Laman Webantu   KM2A1: 5366 File Size: 10.9 Kb *



TJ SP MGG: Pembelotan Generasi Merdeka
By M.G.G. Pillai

3/9/2001 10:39 pm Mon

[Temasya merdeka telah digunakan untuk menonjolkan keunggulan diri - bukannya untuk menyatukan rakyat negara ini. Ia telah dicemari dengan tuduhan-tuduhan yang semakin menimbulkan kemarahan kerana tiadanya sebarang bukti. Sepatutnya perayaan merdeka dipenuhi dengan aktiviti dan ucapan yang bercorak berkawan, bukannya berlawan kerana itu hanya akan menambah geram.... Pentas untuk membuat tuduhan bukannya di hadapan penonton tetapi di kamar yang ada hakim dan peguam. - Editor]


Pembelotan Generasi Merdeka

(The Betrayal of the Merdeka Generation)

Majlis sambutan yang memakan masa sebulan lamanya dan kerap dilangsungkan tanpa terang-terangan dan dianggap sebagai tidak relevan oleh majoriti rakyat jelata, berakhir dengan hari merdeka pada 31 Ogos. Inilah sambutan pertama di hari Jumaat sejak merdeka dirakamkan pada 1957. Kalaulah ada sebarang kepentingan budaya dan pengertian keramatnya seperti yang dianggap sejak dulu-dulu, semuanya sudah sengaja dilupakan ataupun diperam sahaja. Satu ketika dulu kita menganggapnya sebagai lambang kematangan di kalangan negara yang lain, kini kita anggap semua majlis itu sebagai majlis untuk ucapan puji-memuji dan perbarisan yang sudah hilang makna sebenarnya sejak satu waktu yang sudah lama. Yang ternyata pincangnya dalam sambutan kemerdekaan ialah semangat rakyat menyambutnya. Selama ini kerajaan beranggapan, kemajuan kebendaan boleh dijadikan pengganti, namun tanpa kesedaran apa maknanya kemerdekaan itu yang sebenarnya, usaha kerajaan itupun kantul juga. Tanpa semangat itu Malaysia tidak boleh maju.

Segala perpaduan yang difahami ketika kemerdekaan mula-mula ditegakkan, kini sudah menjadi satu fiksyen. Ia sudah tidak lagi membawa sebarang makna disebabkan terbelahnya anggapan rakyat jelata sehingga berlaku perbalahan antara anggapan budaya dan persekitaran politiknya. Satu ketika dulu perbezaan pendapat wujud disebabkan perkauman, kini perbezaan itu sudah membarah disebabkan perbezaan bahasa sesuatu bangsa dan fahaman kedaerahannya yang digodam lagi oleh sikap sambil lewa.

Orang-orang seperti saya, yang masih muda remaja ketika hari keramat pada 1957 dulu, kemerdekaan menyedarkan kami akan kematangan hidup, kisah penjajahan yang penuh ketuanannya dan satu cara hidup sebagai rakyat kepada sebuah negara yang merdeka. Sambutan kemerdekaan pada tahun ini menyerlahkan kedurjanaan politik sebuah negara. Segala harapan kami ketika Malaya (dan kini Malaysia) mencapai kemerdekaannya sudahpun lenyap kini. Serba-serbi dikaitkan kepada wang ringgit, dan sesiapa yang masih memaut idealisme itu sudah dianggap seorang yang gila. Apa yang menyatu-padukan negara pada 1957, segala kepercayaan dan harapan akan hala-tuju yang dikongsi bersama sudah lenyap sama sekali.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang telah merajai negara ini walaupun sebagai Perdana Menteri mesti sanggup menerima segala cemuhan terhadap segala kegagalan ini. Ketika mula-mula menjawat jawatannya itu dia tentu mempunyai segala niat yang suci. Tetapi dia tidak dapat memahami kesediaan Melayu yang masih terpaut kepada ketenangan hidup pada abad ke-18 dulu, dan belum bersedia untuk melompat membabi-buta ke kancah abad ke-20.

