Laman Webantu   KM2A1: 5314 File Size: 7.9 Kb *



TJ SP MGG: Badan Pemikir Dan Tong Kosong
By M.G.G. Pillai

27/8/2001 10:32 am Mon

[Media pro kerajaan menjadi bahan ejekan dan ketawa gara-gara terlalu gopoh memetik rencana oleh Amy Ridenour yang langsung tidak masuk aqal. Seolah-olah ia sudah lama kempunan rencana asing yang memuji-muja Malaysia sehingga menjulang rencana Ridenour yang entah apa-apa.

Kadang-kadang rasa kesian juga dekat Mahathir dan kuncunya kerana rencana luar yang mengangkatnya itu bertaraf haprak dan tadika pula.... Ini menunjukkan mereka yang menyokongnya bertaraf begitu semua agaknya. - Editor]


Badan Pemikir Dan Tong Kosong

(Of Think Tanks And Empty Vessels)

Oleh: MGG Pillai

Kalau anda berada di Washington untuk sehari dua, terutama sekali sebagai seorang wartawan, anda pasti terserempak dengan sekumpulan manusia yang tidak mudah anda elak, kerana mereka bertugas sebagai petugas ataupun ketua badan pemikir. Para diplomat yang sudah bersara, yang masih mempunyai pengaruh untuk menunjuk-nunjuk kuasa walaupun sukar mendapat peluang pekerjaan masih bertenaga memikirkan isu yang terang, bertindak menubuhkan pertubuhan dan yayasan yang tidak bermotifkan keuntungan untuk dijadikan badan mengelakkan pembayaran cukai. Mereka muncul dalam perlbagai wajah dan rupa, kebanyakannya diuruskan oleh teman-teman yang bersara daripada Jabatan Negara, termasuk beberapa orang diplomat daripada Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Selalunya mereka mempunyai ruang berhubung dengan mereka yang masih berkuasa di Washington. Adalah satu budaya, kalau sudah bersara, seseorang itu mesti kekalkan pertaliannya dengan sesiapa yang masih berkuasa untuk mengelak dipinggirkan ataupun sengaja dilupakan.

Demikianlah kisahnya mengenai 'The National Centre for Public Policy Research' yang dinaungi oleh sepasang suami isteri tidak jauh bezanya daripada pejabat murahan yang bergiat dalam urusan dasar, antara ribuan perusahaan serupa itu di Washington. Inilah pertama kali orang sedar wujudnya 'institusi' haprak ini semata-mata kerana presidennya, Anne Ridenour, telah menulis satu artikel di Washington Times, menyerang mantan timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim. Saya berani berkata, institusi haprak ini lebih dikenali di Malaysia daripada di Washington. Di Malaysia ia sudah dikutuk oleh banyak pihak. Apabila kerajaan Malaysia dan media perdana menciplak laporan badan harprak ini, tentulah ramai orang yang menaruh syak wasangka terhadapnya.

Kedutaan Malaysia di Washington memang didapati tidak berkesan, ramai pegawai di sana yang sengaja bertindak sendirian sehingga memalukan dutanya ataupun Wisma Putra ataupun keduanya sekali. Duta yang ada adalah ipar kepada bekas menteri kewangan, Tun Daim. Dia dihantar ke sana selepas kalah dalam satu pergolakan kuasa di Wisma Putra. Kedutaan ini seperti juga kedutaan Malaysia di negara lain, tidak bersungguh-sungguh mesra dengan pucuk kepimpinan di Washington. Mereka sengaja memainkan peranan dingin kerana Wisma Putra menganggap seluruh dunia ini adalah sambungan kepada Malaysia. Kerana itu orang yang bertaraf penghulu di Merlimau dianggap layak dan boleh dihantar sebagai duta ke Madrid.

Tidak wujud langsung sifat kesinambungan di kedutaan sana. Kepentingan negara kerap terabai, dan terpulanglah kepada seseorang duta atapun diplomat berbuat sesuatu untuk mengelakkan Malaysia dihumban ke satu ceruk yang orang tidak peduli di kalangan masyarakat diplomatik di Washington. Apabila perdana menteri Mahathir naik gian mahu bertemu dengan presiden Amerika, dia mengalami kesulitan untuk mendapatkan kad jemputan daripada Presiden Bush. Pernah terjadi apabila menteri berdarah Yemen (seperti yang disebut oleh Mahathir, baru-baru ini), Dato Syed Hamid Albar pergi ke New York cuba berunding mendapatkan pelawaan. Tetapi pada kelazimannya, kerja-kerja begini seharusnya menjadi tanggungjawab orang kedutaan Malaysia yang sepatutnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pucuk kepimpinan di Washington.

