah sebenarnya yang mendukung semangat reformasi itu? Kenapakah tidak ramai dari mereka yang datang daripada golongan yang berada dalam UMNO sedangkan datuk moyang mereka dulu dikatakan pejuang UMNO? Kenapakah yang paling ramai bertungkus lumus adalah generasi dan zuriat generasi yang benar-benar berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada British? Ataupun mereka yang mempunyai pertalian darah dengan warga masyarakat Indonesia dan nusantara?

Pergerakan reformasi di Malaysia adalah satu pergerakan yang amat unik yang tidak ada awalannya (precedent) di dunia ini. Pergerakan reformasi yang digerakkan oleh Barisan Alternatif sebenarnya merupakan satu semangat setiakawan satu golongan rakyat negara ini yang muak dengan pemerintahan yang disebut demokrasi 'my-way' yang dicipta oleh seorang diktator tua yang sudah sewel, tetapi terpaksa diampu agar terus bernyawa kerana orang-orang yang mengampu itu mahu terus bernafas lega. Lantas, demokrasi 'my-way' bertukar menjadi demokrasi 'our-ways' (acuan kita) yang tertumpu kepada mengekalkan kuasa kerana kuasa yang ada itu amat penting untuk terus bernyawa.

Semangat reformasi yang kian membara ini akan terus berbara tanpa hentinya sehingga ia menyala dengan semaraknya menunggukan saat penentu bila-bila masa. Inilah semangat setiakawan yang tidak ada contohnya sebelum ini dan yang sudah pasti akan dicontohi di tempat dan negara lain selepas ini.

Belum pernah terjadi sebelum ini, rakyat yang berbilang kaum dan agama serta fahaman budayanya, bersatu di bawah pelbagai panji fahaman ideologi hidup. Mereka mahukan kedamaian negaranya dan impikan kesenangan generasi yang akan datang. Mereka sedar, impian itu akan tercapai hanya apabila Mahathir bin Mohammad diturunkan daripada takhta regim diktator yang dipertahankannya selama ini.


Antara Komunis Di Hutan dan Melayu di Kampung

Satu ketika dulu rakyat negara ini diganyang oleh penjajah kerana kewujudan komunis yang mahu menggulingkan kerajaan. Akan tetapi, berapa ramaikah komunis di hutan ketika itu berbanding bilangan askar orang putih dan askar-askar negara Komanwel yang dibawa untuk mengganyang mereka? Berapa ramaikah askar British yang mati terkorban kerana pertempuran dengan komunis? Kenapakah tidak dipertikaikan betapa lebih ramai rakyat British yang mati kemalangan jalanraya daripada bilangan yang mati dalam hutan bertempur dengan pengganas komunis? Kenapa pula tidak diungkit, kalau benar komunis mahu menjahanamkan askar British dulu, mereka hanya perlu menunggu di selekoh jalan yang berbengkang-bengkok untuk menyerang hendap askar-askar di situ?

Private Jack Crossley yang kemudiannya menjadi pengarang berita Daily Mail telah menulis jumlah angkatan tentera yang memerangi pengganas komunis ketika itu seperti berikut: 'Selama 12 tahun, pengganas komunis telah menyulitkan 50,000 anggota tentera, 60,000 anggota polis dan 200,000 (dua ratus ribu) anggota home Guard - sila baca www.pressgazettge.co.ul/Features.aspx?ContentID=45 - yang terkini bertarikh 14 Jun, 2001.

Apabila diteliti kembali semua stastistik dan peristiwa sebegini, tentu timbul tandatanya, apakah benar komunis di hutan dulu sungguh berbahaya? Jawapan kepada soalan ini akan berbunyi 'Ya!!!!!' kerana kita terpaksa mengambil kira ratusan perkampungan baru penempatan semula masyarakat Cina khasnya yang ditaja oleh British di bawah pemerintahan Jeneral Templar. Inilah projek yang menyeluruhi negara sebaik beliau tiba menggantikan Sir Henry Gurney yang mati diserang hendap di Bukit Fraser.

