Laman Webantu   KM2A1: 5330 File Size: 12.4 Kb *



TJ SPY B5: Di Sebalik Lensa Mossad
By GT

29/8/2001 5:44 pm Wed

[Terlalu banyak pihak yang berminat dengan gerak-geri Diana sehingga kelihatan sukar untuk ditelah angkara siapakah semuanya ini. Tetapi jika kita mengamati sorotan persitiwa ini baik-baik ada sesuatu yang tidak kena. Perisik Mossad memerap maklumat mengenai kewujudan kereta Fiat Uno itu. Mengapa ia tidak dikejar tetapi hanya sekadar memerhati sahaja....

Pembunuh nampaknya tahu Diana dan Dodi berada di dalam kereta Mercedes tersebut. Ini menunjukkan ada orang dalam atau aktiviti pengintipan. Dan dengan melakukan pembunuhan di dalam terowong, ia menggambarkan si pembunuh itu memang pakar dan tahu rancangan perjalanan. Ini semua menggambarkan segala-galanya sudah dirancang oleh seseorang yang amat berpengalaman dan kaya maklumat yang selalunya ujud dalam agensi perisikan... - Editor]


Di Sebalik Lensa Mossad

Bahagian Kelima

Laporan CIA merupakan sebahagian dokumen yang diminati oleh Al-Fayed yang berjumlah 1051 (satu ribu lima puluh satu naskah) dokumen semuanya. Al-Fayed terpaksa mengemukakan permohonan kepada mahkamah Amerika untuk mendapatkan salinan dokumen tersebut. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah menolak dengan alasan dokumen itu mengandungi maklumat yang 'sensitif kepada keselamatan negara'.

Laporan Mossad menunjukkan perkara yang disebut 'sensitif' itu ada kaitannya dengan permintaan Britain agar memantau pergerakan Diana.

'Britain menganggap Diana sebagai mulut celupar' tegas al-Fayed.

'Malahan beliau merupakan seorang wanita yang berani menangani isu jerangkap samar.'

Siasatan Mossad melaporkan satu jadual terperinci berkaitan Dodi dan Diana, beberapa jam terakhir sebelum mereka menemui ajal. Sebahagiannya merupakan pengamatan peribadi Maurice dan juga tali barutnya yang lain. Maklumat yang lain dikutip daripada saluran sokongan (back channel) Mossad yang didapati daripada agen yang lain di Paris, daripada M16, CIA dan Perisik Peranchis.

'Saya telah diberitahu oleh seorang bekas pegawai risikan Israel bahawa semua agensi perisikan mempunyai minat terhadap Diana dan Dodi,' kata Mohammed Al-Fayed.

Catatan Mossad mengenai waktu terakhir dalam hidup Diana dan Dodi bermula pada 11:45 malam Sabtu, 29 Ogos, 1997, apabila Henri Paul diserahkan kuasa memandu mereka keluar daripada Ritz Hotel.

Mohammed Al-Fayed masih lagi teringat arahan yang diberikannya kepada Paul melalui telefon.

'Saya telah meminta dia memandu dengan hati-hati, dan meminta dia memahami bahawasanya nyawa ibu kepada bakal raja England dan anak kesayangan saya berada di tangannya. Saya yakin dia tidak melupainya. Allah mengetahui, betapa saya mempercayainya. Hanya Allah mengetahui sekarang kenapa saya bersikap begitu.'

Catatan Mossad seterusnya ialah 11.50 malam. Di bar Ritz, Trevor Rees-Jones yang merupakan pengawal peribadi Diana dan Dodi, sedang berkumpul dengan pengawal sekuriti hotel bersama Henri Paul membincangkan hala arah yang akan digunakannya.

Paul menunjukkan sifat yang serba yakin. Dia berkata, dua buah Range Rover akan digunakan sebagai umpan pelencong untuk menipu paparazzi. Ini membolehkan beliau masa yang secukupnya untuk menyelinap keluar. Rees-Jones dilaporkan telah berkata bahawa rencana itu 'nampaknya tidak ada masalahnya.'

00.15: pagi - Ahad, Ogos 30. Di lobi hotel, Henri Paul menggunakan telefon bimbit untuk memberi arahan kepada dua kenderaan pelencong itu.

00:19 pagi - Dua kenderaan sebagai umpan itu telah meluru menghala Place Vendome yang berada di hadapan hotel Ritz. Paprazzi mengekor belakang memikirkan Diana ada di dalamnya.

00:20 pagi - Di pintu belakang hotel Paul muncul memandu sebuah Mercedes. Dia dilihat oleh seorang saksi yang kemudiannya ditemu bual oleh agen Mossad 'sedang menggerakkan jejari di atas stering kereta seolah-olah mengetuk gendang lagaknya'.

