Laman Webantu   KM2A1: 5318 File Size: 22.4 Kb *



BKAdil: Afidavit Ezam di Mahkamah Persekutuan
By Ezam

27/8/2001 11:15 pm Mon

[Afidavit ini mendedahkan banyak perkara termasuk apa yang amat digeruni oleh Mahathir. (Hmmm...) Kelihatan Mahathirlah dibelakang segala-galanya dan menguasai polis bertopeng sepenuhnya - Dollah Badawi bagai tidak ada benda. Polis bertopeng ini juga seperti berkhidmat untuk Mahathir sepenuhnya - bukan untuk negara.

Polis gagal memberi bukti bila dicabar oleh Ezam bahawa pembangkang ingin mencetuskan huru-hara di negara ini sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh media. Sebaliknya asyik menuduh dan menyuruh Ezam mengaku melakukan itu tanpa henti.
- Editor
]


http://berita-keadilan.net/bmelayu/rencana/250801affiezam.htm

Afidavit Sdr. Ezam Mohd Nor di Mahkamah Persekutuan

Saya ditahan pada 10 April 2001, jam 4.30 petang di Lapangan Terbang Subang. Pasukan polis diketuai ASP Ahmad Ramdzan bin Daud. Beliau perkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis dan menyatakan saya ditahan di bawah ISA tetapi tidak menyatakan sebarang alasan bagi tahanan saya.

Semasa ditahan, saya bersendirian dan tidak ditemani sesiapa. Sejurus selepas ditahan, saya memohon agar penahanan saya dimaklumkan kepada keluarga secepat mungkin. Namun, setelah hampir 30 hari dalam tahanan, saya dimaklumkan oleh keluarga saya bahawa mereka tidak pernah mendapat makluman berhubung penahanan saya.

Dari Lapangan Terbang Subang saya dibawa ke Balai Polis Subang dan semua barang-barang peribadi kepunyaan saya diperiksa dan dirampas. Saya menandatangi satu borang yang menyatakan saya ditahan di bawah ISA.

Setelah lebih satu jam ditahan di sana, saya dibawa ke Balai Polis Jalan Travers dan dari situ saya dibawa ke satu tempat yang tidak dimaklumkan kepada saya dalam keadaan kedua-dua mata saya ditutup.

Apabila balutan mata dibuka, saya mendapati telah berada di dalam sebuah bilik bersama 3 orang anggota polis berpakaian biasa.

Saya kemudiannya diarahkan menanggalkan semua pakaian untuk tujuan pemeriksaan badan dan selepas itu diberikan sepersalinan seluar dan baju untuk dipakai sepanjang tempoh tahanan. Saya juga diberikan satu baldi, dua cawan plastik saiz besar, pakaian, satu ubat gigi dan berus gigi, serta sehelai selimut.

Saya dibawa tanpa memakai sebarang kasut/ selipar atau alas kaki dan dengan mata bertutup ke sel tahanan seluas kira-kira 12 x 6 kaki. Keadaan sel tersebut sangat kotor dan berhabuk dan saya terpaksa mencucinya terlebih dahulu sebelum dapat duduk dengan selesa.

Sel tahanan tersebut juga berkeadaan sempit dan panas dan kurang peredaran udara. Tiada tingkap, hanya lubang udara kecil. Saluran udara tersekat dan suasana tersangat panas dan sumbat. Pintu masuk mempunyai satu tingkap kecil yang digunakan untuk terima makan/ minum dan membolehkan pengintaian oleh pegawai bertugas.

Saya tidur di atas platform simen yang dilapik dengan satu lapis plywood (kayu nipis). Terdapat satu lampu mentol yang sentiasa nyala pada masa malam. Saya tidak dapat tidur pada waktu malam kerana lampu tersebut.

Keesokan harinya, 11 April 2001 saya dibawa dengan keadaan tangan bergari, mata bertutup dan berkaki ayam ke sebuah bilik soal-siasat.

Di dalam bilik tersebut terdapat lima anggota polis yang tidak memperkenalkan identiti sebenar mereka. Mereka hanya memberitahu saya bahawa mereka adalah dari cawangan khas PDRM.

