Laman Webantu   KM2A1: 5319 File Size: 26.2 Kb *



Antara Konspirasi Syaitan Dan Konspirasi Di Bilik 1923 Hotel Istana
By CDB

28/8/2001 4:22 pm Tue

[Kita simpan komen kita dulu.. tetapi perhatikan konfrontasi polis dan aktivis yang agak hebat mutakhir ini... - Editor]


ANTARA KONSPIRASI SYAITAN DAN KONSPIRASI DI BILIK 1923 HOTEL ISTANA

Kadang, bukan mudah untuk menghasilkan sebuah tulisan yang menarik dan mampu memikat perhatian pembaca. Meskipun saya dah mula berjinak-jinak dengan penulisan di akhbar-akhbar seawal tahun 1980an dahulu, namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk menulis berdasarkan fakta dan maklumat yang benar selepas bermulanya gelombang reformasi yang dicetuskan oleh DS Anwar pada September 1998 dahulu sehingga kini. Tidak seperti Wak Amin yang ideanya tidak pernah kering bagaikan sungai yang mengalir, kadangkala saya sendiri menjadi buntu dan kering idea untuk menulis. Apatah lagi bila lama tak menulis, nak mengasah semula minda tu bukanlah semudah mengasah pisau di dapur. Sebab itu ramai orang berkata bercakap sebenarnya lebih mudah daripada menulis.

Saya mulakan dengan perenggan sebegini sebagai sessi selingan sahaja sebelum meneruskan dengan adegan seterusnya yang akan menceritakan mengenai perancangan konspirasi terbaru oleh pemimpin Bolehland terhadap orang nombor duanya. Nampaknya, untuk kesekian kalinya peluang untuk orang nombor dua menaiki kerusi nombor satu di negara Bolehland ini akan hanya menjadi mimpi semata-mata selagi sang diktator berkuasa. Meskipun apa yang saya ingin dedahkan kali ini mungkin telah diketahui ramai berikutan pendedahan oleh Raja Komando itu, tetapi saya ingin membawakan versi tersendiri dalam mencoretkan analisis perkembangan politik semasa di bawah regim Mahafiraun ini. Tak perlu saya mengulas panjang mengenai pendedahan yang telah dibuat oleh Raja Komando itu. Nanti jadi cerita basi oleh saya pulak. Kalaupun mungkin ramai rakyat di kampung-kampung yang tidak berpeluang mengetahuinya berikutan sekatan ceramah oleh pemimpin 'police state' sekarang ini, maka saya boleh menceritakan secara ringkas nanti konspirasi terbaru tersebut untuk pengetahuan rakyat yang belum berkesempatan mengetahuinya.

Saya percaya konspirasi yang diatur kali ini merupakan suatu siri dari siri-siri cengkaman kuasa sang diktator daripada diganggu gugat oleh mereka yang mungkin mempunyai niat untuk melakukannya kesan bosannya menunggu terlalu lama sesuatu yang tidak pasti untuk mendapatkannya. Saya ingin memetik kembali tulisan saya yang bertajuk 'Sampai Bila Mahathir Mampu Bertahan' yang disiarkan pada 9 September 2000, bermula dari perenggan ke 13 untuk menyegarkan kembali para pembaca dengan analisis yang saya buat terhadap percaturan politik Mahathir - Badawi selepas era Anwar.

'Pilihanraya 2004 nanti juga akan menyaksikan tahap penurunan paling ketara dalam kelemahan Mahathir memerintah negara. Era kegemilangan dan angan-angan besarnya akan berlalu pada masa itu. Selain faktor umur yang semakin nyanyuk, beliau juga akan menghadapi cengkaman kuasa yang semakin longgar ke atas orang-orang tertentu dalam kabinetnya. Timbalannya sekarang, si Dollah Badawi yang suatu ketika dahulu pernah menyertai Team B pimpinan Ku Li sudah pasti akan mengasah 'parang tajamnya' untuk menebas leher Mahathir secara diam-diam (Brutus kedua ?) ketika mana melihat Mahathir semakin lemah. Pada masa sekarang, si Dollah Badawi pura-pura bodoh menunjukkan taat setianya seperti Hang Tuah kepada Sultan Melaka, tetapi dalam diam-diam sedang rancak mengukuhkan kedudukannya dengan meletakkan orang-orang tertentu di kedudukan strategik yang bakal mengancam Mahathir.

