Laman Webantu   KM2A1: 5321 File Size: 6.2 Kb *



TJ SP MGG: Tekateki Ucapan Penting Perdana Menteri
By M.G.G. Pillai

28/8/2001 7:25 pm Tue

[PM sudah tidak laku dan dihormati oleh rakyat negara ini. Semakin lama semakin tiada mereka yang sanggup menjadi penaja atau menghadiri program ceramah dan makan-minum bersamanya. Lagipun, setelah dituduh haprak dan malas, siapakah lagi yang sudi menerima lagi celaan darinya? Apabila NST perlu berkempen untuk memenuhi ruang kosong majlis itu, ini menunjukkan dia sudah tidak popular. Ini jauh berbeda dengan program pembangkang yang lebih menarik sehingga tidak cukup kerusi dan meja. - Editor]


Tekateki Ucapan Penting Perdana Menteri

(The Prime Minister To Make An 'Important Speech'!!)

Persatuan Oxford dan Cambridge di Malaysia, seperti juga Persatuan Harvard Malaysia wujud megah mempertahankan apa yang mereka anggap sebagai satu martabat kelas atasan dengan menjemput hanya ketua-ketua kerajaan untuk memberikan ucapan. Perdana Menteri yang ketandusan penonton masakini, dijadualkan 'membuat ucapan penting' kepada Alumni Oxbridge pada Khamis 30 Ogos 01. Manakah majlis upacara itu? The New Straits Times yang menyedok berita itu (pada 25 Ogos) tidak pula menyebutnya. Apakah tajuk ucapannya? Itupun tidak dinyatakan oleh The New Straits Times, walaupun ada sebutan yang menyebut ucapan itu 'akan menyentuh perkara penting mengenai negara'.

Nampaknya sudah ada masalah dalam hal ini, kerana laporan itu menyiarkan jemputan kepada segenap lapisan masyarakat sambil memberi penekanan betapa meja makan untuk tajaan korporat masih terbuka lagi. Satu ketika dulu ada usaha pegawai tinggi perkhidmatan awam yang sudah bersara bersama para diplomat menaja jamuan makan menghormati perdana menteri, dan mereka terkial-kial mencari penaja untuk turut serta. Jabatan perdana menteri terpaksa masuk campur meminta pelbagai pihak muncul sebagai penganjur. Itupun diiringi satu ingatan, bahawa para pembeli dan penaja tiket jamuan tidak menghantar budak suruhan mereka sebagai tetamu perwakilan. Nampaknya makan tengah hari Oxbridge ini akan mengikut corak dan ragam yang sama.

Adalah satu perkara yang mengaibkan meminta seseorang menghadiri satu majlis ceramah, walaupun oleh seorang Perdana Menteri, sedangkan topik ceramah itu sengaja diperam dulu. Bagaimanakah Persatuan Oxford dan Cambridge menjemput perdana menteri memberikan ceramahnya tanpa mengetahui apa yang akan dikelentongnya? Dulu, mungkin perkara semacam itu dianggap satu perkara biasa, tetapi sikap semacam itu sudah lama berlalu. Semakin ramai rakyat negara yang sanggup ponteng majlis yang menjadikan Mahathir tukang kelentongnya. Sikap itu bukannya satu tamparan kepada persatuan yang menaja, tetapi ada kena mengena dengan masyarakat Melayu yang sudah terguris kini. Mahathir mempunyai masalah besar dengan orang Melayu sehinggakan segenap lapisan masyarakat itu sanggup menghilangkan diri daripada mendekati sebarang majlis yang dihadirinya.

Satu ketika dulu, Mahathir dan beberapa penceramah lain dilihat sebagai sekelompok manusia yang dapat membawa angin kesegaran kepada keadaan hidup yang semakin lesu, dan ucapannya itu digembar-gemburkan lagi oleh akhbar perdana. Ada satu peraturan etika hiraki perkhidmatan awam yang diamalkan selama beberapa tahun, di mana pengerusi Persatuan Harvard merupakan Ketua Setiausaha Negara, kerana beliau pernah diberikan biasiswa untuk belajar di sana. Tetapi Persatuan Oxbridge dan Harvarad adalah kelab sosial untuk membolehkan ahli persatuan bergesel bahu dengan pegawai tinggi kerajaan dan mendapatkan peluang niaga dan kontrak mega sedaya mungkin. Itu sahaja peranan mereka selain mendengar ucapan haprak para alumni yang sudah menjadi perdana menteri ataupun pemimpin jabatan kerajaan. Seseorang terpaksa berbelanja besar untuk diberikan syarahan sambil melihat gelagat ahli jawatankuasa yang mengampu-ngampu tetamu kehormat pada hari itu.

Saya mempunyai hak untuk menjadi ahli Persatuan Harvard, tetapi tidak menggunakan keistimewaan itu. Saya telah menarik diri setelah diberitahu dengan jelasnya ketika persatuan baru merangka rang undang-undangnya, betapa hanya mahasiswa yang belajar sepenuh masa dan graduan universiti itu yang layak menjadi ahli jawatankuasa. Saya belajar di Harvard hanya untuk satu tahun sebagai 'Nieman Fellow in Journalism', bukannya untuk mendapatkan ijazah ataupun ijazah lanjutan. Begitulah halnya dengan semua perundangan di Darulboleh, undang-undang itu sengaja diubah untuk memberikan ruang kepada pelajar tetap di Harvard memegang kuasa. Oxbridge mempunyai peraturan yang lebih canggih lagi, cuma pandangannya terhadap perjalanan dunia ini tidak setaraf dengan kecanggihan itu. Kebanyakan persatuan itu diwujudkan untuk menonjolkan kegemilangan orang tertentu sahaja.

Ramai orang yang berfikir bahawa Universiti Malaya dan beberapa Universti di Malaysia yang lain, sepatutnya memainkan peranan yang lebih penting dengan persatuan alumni yang lebih berkesan. Tetapi, mereka gagal memainkan peranan ini sehinggakan kerajaanpun memperlekehkan mereka. Adalah tidak mungkin perdana menteri menyentuh perkara yang mempunyai kepentingan negara yang besar, kerana dia sudah tidak mempu melakukannya, jika diambil-kira keadaan sekarang. Malahan, tidak mungkin dia dapat diterima sebagai tetamu kepada sebarang jamuan makan alumni. Persatuan alumni seperti Oxbridge dan Harvard menerima sanjungan di peringkat kebangsaan kerana wujudnya rakyat Malaysia daripada kelas atasan sebagai ahli jawatankuasanya. Kerana itulah perdana menteri diberi ruang untuk berucap di majlis mereka disebabkan pegawai tinggi kerajaan yang menganggotainya.

M.G.G.Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1531




Asal: KM2 5315: MGG: The Prime Minister To Make An 'Important Speech'!!