Mereka bertanyakan tentang keadaan sel saya. Saya menyatakan rasa kurang senang dengan keadaan sel yang berhabuk dan saya tidak selesa tinggal dalam keadaan berhabuk. Salah seorang mereka memberitahu bahawa soal habuk banyak atau sedikit bergantung kepada kerjasama saya. Ini merupakan ancaman pertama kepada saya di hari pertama soalsiasat.

Mereka kemudiannya menerangkan tentang maksud tangkapan secara umum -- tidak ada satu pun maksud tangkapan yang dinyatakan kepada saya mempunyai sebarang hubungkait dengan sebab-sebab tangkapan yang dinyatakan di dalam sidang akhbar Ketua Polis Negara, Norian Mai pada 11 April 2001. Saya dimaklumkan sidang akhbar tersebut diadakan bagi memaklumkan kepada umum tentang alasan-alasan penahanan saya dan enam rakan-rakan saya yang lain di bawah seksyen 73(1) ISA.

Mereka memberitahu kepada saya bahawa merekalah yang berkuasa dalam menentukan tempoh masa penahanan. Keputusan berkaitanan tempoh penahanan saya akan dibuat berdasarkan laporan dan pandangan mereka.

Pada hari kedua penahanan, 12 April 2001 saya disoal berkenaan pendirian politik saya serta sebab-sebab penentangan saya terhadap Dr Mahathir, Umno, Barisan Nasional. Bagi tujuan menjawab soalan-soalan tersebut, saya tulis secara terperinci kepada mereka berkenaan soal-soal penyelewengan dan rasuah yang dilakukan serta laporan-laporan polis yang pernah saya buat berkaitan perkara-perkara yang sama. Fakta rasuah terlalu banyak sehingga mengambil masa satu hari untuk menyiapkannya. Soalan-soalan diulang berkali-kali sehingga saya rasa tertekan mental dan tidak dapat menumpukan perhatian saya semasa disoal-siasat oleh pegawai-pegawai tersebut.

Pada hari ketiga, 13 April 2001 mereka memutuskan untuk tidak lagi mengulangi soalan-soalan yang dikemukakan pada hari kedua dan tidak mahu berbincang lagi tentang persoalan rasuah dan penyelewengan kerajaan.

Saya sebaliknya ditanya, tentang perjumpaan saya dengan Solahuddin Wahid, seorang pemimpin Indonesia dan adik kepada Presiden Indonesia (sekarang bekas) Gus Dur di Jakarta pada awal Januari 2001. Saya menerangkan dengan jelas bahawa pertemuan tersebut adalah atas jemputan dan inisiatif beliau serta pemimpin-pemimpin Nahdatul Ulama untuk mendapatkan pandangan saya tentang keadaan di Malaysia, khususnya keadaan Dato? Seri Anwar Ibrahim.

Pihak Polis memaksa saya mengakui bahawa pertemuan itu adalah atas inisiatif saya bagi meminta bantuan untuk melakukan huru-hara di Malaysia. Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mencabar mereka membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut. Saya juga menyatakan kesediaan bertemu dengan mereka (pemimpin-pemimpin Nahdatul Ulama serta Solahuddin Wahid) dengan kehadiran pihak polis untuk membuktikan bahawa saya tidak pernah melakukan perkara-perkara sepertimana yang didakwa.

Mereka gagal untuk memberi bukti-bukti bagi menyokong dakwaan-dakwaan mereka. Mereka memberitahu bahawa Perdana Menteri sendiri yang memberi maklumat ini. Saya beritahu mereka, saya tahu wakil tokoh-tokoh itu berjumpa Perdana Menteri di Kuala Lumpur hujung bulan Februari dan saya difahamkan dalam pertemuan tersebut hasrat yang disampaikan oleh tokoh-tokoh tersebut ialah agar masalah umat Islam di Malaysia diselesaikan secara baik untuk kebaikan semua.

Tidak ada langsung cerita tentang huru-hara. Mereka beritahu Perdana Menteri ada bukti. Saya cabar mereka buktikan. Mereka tidak dapat buktikan dan jelas cerita 'huru-hara' adalah rekaan kerana dalam alasan-alasan perintah tahanan selama dua tahun perkara ini langsung tidak termasuk dalam mana-mana alasan penahanan. Soal-siasat berhubung hal ini memakan masa dua hari (13 April dan 14 April 2001).

