Laman Webantu   KM2A1: 5349 File Size: 17.0 Kb *



TJ SP MGG: SUHAKAM Marah Pada Polis
By M.G.G. Pillai

1/9/2001 6:11 am Sat

[Lapuran Suhakam jelas menunjukkan polis telah menyalahi peraturan dan bertindak diluar batas kemanusiaan. Mereka bertindak berlebih-lebihan kepada mereka yang tidakpun melawan. Sepatutnya polis dan kerajaan tidak mengkritik Suhakam dan mengaku sahaja kesilapan. Sikap berkonfontasi ini hanya akan mencemarkan lagi imej kerajaan dan polis. Kalaulah Suhakam tidak betul kerajaan perlu mendakwa Suhakam tetapi kita pasti ia akan kecut untuk melakukan sedemikian....

Lapuran Suhakam itu bukan sebarangan kerana ia disediakan oleh bekas Ketua Hakim Malaya yang memang disegani semua orang. Mampukah kerajaan berdepan dengan seorang yang memang pakar undang-undang? - Editor]


SUHAKAM Marah Pada Polis

(SUHAKAM Scolds The Police)

Perdana Menteri Mahathir Mohammed mencemuh lapuran SUHAKAM mengenai apa yang kini dikenali sebagai peristiwa November 5, yang tercetus di Lebuhraya Kesas, tahun lalu. Mahathir memperlekehkan lapuran itu kerana sikapnya merakamkan keganasan polis negara ini, dengan berkata terdapat polis di negara Barat yang lebih ganas lagi.

Setiausaha parlimen kementerian penerangan yang juga merupakan bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Zam Mamak Maidin, berpendapat lapuran itu adalah terlalu berbahaya untuk dibiarkan orang awam membacanya tanpa memberitahu mereka kenapa lapuran seperti itu tidak sepatutnya dibaca.

Polis menjadi gelabah, dan enggan bekerjasama dengan Suhakam, sambil culas mengemukakan kesnya, menyebabkan majlis siasatan itu membuat andaian bahawa polis sengaja berlagak ganas untuk sengaja mencetuskan huru-hara. Kerajaan pula menunjukkan perangai yang biasa memberikan cemuhannya terhadap siasatan itu, dan hanya memberikan segala bantuan dan kerjasama yang diperlukan setelah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dibacakan kepada mereka.

Suhakam telah ditubuhkan untuk menghindarkan kritikan yang muncul di luar negara terhadap pencemaran kepada hak asasi manusia di Malaysia, dan sebagai satu usaha untuk memeperbaiki wibawa negara yang tercetus disebabkan gambaran mata lebam yang disebabkan oleh bekas ketua polis negara Rahim Noor. Itulah gambar Anwar Ibrahim yang lebam matanya apabila dihenyak oleh Rahim Noor pada 20 November 1998, sedangkan tangan mangsa digari di belakangnya dan matanya terikat.

Pada awalannya kerajaan bertegas mengatakan Suhakam tidak boleh menubuhkan badan siasatan itu. Tetapi, Suhakam menubuhkan tiga orang panel, yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Anuar bin Dato' Zainal Abidin, bertegas bahawa mereka ada hak itu dan meneruskannya. Badan itu berpendapat, oleh kerana Akta Suhakam memberikan mereka kuasa yang menjangkaui kuasa parliamen untuk merangka undang-undang dan peraturan, kerajaan tidak boleh beranggapan mereka tidak boleh melaksanakan kuasa itu hanya kerana menteri tidak lagi menggazetkan perkara itu. Ini bererti segala hukum-hakam yang adil masih boleh dilaksanakan.

Suhakam juga telah menolak satu bantahan rasmi bahawa badan itu tidak boleh mengadakan siasatan kerana kemungkinan timbulnya beberapa dakwaan terhadap beberapa orang saksi. Sebaik sahaja siasatan bermula tidak seorang pun yang telah dikednakan tuduhan; kalau ada pun, majlis itu boleh diteruskan juga kerana ia membuat siasatan terhadap pencemaran hak asasi manusia yang telah terbabit. Keputusan mereka itu diputuskan pada penghujung siasatan itu.

Hanya Suhakam yang berjaya akhirnya mendapatkan pengakuan Rahim Nor bahawa dialah musibatnya yang telah membaham Anwar Ibrahim ketika tangannya digari di belakang dan matanya bertutup dengan kain penutup. Sebelum itu kerajaan dan musibat ini tidak pun mahu mengaku perkara itu. Akhirnya Rahim dipenjarakan selama dua bulan. Sekaligus ia menghancurkan martabat kerajaan yang sepatutnya berkecuali dalam hal itu.