Kecuali Mahathir mengambil pendekatan seperti yang pernah dilakukan kepada tiga timbalannya sebelum ini, percaturan si senyap Dollah Badawi ketika mana kedudukan Mahathir sudah lemah dan dilemahkan oleh faktor Anwar, sudah pasti akan menggugat Mahathir dari tampuk kuasanya itu. Si Dollah ini dengan muka seposennya itu mungkin lebih licik dalam mengatur konspirasi untuk menamatkan terus usia pemerintahan diktator paling lama memerintah Malaysia itu. Buat masa sekarang mungkin Dollah bersikap tunggu dan lihat, tetapi menjelang 2004 nanti kedudukan dan pengaruh Mahathir sudah pasti semakin kendur dan reput. Menghitung yang tiga timbalan Mahathir sebelum ini ternyata kempunan untuk merasa kerusi PM, Dollah dipercayai tidak akan membiarkan perkara malang yang sama terjadi ke atas dirinya. Hanya masa dan ketikanya sahaja yang bakal membuktikan kelicikan Dollah bermain silap mata dengan si Mamak Tongkang itu. Di peringkat awal ini Dollah berpura-pura menunjukkan 'garang' dengan pembangkang, seperti membunuh Harakah, Detik, Ekslusif, Wasilah dan sebagainya. Ini semata-mata untuk menanamkan kepercayaan sang diktator kepada dirinya.

Tentu anda semua masih ingat apabila Team B tewas kepada Team A dalam Pertandingan 1987 dahulu dan pembentukan UMNo Baru oleh Mahathir sebagai tindakan menyingkirkan musuh-musuhnya secara besar-besaran dimana Dollah Badawi mengambil jalan tengah dengan berdiam diri. Sikap 'lembu kenyang' yang ditunjukkan oleh Dollah Badawi itu membawa tuah kepadanya apabila diterima semula oleh Mahathir ke dalam kabinet. Politik 'lembu kenyang' yang diamalkan oleh Dollah Badawi ini jugalah yang membawanya ke tampuk kuasa sebagai TPM sekarang ini.

Dalam menghadapi hari-hari akhir seorang diktator seperti Mahathir ini, Dollah nampaknya terpaksa bersikap lembu kenyang juga. Baginya, pura-pura bersabar adalah lebih baik daripada kelihatan gelojoh yang membawa padah. Menjelang 2004 nanti, kedudukan Dollah Badawi dipercayai semakin kukuh dengan perletakan orang-orangnya di serata tempat yang strategik, bukan sahaja di dalam parti malah di dalam kerajaan sekalipun. Ketika itu cengkaman Mahathir semakin tumpul, sementelah lagi ahli-ahli parti sudah muak yang tidak dapat ditahan-tahan lagi melihat muka beliau. Dengan asakan pembangkang di bawah BA yang semakin kuat, kedudukan Mahathir menjelang pilihanraya 2004 nanti ibarat telur di hujung tanduk sahaja.