Pada hari kelima, 15 April, saya diminta menceritakan pengalaman saya bertemu pemimpin-pemimpin negara ASEAN lainnya, walaupun ia tidak ada kena mengena langsung dengan dakwaan kononnya berlaku cubaan untuk melakukan huru-hara atau keganasan.

Pihak polis yang menyoalsiasat saya ini untuk mengenalpasti kekuatan hubungan politik dan diplomasi antarabangsa secara sah dan aman, yang langsung tidak melibatkan sebarang unsur keganasan. Mereka cuba mengukur kekuatan pengaruh politik parti-parti politik Barisan Alternatif dan bukan lagi tentang persoalan keselamatan negara.

Saya diminta senaraikan semua lawatan kunjungan dan pertemuan yang pernah saya lakukan ke atas pemimpin-pemimpin ASEAN sama ada pihak kerajaan atau bukan kerajaan. Mereka hanya minta saya senaraikan dan ceritakan pertemuan tersebut. Saya menceritakan pengalaman tokoh pemimpin negara-negara berkenaan menyatakan simpati terhadap apa yang berlaku ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim dan akan menyatakan sokongan moral mereka kepada kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan di Malaysia. Tiada masalah keselamatan negara yang timbul. Soal-siasat berhubung soal keselamatan negara pun tidak dilakukan.

Persoalan perhubungan antarabangsa ini dilakukan selama beberapa hari. Tidak ada satu pun elemen-elemen soal-siasat dalam tempoh ini dibuat berdasarkan pertuduhan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara untuk memberikan justifikasi terhadap penahanan saya kerana mereka sedar bahawa tiada langsung sebarang unsur cubaan melakukan huruhara yang menjejaskan keselamatan negara ditimbulkan dalam pertemuan tersebut.

Hari-hari berikutnya sehingga hari yang kesepuluh sepanjang penahanan, saya telah disoal tentang ceramah-ceramah politik saya dan perancangan untuk melakukan perhimpunan aman.

Sebelum itu seorang pegawai berjawatan tinggi masuk ke bilik soal-siasat saya. Beliau memberikan gambaran bahawa negara berada dalam keadaan yang tidak selamat seperti kes pembunuhan di Memali, peristiwa Taman Medan dan sebagainya.

Saya menyatakan kepada beliau bahawa sebagai seorang ahli politik parti yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang, saya juga cintakan keamanan dan saya rasa tidak perlu saya ditahan untuk menceritakan keadaan ini kerana saya sedia mendengar dan memberi kerjasama tanpa perlu ditahan melainkan sekiranya saya terlibat dalam kes-kes yang beliau sebut seperti di Memali dan Taman Medan.

Saya minta bukti atau rekod saya menjadi punca kepada huru-hara yang dinyatakan tersebut. Tiada jawapan diberikan oleh beliau. Beliau sebaliknya mengingatkan saya untuk bekerjasama dengan pihak polis kerana sekiranya saya tidak beri kerjasama saya akan ditahan untuk tempoh selama dua tahun dan parti saya akan menghadapi pelbagai masalah.

Saya terkejut kerana ia juga merupakan satu ugutan kepada saya dan parti.

Apabila saya disoalsiasat berkenaan dengan sesi-sesi ceramah umum yang saya hadiri, mereka mendakwa bahawa ceramah-ceramah saya menjurus ke arah cubaan untuk menimbulkan huru-hara. Saya minta mereka buktikan kepada saya satu insiden di mana dikatakan berlakunya huru-hara selepas ceramah saya. Mereka menyatakan belum lagi terjadi sebarang huru-hara tetapi ianya menjurus ke arah itu.

Saya terkejut kerana bagaimana saya boleh ditahan dan disoal-siasat atas tuduhan mencetuskan huru-hara dalam keadaan saya belum lagi menyebabkan atau menimbulkan sebarang huru-hara sebagaimana yang didakwa.

Saya juga kemudiannya diminta mengingati kembali sesi-sesi ceramah saya. Apabila saya gagal berbuat demikian kerana telah menghadiri terlalu banyak sesi ceramah, mereka mengeluarkan rekod program ceramah saya dan membacakan program-program tersebut secara sepintas lalu kepada saya. Dijumlahkan sebanyak 256 sesi ceramah telah dihadiri hasil dari rekod mereka. Saya berhujah mengatakan bahawa jumlah sesi ceramah yang banyak tersebut membuktikan bahawa saya bersih dari sebarang tuduhan cuba menimbulkan huru-hara kerana tidak ada satu pun dari sesi-sesi ceramah tersebut membawa atau menjurus ke arah suasana yang boleh menimbulkan huru-hara.