Kini muncul kisah siasatan Lebuhraya Kesas, yang sekali lagi melebamkan martabat polis dan mendedahkan segala sifat kebajingannya setiap kali himpunan rakyat itu dianjurkan oleh pihak pembangkang. Kisah Lebuhraya Kesas itu tercetus bukannya sebagai satu lambang kedegilan pihak pembangkang. Tetapi ia tercetus kerana kerajaan tidak membenarkan mereka menganjurkan himpunan itu di Stadium Bukit Jalil.

Apa yang terjadi merupakan satu penghinaan dalam hubungan kemasyarakatan antara kerajaan dengan rakyat jelata. Maruah polis dilumuri lumpur yang hitam. Lapuran Suhakam memberikan satu penjelasan betapa polis tidak boleh lagi diharapkan bertindak secara waras, apabila pembangkang ataupun apa juga kumpulan aman yang menyanggah pendapat kerajaan, berhimpun; sedangkan rakyat jelata sentiasa mengharapkan tindakan yang boleh diterima akal oleh pihak polis.

Seperti yang didedahkan oleh lapuran itu, sikap kurang ajar polis adalah satu sikap yang bermula daripada atas - Timbalan Ketua polis Selangor yang mempengerusikan mesyuarat - untuk menyekat himpunan aman rakyat pada 5 November di tapak tanah persendirian di sebelah Lebuhraya Kesas. Ketua Peguam Negara, yang merupakan pegawai tertinggi dalam pentadbiran hukum-hakam kerajaan, tidak mmenghadiri majlis siasatan. Alasannya siasatan itu berunsur 'sub judice' tidak dapat diterima. Pihak polis turut ponteng juga.

Tindakan memulaukan majlis siasatan itu adalah satu sikap yang bodoh. Itulah tindakannya yang menyerlahkan, seperti yang dijelaskan dalam lapuran itu, betapa mereka sememangnya mahu menyorokkan sesuatu. Seandainya mereka telah hadir, tentu sekali mereka dapat mencabar apa juga kenyataan yang kini tidak dapat mereka terima bulat-bulat. Semua ini berpunca daripada keangkuhan haprak betapa tindakan mereka itu adalah untuk kepentingan negara dan tidak boleh dicabar oleh sesiapa. Kini mereka gelabah cuba menutup malu.

Lapuran Suhakam itu boleh menjadi lebih bermakna kalaulah kerajaan turut bekerjasama. Lapuran itu adalah hasil persidangan yang memakan masa dua puluh hari dalam tempoh setengah tahun - yang bermula pada 29 Disember 2000 dan berakhir pada Julai 2001. Ia membabitkan 22 orang saksi peristiwa Kesas, tujuh orang pakar dan 11 pegawai polis yang terlibat dengan peristiwa bersejarah itu.

Seperti yang didedahkan oleh lapuran itu, himpunan aman rakyat itu memang sudah disibarkan dengan luas. Tetapi, pihak polis tidak memberikan permit dan mengishtiharkan perhimpunan itu sebagai haram dan memberi amaran agar orang ramai tidak melibatkan diri.

Pihak polis telah menganjurkan satu mesyuarat tertinggi lagi untuk merancang bagaimana menyekat perhimpunan itu. 'Tindakan yang diambil ialah berunsur 'menafikan dan menugasai keseluruhannya', yang bererti penguawasaan yang menyeluruh.' Lapuran itu juga menyebut: 'Tindakan ini akan menentukan rakyat tidak dapat masuk ke Jalan Kebun, tapak perhimpunan. Mengikut bukti polis, keputusan tu berasaskan beberapa perkara - tapak itu terelalu sempit untuk menampung 100,000 manusia. Jalan masuk yang sempit dan menyesakkan, penduduk Jalan Kebun sudah membantah perhimpunan di situ, mereka telah membuat lapuran polis membantah kerana tidak mahu melihat keadaan tidak tenteram menggugat persekitaran mereka.'

Polis telah bertindak mengikut rencananya. Pada 4 November, timbalan ketua polis Selangor, Johan Che Din, bergerak masuk Jalan Kebun dengan iringan pegawai penguatkuasa, mengarahkan semua peniaga di situ merobohkan kemah dan gerai perniagaan mereka. Sesiapa yang ingkar - empat orang lelaki dan seorang wanita - telah ditangkap. Begitu juga dengan tuanpunya tanah, Sd. Mohamed Johari bin Haji Yassin. Sekatan jalan diletakkan di situ sehingga keesokan harinya.

'Pada 5 November, lima kumpulan (manusia) daripada lima arah telah berkampung di Jalan Kebun sejak 11 pagi,' kata lapuran Suhakam. Kumpulan pertama sekitar 100 orang telah disuraikan sebelum tengahari. Pada 2.15 p.m. sekitar 1,000 kereta telah tersadai di sepanjang Lebuhraya Kesas untuk empat kilometer panjangnya, kesan satu kesesakan lalulintas yang dicetuskan oleh polis kerana membiarkan hanya satu lorong dibuka untuk kereta bergerak keluar dari situ.