Berdasarkan faktor-faktor ini, Dollah Badawi dipercayai akan bertindak pantas mencantas leher Mahathir dalam perhimpunan agung UMNo sebelum pilihanraya pada tahun tersebut. Dollah dipercayai akan menjadi Brutus Kedua yang akan menikam mati Caesar pada ketika itu. Melainkan Mahathir bertindak memenggal kepala Dollah Badawi dua tahun lebih awal dari sekarang, sama seperti yang dibuat kepada tiga timbalannya sebelum ini, pengaruh Dollah dipercayai tidak akan mampu disekat oleh Mahathir berdasarkan kebencian majoriti kepada Mahathir semenjak dua tahun lepas serta faktor kelemahan fizikal dan mentalnya ketika itu. Pada masa itu orang-orang Badawi akan berkeliaran di mana-mana untuk mencari 'rumput hijau' yang bakal menggemukkan 'kambing-kambing' mereka. Yang tinggal nanti adalah kambing-kambing kurus kepunyaan Mahathir yang akan dikeronyok oleh serigala-serigala lapar kepunyaan kumpulan Badawi tersebut.

Namun bagi Dollah Badawi, harus diingat bahawa kedudukan beliau sebagai 'pewaris takhta' masih belum selamat selagi Diktator Nyanyuk itu masih berkuasa. Tragedi yang menimpa Anwar mungkin akan berulang ke atasnya atas sebab yang tidak terfikir sekalipun. Bersikap lembu kenyang sekalipun belum menjamin keselamatan Dollah melainkan beliau mengambil tindakan drastik menjatuhkan Mahathir sebelum beliau sendiri dipenggal lehernya. Mulai sekarang Dollah sepatutnya bijak mengatur strategi dengan berpakat kembali dengan kumpulan Ku Li-Ibrahim al-Kataki. Sikap 'tidak berkawan' dengan kumpulan-kumpulan tertentu oleh Dollah semenjak menjadi TPM mungkin akan membahayakan dirinya terutama apabila Mahathir berhasrat menyingkirkannya.

Bagi Mahathir pula, saya tidak melihat ancaman besar terhadap beliau akan datang dari pembangkang semata-mata. Meskipun gabungan BA mampu memberikan tentangan sengit dalam pilihanraya kelak, tetapi berdasarkan senario 1999 dan dengan segala kuasa dan jentera kerajaan di dalam genggaman beliau, saya tidak ingin terlalu optimistik dengan kejayaan BA menguasai negara pada 2004 nanti, meskipun secara peribadi saya terlalu ingin melihat BA memerintah, tetapi memikirkan pertempuran yang amat senget sebelah dalam pilihanraya di negara ini semenjak Mahathir memerintah, saya tidak mahu bersikap over confident dalam soal ini. Jika pilihanraya 1999 berlaku di ketika isu Anwar masih hangat membara, pada pilihanraya 2004 nanti isu Anwar sudah tidak begitu signifikan lagi untuk dijadikan bahan kempen.

Tetapi ancaman paling besar yang mungkin dihadapi Mahathir akan datang dari Dollah Badawi sendiri. Ini kerana Dollah akan mengambil kesempatan atas ketidak popularan Mahathir semenjak kes Anwar dan faktor usia beliau yang semakin nyanyuk. Bagi Dollah, adalah sesuatu yang sukar dan mengecewakan untuk menunggu Mahathir berhenti dari kerusi PMnya, sementelah Mahathir sendiri tidak pernah mahu mengotakan janjinya mahu berhenti yang sudah berpuluh kali itu. Sementara Mahathir sendiri agak sukar untuk melepaskan kerusinya itu kerana tidak pernah yakin dengan kemampuan Dollah sebagai penggantinya, apatah lagi dengan sikap dan stail kerja Dollah yang agak lembab dan lemah itu. Lagipun Mahathir percaya yang umurnya akan panjang berdasarkan faktor keturunannya yang rata-rata berusia panjang. Jadi apa salahnya untuk terus memegang kuasa seperti Deng Xiao Peng, pemimpin komunis China dulu yang berkuasa sehingga umurnya melebihi 90 tahun.