Saya juga menyatakan bahawa tidak pernah mana-mana anggota keselamatan menasihatkan atau mengingatkan saya sekiranya ceramah saya boleh menggugat keselamatan negara.

Mereka kemudian memetik beberapa ucapan saya yang dikatakan kononnya menggugat keselamatan tetapi tidak langsung mengemukakan soalan kepada saya berhubung perkara tersebut. Tidak ada langsung sebarang soal-siasat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan di dalam ceramah-ceramah saya yang dikatakan menggugat keselamatan negara. Mereka hanya membacakan beberapa butir program-program ceramah saya tanpa sebarang bukti menunjukkan bahawa ia akan mencetuskan atau menimbulkan atau membawa kepada suasana huruhara dan kacau bilau.

Saya juga disoalsiasat berkenaan perancangan menganjurkan demonstrasi serta perhimpunan aman. Pada awalnya mereka mendakwa saya terlibat dalam damonstrasi jalanan semenjak September 1998. Saya menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa saya tidak mungkin terlibat dalam demonstrasi September 1998 hingga April 1999 kerana saya berada di luar negara pada sepanjang tempoh tersebut.

Saya diminta menceritakan pengalaman demonstrasi atau perhimpunan aman yang lain. Saya menceritakan pengalaman perhimpunan aman di Masjid Negara pada sekitar September 1999 dan yang berlaku di Tol Jalan Kesas November 2000 setelah pihak polis menggagalkan perhimpunan aman di markas KeADILan di Jalan Kebun.

Saya memberikan butiran jelas menunjukkan bagaimana aktivis parti cuba bekerjasama dengan pihak polis dan tidak langsung wujudnya sebarang perancangan ke arah mewujudkan unsur-unsur keganasan. Malah saya minta mereka buktikan dakwaan berlakunya perancangan dan perlakuan unsur-unsur ganas seperti cubaan mengumpulkan bom, grenade launcher, Molotov c##ktail, ballbearing dan sebagainya sebagaimana yang didakwa oleh Ketua Polis Negara.

Mereka gagal dan tidak mampu memberikan sebarang bukti. Malahan sebaliknya anggota-anggota polis yang menyoalsiasat saya mendakwa ada kumpulan lain yang sedang melakukannya di luar pengetahuan saya. Tetapi kerana saya adalah antara pemimpin yang hadir dalam sesi perhimpunan aman atau demonstrasi tersebut maka saya bertanggungjawab.

Mereka lebih berminat menyoal-siasat saya tentang individu-individu kalangan pemimpin parti yang kononnya terlibat dalam perancangan dan sebagainya. la lebih kepada mengenalpasti tokoh-tokoh politik yang aktif dan bukan berkaitan dengan persoalan ancaman terhadap keselamatan negara.

Pegawai penyiasat menyatakan bahawa mereka sudahpun tahu mengenai semua hal dan beliau hanya ingin tahu sama ada saya akan memberi kerjasama atau tidak. Dia juga memberitahu saya jika saya memberi kerjasama mereka akan bebaskan saya dalam masa tempoh 60 hari.

Pada hari kesepuluh, saya dibawa polis yang menahan saya ke tempat tahanan baru yang saya syaki mungkin di Bukit Aman. Di tempat yang saya tidak ketahui tersebut, saya ditempatkan dalam sel yang yang berukuran lebih kurang 10 x 12 kaki yang bertutup rapat serta mempunyai ruang udara yang terlalu kecil.

Saya hanya diberikan tuala mandi dan peralatan mandi yang asas seperti sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi. Tiada selimut diberikan. Saya terpaksa tidur di atas platform kayu tanpa sebarang alas tidur. Cermin mata saya juga tidak diberikan ketika itu.

Pada keesokannya saya dibawa ke bilik soal-siasat. Di dalam bilik soal-siasat tersebut, dua orang pegawai polis telah berada di situ. Kedua-duanya adalah pegawai yang menyoal-siasat saya dahulu. Mereka memberitahu dengan nada tegas bahawa saya ditukarkan ke tempat yang baru kerana saya tidak beri kerjasama kepada polis.