Banyak kereta yang tersangkut di situ bukannya mahu pergi ke tempat perhimpunan, tetapi mereka terjerat secara terperanjat. Disebabkan tersekat oleh keseskan lalulintas yang tersumbat, mereka tidak ada pilihan selain meletakan kereta di tepi jalan. Setakat 3.00 p.m., sekitar 5,000 manusia yang hadir. Polis bertindak menembak air asid dan gas pemedih mata untuk menyuraikan himpunan manusia. Dua buah kereta tarik telah digunakan untuk membawa beberpa kereta keluar dari situ, dan penyekat jalan di pintu tol Kemuning dialihkan untuk membolehkan kereta yang tersandar beredar keluar.

Pemimpin Barisan Alternatif tiba di kawasan itu pada 5.30 p.m. tetapi terhalang untuk meneruskan perjalanan ke Jalan Kebun. Mereka bertindak memberikan sedikit ucapan di pintu tol Lebuhraya Kesas itu. Pihak penganjur majlis memberitahu mereka mahu bersurai dan telah menghantar empat orang wakil bertemu polis agar membuka ruang sekatan jalan.

Sebaliknya polis bertindak ganas dengan menyerang himpunan manusia menggunakan air pancut dan tembakan gas pemedih mata. Beberapa ramai manusia telah ditangkap polis, ada yang telah dihenyak dan menerima kecederaan, ada yang tercungap-cungap kerana kesan gas pemedih mata dan air asid yang disemburkan. Polis telah menzalimi para saksi, menendang motorsikal yang tersusun di tepi jalan dan menghancurkan cermin kereta. Semua ini adalah kerja kebinatangan yang sepatutnya membawa malu yang besar kepada pasukan polis.

Walaupun lapuran itu tidak menyebutnya, jelas Polis telah terperangkap dalam konfrontasi politik yang sudahpun melimpah ke jalanraya sejak penangkapan Dato' Seri Anwar Ibrahim dua tahun sebelum itu. Keadaan dianggap lebih mencemaskan apabila polis menganggap kuasanya tercabar dan kerajaan menjadi gelabah memikirkan terhakisnya hak untuk memerintah. Sepatutnya perkara semacam itu tidak wujud seandainya pihak yang berkuasa mampu menyedari betapa isu sebenar sudah melampaui kisah Anwar Ibrahim. Ia sudah merangkumi segala perasaan tidak puas hari marhaen apabila masalah peribadi mereka sengaja ditolak tepi. Ramai yang datang berhimpun itu bukannya mahu menentang kerajaan, tetapi mahu menyerlahkan satu kiasan betapa kerajaan seharusnya jangan memperlekehkan kewujudan mereka.

Seperti biasa, kerajaan tersalah tafsir semua itu, dan bertindak dengan cara yang memburukkan keadaan dan jentera pengawalannya. Semua itu adalah satu manifestasi terbuka rakyat terhadap usaha kerajaan menidakkan hak orang melayu untuk bersuara bebas menguasai budaya politik dan tatasusila hidup mereka. Inilah satu kemestian yang perlu diselesaikan, jika tidak, seandainya tidak ada ruang lagi untuk mereka menyerlahkan kesangsian dan curiga mereka, banyak lagi konfrontasi marhaen semacam ini yang akan muncul menggila lagi.

Walaupun Suhakam tidak menyerlahkan perkara ini mengikut istilah sebegitu, sudah tentu andaian itu semua memang sudah terpahat lama dalam minda tiga orang pesuruhjaya yang ada di situ. Oleh itu segala cadangan lapuran mereka seharusnya diambil-kira dengan serius agar perkara yang sama tidak berulang semula.

Lapuran itu menyatakan polis tidak seharusnya bersikap ganas apabila ada perjumpaan di tapak persendirian. Oleh kerana tempat majlis di Jalan Kebun itu adalah tapak persendirian, soal mendapatkan permit polis seharusnya tidak timbul langsung. Perkara ini tidak disebut, tetapi sikap kerajaan terhadap ceramah tajaan UMNO yang tidak memerlukan permit polis adalah satu andaian yang jelas, kenapa pula ia mesti berbeza dengan ceramah pihak pembangkang? Kini, Suhakam sudah menyatakan sejelas-jelasnya. Peraturannya mengikut Suhakam, cara polis mahu menyibuk dengan apa juga majlis yang diadakan di tanah persendirian, adalah amat jelas mengikut undang-undang. Jadinya, apa yang telah ditunjukkan oleh polis di Jalan Kebun itu adalah satu tindakan di luar undang-undang.