Jadi, atas dua faktor ini Dollah Badawi dirasakan akan melemahkan kedudukan Mahathir secara beransur-ansur tetapi akan kelihatan realistik supaya sukar dihidu. Sikap acuh tak acuh Dollah dalam menangani isu-isu tertentu, misalnya serangan bertalu-talu pihak pembangkang terhadap Mahathir, seperti dalam isu Sauk dan kritikan negara asing dalam isu pemenjaraan Anwar dilihat sebagai percubaan Dollah untuk menyerapkan sentimen kebencian yang semakin menebal oleh rakyat terhadap Mahathir dan ini akan menguntungkan imej dan populariti dirinya sendiri. Pembinaan imej peribadi secara 'senyap' ini dan dalam masa yang sama merosakkan imej mentornya secara halus adalah sebahagian daripada sikap politik 'lembu kenyang' yang diamalkan oleh Dollah Badawi. Antara lain apabila imej Mahathir semakin teruk dan buruk, samada di dalam parti, di dalam negara malah di luar negara sekalipun, maka akan lebih mudahlah untuk Dollah memencil dan menyingkirkan Mahathir apabila tiba masanya yang sesuaikelak.

Berdasarkan apa yang telah dan sedang berlaku ini, maka sejauh manakah Mahathir akan mampu bertahan untuk terus berkuasa sebagai pemimpin paling lama di Asia sekarang? Adakah 2004 nanti Mahathir masih mampu mengekalkan kuasanya atau tampuk pemerintahan akan terlepas kepada Barisan Alternatif ? Sekiranya 2004 nanti BA masih berjaya dikalahkan melalui strategi-strategi kotor seperti dalam pilihanraya 1999 dahulu, tetapi mampukah Mahathir menghadapi ancaman orang-orang Dollah Badawi dalam keadaan dirinya yang sudah semakin tua (80 tahun), dibenci rakyat dan mempunyai imej buruk di mata dunia itu ? Inilah antara dilema yang terpaksa dihadapi oleh Mahathir sekiranya beliau alpa dalam menghidu kemaraan pengaruh Dollah Badawi dalam masa beberapa tahun lagi.'



Sengaja saya memetik kembali tulisan lepas bukan kerana ketandusan idea tetapi ada mesej yang ingin disampaikan di dalamnya dan untuk menunjukkan bahawa perancangan konspirasi yang diketuai oleh Megat Junid pada Mac lepas itu adalah sebahagian daripada percikan kebimbangan Mahathir terhadap apa yang saya cuba gambarkan dalam analisis tulisan di atas. Sebenarnya selepas memecat Anwar hampir 3 tahun lalu, Mahathir sentiasa dihantui bayang-bayang seolah-olah ada orang yang akan cuba menjatuhkannya. Ini menyebabkan beliau sentiasa berwaspada dan tidak nyenyak tidur. Selepas memecat Anwar yang beliau sendiri tahu Anwar tidak berdosa, Mahathir sudah tidak mempercayai sesiapa lagi baik di kalangan menteri-menteri kabinetnya, mahupun menteri-menteri besar yang menguasai negeri-negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Kenyataaan Raja Komando yang mengatakan Dollah Badawi telah 'membeli' kesemua menteri-menteri besar menambahparahkan lagi kebimbangan Mahathir bahawa beliau kini telah dikelilingi oleh musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam yang amat merbahaya. Musang yang berbulu ayam akan menyulitkan tuan reban untuk mengenalpasti ayam-ayamnya yang betul, gunting dalam lipatan pula akan mencucuk jari yang mungkin akan berdarah, manakala api dalam sekam akan membuatkan tapak kaki terbakar tanpa disedari. Kiasan orang-orang tua Melayu ini benar-benar menjadi igauan yang menakutkan Mahathir kerana kebimbangannya terhadap 'pisang yang mungkin berbuah dua kali' dalam kes Anwar dulu tidak akan memungkinkan lagi untuk beliau mempertahankan kuasanya apabila nanti munculnya pemberontakan atau 'coup de tat' dalam parti UMNO sekiranya beliau tersilap langkah dalam menangani pengaruh dan kemaraan kuasa Badawi, yang kini dipercayai giat mengimbangi kekuatan pengaruh Mahathir sendiri.