Masyarakat Cina yang ditempatkan di perkampungan baru itu diberikan bekalan air dan lampu serta makan percuma melalui masakan berpusat kerana Templar fikir komunis boleh dihapuskan dengan cara itu. Warga perkampungan itu dibenarkan keluar mencari rezeki di siang hari dengan bekalan makan dan minum peribadi yang cukup untuk digunakan seorang diri selama sehari. Cara ini menidakkan komunis di hutan daripada mendapat bekalan makanan mereka. Tetapi apakah berjaya rencana itu? Jawapannya 'Tidak....!!!' kerana bekalan harian yang dimasak itupun dikongsi sama dengan penghuni hutan di tempat kerja. Air hitam yang disangka kopi rupanya kicap yang dibekalkan dan diseludup membolosi pemeriksaan rapi pihak polis dan tentera di pertengahan jalan. Bingkai basikal digunakan untuk diisi tempat yang lompong dengan beras dan gula serta garam dan apa juga bekalan makanan yang berharga.

Buah nenas yang difikirkan boleh menjadi santapan ketika berehat di ladang, telah dikerobok isinya dulu untuk dimuatkan dengan bekalan makanan kering dan dicantumkan kembali kelongsong nenas itu menggunakan pencungkil gigi sebagai penyambungnya. Apa sahaja yang boleh dimakan diisi dalamnya; tauhu, tauchu, daging salai dan apa juga mengikut selera pemintanya.

Penoreh getah ataupun pendulang bijih dan emas yang membawa bekalan itu semua menanggung risiko ditangkap dan diseksa. Tetapi mereka lakukan juga bukan kerana mereka bersimpati dengan perjuangan komunis tetapi kerana ugutan terhadap nyawa mereka. Mereka dipaksa melakukannya kerana diugut ataupun kerana diberikan upahan yang sungguh lumayan, mengatasi pendapatan seminggu kalau si pembekal bekerja setiap hari sebagai penoreh ataupun pendulang. Bayangkan rakyat marhaen di perkampungan baru keluar mencari kerja di hutan belantara membawa bekalan untuk komunis yang mempunyai banyak wang. Pada waktu yang sama, komunis yang berwang sanggup menghuni hutan rimba hanya memikul senjata dan membeli bekalan makanan dengan harga yang tinggi pula. Tetapi, komunis mempunyai bekalan wang yang banyak kerana dibayar oleh tauke-tauke yang takut perniagaannya dirosakkan oleh pasukan komunis.

Ada juga tauke-teuke yang melakukan bayaran yang mahal itu secara bulanan kerana mahukan monopoli perniagaannya di sesuatu tempat tidak disaingi oleh orang lain. Contohnya ialah perniagaan melombong bijih, besi, emas dan pembalakan serta penghasilan buluh dan rotan. Apabila sistem masak-kawah dilaksanakan seluruh negara di kem penempaan semula orang Cina dan Melayu, ada taukeh yang mendapat kontrak pembekalan makanan itu yang menaja pihak komunis agar membuat sandiwara serangan pada malam hari di kem tahanan itu, untuk memperteguhkan lagi perniagaan mereka.

Setiap kali kerajaan berura-ura menghentikan sistem masakah berkawah, setiap kali itu juga ada serangan hendap di kawasan tertentu oleh pihak 'komunis' terhadap pasukan keselamatan ataupun terhadap pegawai daerah British yang berkereta di sesuatu tempat. Serangan hendap seperti itu tidak menjejaskan nyawa. Sekali sekala ada pula bas sekolah di pagi hari yang ditahan untuk dibakar. Semua ini adalah lakonan yang direncana oleh pihak tertentu untuk memberikan gambaran bahawa komunis masih mengancam.


