Laman Webantu   KM2A1: 5370 File Size: 5.2 Kb *



TJ SP 263: AP - Kurangnya Kibaran Bendera di Kereta
By Pauline Jesudason

4/9/2001 6:10 pm Tue

[Rakyat sudah mula memprotes secara senyap-senyap dengan tidak mengibar bendera sehingga kerajaan Umno/BN merasa kecewa dan marah tidak tentu hala. Ini mencemarkan lagi perayaan tersebut kerana asyik rakyat yang dipersalahkan setiap ketika.

Bayangkan rakyat masih tidak bebas dan ditangkap selepas menggunakan dataran yang kununnya melambangkan merdeka di hari ulangtahun merdeka. Yang bebas di negara ini hanyalah pihak tertentu sahaja sehingga mereka boleh lepas walaupun mencederakan orang-ramai atau membogelkan rakyat. - Editor]


Associated Press
31hb Ogos 2001

Kurangnya Kibaran Bendera di Kereta

(Fewer Malaysians Mount Flags On Cars)

Oleh: Pauline Jesudason

Sambil mengayuh sebuah basikal tua yang mungkin sama baya dengan usianya, Lim Ah Piew, 52 tahun, menahan panahan suria sambil berlegar-legar mengedarkan tong gasnya - sambil memperagakan dua bendera kecil yang berkibar megah di kepala basikalnya.

'Saya berusia lapan tahun ketika itu, namun saya masih ingat laungan merdeka,' kata Lim. 'Saya mahu orang lain mengingatinya apabila terlihatkan bendera ini, dan merasakan apa yang saya rasa.'

Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengharapkan semua orang adalah laksana Lim, megah dengan peristiwa kemerdekaan negara pada 1957, setelah dijajah oleh British selama 150 tahun. Selepas 44 tahun, Malaysia telah menjadi salah sebuah negara yang moden di Asia.

Rakyat Malaysia telah digesa mengibarkan bendera seperti yang dilaksanakan oleh Lim. Bendera itu boleh didapati secara percuma di stesen minyak, bank dan pintu tol, dan memasangnya di kereta untuk menyambut hari ulangtahun kemerdekaan pada Jumaat lalu. Tidak ramai yang mengibarnya dan ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tanda bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir selama dua puluh tahun, sudah tidak lagi popular seperti dulu.

Kalau dilihat kenderaan yang lalu-lalang di setiap ceruk jalan, tidak sampai satu kereta bagi setiap 10 buah yang memasang bendera Malaysia untuk menyambut kemerdekaan negara.

Keadaan begini tidak pernah berlaku sebelum ini. Ketika ekonomi negara meletup dan merudum pada 1997, rentetan krisis kewangan Asia, kerajaan telah membuat laungan serupa. Bendera kecil dipasang di setiap kereta sebagai menyahut seruan kerajaan betapa negara sedang terancam.

Pada tahun ini, Jalur Gemilang berbentuk mini tidak menarik hati lagi.

Ramai rakyat negara ini mengaitkan lambang negara itu dengan kerajaan Mahathir, yang sudah kehilangan populariti sejak beliau mengaibkan Anwar Ibrahim, pada 1998 dan ketika negara dilanda krisis kewangan.

Pemecatan Anwar dan pemenjaraan yang menyusul selepas itu telah mencetuskan himpunan demonstrasi jalanan yang tidak pernah disaksikan selama beberapa dekad. Namun, di sebalik kemaraan pihak pembangkang dalam arena politik, kerajaan Mahathir masih berjaya mencengkam kuasa dalam pemilu 1999.

Ketegangan di jalan raya sudah aman selepas itu. Tetapi selepas majlis perbarisan pada Jumaat lalu, beberapa aktivis pembangkang telah berkumpul di Dataran Merdeka, telah diambil gambar mereka oleh pegawai polis yang berpakaian biasa, ketika mereka menyanyikan lagu kebangsaan negara.

Ketika bersurai mereka melaungkan perkataan 'Reformasi!' jeritan keramat kumpulan reformasi - para pemandu menekan hon kereta tanda sokongan mereka. Polis telah menahan sekurang-kurang tiga orang pembantah itu.

'Mengibarkan bendera adalah satu lambang patriotisme di negara ini,' kata Hatta Ramli, seorang pemimpin PAS.

"Sebaliknya, ramai rakyat memberitahu saya, mengibarkan bendera adalah umpama menyokong Mahathir,' kata Hatta. 'Rakyat yang enggan menyokong kerajaan yang memerintah telah membuat pilihan tidak mahu mengibarkan bendera.'

Mahathir telah mengulang cerita zaman penjajahan dulu sebagai zaman rakyat menjadi hamba abdi dan beliau mahukan generasi muda yang semakin galak menyokong pembangkang agar mengingati pengorbanan kumpulan generasi lama.

Menteri Pelancongan Abdul Kadir Sheikh Fadzir menggalakkan pemasangan bendera dengan berkata 'mengibarkannya bererti rakyat tidak akan mudah dipengaruhi oleh anasir luar'.

Pelbagai usaha dilaksanakan sebagai bahan perangsang seperti pembikinan bendera terbesar di dunia, yang paling selalu dikibarkan, dan yang paling berwarna-warni dilukis oleh anak-anak sekolah.

Tetapi, Mike Selmaithan, 25, mencemuh idea yang mengatakan kegagalan mengibarkan bendera adalah tanda kurang patriotik seseorang.

'Itu mengarut,' kata Mike. 'Semangat patriotisme adalah lebih bermakna daripada itu. Saya tidak fikir anda akan lebih patriotik walaupun anda berkeliaran dengan Jalur Gemilang dicat di muka anda.'

Terjemahan SPAR-20




Asal: http://www.washingtonpost.com/ac2/wp-dyn/^ A23270-2001Aug31?language=printer atau

KM2 5352: Fewer Malaysians Mount Flags on Cars