Kebimbangan Mahathir terhadap Badawi mula dirasakan apabila Badawi mengambil tindakan yang bersifat 'mala fide' iaitu dalam kes menangani perhimpunan rakyat oleh pihak polis dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu tidak lama dulu. Tindakan Badawi mengarahkan polis menggempur rakyat sehingga mendatangkan kecederaan dan kemarahan ramai telah menjejaskan dengan teruknya imej Mahathir di kawasan undinya sendiri dan menimbulkan kemarahan Mahathir yang tidak sedikit terhadap Badawi. Niat Badawi untuk menikam Mahathir dari belakang dengan cara menimbulkan kebencian di kalangan pengundi-pengundi di Kubang Pasu dipercayai suatu strategi Badawi untuk menyingkirkan mentornya itu secara terhormat melalui pilihanraya 2004 nanti. Implikasi segera daripada percaturan 'bijak' Badawi itu ialah keluarnya beratus-ratus orang pengundi kawasan Kubang Pasu menyertai PAS dan Keadilan. Kelicikan Badawi memperalatkan polis untuk mengenakan bossnya inilah menjadi sebahagian daripada faktor kumulatif yang mendorong Megat Junid menjadi perancang untuk menyembelih Badawi pada kali ini dengan restu penuh daripada Mahathir sendiri.

Ini belum dikira lagi dengan tindakan budak suruhan Badawi bernama Berahim Al-Kataki yang menganjurkan perhimpunan Badan Bertindak Melayu pada awal Februari lalu dimana perhimpunan tersebut telah bertukar menjadi medan 'membelasah' Mahathir secara terbuka oleh beberapa kerat ayam jaguh Badawi yang dah tumpul tajinya. Mahathir dipercayai mengesyaki bahawa Badawi telah dan sedang mengatur langkah-langkah mengukuhkan kuasanya dengan cara menikamnya dari belakang, sama seperti kisah Brutus dan Ceasar yang ditimbulkan oleh Mahathir terhadap DS Anwar dahulu.

Perkomplotan di belakang tabir Badawi-Daim yang dipercayai bermula sejak tahun lepas untuk menggulingkan Mahathir semakin mencurigakan kepercayaan Mahathir terhadap orang nombor duanya itu. Dengan kekayaan super billonairenya, Daim telah bersekongkol secara sulit dengan Badawi untuk memaksa Mahathir melepaskan kuasanya menjelang perhimpunan agung UMNO yang lalu. Beroleh sokongan dan suntikan semangat daripada anak raja yang kalah perang dari Gua Musang dan sejenis katak yang suka melompat, Badawi dan Daim mengatur langkah untuk membeli perwakilan dalam perhimpunan UMNO untuk mengusulkan undi tak percaya terhadap sang presiden. Malang bagi Daim, percaturannya itu telah berjaya dihidu oleh spy-spy Mahathir menyebabkan beliau terpaksa dan dipaksa melepaskan kesemua jawatannya dalam kerajaan dan parti pada Jun lepas selepas bercuti selama dua bulan.