Perkampungan yang membawa Kejayaaan

British mempunyai ketumbukan udaranya di Malaya ketika itu, walaupun pesawat yang dikerahkan di rantau sebelah sini adalah pesawat yang sudah berusia 35 tahun. Pesawat itu tidakpun digunakan untuk mengebom komunis, kerana kos bom yang mahal. Cuma sekali-sekala British menggugurkan bom kimia jenis 245-T yang diperolehinya dalam Perang Dunia kedua daripada Simpanan Jerman dan Itali. Sila baca: https://www.tripod.com/twgas2.html. Penggunaan kimia ini telah banyak memusnahkan kebun getah kepunyaan orang Melayu di kampung-kampung sehinggakan ramai yang terpaksa lari masuk ladang kepunyaan orang putih untuk meneruskan pencarian nafkah hidup mereka. Kesan bom kimia itu adalah menggunakan teknik 'defoliation' (menggugurkan daun) yang kemudiannya ditiru oleh Amerika di Vietnam.

Yang peliknya pengeboman cara itu tidak pula digugurkan pada ladang persendirian yang dipunyai oleh tauke-tauke Cina yang kaya raya dan bersahabat baik dengan tuan-tuan pegawai polis ketika itu.

Penjajah British merakamkan bahawa perkampungan baru (Cina) itu adalah satu projek yang memberikan kejayaannya. Itu merupakan propaganda mereka, kerana itu mereka turunkan sasaran taaf kejayannnya. Mereka berjaya membendung komunis di hutan daripada mendapat bekalan dengan mudah, tetapi, tidak ada seorangpun komunis yang mati kebuluran. Lagipun ketika merencana pembinaan perkampungan baru dulu, matlamat tertingginya ialah menghapuskan komunis sama sekali.

Penjajah British amat berbangga dengan ciptaan Templer, kerana mereka canangkan di London bahawa perkampungan baru Cina merata negara adalah jawapan pintar mengurangkan aktiviti Cina dengan gerakan komunis. Mereka tidak takutkan orang Melayu yang mereka anggap 'lemah, malas dan dungu dan diam duduk di perkampungan'. Melayu yang kuat dan berdisiplin adalah Melayu yang memakai uniform mengejar komunis di hutan, ataupun berkawal di istana ataupun di perkampungan Cina.

Pengawal Melayu (askar Melayu, polis hutan ataupun polis rusa kerana memakai beret dengan gambar tanduk rusa, ataupun SC yakni 'Special Constable' ataupun 'HG' yakni 'home-guard' padawaktu itu adalah satu kumpulan Melayu yang menerima gaji bulanan. Setengah pendapatan mereka dikirimkan ke kampung untuk menegakkan ekonomi desa dan setengah lagi dibelanjakan di kedai Cina ataupun India untuk keperluan hariannya. Jikalau tidak mencukupi perbelanjaan harian itu, wang pinjaman memang mudah disediakan oleh 'Keling Ceti' yang terdapat di mana-mana. Ada jua yang bernasib baik menjadi pengawal kepada warga istana, yang pada hujung minggu pergi berjudi di tempat lumba kuda. Kalau yang dikawal itu menang besar, besarlah sogokan diselitkan dalam seluar. Kalau yang dikawal itu kalah teruk, ada jugalah beberapa kepingan siling yang dibuat laksana upah-beruk. Itulah dia jalanan demokrasi penjajah British dulu.

British berbelanja besar dalam melengkapkan pasukan pertahanan di Malaya kerana takutkan pengaruh komunis yang dianggotai orang Cina yang dikatakan menyorok di hutan belantara. Tetapi di bandar dan pekan, rakan karib penjajah dulu adalah orang Cina. Semua bekalan keperluan mereka disediakan oleh masyarakat Cina. British membekalkan elektrik dan air paip di bandar dan pekan untuk menyenangkan masyarakat Cina. Masyarakat India ketika itu merupakan masyarakat yang serba senang kerana diberikan kemudahan oleh tuanpunya ladang. Ketika perkampungan Cina terang benderang dan bekalan airnya bersih dan jernih, orang Melayu hidup di kampung berpelitakan lilin dan lampu minyak. Air minum dikorek dari bumi ataupun bergantung pada air sungai yang juga merupakan tandas 'mudah-alih' ala-teknologi dulu-dulu. Yang mudah ialah membinanya, yang dialih ialah 'punggung' selepas mengebom air yang menampungnya.

- Marhaintua-
24 Ogos, 2001


....bersambung....




kanak berdemo