Saya menafikan dakwaan mereka. Bagi saya, saya telah menjawab semua persoalan secara terbuka. Mereka mengancam bahawa mereka terpaksa menahan saya selama dua tahun selagi saya tidak menceritakan segala-galanya.

Saya tegaskan kepada mereka bahawa saya tidak pernah terlibat dengan sebarang unsur-unsur ganas sekiranya itu yang mereka mahukan, dan sukar untuk menceritakan atau merekacipta perkara-perkara yang saya tidak lakukan. Selepas itu kelima-lima pegawai penyiasat hadir bersama dua orang lagi pegawai penyiasat baru dan salah seorangnya menjadi ketua baru bagi kumpulan penyiasat tersebut.

Bermula dari itu, saya telah didera dengan disoal-siasat secara berterusan bermula kira-kira 8.00 pagihingga kira-kira jam 4.00 hingga 5.00 pagi selama 2 hari berturut-turut. Kami akan bermula semula kira-kira jam 10.00 pagi hingga jam 3.00 pagi hari yang berikutnya.

Saya jelaskan tentang pergerakan seluruh jentera pilihanraya kecil Lunas. Persoalan mereka lebih tertumpu kepada persoalan politik dan strategi politik serta pilihan raya. Mereka minta diperincikan sumber kewangan yang diperolehi semasa pilihan raya tersebut dan sebagainya. Tidak ada langsung disentuh tentang persoalan ancaman terhadap keselamatan negara.

Pihak polis juga cuba kaitkan tentang isu perkauman yang kononnya cuba dimainkan oleh pihak pembangkang. Saya menafikan segala dakwaan tersebut dan mereka juga gagal untuk memberikan atau menampilkan sebarang bukti.

Pihak polis juga cuba kaitkan tentang isu perkauman yang kononnya cuba dimainkan oleh pihak pembangkang. Saya menafikan segala dakwaan tersebut dan mereka juga gagal untuk memberikan atau menampilkan sebarang bukti.

Peristiwa penahanan bas-bas yang melibatkan pengundi-pengundi hantu telah saya nyatakan secara terperinci dan jelas kepada pegawai-pegawai yang menyoalsiasat saya bagi menunjukkan tiadanya sebarang unsur. kekerasan digunakan, bahkan saya dan pemimpin-pemimpin parti yang lain telah bekerjasama penuh dengan pihak polis tempatan bagi mengatasi masalah tersebut. Pegawai-pegawai polis yang menyoalsiasat saya kemudiannya mendakwa bahawa pihak polis tempatan di Lunas telah berpihak kepada pembangkang.

Soal-siasat untuk 15 hari yang pertama adalah intensif dan berkisar ceramah, lawatan-lawatan pertemuan dengan pemimpin ASEAN, demonstrasi dan pilihanraya di Lunas. Soal-siasat hari-hari seterusnya (lebih kurang hari ke 15) langsung tidak menjurus tentang soal ancaman terhadap keselamatan negara.

Soal-siasat selanjutnya lebih berkisar kepada:

1. Sumber kewangan saya.

2. Sumber kewangan parti.

3. Sumber kewangan Datin Seri Dr Wan Azizah bt. Wan Ismail.

4. Cubaan untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin parti.

5. Masalah parti-parti BA yang lain.

6. Rancangan masa depan BA.

7. Sumber kewangan semasa pilihanraya umum 1999 dan pilihanraya kecil Teluk Kemang.

8. Struktur parti dan Pemuda parti.

9. Persoalan kes Dato? Seri Anwar Ibrahim.

10. Persoalan Umno dan pengaruh Anwar Ibrahim dalam Umno.

Soal-siasat berkaitan dengan perkara 9 dan 10 memakan masa yang agak lama. Dalam perkara 9 mereka bersungguh-sungguh menceritakan kepada saya bahawa kononnya Dato' Seri Anwar Ibrahim memang bersalah dan mereka meminta saya tidak terus membawa isu Anwar Ibrahim dalam perjuangan politik saya.

Untuk tujuan tersebut, saya telah ditunjukkan oleh mereka afidavit DrMunawar Anees dan Mior Razak yang kononnya mengaku melakukan perbuatan liwat tersebut. Mereka juga cuba meyakinkan saya bahawa Anwar adalah seorang agen kepada negara asing, sekali lagi tanpa mampu menampilkan sebarang bukti yang menyokong dakwaan-dakwaan tersebut.