Kemarahan Mahathir terhadap Daim telah disusuli dengan ancaman tindakan yang keras seperti yang dikenakan terhadap Anwar. Daim telah dipaksa secara terhormat agar melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti dan kerajaan dengan ancaman beliau akan menerima nasib yang sama seperti Anwar jika berdegil. Untuk mengelakkan tohmahan ramai, beliau telah diminta supaya mengambil cuti terlebih dahulu agar segala-galanya kelihatan berlaku seperti "normal". Sebab itulah sebaik sahaja Daim melepaskan kuasanya, rumah beliau telah digeledah oleh anjing-anjing suruhan Mahathir dan Daim telah diseret ke Bukit Aman untuk disoal siasat selama enam jam. Hanya sikap penakut Daim sahaja yang telah menyelamatkan beliau daripada menjadi mangsa keganasan Mahathir seterusnya dimana sikap mengalah dan akur yang ditunjukkan oleh Daim telah membantutkan niat Mahathir untuk 'membelasah' Daim sampai lebam matanya.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa Mahathir tidak terus menyembelih Badawi selepas mendapat tahu yang beliau bersekongkol dengan Daim untuk menjatuhkannya? Itulah. Bukan senang untuk menyembelih seekor gajah yang besar dan mempunyai belalai yang panjang. Silap gaya gembalanya sendiri akan dihenyak dan dilanyak. Pengalaman tindakan yang 'silap' menyingkirkan Anwar sebagai salah satu tindakan drastiknya ketika mahu membendung kegawatan ekonomi pada 1998 telah mengajar Mahathir bahawa adalah bodoh untuk mengambil langkah dan tindakan yang seratus peratus sama dengan sebelumnya. Namun dalam masa yang sama beliau mencari orang kepercayaannya yang telah disingkir oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu, iaitu Megat Junid untuk mengatur sesuatu yang besar terhadap Badawi.

Tindakan Badawi yang semenjak menguasai polis begitu kerap menggunakannya untuk mengambil tindakan keras ke atas perhimpuan reformasi turut tidak menyenangkan Mahathir kerana rakyat dan dunia antarabangsa akan menuding jari kepadanya meskipun mungkin bukan beliau yang mengarahkan sedemikian. Bagi Badawi pula, adalah lebih mudah untuknya mencuci tangan dengan niat untuk menjatuhkan imej Mahathir melalui keganasan polis kerana semenjak kes DS Anwar, hanya batang tubuh Mahathir seorang sahaja yang menjadi objek dan sasaran serangan rakyat dalam apa jua tindak tanduknya menangani kesan-kesan besar penyingkiran Anwar. Sebab itulah, ketika menangkap Ezam dan kawan-kawannya, Mahathir telah membelakangkan Badawi mungkin dengan niat untuk 'memperbodohkan' cucu ulamak itu sambil memalukannya. Tentu pembaca masih ingat bagaimana Badawi telah mengaku tidak tahu menahu dengan tangkapan yang dibuat itu apabila ditanya oleh wartawan. Selepas beberapa hari kemudiannya barulah Badawi mengeluarkan kenyataan-kenyataan lucu demi meng'cover' airmukanya. Inilah sebenarnya permainan catur yang menarik untuk dilihat antara Badawi dengan bossnya itu.

Dalam tulisan saya yang bertajuk, 'Kalau Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang' yang ditulis pada 30 April lepas, saya telah menyentuh mengenai tindakan perletakan jawatan oleh Mokhzani anak kesayangan Mahathir daripada alam korporatnya. Pada perenggan ke 10 artikel tersebut saya menulis

'Ketika mana Mahathir sendiri akan terancam oleh mereka yang sedang mengintai peluang untuk menyingkirkannya secara diam-diam (diketuai oleh Badawi - Daim), kemasukan Mokhzani akan memberikan nafas baru untuk Mahathir mengukuhkan kuasanya. Saya belum dapat meramalkan portfolio apakah yang bakal diberikan Mahathir kepada anaknya itu tetapi besar kemungkinan adalah sebagai timbalan menteri dalam negeri (untuk menjaga polis) atau pun timbalan menteri kewangan (sebelum dilantik sebagai TPM)'.

