Laman Webantu   KM2A1: 5374 File Size: 12.8 Kb *



TAG SP 266: Asiaweek - 'Kegagalan Bukannya Satu Pilihan'
By Arjuna Ranawana

4/9/2001 7:43 pm Tue

[Catatan Penterjemah: Ini adalah satu artikel yang baik. Cuma, nampak ada satu unsur menonjolkan kewibawaan orang pilihan terbaru Mahathir seperti Azman dan rakan-rakannya. Apa yang tertulis di sini sudah lama ditulis oleh penulis reformasi tanah air. Sila baca Siri Kalau Tak Layak Bersilat Elok Lagi Bersila (KTLBELB). Bandingkan segala ramalan yang tertulis di situ, yang ditulis satu tahun lebih yang lalu dengan keadaan yang sedang berlaku. - penterjemah]


Asiaweek:
7 September 2001


'Kegagalan Bukannya Satu Pilihan'

('Failure Is Not An Option')

Oleh: Arjuna Ranawana

Apabila Azman Yahaya sedar diri, barulah dia tahu dia sedang terlantar di hospital dengan keadaan badannya yang remuk dan calar balar, kesan kemalangan disebabkan ketaksubannya memandu motosikal dengan laju. Terpaksalah Azman mengenepikan motor berkuasa tinggi dengan kuasa 750 cc dan mengalihkan pandangan kepada kereta yang laju-laju pula. Tidak lama lagi dia mungkin menggunakan pengalaman yang serupa sebagai seorang petugas yang merancang kerja-kerja memperbaiki ekonomi negara. Dia mungkin mengamalkan sikap bergerak dengan lagu, membetulkan segala kepincangan di landasannya sambil berusaha tidak akan kandas pula. 'Saya memang mengejar masa menyudahkan tugas ini untuk kembali semula ke sektor swasta' kata Azman yang sudah pun berusia 37 tahun.

'Kegagalan, kepadaku bukannya satu pilihan.'

Azman memang suka sesuatu yang berunsur risiko, seperti cabaran yang mempunyai pertaruhan yang tinggi. Bulan lalu graduan London School of Economics yang merupakan seorang Chartered Account itu telah menjadi wakil Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam satu usaha baru menyusun semula Malaysia Inc. Dengan wujudnya ekonomi sejagat yang menghenyak aliran ekonomi negara - termasuk aduan yang semakin membuak mengenai cara negara menyusun penyelamatan korporat dan sikap pilih kasihnya - Mahathir tidak lagi mampu melengahkan usaha menyusun semula segala kerja pembetulan itu yang telah dielakkan oleh Malaysia dengan lantang dan penuh keangkuhan selepas tercetusnya krisis 1997. Azman mungkin telah terpilih mengetuai segala proses ini disebabkan keunikan latar belakang yang dimilikinya. Sebagai ketua Danaharta, sebuah syarikat pengurusan aset yang ditubuhkan pada 1998, dia memang mempunyai kelayakan yang mantap. Baru-baru ini perdana menteri telah menyerahkan kuasa untuk mengetuai jawatankuasa penyusunan hutang korporat (CDRC: Corporate Debt Restructuring Committee) sebuah agensi di bawah kuasa Kementerian Kewangan dan dilantik sebagai ketua pengarah Syarikat Danasaham. Inilah sebuah kumpulan yang disokong oleh Perbendaharaan untuk membeli beberapa syarikat pilihan. Mahathir telah memberikan kuasa menyeluruh dengan arahan untuk membuat laporan terus kepada pihak atasan. Tujuan utama ialah menyusun semula segala syarikat yang banyak hutangnya tetapi yang mempunyai masa-depan yang cerah, memufliskan syarikat ternyata tidak berguna dan mengembalikan semula warisan ekonomi perdana menteri yang sudah terjejas.

Memang tidak ada banyak masa untuk dihamburkan. Hutang bertapuk semakin meruntun sistem perbankan yang menghenyak ekonomi negara. Para analis meramalkan kadar pertumbuhan antara 0.3% - 2% pada tahun ini - berbanding 8.3% pada 2000 pengekspotan barangan negara sudah merudum sebanyak 9.1%. Pelaburan terus negara asing sudah diambil oleh China. Sistem kawalan modal yang dimulakan tiga tahun dulu - termasuk sektor korporat yang diketahui haprak - tidak dapat membantu pelabur asing untuk memasuki semula pasaran saham.