Ketika dia memarahi orang Melayu dengan segala pendapatnya, dan melakukan segala kesilapan untuk membetulkan budaya yang difikirkannya sudah terlalu purba, terutama sekali dengan cara mengaibkan Anwar Ibrahim yang pernah berkhidmat dengan setia kepadanya, orang Melayupun naik getik dan berpaling membelakanginya. Sambutan merdeka masa kini digunakan sebagai pentas untuk meraih sokongan orang Melayu semula, dan tidak mempunyai tujuan yang lainnya. Orang yang membuat bendera telah meraih keuntungan mereka, orang yang memberikan perkhidmatan mengagihkan bendera itupun membuat keuntungan juga. Tetapi, segala temasya dan majlis untuk mengibarkan bendera itu sudah tidak membawa sebarang makna kerana ia mencetuskan semakin banyak tanda tanya dan semakin banyak kemarahan yang terus membara.

Sebagai alasan, UMNO kini menyerang PAS untuk dijadikan bahan politik mereka. Ini merupakan satu pedang yang mempunyai dua mata, seperti yang pernah dialami oleh Shah Iran sebelum kejatuhannya. Untuk meraih simpati dan sokongan orang Melayu, UMNO mahu menonjolkan diri sebagai sebuah parti yang lebih kuat berjuang berlandaskan ajaran Islam berbanding PAS. Sementara itu PAS hanya perlu mendakwa UMNO tidak Islamik untuk memperlekehkan UMNO. Ketika negara melangkah memasuki ambang baru tahun kemerdekaan segala amalan praktikal politik tidak lagi menjurus kepada mengekalkan konsep negara yang pelbagai kaumnya tetapi mahu menonjolkan ketuanan UMNO dalam negara yang berpandukan ajaran Islam. Segala konsep kepelbagaian kaum dan idealisme itu sudah lenyap di angin lalu.

Jadi, hari merdeka adalah satu lagi hari yang digunakan oleh kerajaan Mahathir untuk melaungkan kepada seluruh dunia betapa budaya sesuatu masyarakat itu boleh digantikan dengan masyarakat yang mementingkan ekonomi negara tanpa mementingkan budaya bangsanya dan memadai dengan segala kerakusan dan kemajuan kebendaan. Janji-janji manis adalah merupakan amalan harian. Hanya tanggapan UMNO yang boleh diterima pakai sedangkan pendapat orang lain boleh dibiarkan tersadai.

Kerana itu Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara yang ketandusan budaya dan ketiadaan kepakaran untuk menjadi sebuah negara yang berdaulat. Kumpulan minoriti di Malaysia adalah rakyat Malaysia itu sendiri. Mereka teraba-raba mencari hala-tuju sebagai rakyat, sebenarnya. Kerajaan membuat segala keputusan untuk rakyatnya, selalunya tanpa memikirkan kesannya. Sesiapa yang berani mencabar keputusan kerajaan itu akan menerima padahnya.

Dua dekad sudah berlalu di mana idealisme pemerintahan itu tertumpu kepada nafsu-nafsi seorang Perdana Menteri yang menggunakan teori politik menonjolkan UMNO sebagai asas ketuanan Melayu yang dengan cara membungkusnya dalam Dasar Ekonomi Baru, dan kini membawa bahana yang menyebabkan UMNO diperlekehkan oleh orang Melayu. Semua itu tidak dapat dikekalkan lagi, betapapun dicuba segala tipu-muslihat keintelektualan untuk mengekalkannya. Tambahan pula peniaga Cina sudah tidak lagi berminat untuk mengekalkan ketuanan UMNO itu.

Kepintaran Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra, telah memberi keistimewaan kepada masyarakat India dan Cina seawal 1957 dulu untuk menjadi rakyat negara ini. Sedangkan enam tahun sebelum itu, mereka tidakpun mempunyai peluang itu. Begitu juga dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang menikmati kemudahannya dua tahun kemudian. Singapura telah menganggotai Malaysia dalam usaha mewujudkan satu negara yang mempunyai pelbagai kaum, puak, budaya dan agama. Tunku Abdul Rahman memang memberikan pandangan yang serius kepada konsep penyatuan bangsa itu dan telah berbincang dengan semua rakan politik kaum lain untuk menegakkan asas fahaman itu.