Umum mengetahui bahawa Mahathir merupakan seorang pemimpin yang paling sukar dibaca tindakan dan keputusannya. Banyak tindakan yang telah dibuatnya sebelum ini kadangkala di luar jangkaan sama sekali. Dengan memegang buat kali kedua jawatan Menteri Kewangan kali ini, Mahathir mungkin mahu menyediakan masa yang secukupnya untuk anak beliau Mokhzani tersebut mempersiapkan diri untuk memegang portfolio yang lebih penting di bawah ketiak bapanya. Kemasukan Mokhzani ke dalam kabinet nanti juga sebagai suatu langkah untuk mengimbangi kekuatan dan pengaruh Badawi yang kelihatan begitu mendadak membina pengaruhnya kesan ketidak-popularan Mahathir selepas tragedi yang menimpa Anwar.

Penyingkiran Daim pada Jun lepas merupakan langkah pertama sang pemburu menembak dua ekor burung dengan sebiji pelurunya. Namun, burung yang seekor lagi mungkin belum mengena tepat ke batang tubuhnya sementara rakannya telah terkulai menjadi bangkai. Tetapi tidak harus dilupakan yang pisau belati yang tajam masih menunggu untuk memotong leher sang burung. Ketakutan Mahathir terhadap rencana Daim-Badawi menyebabkan kawan karibnya itu terpaksa dikorbankan meskipun mereka tersangat rapat hinggakan dunia menyangka yang Malaysia ini sebenarnya kepunyaan Mahathir-Daim. Perseteruan senyap Mahathir-Daim sebenarnya lebih kepada berpunca dari akibat perebutan 'harta karun' negara , iaitu perebutan untuk membolot harta dan wang rakyat sesama mereka.

Sebagai seorang yang licik dan cekap dalam menghidu kemaraan saingannya, Mahathir dalam diam dan 'berhemah' turut mahu mengenakan Badawi. Pembongkaran isu-isu panas negara semenjak akhir-akhir ini seperti isu KMM dipercayai juga sebagai sebahagian strategi Mahathir untuk menguji kemampuan Badawi menanganinya. Ini belum dikira dalam isu Al-Maunah dahulu yang jelas memperlihatkan kelemahan Badawi untuk menyelesaikannya dengan cekap sehinggakan terpaksa mengorbankan nyawa dua anggota pasukan keselamatan. Seterusnya Badawi dimalukan lagi dalam insiden melarikan kereta polis di Gombak oleh kununnya dua orang perompak yang lari bersembunyi di belakang tangki air di sekitar kawasan itu. Insiden demi insiden yang berlaku seakan memperlihatkan suatu susunan yang menarik untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti Badawi selaku orang nombor dua, sekaligus menguji kemampuannya dan dalam masa yang sama sebagai amaran yang tersirat oleh seorang boss agar Badawi jangan cuba nak 'berlagak' atau lawan tokey !

Menelusuri insiden-insiden terancang yang disebutkan di atas, Mahathir telah memberikan restu penuh kepada budak suruhannya yang begitu taat, iaitu Megat Junid untuk mengatur satu konspirasi sebagai langkah untuk membendung kemaraan Badawi sebelum pilihanraya 2004 nanti. Pertemuan di bilik bernombor 1923 Hotel Istana Kuala Lumpur selepas hariraya haji lepas antara Megat Junid dan beberapa orang lagi seperti Rahim King, Mejar Azizan, Sarjan Mejar Che Wahid dan seorang lagi rakan mereka merupakan pertemuan sulit yang dirancang sebegitu rupa untuk menyekat Badawi dari menjejaki kakinya ke tangga Perdana Menteri. Kata-kata Megat Junid, 'Kalau Pak Lah jadi Perdana Menteri jangan harap Anwar akan dibebaskan' semasa membincangkan konspirasi terhadap Badawi di bilik hotel tersebut mungkin suatu umpan untuk meyakinkan Raja Komando bahawa jika puak-puak Reformasi inginkan Anwar dibebaskan, Badawi mesti dihalang dari menjadi PM dan sebagai pilihan akhir, Mahathir mungkin akan membebaskan Anwar sebagai sebahagian konsesi untuk mengimbang dan meredakan penentangan orang-orang di kem Badawi.

