Laman Webantu   KM2A1: 5294 File Size: 18.0 Kb *



MMMM: B3B - Kebangkitan Reformasi Di Malaysia
By Marhain Tua

24/8/2001 8:37 pm Fri

[Ancaman militan sengaja digembar-gemburkan oleh Mahathir untuk mencemarkan PAS, pergerakkan reformasi dan menangkap sesiapa sahaja sesuka hati. Ia tidak ubah seperti tindakkan British merencanakan beberapa muslihat dan kempen tersusun untuk terus menapak dan menjajah negara ini.

Seminggu lagi 31 Ogos akan muncul kembali tetapi kebebasan dan hak kita semakin terkikis pula. Sebaliknya polis yang lebih bebas di negara ini sehingga boleh mengganas sesuka hati... merdeka apakah semua ini? - Editor]


MMMM

Bab 3B: Kebangkitan Reformasi Di Malaysia

Taktik British Menyerang Komunis Di Hutan

Dalam menyerang komunis di hutan belantara, askar British hanya dikerah di satu kawasan yang sudah dimasuki oleh askar Melayu dan Gurkha dan askar Fiji sahaja. Tugas askar British adalah berbentuk 'sweeping operation' yakni pembersihan kalau-kalau ada saki-baki komunis di tempat itu. Namun yang digunakan (sweeping) memang canggih. Sebenarnya itulah operasi yang paling selamat, kerana setiap pasukan askar British didahului satu pasukan pengesan yang merupakan orang asli ataupun Iban ketika itu. Malahan ada kalanya askar kulit putih itu hanya masuk beberapa rantai dalam rimba dan mencari anak sungai untuk merendamkan badan beberapa jam dengan pakaian mereka, sambil keselamatan dijaga oleh askar pengesan (jungle tracker). Kerana itu, tidak ramai askar British yang terkorban dalam pertempuran bersenjata. Tetapi gaji yang mereka terima adalah tiga puluh kali ganda daripada gaji askar Melayu dan sepuluh kali ganda daripada askar Gurkha. Demikianlah layanan British kepada askar Melayu yang telah menunjukkan kesetiaannya ketika mempertahankan Bukit Chandu di Singapura ketika British undur diserang tentera Jepun.

Sudah menjadi amalan penjajah hingga ke hari ini, membayar gaji kepada askarnya sendiri di rantau orang hanya untuk dibelanjakan di negara itu dengan tujuan menggerakkan ekonomi jajahannya. Apabila askar British membelanjakan gaji mereka dulu, di manakah mereka berbelanja kalau bukan di kedai Cina dan India? Kalau adapun askar British yang bersimpati dengan pekedai Melayu takkan mereka ke situ untuk menggunting rambut ataupun membeli songkok dan kopiah? Lagipun kalau ada orang yang berdarah Melayu yang gemar berniaga, mereka lebih selesa berniaga di 'pekan rabu' ataupun 'pekan minggu'. Selain makanan, kalau adapun barangan yang tercanggih ketika itu hanya setakat belon dan ubat nyamuk sahaja.

Tetapi, kebanyakan serang hendap yang mengorbankan askar British dulu telah dilaksanakan oleh komunis Cina, kerana mereka amat gemar menghuni pinggir rimba dan tidak seperti komunis Melayu yang bergerak lebih jauh di pedalaman hutan belantara. Ini bermakna, komunis Cina dulu menyimpan senapang, peluru dan bom di pinggir rimba untuk mencetuskan ledakan senjata sebagai isyarat sahaja. Dengan lain perkataan, kegiatan utama komunis Cina di waktu dulu adalah bertujuan mendapatkan kemudahan mudah daripada penjajah British untuk masyarakat Cina.

Harus dirakamkan di sini, apa yang disebut sebagai komunis Malaya ketika itu adalah saki-baki pasukan gerila anti-Jepun yang dibiayai oleh British dan beroperasi dalam hutan ketika Jepun memerintah negara ini. Dengan lain perkataan, Komunis Malaya merupakan rakan kongsi Kerajaan British yang cuba menumbangkan penjajah Jepun sehinggalah Amerika menggugurkan bom atom di Hisroshima dan Nagasaki yang membuatkan Jepun mengaku kalah.