Satu kejutan berlaku pada Mei 1969, apabila UMNO cuba mengekalkan ketuanan Melayu dengan melancarkan satu bentuk rampasan kuasa terhadap masyarakat Melayu. Tujuannya ialah untuk menyisihkan kaum Cina, India dan bukan-Bumiputera menjadi kaum yang terus tertakluk kepada ketuanan Melayu secara politiknya, sambil menentukan UMNO akan terus memimpin masyarakat Melayu.

Yang menjadi mangsa ketika itu ialah perhubungan kaum. Inilah yang memecahbelahkan masyarakat Cina daripada masyarakat Melayu. Orang India yang sepatutnya berkecuali ketika itu ataupun memihak menyebelahi orang Melayu, telah memilih untuk memihak kepada orang Cina. Kesannya mereka terpinggir dalam dasar ketuanan negara. Dasar Ekonomi Baru dan Ketuanan Melayu tidak memberi sebarang penonjolan kepada keperluan masyarakat India. Sejak 44 tahun itu telah meminggirkan orang India sama sahaja dengan nasib yang merudung malang mereka ketika zaman penjajahan British dulu. Keadaan ini semakin menghenyak setiap orang India itu apabila ia tertipu dengan kepercayaan diri betapa ia sudah mempunyai kuasa politik kerana menganggotai Barisan Nasional, sedangkan sebenarnya dia tidak ada sebarang kuasapun.

Tanpa sebarang unsur budaya dan kepakaran yang dilumuri oleh ketaksuban menjahanamkan segala jentera kerajaan, menyebabkan hilangnya sebarang perasaan kegembiraan untuk menyambut 31 Ogos. Segala kesalahan tidak pernah diperbetulkan, dan tidak ada tanda untuk membetulkannya.

Pertumbuhan ekonomi dan industri negara menjadi satu macam dongengan, yang mendodoikan nafsu serakah mencipta yang terbesar, terbesar, terdalam dan tersingkat untuk dirakamkan dalam buku catatan yang menggambarkan keutuhan Ketuanan Melayu, dan kerajaan BN pimpinan UMNO. Sebenarnya itu semua adalah satu usaha untuk membuktikan kepada rakyat jelata bahawa mereka mempunyai hak moral untuk memerintah.

Untuk memburukkan keadaan, apabila ketuanan Melayu itu menghilang, UMNO menjadi gelabah untuk menggunakan Islam dan cuba menonjolkan agenda Islamiknya. Inilah yang telah menjebak UMNO dan memerangkapnya ke tangan orang yang lebih berpengetahuan terutama sekali mereka dalam PAS. UMNO telah cuba membungkus kembali konsep ketuanan Melayu itu dengan warna teokratik sejagat, tetapi PAS tidak perlu berbuat banyak usaha untuk mengkucar-kacirkan sebarang usaha haprak UMNO itu. Untuk membuktikan PAS bersalah, UMNO menjadi lebih condong daripada PAS dalam menonjolkan isu amalan Islam. Dengan cara itu, tanpa disedarinya UMNO telah memusnahkan segala janji-janjinya untuk menegakkan satu negara Malaysia yang pernah dibayangkannya. PAS bertindak selamba. Terpulanglah kepada UMNO, dan bukannya PAS yang perlu menunjukkan watikah keIslamannya.

Sambutan ulang tahun merdeka kali ini, mungkin merupakan yang paling haprak pernah dilihat sejak 20 tahun yang lalu. Inilah pertama kalinya idealisme Malaysia itu tidak pernah menjadi agenda utama para pemimpinnya. Tetapi, mereka tidakpun mahu mengakuinya. Masyarakat Melayu sudah naik getik, masyarakat Cina memang sudah lama jelek, masyarakat India pula cuba mendapatkan apa yang dinafikan kepada mereka selama ini. Rakyat Sabah dan Sarawak membincangkannya apakah UMNO dan BN betul-betul diperlukan untuk mereka terus hidup. Kerajaan tidakpun mempunyai sebarang dasar yang khusus menjelang sambutan hari merdeka tahun ke-44 ini, untuk membuktikan mereka yang bersalah. Segala tipu muslihat terus dicanang untuk menyorokkan kebenaran. Namun, kebenaran itu masih tidak dapat disungkup lagi.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-1561




Asal: KM2 5360: MGG: The Betrayal of the Merdeka Generation