Satu ketika dulu, Malaysia memang kelihatan bergaya dan maju mengejar impian Mahathir untuk menjadi sebuah negara maju dengan sektor korporat yang bertaraf dunia, dibantu dan dimanjakan oleh kerajaan, dan dikepalai oleh sekumpulan taikun Bumiputera. Usaha yang dipandu oleh mantan menteri kewangan, Daim Zainuddin, meyakinkan Mahathir untuk memilih segelintir Melayu yang dianggapnya mempunyai bakat istimewa, dan menyerahkan kepada mereka hak milik dan pengurusan syarikat kepunyaan kerajaan, sambil mengharapkan yang terbaik daripada mereka. Kebanyakan syarikat telah berjaya menepati pengharapan untuk waktu yang terawal, ketika itu. Namun segelintir pemilik baru itu khayal dengan kemudahan pinjaman yang diberikan mereka sehingga menjadi terlupa. Mereka menjadi lebih terkenal kerana pesawat jet, kereta mewah, mahligai yang mempunyai banyak kamarnya dan pengurusan yang penuh tanda tanya. Apabila krisis kewangan 1997 muncul mengganas, kumpulan anak-emas itu, seperti Halim Saad dan bekas ketua MAS, Tajuddin Ramli telah dikritik hebat kerana hutang bertapuk yang menggunung tingginya. Tidak lama kemudian, segala bisikan mengenai kepintaran rencana ekonomi Mahathir, mula menjadi satu cemuhan dan kritikan yang semakin lantang gemanya. Berapa lamakah gamaknya kerajaan akan memanjakan syarikat yang tidak mampu berdaya saing? Apa pula yang akan dilaksanakan untuk menjamin segala kerugian tidak terus meruncing?

Kini, segala jawapan terletak di tangan Azman dan kurang kepada tangan individu lain. Dia telah mulakannya dengan pengendali tol United Engineers (Malaysia), yang satu ketika dulu merupakan tanggungjawab Halim. Syarikat itu merupakan antara yang terbesar dan yang mempunyai hutang yang banyak. Azman cuba mencekik UEM untuk mengeluarkan makanan yang masih tersedak. Malahan itulah caranya dengan 14 syarikat lain yang banyak hutangnya - termasuk beberapa panduan kepada bank agar sama-sama menanggung beban hutang.

Semua itu tidak boleh dibuat dengan secara tergesa-gesa. Sejak April dulu Mahathir telah sedar perlunya beliau bertindak tegas. Pada waktu yang sama penasihat utama Malaysia Inc., Daim Zainuddin telah mengumumkan pengundurannya sebagai menteri kewangan. Para pengamat terfikir apakah Mahathir betul-betul serius mahukan reformasi ekonomi. Perdana menteri telah melantik dua orang bekas gabenor bank sebagai penasihat utama. Bulan lalu, dua anak Melayu lulusan Universiti Cambridge, yang dulunya menganggotai pasukan Danaharta Azman, telah ditukarkan menganggotai pengurusan MRCB. Sekaligus ini telah meminggirkan pengerusi Abdul Rahman Maidin yang dianggap sebagai orang Daim daripada tampuk sebuah syarikat yang menguasai institusi media massa. Tindakan begini 'akhirnya akan mendedahkan segala hubungkait antara politik dan perniagaan,' kata Khairy jamaluddin, seorang ahli majlis tertinggi Pemuda UMNO. 'Mereka diberikan jawatan ini bukan kerana orang yang mereka kenal, tetapi kerana ilmu pengetahuan mereka yang kental.'

Mampukah Azman melaksanakannya? 'Azman ialah seorang yang dihormati, bukan kerana dia seorang ahli politik,' kata Ng Ein Kiam, seorang pengurus dana di Indocam Asia di Singapura. 'Inilah yang menenangkan keraguan apa yang dilakukannya itu adalah cuma satu usaha untuk menaikkan sentimen pasaran.' Namun, Azman bukannya bebas daripada sebarang hubungan dengan kerajaan - memang kita yakin tidak ada sesiapa yang boleh menerima jawatan sebesar itu tanpa ada kaitan politiknya. Azman pernah bertugas di dua buah bank saudagar yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan sebelum dia dipilih untuk bertugas di Danaharta. Pelajarannya di luar negara dengan keputusan cemerlang (First Class Honours) adalah hasil rencana biasiswa kerajaan untuk menaikkan taraf Bumiputera. Malahan, dia adalah hasil Dasar Ekonomi Baru Mahathir yang penuh kontroversi, yang memberikan pelbagai keistimewaan kepada Bumiputera. Tidak ramai orang yang tersilap meneka kepada siapakah kesetiaan Azman itu.

Akan tetapi, hubungan politik yang kuat di Malaysia akan mempunyai faedah yang berbelah. Pada waktu itu, Azman bertindak tegas dengan apa yang dijelaskannya. Namun, menjadi orang kerahan bererti dia terpaksa mencuit perasaan beberapa orang yang mungkin terkena. Ramai pemerhati percaya, Azman mempunyai kepakaran melaksanakan tugasnya, tetapi ramai juga yang terfikir-fikir apakah dia mempunyai kekentalan untuk mengharungi badai politik yang kian melanda. 'Dia belum habis diuji dengan situasi seperti ini lagi,' kata Song Seng Wun daripada GK Goh, sebuah syarikat penyelidikan yang berpusat di Singapura. Azman menjawab: 'Peraturan yang dikeluarkan itu bukannya satu bentuk yang keras. Kerajaan mempunyai ketegasan politik untuk melaksanakannya.'