Mereka menyuruh saya meninggalkan Anwar dan mengatakan bahawa saya boleh terus berada di dalam parti, tetapi tidak lagi boleh mengutarakan atau memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembelaan terhadap penganiayaan ke atas Anwar. Ini adalah antara isu yang menjadi fokus utama soalsiasat selama beberapa hari untuk bahagian terakhir sepanjang tempoh penahanan saya tersebut.

Berkenaan soal-siasat yang melibatkan perkara 10, saya telah diminta untuk memberikan keterangan secara terperinci berkaitan tokoh-tokoh Umno yang dilihat masih menyokong Anwar Ibrahim. la meliputi semua bahagian-bahagian di seluruh Malaysia.

Sesi soalsiasat berkaitan dengan perkara-perkara 1 hingga 10 ini memakan masa lebih kurang 30 hari daripada jumlah keseluruhan tempoh soal-siasat manakala soal-siasat yang berkaitan tentang soal keselamatan negara berlaku lebih kurang 15 hari sahaja.

Tempoh selebihnya, iaitu lebih kurang 9 hari tidak berlaku sebarang sesi soal-siasat.

Selepas lebih kurang hari penahanan yang ke-30, tiba-tiba isu baru telah ditimbulkan oleh pegawai-pegawai polis yang menyoal-siasat saya, kononnya berkaitan dengan pengakuan seorang daripada teman saya yang ditahan di bawah ISA, bahawa saya adalah merupakan punca segala perancangan untuk melakukan perkara-perkara berkaitan dengan keganasan.

Saya ditunjukkan satu kenyataan bertulis kononnya telah dibuat oleh teman tersebut yang menceritakan bahawa saya kononnya telah terlibat dalam usaha-usaha menganjurkan keganasan. Saya merasa pelik isu yang serius ini hanya timbul selepas 30 hari disoalsiasat.

Saya menafikan segala dakwaan tersebut dan telah menulis secara panjang lebar menafikan setiap dakwaan di dalam kenyataan tersebut. Tidak sukar untuk saya menjawab tuduhan tersebut kerana jelas banyak fakta-fakta yang dinyatakan adalah bercanggah dan tidak masuk akal.

Pegawai penyiasat itu sendiri mengakui banyak fakta-fakta yang bercanggah di dalam kenyataan tersebut. Keesokan harinya pegawai penyiasat memberitahu saya bahawa pihak atasan mereka tidak menerima penjelasan saya. Saya tetap bertegas dengan kenyataan saya kerana jelas saya tidak terlibat sama sekali dan saya mempersoalkan sikap pegawai penyiasat tersebut kerana semalam beliau sendiri menerima penjelasan saya dan mengakui kenyataan dari teman tahanan tersebut adalah bercanggah dan tidak boleh diterima akal.

Beliau (pegawai penyiasat tersebut) memaklumkan kepada saya bahawa pihak atasan mengarahkan supaya mendapatkan pengakuan saya, jika tidak saya dilihat tidak memberikan bekerjasama dan akan ditahan dengan lebih lanjut untuk tempoh dua tahun. Saya memberitahu beliau bahawa saya tidak mahu membuat sebarang pengakuan dan tidak akan menurunkan sebarang tandatangan atau bertanggungjawab. Pegawai penyiasat tersebut memberitahu saya bahawa beliau terpaksa masukkan juga 'pengakuan' saya dalam kenyataan.

Pada segala masa yang saya berada di dalam tahanan saya tidak pernah dimaklumkan secara jelas dan terperinci tentang sebab-sebab saya ditahan.

Sebaliknya, di sepanjang tempoh tahanan dan soalsiasat, saya menyangka bahawa penahanan saya adalah disebabkan oleh kepercayaan politik saya, gerak kerja atau aktiviti penerangan umum kepada rakyat melalui program-program ceramah yang dianjurkan oleh parti-parti di dalam Barisan Alternatif atau kerana ancaman politik terhadap Perdana Menteri, Umno dan Barisan Nasional, dan bukannya sebagaimana alasan-alasan sepertimana yang dinyatakan dan didakwa oleh Ketua Polis Negara berhubung tentang penahanan saya dan teman-teman yang lain di dalam satu sidang akhbar pada 11 haribulan April, 2001.