00:21. pagi - Di bahagian atas Rue Cambon, seorang agen Mossad duduk memerhatikan keadaan. Dia membuat laporan kemudiannya dengan menulis: 'sebuah kereta putih Fiat Uno meluncur laju di jalan itu'.

Laporan Mossad itu melaporkan dalam kereta itu terdapat dua orang pegawai risikan Peranchis, DST. DST bererti Directorate For Surveillance of the Territory (Jabatan Pemantauan Wilayah, kerana orang Peranchis menyebut 'territory' termasuk semua tanah jajahannya dulu - penterjemah) - inilah agensi risikan yang terbesar dan paling berpengaruh di Peranchis. Ia mempunyai beberapa ribu kakitangan dan bergerak dalam negeri dan di luar negara. Antara kegiatannya yang banyak itu termasuk memantau semua kedutaan asing di Paris dan menganjurkan beberapa operasi gelap. Ia bertanggungjawab kepada menteri dalam negeri.

00:22 pagi - Kereta putih Fiat Uno melepasi lampu trafik di Place de la Concorde. Kereta yang dipandu oleh Henri Paul terhenti di situ kerana lampu merah.

00.23 pagi - Mercedes (Paul) meluncur menghampiri terowong Alma. Tentu sekali Henri Paul sedar adanya kereta putih itu jauh di hadapannya.

00.24 pagi - Mercedes yang masih meluru laju melepasi bahagian masuk terowong yang tinggi berbanding bahagian terowong di dalam. Di kerusi belakang kereta, Dodi dan Diana tentu telah merasakan satu sensasi seperti dalam perjalanan 'roller coaster'.

Beberapa saat kemudian terdengar bunyi ledakan dalam terowong. Bunyi nyaring dan ngilu besi diheret, bergema dan berurutan tanpa henti.

Henri dan Dodi sudahpun menghembuskan nafas terakhir mereka. Diana masih bernyawa lagi.

Sejurus kemudian, mengikut laporan Mossad, kereta putih Uno itu telah dipandu memasuki satu jalan sampingan di Avenue Montalgne. Di sana sudah sedia menanti satu 'pentachnicon' (sebuah kameo/lori semacam kontena yang mempunyai pintu di bahagian belakang boleh diturunkan semacam tangga bentuknya) dengan pintu belakangnya terbuka laksana 'ramp' ataupun tangga. Uno terus menaiki tangga dan pintu itupun tertutup.

Beberapa jam kemudiannya, mengikut laporan Mossad, Uno itu telah disepit oleh mesin pengunyah besi untuk menjadikannya besi buruk sehinggakan melenyapkan segala identiti kereta itu.

* * *


Demikianlah, pada waktu menulis ini, kisah Di dan Dodi tersadai di situ. Mampukan Tomlinson menyerlahkan apa-apa yang terbaru? Mampukah Ben-Menashe membongkar sesuatu yang dapat digunakan oleh Al-Fayed sebagai bukti wujudnya satu konspirasi? Apakah benar Diana sebenarnya sedang hamil sebelum dia mati? Apakah Mohammed Al-Fayed telah dikaburi keperitan berbaur perasaan marah sehingga sanggup menerima segala kisah ini sebagai fakta kegunaannya?

Semua soalan ini akan berulang-ulang pada tahun-tahun yang akan datang. Tetapi, semuanya tidak akan menemui jawapan yang mampu memuaskan hati nurani Mohammed Al-Fayed ataupun meyakinkan semua mereka yang percaya beliau sudah bertukar menjadi seorang yang berbahaya kerana terperdaya dan bersedia menghamburkan belanja untuk mendapatkan kebenaran yang mungkin, dan hanya telah disimpan dan berkunci rapi oleh mereka yang terbabit sepenuhnya dengan kisah ini.

* * *


Segelintir teman sekerja Maurice semakin merasakan bahawa usaha untuk mengumpan Henri Paul adalah bukti tambahan betapa Mossad telah menyimpang sedikit di luar pengawalan, kerana sanggup melancarkan operasi sejagat secara gelojoh tanpa mengambil kira implikasi yang panjang bagi pihaknya, Israel, keamanan di Timur Tengah, dan akhirnya kepada perhubungan dengan sekutu negara Yahudi yang paling lama dan paling akrab, Amerika Syarikat. Beberapa pegawai berpendapat, perkara ini menjadi teruk sejak Benyamin Netanyahu menjadi perdana menteri pada 1996.

Seorang veteran masyarakat perisikan Israel telah berkata: 'Mereka yang bertugas dengan Mossad selalunya merupakan samseng yang menyamar sebagai pejuang. Inilah yang tidak baiknya kepada kita dan moral yang ada, dan akhirnya akan membawa kesan yang tidak baik kepada Mossad dan perhubungannya dengan agensi yang lain'.