Kemudian, apabila perkara ini didedahkan secara terbuka, seperti yang dilaksanakan oleh Syed Hamid, ia hanya membogelkan betapa kita tidak mempunyai etika politik yang beradab. Seandainya Malaysia mahukan publisiti yang baik di akhbar perdana Washington, perkara itu mudah diaturkan. Sesuatu berita yang baik mengenai negara memang boleh ditonjolkan di akhbar ternama seperti Washington Post ataupun New York Times, seandainya bahan beritanya memenuhi standard akhbar itu. Jika tidak, kita terpaksa bergantung kepada putar-alam seperti Ridenours yang ramai di dunia ini dan mengakibatkan aib kepada kita sendiri.

Orang semakin sangsi bagaimanakah tulisan Anne Ridenour boleh tersiar di akhbar tempatan Malaysia. Akhbar perdana Malaysia sengaja memerap laporan kritikal daripada media asing. Tetapi, ia memetik laporan Ridenour itu dengan pantas sekali. The Sun telah menyiarkan berita itu dengan penuhnya. Apabila saya hubungi kawan-kawan di Washington, tidak siapapun yang kenal siapa dia Mrs. Ridenour ataupun badan pemikirnya. Apabila sebuah badan pemikir tempatan di Amerika yang sibuk dengan isu tempatan, tiba-tiba menulis secara lantang untuk memberikan sokongan kepada Mahathir, dan bertegas agar Malaysia diberikan ruang yang lebih menonjol dalam media Amerika, kerana diperlekehkan selama ini, tentulah niat sebenar Ridenour itu boleh dipertikaikan.

Apabila beliau (Ridenour) mencabar dakwaan seorang pemimpin pembangkang, dan dalam hal ini pengerusi DAP, Lim Kit Siang, sekaligus cabarannya itu diperlekehkan walaupun dia bertegas tulisannya itu adalah kesan cuitan intelek dan bukannya kerana diupah. Perkara ini menjadi satu tandatanya besar apabila dakwaan Lim Kit Siang sengaja diperam oleh akhbar media perdana. Ini semakin membogelkan kehaprakan kerajaan Malaysia dalam menangani kempen medianya. Para wartawan daripada akhbar dan majalah terkenal telah berkumpul dan digalakkan untuk menulis yang molok-molok mengenai Malaysia dengan syarat mereka tidak boleh menghubungi sesiapa yang telah disenarai-hitamkan oleh tukang upah mereka.

Suasana politik di Malaysia sudah mencapai tahap yang begitu tegang, sehinggakan sesuatu artikel itu boleh dipuji ataupun dikeji, bergantung kepada sudut politik seseorang. Malaysia tidakpun mempunyai dasar media yang tersendiri. Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Zainuddin Mamak Maidin telah diambil bertugas sebagai setiausaha politik kepada kementerian penerangan untuk memperbodohkan dirinya dan menjatuhkan sendiri martabatnya. Dia berlagak berani menyerap kutukan yang dihumbankan kepada kerajaan dan kini menanggung aib apabila kebijaksanaan yang sedikit sahaja ada padanya itu dibogelkan.

Apabila Mrs. Ridenour menggelabah, Kerajaan Malaysia menerima musibah. Tidak siapa yang percaya, beliau menulis suka-suka tanpa sesiapa yang membayarnya. Mungkin, bayaran itu tidak dibuat oleh kerajaan. Tetapi, masih ramai pakpacak dan hartawan Malaysia yang sanggup berbelanja besar membayarnya dengan harapan dapat memikat kontrak yang besar daripada kerajaan sebelum mereka terhumban ke longkang kemuflisan yang lebih besar. Artikel di Washington Times, mengikut tafsiran orang Amerika dipanggil 'a lemon'. (Kalau ditafsirkan mengikut fahaman marhaen Malaysia, adalah satu artikel murahan untuk menegakkan seorang diktator tua yang sudah semakin terdesak dan semakin haprak)

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1521




Asal: KM2 5311: MGG: Of Think Tanks And Empty Vessels