Dengan kekalahan Jepun itu, British datang semula setelah memberi peluang PKM (Parti Komunis Malaya) ataupun 'Bintang Tiga' bermaharajagila di Malaya. Oleh kerana British enggan menerima kewujudan PKM, makanya bermulalah era darurat pada 16 Jun 1948. Semua kelengkapan bersenjata PKM sebenarnya adalah alat perang yang pernah dibekalkan oleh British.

Apabila masyarakat Cina dikumpulkan dalam susunan kehidupan yang selesa, ekonomi merekapun membangun secara bersistem. Anak-anak mereka menerima rawatan percuma ketika sakit dan yang bersekolah mendapat lampu yang cerah untuk mentelaah pada waktu malam. Terdapat pula bantuan gereja yang memberikan latihan percuma bermain alat-alat muzik. Mereka yang menganut agama Kristian diberikan subsidi untuk belajar bukan sahaja di negara ini malahan di luar negara apabila berkelayakan.

Apabila komunis 'di hutan' menyerang hendap askar British, sekali-sekala, tidak pula ada nyawa yang terkorban, kecuali satu-dua peristiwa serangan hendap pilihan seperti yang terjadi terhadap Henry Gurney. Itupun kerana Henry Gurney keluar daripada kereta perisai untuk menunjukkan kepandaian mengatur serangan balas. Dia fikir itu adalah serangan perang dunia kedua satu ketika dulu. Kalaulah dia menetap dalam kereta perisai itu menunggukan ketibaan pasukan bantuan, Henry Gurney mungkin berjaya terlepas daripada bencana dan Gerald Templar mungkin tidak bertugas di Malaya.


Propaganda British memperbodohkan Melayu

British menggunakan propaganda memburukkan pengaruh komunis semata-mata kerana mahu terus berkuasa di rantau ini. Sebenarnya, pengaruh komunis itu tidakpun seberapa. Tetapi, apabila digembar-gemburkan, British berjaya membawa masuk pelbagai pasukan ketenteraan daripada Britain dan segala kawasan jajahannya seperti Fiji, Australia, New Zealand, India, Nepal (Gurkha) dan sebagainya. Sekaligus, hasil mahsul Malaya digunakan sepenuhnya oleh British untuk terus memperkayakan jajahan takluknya yang lain.

Pada waktu itu segala kelengkapan dan keperluan bekalan yang diperlukan di Malaya merupakan urusan monopoli 'The Crown's Agent'. Inilah satu agen pemasaran British yang mengaturkan siapa yang patut menjadi pembekal kepada sesuatu barangan yang diperlukan. Agen ini menyalurkan pesanan mereka kepada syarikat kepunyaan British seperti Sime Darby, Scott and English, Barlow Boustead, Turner & Newal, dan banyak lagi. Pesanan barangan juga dibuat oleh hampir semua tuanpunya ladang British ataupun yang mempunyai perkongsian British seperti Socfin Ltd. (syarikat yang mula-mula membawa masuk benih kelapa sawit dan menanamnya di Ladang Tanah Merah - Bukit Pelanduk - Malaysia, dan tuanpunya syarikat perlombongan bijih di seluruh negara.

Sasaran pengekalan ketenteraman British ialah pusat pentadbiran di ibunegeri, daerah dan perkampungan yang besar serta kawasan perladangan. Di setiap bandar dan pekan yang besar, ketenteraman terjamin kerana di situlah adanya ramai masyarakat berbilang kaum, terutama sekali orang Cina dan India. Kalau ada orang Melayu di bandar dan pekan yang besar itu mereka merupakan pekerja kerajaan dan pasukan keselamatan. Majoriti Melayu masih berada di perkampungan yang jauh di pedalaman. Bayangkanlah satu ketika selepas tercapainya kemerdekaan, Sungai Ramal dan Bangi yang kini menjadi sebahagian Putrajaya hanya dihubungi oleh Bas (syarikat SUM) yang memberikan perkhidmatan dua jam sekali setiap hala. Itupun pada waktu musim panas, kalau musim hujan, memang tidak ada perkhidmatan basnya.