Seorang lagi pegawai perisikan Israel yang berpengalaman telah berterus terang dengan saya: 'Netanyahu berlagak seolah-olah Mossad ialah sebahagian versi baru sidang diraja King Arthur; yang mesti mendengar cerita baru setiap hari jika tidak para panglima Meja Bulat baginda menjadi muak dan jelak. Inilah yang membuatkan Mossad jauh tersasar. Memang sudah sampai masanya memicit punat loceng kecemasan sebelum terlambat.'

Pengajaran pertama yang saya pelajari selama satu abad menulis tentang siasatan risikan ialah: pelencongan dan maklumat songsang adalah kembar-siam, yang bersekongkol dengan sabotaj, korupsi, peras-ugut, dan adakalanya pembunuhan berbentuk 'asssination'. Para petugas dilatih untuk berbohong dan menggunakan dan menyalahgunakan persahabatan. Mereka mempunyai stail kehidupan yang mudah menjadi musuh dalam selimut.

Mula-mula sekali saya melihatkan gelagat ini ialah ketika membuat beberapa skandal perisik waktu Perang Dingin dulu: pengkhianatan rahsia bom atom oleh Klaus Fuchs, dan kisah mendalangi M15 dan M16 oleh Guy Burgess, Donald Mclean, dan Kim Philby. Setiap mereka ini menjadikan penderhakaan dan pengkhianatan sebagai amalan hidup mereka. Saya juga merupakan antara kumpulan penulis yang pertama sekali didedahkan kepada ketaksuban CIA terhadap 'pengawalan minda'. Inilah ketaksuban yang akhirnya; sepuluh tahun kemudian, terpaksa membuat pengakuan secara terbuka. Itupun selepas buku saya 'Journey Into Madness' diterbitkan. Penafian adalah satu seni hitam yang telah diasah kepada setiap ahli perisik untuk dijadikan amalan hidupnya.

Namun demikian, dalam usaha mencari kebenaran, saya banyak mendapat tunjuk ajar dua pegawai perisik yang professional; Joachim Krane, mendiang bapa mertua saya, yang mengetuai jaringan M16 di Drasden ketika pasca Perang Dunia II, dan Bill Buckley, ketua stesyen CIA di Beirut. Tubuh badan mereka selalunya mempunyai banyak kesamaannya: tinggi-lampai dan tegap dengan wajah yang bersedia menghadapi bahaya. Pandangan mata mereka tidak menyerlahkan apa-apa, kecuali membuat penilaian kalau anda bukan sebahagian jawapan sesuatu masalah, anda tentu sebahagian masalahnya. Dari segi intelektual mereka memang hebat, itu sebabnya kalau mereka mengkritik agensi yang menjadi tempat pencarian hidup itu, mereka mampu menggunakan kata-kata yang mengecutkan apa yang mudah kecut.

Mereka berdua ini kerap mengingatkan saya kepada beberapa kisah yang ngeri-ngeri yang mencabar perwatakan mereka. Ada kisah pertempuran di jalan yang tidak bernama; kesediaan bersatu sama-sama menenangkan teman kerana terkorbannya rakan ataupun pejabat yang diledak bom; operasi gelap yang memudahkan usaha bertahun lamanya untuk menyuburkan hubungan politik; pencarian secebis maklumat yang dapat menyerlahkan satu gambaran yang menjadi tanda tanya risikan. Joachim menambah, "adakalanya beberapa perkataan, yang disebut secara sengaja, boleh memetik suis cahaya kepada sesuatu yang baru."

Sambil berbangga menjadi warga masyarakat yang mereka sebut sebagai 'profesion yang nombor dua tertua di dunia', mereka berdua bukan sahaja menjadi sahabat saya, tetapi telah meyakinkan betapa bidang perisikan ialah kunci rahsia untuk memahami sepenuhnya hubungan antarabangsa, politik global, dan diplomasi - dan, sudah tentu, keganasan. Melalui mereka saya dapat menghubungi banyak agensi risikan tentera dan awam: BND di Jerman, DGSE Peranchis, CIA, dan badan risikan di Kanada dan Britain.

Joachim mati ketika menikmati persaraannya. Bill telah mati dibunuh oleh kumpulan yang menculiknya di Beirut dan telah mencetuskan krisis penculikan tebusan Barat di bandar itu.

Saya juga telah bertemu dengan masyarakat perisikan Israel yang telah mula-mula membantu saya memahami latar belakang Mehmet Ali Agca, seorang rakyat Turki yang cuba membunuh Pope John Paul di St. Peter's Square, Rome pada bulan Mei 1981. Semua konteks itu telah diatur oleh Simon Wiesenthal, penghambat Nazi yang terulung, dan merupakan sumber Mossad untuk empat puluh tahun lamanya. Disebabkan nama baik dan kemasyhurannya, Wiesenthall telah mendapat layanan baik di mana sahaja, terutama sekali di Washington.

....bersambung....

Terjemahan SPAR12-tmt-005