Laman Webantu   KM2A1: 5303 File Size: 8.1 Kb *



TJ SP MGG: Nampaknya, Orang India Yang Dihormati Ialah Yang Sudah Mati
By M.G.G. Pillai

25/8/2001 7:25 pm Sat

[Sudah mati barulah mahu dihormati dan dikenang, tetapi ketika hidup, Dato' K. Pathmanathan tidak pula disenangi oleh Samy Vellu. Seolah-olah orang India hanya berguna bila sudah mati..... - Editor]


Nampaknya, Orang India Yang Dihormati Ialah Yang Sudah Mati

(The Only Good Indian, So It Seems, Is A Dead Indian)

Oleh: MGG Pillai

Presiden MIC, dan menteri kerjaraya, Samy Vellu, tidak pernah puas memusnahkan musuh politiknya, mendiang Dato' K. Pathmanathan ketika beliau masih bernyawa. Pada Jun 9 yang lalu, Pathmanathan menghembuskan nafasnya kali terakhir kerana penyakit buah pinggang, tetapi Samy Vellu masih tidak mampu melakukan sesuatu sebagai tanda kenangannya. Gelagat beliau menitiskan air mata di hari peringatan mendiang memang satu perbuatan yang boleh dikira cemerlang. Kini dia telah mengummkan tindakan kabinet mengabadikan satu batang jalan kepada mendiang. Tindakan ini adalah rentetan tindakan yang serupa ketika nama bekas ketua NUPW, P.P. Narayanan diabadikan kepada satu batang jalan. Semua ini adalah satu gambaran apa sebenarnya yang ada dalam pemikirannya. Orang India yang membuatkannya berasa bangga adalah mereka yang sudah tidak bernyawa. Samy memang tidak pernah menghormati para kroninya dan memang suka mengaibkan mereka.

Sesiapa yang berani bersuara menegur beliau adalah menjadi sasaran bisanya. Mendiang Dato' Patmanathan merupakan sasaran Samy Velu kerana dua sebab. Pertama, mendiang menjadi timbalan menteri bukan kerana pilihan Samy Vellu, tetapi hasil pilihan Tun Abdul Razak. Kedua, mendiang adalah seorang Malayalee. Seseorang Malayalee mempunyai masa depan yang cerah dalam MIC seandainya dia sanggup melupakan budayanya dan warisan kaumnya. Dato' Pathmanathan berjaya mengekalkan dua unsur itu sambil terus menonjol kewibawaannya disebabkan kebijaksanaan yang dimilikinya. Sepatutnya mendiang telah dipilih untuk terus menyumbangkan pengalamannya dalam barisan majlis tertinggi parti, sebaliknya mendiang telah dipinggirkan. Dia tidak bersedia bersekongkol dengan pemimpin yang mahu berlagak sendirian, sehingga menyumbang kepada keadaan MIC yang semakin mereput kini.

Kematian Dato' Pathmanathan telah membuatkan Samy Vellu berubah sikap. Kematian itu dianggap sebagai satu kehilangan besar masyarakat India, dan Samy Vellu tiba-tiba sedar akan kepincangan dalam cara mendiang dihormati ketika hidupnya. Kerana itu nama mendiang mahu diabadikan kepada sebatang jalan. Akan tetapi, Samy Vellu pura-pura tidak tahu ketika mendiang sepatutnya dianugerahkan darjat Tan Sri kerana darjat itu telah diengsotkan kepada seorang pegawai tinggi di jabatan perdana menteri. Samy Vellu enggan menyokong nama mendiang untuk sebarang anugerah bintang. Gelaran Tan Sri itu merupakan cadangan yang DipertuanBesar Negeri Sembilan ketika baginda menjadi yang Dipertuan Agong.

Masyarakat India, terutama sekali MIC, sengaja melupakan warganya yang berkaliber. MIC membuat sokongan terhadap ahlinya agar menerima gelaran dan bintang berdasarkan alasan politik, yang termasuk kesetiaan membabi-buta dan pengabdian si polan kepada presiden parti. Tentunya dia merelakan dirinya diampu oleh para pakpacak yang sanggup merendahkan martabat diri mereka secara sambil lewa. Dua minggu yang lalu, saya telah berada disebuah institusi pendidikan kerajaan dan mendapat dengan penuh kehairanan, betapa ramai kaum India yang menjadi ketua jabatan. Apabila saya sebutkan perkara itu kepada seorang pegawai kanan MIC, dia terkejut dan enggan mempercayainya. Namun, inilah warga India yang terus menegakkan bendera kaumnya, dan bukannya pemimpin haprak yang berada di keliling pinggang presiden MIC.