Ini juga bererti yang dikatakan jauh di pedalaman ialah disebabkan tidak ada infrastruktur pengangkutan yang selesa ketika itu. Bandingkan dengan kemudahan yang diberi kepada masyarakat Cina di khemah perkampungan dan masyarakat India yang menetap di ladang-ladang dan lombong bijih kepunyaan British.


- Tipu muslihat Melalui Crown Agent.

Agen pembekalan yang dimonopoli oleh Crown Agent adalah satu tipu muslihat besar penjajah British. Tidak ada sesiapa yang menyoal mereka kenapa semua bekalan mesti mereka lakukan. Tidak ada seorang raja yang berdecit ketika itu menyanggah kerajaan British dan meminta mereka memberikan kerja-kerja pembekalan kepada orang Melayu.

British Crown Agent hanya mengurus secara monopoli setiap bentuk pembekalan. Sebahagian besar bekalan dibuat oleh syarikat British yang berpangkalan di negara ini. Syarikat British itu pula mempunyai kakitangannya daripada kaum India (sama ada daripada India ataupun Sri Lanka) dan orang China. Ada juga beberapa kerat orang Melayu yang mereka gunakan ketika itu - sebagai supir (driver) dan peon (budak pejabat) sahaja. Oleh kerana tidak berapa ramai orang Melayu yang bekerja di syarikat swasta pada masa itu, mereka disebut dan dipanggil secara umum dengan nama 'Amat' sahaja. Itupun manusia jenis ini mampu berlagak apabila pulang ke kampung kerana mereka lebih rapat kepada British dan kaum lain, semestinya lebih celik daripada orang kampung pada keseluruhannya. Tidak hairanlah kalau pada waktu itu ramai 'Amat' yang memang amat teruk keorang-putihannya daripada penjajah British dulu-dulu. Oleh kerana mereka lebih rapat dengan orang putih daripada warga istana, seorang supir kepada Mat Salleh boleh berlagak semacam sultan juga apabila dia pulang ke kampung. Contohnya ialah dengan membawa balik rokok dalam tin, untuk berlagak. Sebenarnya tin rokok itu kebanyakknya adalah tin kosong bekas digunakan oleh 'Tuan'nya.

Pentadbir negara yang sudah dikuasai sepenuhnya oleh British memang sungguh berkesan kerana British bijak menggunakan pelbagai undang-undang dan kuasa mahkamah. Sesiapa yang melanggar peraturan diheret ke mahkamah dan didakwa serta dijatuhkan hukuman. Sesiapa yang culas membayar cukai mudah didakwa kerana British mempunyai sistem kehakiman yang pantas. Ini hanya dapat dilakukan dengan menggaji beberapa utusan mahkamah (court petition server) yang juga merupakan satu sektor masyarakat Melayu yang tersendiri dan berpengaruh sama tarafnya dengan penerjemah mahkamah satu ketika dulu. Hakim dan majistret kebanyakannya adalah daripada kaum India (termasuk kaum Benggali ataupun Punjabi). Pendakwaraya pula kebanyakannya adalah orang India juga. Bayangkan apa senario seterusnya. Di manakah martabat Melayu ketika itu, kerana kaum India, Cina dan orang putih mempunyai satu bahan keserasian yang tidak dapat dikongsi oleh umat Islam - alkohol dan perempuan penghibur. Di sinilah rancaknya konsep sogokan melalui hidangan makanan dan minuman dan hidangan teman hiburan kepada orang putih yang kebanyakannya bujang ketika berkhidmat di Malaya (dan Borneo) ketika itu. Sekaligus wakil penjajah ini diasak dengan propaganda betapa orang Melayu adalah bangsa yang malas dan tidak boleh diharap. 'Ajak minum dan bersantaipun orang Melayu malas.....!!!' Mudah sangat propaganda orang bukan-Melayu ketika itu.