Lapuran itu memberi penekanan, oleh kerana adanya satu kumpulan manusia yang membantah perkumpulan manusia lain untuk berhimpun, di tapak tanah persendirian, seharusnya tidak boleh dijadikan asas untuk memaksa pihak yang mahu berhimpun itu, bersurai. Malahan, lapuran itu terus menjelaskan: kumpulan yang berbantahan seharusnya dibenarkan berhimpun untuk berbantahan secara bertentangan antara satu dengan lainnya, dan polis harus hadir untuk menentukan dua-dua kumpulan itu berhimpun secara aman tanpa sebarang hasutan yang mengaibkan. Seharusnya ada undang-undang yang memberi penjelassan mengenai perhimpunan yang dibenarkan secara saksama dan tanpa sebarang diskriminasi.

Suhakam juga menegaskan sepatutnya perhimpunan yang berlangsung di Lebuhraya Kesas itu dibenarkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil. Itulah tapak pilihan mereka sebenarnya. Bolehlah polis menjalankan tugas mengawal lalulintas, dan manusia, dan bukannya menyekat mereka datang berhimpun. Kalaulah pois menggunakan otak melaksanakan semua itu, sudah tentu kejadian yang mengaibkan dulu tidak pun berlaku. Lapuran itu juga membuat cadangan agar pengurus terlatih untuk mengawal majlis manusia di tempat terbuka diambil untuk tujuan ketenteraman manusia. 'Ini sudah tentu mengelakkan masalah mendapatkan tempat perhimpunan yang difikirkan tidak sesuai,' katanya.

Suhakam berpendapat bahawa cara menyekat manusia berhimpun di tapak persendirian bukannya termasuk 'dalam bidang kuasa menjaga dan menguasai ketenteraman dan undang-undang' dalam Akta Polis. Malahan, lapuran itu mengatakan, tindakan polis itu memburukkan satu keadaan yang tenteram dan dapat dikawal dengan mudah sehinggakan polis telah mencetuskan satu keadaan mencelaru dan mengarut di mana keganasan dan sikap binatang buas yang ditunjukkan oleh anggota polis telah memburukkan keadaan. Sekatan jalan tidak seharusnya digunakan untuk menyekat manusia daripada berhimpun sesuka hati mereka.

Polis sepatutnya memberikan masa yang sesuai dan mencukupi untuk manusia bersurai. Apabila manusia tersekat dan terperangkap seperti yang berlaku di lebuhraya Kesas pada hari itu, polis sepatutnya tidak mendakwa mereka seperti yang dilakukannya. Lagipun mereka mahu meninggalkan tempat itu sedangkan polis sengaja menahan mereka. Polis sengaja bersikap kurang ajar dan ganas melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air asid yang berbahaya terhadap himpunan manusia. Inilah yang mencetuskan huru-hara yang sengaja dicetuskan oleh keganasan polis.

Lapuran Suhakam mengutuk amalan polis masakini yang memusnahkan filem penggambaran tindakan ganas dan kurang ajar polis. 'Panel berpendapat, polis tidak mempunyai hak merampas gambar negatif daripada kamera yang dimilikki oleh orang awam.'

Suhakam mencadangkan agar Polis bertindak memanggil pegawainya yang telah menyalahgunakan kuasa. Setakat ini pegawai polis telah menggunakan kekerasan menyekat manusia keluar daripada tempat kejadian, sedangkan keganasan itu tidak perlu seperti mengkasari mereka yang ditangkap dan ditahan. Mereka yang ditangkap dan ditahan seharusnya telah dibebaskan dengan jaminan polis dan didera dan diseksa dalam lokap polis. Sepatutnya mereka tidak disoal bersangkutan perkara yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Lagipun adalah tidak salah sesiapa yang memakai baju yang memaparkan wajah Anwar Ibrahim, dan sudah tentu polis tidak ada sebab kenapa menangkap mereka yang memakai baju seperti itu.

Sekarang kita faham kenapa kerajaan tidak merasa senang dengan lapuran Suhakam. Kerajaan kini dituduh oleh badan yang diciptanya sendiri betapa ia tidak mengikuti peraturan yang selama ini dikenakannya kepada orang lain. Kini kita disedarkan betapa terlalu banyak penderaan terhadap hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan dan pengamal undang-undang negara. Perkara ini mesti dihentikan.

Inilah satu amaran awal yang sekiranya tidak diambil kira akan berlanjutan tanpa tepiannya. Kerajaan sudah terdesak kerana diasak, dan tidak akan dapat melepaskan dirinya selagi tidak membuat pembetulan kepada segala kebajingan. Inilah satu pil yang pahit untuk ditelan. Kerana itu tidak ada reaksi yang cuba menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Sebaliknya kerajaan mengeluarkan soalan mempertikaikan kewibawaan semua pegawai Suhakam yang dilantiknya pada tahap awalan dulu tanpa sesiapa mempertikainya.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1541




Asal: KM2 5344: MGG: SUHAKAM Scolds The Police