Azman telah menunjukkan betapa dia tidak akan melayan sebarang rintihan yang menyangkuti UEM. Penguasaan kuasa bertindih di Renong, segala putar belit pengurusan dan yang paling menekan ialah hutang bertapuk yang menyebabkan harga saham pada kadar $8 di permulaannya pada 1997 dulu merudum kepada 84 sen kini. Untuk menggulung hutang bertapuk pada 1998 itu, UEM telah menerbitkan bon bernilai $2.2 bilion bersandarkan aset terbaiknya; lebuh raya yang menyambungkan Thailand kepada Singapura. Bayaran hutang akan dijadualkan pada 2005. Keadaan menjadi berkecamuk disebabkan masalah pemilikan bertindih dan hutang besar yang terus mendidih. Renong pernah meminjam wang daripada UEM dan sebagai tindakbalas, telah mencagar kesemua asetnya. Halim sendiri pun telah berhutang kepada UEM sebanyak $842 juta.

Untuk meredakan keadaan yang mengelirukan, Azman telah membuat pengumuman secara berkesan betapa dia akan menguruskan sendiri satu usaha pembelian UEM yang berharga $1 bilion daripada kerajaan. Syarikat itu akan di susun semula dan dicantas di mana perlu sebelum ditawarkan semula kepada pasaran. Azman telah mengaku dengan penuh ceriaan bahawa perkara seperti ini tidakpun dibincangkan dengan Renong, ataupun dengan Halim. 'Ini merupakan berita yang terbaik,' kata seorang pengamat yang berpengkalan di Kuala Lumpur. Agensi menaksir Standard & Poor telah melihat usaha ini sebagai satu perubahan besar dalam anjakan ekonomi yang dipelopori oleh Mahathir. 'Apakah penyusunan semula UEM-Renong, membawa satu persekitaran baru dalam dunia korporat Malaysia?' soal mereka. 'Penilaian masih dibuat.' Namun, analis Daniel Lim daripada syarikat sekuriti Morgan Stanley merasa yakin. 'Ini merupakan satu perubahan daripada sikap sambil lewa terhadap reformasi korporat daripada 1997 kepada 2000,' katanya. Andrew Seah, daripada syarikat sekuriti Vickers-Ballas pula berkata: 'Sesiapa yang dapat menyelesaikan keributan ini akan dikenang sampai mati.'

Azman terpaksa juga memikirkan masalah hutang 13 syarikat yang lain. Segala aset sampingan akan dijual, katanya dan segala wang yang diperolehi tidak akan digunakan untuk membuat pembelian baru yang tidak akan membantu pertumbuhan setiap syarikat itu. Sebalik semua itu, bank yang tidak mematuhi peraturannya akan dilaporkan kepada Bank Negara. 'Tidak boleh dinafikan ada beberapa kes penyusunan semula yang sengaja telah memakan masa yang panjang disebabkan satu bentuk melengah-lengahkan keadaan oleh pihak peminjam dan juga yang meminjam,' katanya. 'Semua pihak perlu bersikap jujur, membersihkan segala kekotoran dan memulakan secara baru. Semua ini perlu terlaksana tidak kiralah apakah projeksi ekonomi itu.' Dia bercadang untuk menjernihkan kekalutan yang mendung itu dalam masa satu tahun.

Tidak ada sesiapa yang kelihatan bernafas lega, setakat ini. Dalam banyak hal, Malaysia hanya baru memulakan satu bentuk pemulihan yang telah dimulakan oleh Korea Selatan dan Thailand sejak 1998 lagi. 'Malaysia telah mendahului penyusunan semula hutang bertimbun ini berbanding dengan negara lain di rantau ini, dan kita mesti mengekalkan tindakan itu,' kata seorang pengurus bank Nik Hassan Nik Mohd Amin, timbalan presiden eksekutif Bumiputera Commerce. Kegagalan melaksanakannya, kata ketua penyelidik OCBC Sekuriti, Frankie Tan, akan mencetuskan 'bahana yang teraib kepada ekonomi negara.'

Rentetan krisis 1997-98, Mahathir telah berlagak angkuh terhadap dunia luar dan terus mengenakan kawalan mata wang negara. Apabila proses reformasi mula perlahan di negara lain di rantau ini, dia dilihat semacam mendahului orang lain. Azman bersama-sama pegawai Melayu pilihan terbaru Mahathir telah diberikan mandat untuk berjaya di tahap yang kritikal ini. Walaupun kepantasan menjadi dorongan utama, mereka harus berwaspada: Masa depan negara adalah berada di tangan mereka.


Terjemahan: SPAR12

1/9/2001.




Asal:

KM2 5357: 'Failure Is Not An Option'