Lagak semacam ini turut berjangkit kepada askar Melayu dan pasukan keselamatan kerana mereka kerap bercampur dengan askar British dan Komanwel sambil dibekalkan makanan catuan dalam tin yang dimport daripada London. Bayangkan, gula, beras, susu dan biskut makanan pasukan keselamaan kita di hutan dibekalkan daripada London sedangkan semua itu boleh dibungkus di negara ini.

Kemewahan masyarakat Melayu kelas ini lebih menonjol dan lebih dinikmati oleh orang Melayu dalam pentadbiran kerajaan. Pada waktu British dulu, sorang kerani besar Melayu adalah insan yang sama tarafnya kini dengan seorang wakil rakyat. Begitu juga dengan Melayu yang berpangkat S.O. (Settlement Officer = pegawai petempatan) hinggalah kepada DADO (Deputy Assistant District Officer). Jawatan DADO adalah jawatan paling tinggi pada waktu dulu kerana yang atas-atas itu semuanya dipegang oleh Mat Salleh, tidak kiralah kalau dia berkelulusan haprak sahaja.

Apabila Tunku dan UMNO bertanding dalam pemilu yang pertama, golongan Melayu yang pernah menjadi DADO, SO, kerani besar dan guru-guru merupakan calon UMNO yang terbesar. Bayangkan apabila golongan 'Mat Salleh Celup menjadi wakil rakyat Melayu'. Apakah mereka menghayati keperwiraan melayu di zaman keagungan kesultanan Melayu purba?

Kemewahan yang dinikmati oleh pentadbir British di negara orang adalah satu nikmat yang mereka tidak dapat rasakan di negara dan perkampungan sendiri. Pada waktu itu, ramai pentadbir dan pegawai British yang miskin sebenarnya di kampung mereka. Ibu bapa mereka adalah petani sahaja dan mungkin tidak mampu membeli arangbatu ataupun kayu api untuk menghangatkan badan mereka pada musim sejuk. Ramai yang mampu hidup di persisiran pantai menggunakan 'overturned boat-house' (perahu besar yang ditelungkupkan sebagai rumah kediaman. Ramai juga yang sudah kehilangan bapa kerana mereka terkorban dalam Perang Dunia yang baru sahaja berakhir.

Dengan kemewahan yang dinikmati itu, apakah mereka bersedia menyatakan Malaya dan Borneo boleh bebas daripada komunis? Kalau mereka berusaha menghapuskan 'pengganas' komunis tentu mereka terpaksa pulang ke negara asal. Habislah kenikmatan yang dirasa. Pada waktu itu kebanyakan pegawai polis yang bertugas di setiap ibupejabat polis daerah adalah pegawai yang dinaikkan pangkat setelah berjasa di London dengan pangkat Sarjan. Bayangkan sarjan di London terus dinaikkan pangkat inspektor di Malaya, apakah kepintaran mereka selain minum, minum dan berhibur diri dengan betina? Dengan lain perkataan, mereka dinaikkan pangkat di sini dan diberikan jawatan untuk berlagak laksana tuan besar yang lebih seronok dan hebat daripada seorang undang luak ataupun sorang anak raja. Orang suruhan mereka ketika itu adalah pegawai polis berpangkat sarjan yang dibawa masuk daripada India dan Sri Lanka. Lagak kumpulan inipun bukan calang-calang lagi. Maklumlah diimport daripada negara luar untuk melatih orang pribumi bagaimana buat kerja kepolisan. Mahukah mereka ini mengusahakan agar pengganas komunis dapat dibasmikan?

Disebabkan kemewahan syurga dunia itu, makanya ada persekongkolan di pihak British dan para peniaga besar-besar di Malaya dan Borneo untuk memomokkan keadaan sebenar tahap keselamatan negara. Kalaulah betul-betul negara terancam oleh komunis kenapakah British tidak membesarkan ketumbukan askar Melayu? Kenapakah British membawa ramai askar Gurkha, Fiji, New Zealand, Australia dan daripada United Kingdom? Oleh kerana orang Melayu lebih bersedia menjadi askar dan polis daripada bekerja di ladang kepunyaan Inggeris dan lombong-bijih, bukankah lebih menjimatkan membesarkan angkatan bersenjata dalaman dengan mengambil orang Melayu untuk berkhidmat?