Dakwaan Megat Junid juga bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Mahathir mungkin sebagai ganjaran lumayan sekiranya Badawi berjaya disingkirkan seperti Anwar dahulu. Persoalannya, atas isu apakah Mahathir akan gunakan untuk menyingkirkan timbalannya pada kali ini? Jika Anwar dahulu berjaya disingkirkan melalui surat beracun perempuan sundal bernama Ummi Hafilda, yang membawa kepada pertuduhan l*w*t dan salahguna kuasa ketika rakyat terpingga-pingga dengan penyingkiran dan tuduhan tersebut, apakah mungkin Badawi akan menghadapi tuduhan yang sama? Ohh, tidak sama sekali. Mahathir sama sekali tidak akan menggunakan cara yang sama seperti yang dibuatnya ke atas Anwar dahulu. Konspirasi syaitan ke atas Anwar dahulu telah memusnahkan secara total imej dan kredibiliti beliau bukan sahaja di pandangan rakyat malah ke seluruh dunia. Mahathir sedar ini semua. Harapan dan niat beliau untuk memusnahkan maruah dan imej Anwar bukan sahaja gagal dan hancur, malah kerajaan beliau hampir mengalami kekalahan teruk akibat kemarahan orang-orang Melayu dalam pilihanraya umum 1999 lepas.

Saya percaya keengganan Mahathir melantik seorang Menteri Kewangan yang baru menggantikan Daim sehingga ke pembentangan belanjawan Oktober depan semakin menguatkan teori bahawa Badawi akan disingkirkan secara terhormat melalui rombakan kabinet yang bakal dibuat, mungkin selepas hariraya puasa depan. Badawi mungkin tidak akan ditendang terus dari kabinet tetapi akan diturunkan pangkat menjadi menteri biasa supaya kemarahan orang-orang Badawi dapat dibendung dan sekali gus memelihara kedudukan Mahathir dari menghadapi ancaman yang berada di sekelilingnya. Kredibiliti dan prestasi Badawi yang kurang memuaskan selepas dilantik sebagai orang nombor dua dan menjaga polis mungkin akan dijadikan alasan betapa negara perlukan seorang pemimpin yang dinamik dan cekap dalam mentadbir negara, sebagai jawapan kepada Badawi yang kelihatan lembab dan bengap itu.

Dalam dunia politik, segala-galanya adalah mungkin. Kawan hari ini akan menjadi seteru ketat pada hari esok. Musuh hari ini mungkin akan menjadi kawan tidur sebantal pada hari esok. Apa yang terjadi ke atas DS Anwar bukan sahaja akan kekal sebagai bahan dan tragedi sejarah, malah dapat menjelaskan kepada kita bahawa Mahathir adalah satu-satunya manusia dan PM yang paling banyak bermasalah dengan semua orang. Jika konspirasi menjatuhkan DS Anwar dulu dapat kita katakan sebagai konspirasi yang diatur oleh bapak-bapak syaitan yang diketuai oleh Aziz Shamsuddin, apakah nama yang wajar kita berikan untuk konspirasi yang diatur oleh Megat Junid di bilik nombor 1923 Hotel Istana selepas hariraya haji lepas? Namun disebalik semua itu, Badawi nampaknya bakal menjadi TPM keempat yang tidak sempat menjejaki kakinya ke kerusi PM di bawah era 20 tahun pemerintahan yang penuh dengan kontroversi Mahathir Mohamed. Kalau begitu, saya ingin menasihatkan Datin Seri Endon agar cepat-cepatlah belajar erti ketabahan dan kecekalan seperti mana DS Wan Azizah. Hai, kempunan juga wanita berambut 'blonde' itu untuk menjadi 'first lady' !!

Salam hormat dan selamat berkonspirasi !

Cucu Datuk Bahaman
28 Ogos 2001