Fikiran sempit begini yang membolehkan orang India bergiat cergas dalam politik dengan syarat mereka mestilah berupa kaum Tamil daripada kumpulan yang satu ketika dulu dikenali sebagai 'Madras Presidency'. Sesiapa yang mencabar presiden MIC seperti juga mereka yang mahu mencabar presiden parti masing-masing termasuk mereka yang mencabar perdana menteri dalam UMNO - seharusnya disingkirkan daripada keahlian parti. Tetapai apabila mereka mati, barulah mereka diambil kira untuk menerima penghormatan yang tinggi. Jadi, sebatang jalan akan diberi nama Dato' Pathmanathan, yang sudah tentu merupakan satu penghormatan yang paling tinggi pernah dibuat sejak tiga puluh tahun yang lalu. Samy Vellu menganggap perkara ini begitu penting sehinggakan Pathmanathan diberikan penghormatan yang lebih tinggi daripada Tun Hussen Onn. Inilah perdana menteri Malaysia yang ketiga yang masih tidak diambil kira untuk diabadikan namanya kepada satu batang jalan walaupun satu dekad sudah berlalu sejak kematiannya. Tun Hussein ataupun Dato' Pathmanathan memang tidak mengharapakan sesuatu yang terhormat daripada dunia politik seperti yang diceritakan ini. Cara mereka dihormati setelah mati, satu dengan sengaja mengikut ragam manusia yang hidup dan satu lagi dengan melupakan segala jasanya adalah tanda yang jelas akan ketokohan mereka.

Sahabat dan kawan-kawan Dato' Pathmanathan telah menganjurkan kutipan derma untuk mengenang mendiang dengan melancarkan Maktab Perubatan yang pernah beliau asaskan di Melaka. Samy Vellu pernah menunjukkan reaksi yang dingin kepada projek itu kerana bersebab. Kerana merasa tersinggung, Samy cuba betungkus-lumus melancarkan satu maktab perubatan yang ditaja oleh MIC dulu. Kabinet telah dipujuk untuk membantu usaha ini dan permintaannya telah diluluskan. Mampukah dia meneruskan projek itu? Saya amat sangsi dengan usahanya. Dia telah mendesak masyarakat India memberikan derma yang banyak kepada projek tersebut. Tidak mungkin permintaannya dilayan oleh masyarakat India kerana tidak ramai antara mereka yang sudah lupa apa yang berlaku dalam skandal Maika. Besar kemungkinannya projek ini pun akan kantul juga.

Lagipun, hanya Samy Vellu yang mempunyai anggapan betapa masyarakat India sudah maju. Dia tidak mengendahkan semua itu dan apabila dia benar-benar membantu, hasilnya menyebabkan ribuan orang India yang hampir muflis dalam hidup mereka. Samy tidak pernah mahu mendengar nasihat orang seperti Dato' Pathmanatahan, malahan berusaha menunjukkan bukti betapa orang seperti Pathmanatahan yang bersalah. Ketika MIC melancarkan satu cabutan loteri dalam satu projek amal, membabitkan dana pendidikan, pemenang cabutan loteri itu merupakan pegawai-pegawai MIC. Ketika orang luar diminta menderma kepada Maika Holdings, pengurusannya menyeleweng dengan teruknya sehinggakan kini keseluruhan syarikat itu dimilikki oleh Samy Vellu.

Adalah bukannya satu kehairanan kalau Samy Vellu mahu mengenang jasa Pathmanathan. Niat mengabdikan satu batang jalan kepada nama seseorang adalah satu kerja yang serius. Dia membuat pengumuman itu, mengikut kaedah biasa kerajaan selepas majlis pengenalan buku 'Mission Save Earth' yang telah ditulis oleh dua orang pengembara daripada India. Tetapi adakah sebatang jalan yang diabadikan kepada nama orang yang pernah memegang jawaan presiden MIC (Tan Sri V. Manickevasagam) sebelumnya? Ada sebatang jalan yang mengingati Senator Athi Nahappan, yang mati di satu majlis meraikan perlantikan Samy sebagai seorang menteri kabinet. Adakah satu batang jalan yang mengingati presiden pertama MIC, Mr. John Thivy? Jadi, kenapakah segala hingar-bangar melibatkan mendiang Dato' Pathmanathan, sedangkan dia sepatutnya diberi penghormatan yang lebih hebat lagi ketika masih bernyawa?


M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1451




Asal: KM2 5288 - The Only Good Indian, So It Seems, Is A Dead Indian