Sebaliknya British teruskan kempen mereka mengatakan ancaman komunis di Malaya terlalu dahsyat sehinggakan lebih ramai angkatan bersenjata daripada Komanwel yang terpaksa dibawa masuk. Sungguh licik British ketika itu dan taktik ini sengaja disokong dan dibiarkan sahaja oleh warga istana Melayu. Raja-raja di zaman itu terlalu berkhayal dengan keselesaan sehinggakan mereka sendiri memikirkan keseronokannya. Lagipun kalau ada anak raja yang menganggotai pasukan askar Melayu mereka berkhidmat sebagai pegawai sahaja mengikut perintah dan arahan pegawai British juga. Tugas sebenar mereka ialah minum-minum untuk mabuk-mabuk sahaja. Bukannya mereka menjejakkan kaki dalam hutan belantara.


Propaganda Musibat British Untuk Menindas Orang Melayu.

Demikianlah berkesannya propaganda British itu terhadap rakyat Malaya dan juga masyarakat Melayu sehinggakan semua orang percaya bulat-bulat. Tetapi, masyarakat Cina tidak percaya sebulatnya kerana mereka mampu mengikuti perkembangan negara luar melalui radio Peking, Taipeh dan BBC serta Christian Science Monitor. Maklumat asing ini tidak diterima oleh orang Melayu kerana orang Melayu tidak mampu membeli radio dan mendengarnya. Kalau ada radiopun ketika itu pemiliknya adalah tok penghulu, imam-imam, guru-guru ataupun mereka yang berharta dan mampu membelinya. Orang-orang kampung lebih selesa mendengar siaran radio yang disalurkan melalui corong suara yang di pasang di pangkal kelapa di halaman rumah penghulu kampung. Apa juga yang disebut oleh juruhebah radio ketika itu, adalah berita yang dipercayai seratus peratus oleh pendengarnya. Apatah lagi kalau sebulan sekali muncul kereta wayang-gambar bergerak yang menyalurkan berita kerajaan.

Tetapi, bagaimana pula dengan masyarakat Cina? Kemudahan yang serba ada membolehkan mereka berseronok di malam hari dengan lapangan 'basketball' dan 'volleyball' yang dibina oleh kerajaan British. Setiap perkampungan ada kelab tarian singa dan kelab mempertahankan budaya Cina seperti, pancaragam muzik tradisi dan kelab mempertahankan diri. Di siang hari mereka bekerja dengan dikawal keselamatannya, di malam hari ketika bersantai mereka diterangi oleh cahaya elektrik dan ketika tidur ada pula askar Melayu yang mengawal perkampungan mereka.

Bagaimana pula dengan orang Melayu di perkampungan? Selepas Isya' mereka terus bergelap sahaja kerana mahu menjimatkan belanja dengan minyak lampu yang ada. Pada waktu bulan mengambang barulah mereka bertandang ke rumah orang Melayu yang mempunyai radio untuk berkongsi mendengarnya. Pada hari Jumaat, mereka berbondong-bodong ke pekan bersolat Jumaat dan mendengar khutbah. Sebulan sekali mereka berkumpul juga di surau dan masjid di malam hari untuk mendengar syarahan agama oleh guru agama yang datang secara bermusim.

Oleh kerana kumpulan ulama' ketika itu mempunyai rangkaian maklumat tersendiri melalui mereka yang pulang daripada Mekah (sama ada mengerjakan haji ataupun umrah) kumpulan ulama? menjadi tempat penyebaran maklumat yang sahih dan bertentangan dengan propaganda British yang songsang itu. Ramai alim ulama yang kerap bersuara lantang menafikan propaganda British sehingga mereka menjadi satu benteng ketahanan untuk menjaga martabat budaya Melayu dan merupakan duri dalam daging institusi British yang mahu terus menghamba-abdikan orang Melayu, termasuk warga istana.


- Marhaintua-
24 Ogos, 2001


....bersambung....