Laman Webantu KM2A1: 3844 File Size: 38.8 Kb * |
Siri 7 MMM: Bila Penyangak Naik Lemak By Marhain Tua 23/2/2001 10:40 am Fri |
MMM 7 [Amerika mencetus konflik sesama negara Islam di Timur Tengah
untuk menjual stok senjata mahal-mahal dan memusnahkan ekonomi,
perpaduan dan kekuatan umat Islam. Dengan bertopengkan sebagai
'polis dunia', ia berlagak sebagai penyelamat sedangkan ia
sebenarnya penyangak yang intim dengan Israel. Sampai kini tidak
ada sebuah pun negara Islam yang mampu mengancam Israel kerana
musnah akibat berperang. Begitu juga halnya di rantau ini. Amerika tidak perlu berada disini
kerana pemimpin negara sudah menjalankan peranan Amerika untuk menghenyak
ekonomi negara. Kekayaan sumber dan kerajinan orang melayu dan Islam
gagal memanfaatkan negara kerana Mahathir telah membazirkan wang dengan
projek mega dan penswastaan yang diberi kepada suku sakatnya. Media hari
ini hanya menjadi alat menipu bangsa kununnya Umno sahajalah penyelamat
bangsa sedangkan umno adalah penyangak bangsa yang berpura-pura disebalik
cogankata yang muluk-muluk belaka dan projek raksaksa untuk memecahkan
rekod dunia. Padahal kita semakin berhutang dengan banyaknya dan terpaksa
mengawal modal kerana wang kita sudah jatuh terlalu teruk nilainya.
Soalnya apabila penyangak naik minyak apakah dia semakin berguna
kepada juaknya? Sejarah merakam ramai penyangak musnah di kemuncak
minyaknya kerana dia dibunuh oleh orangnya juga atau oleh rakyat
yang sudah hilang sabarnya..... Seluruh dunia berbincang mengenai keadaan ekonomi yang merudum disebabkan keadaan
ekonomi Amerika yang mundur. Perkara ini telah kita tulis lama dulu lagi kerana
inilah yang berlaku secara bermusim setiap kali pilihanraya presiden Amerika selesai.
Kita telah menuliskan ingatan sejak satu tahun dulu lagi, ekonomi Amerika sengaja
dipacu laju kerana syarikat multinasional yang besar-besar mengeluarkan dana yang
banyak untuk menyumbang kepada kedua-dua calon presiden Republikan dan Demokrat.
Sebaik sahaja keputusan diumumkan, ekonomi akan merudum menunggukan strategi baru
pihak yang menang kerana inilah masanya parti yang menang itu 'membalas jasa'
syarikat yang banyak berkorban kepadanya. Cara yang terbaik untuk melakukan proses
'terima kasih daun keladi' ini ialah dengan membiarkan satu gelonsoran ekonomi
yang ada supaya segala putaran ekonomi pemerintahan lama yang masih berminyak itu
turun lemaknya. Itulah yang berlaku ketika Shah Iran membelanjakan sebahagian besar hasil minyak
dan gas negaranya untuk menjadikan Iran 'sebuah negara Islam yang paling kuat
kelengkapan perangnya di dunia.' Itulah ucapannya sehinggakan semua negara Arab di
Teluk dan Timur Tengah menjadi gelabah untuk menambahkan pula kelengkapan perang
mereka. Sebaik sahaja negara Arab termakan dakyah perang Shah Iran itu, usaha untuk
menjatuhkannya pun dibuat sehinggakan ketika Ayatollah Khomeni naik takhta Presiden
Carter ketika itu sanggup mencuba menculik Shah Iran yang sedang dalam perjalanan
daripada Florida menuju ke Kaherah. Penculikan sudah dirancang di Amsterdam ketika
pesawat Shah Iran sepatutnya berhenti sekejap untuk mengisi minyak. Shah Iran
menerima isyarat daripada 'orang dalam pentadbiran Carter' untuk terus keluar
secepat mungkin daripada udara Belanda dan meluru terus ke Kaherah. Pesawat
kehabisan minyak sebaik sahaja mencecahkan tayarnya di landasan.
Kegagalan Amerika 'menyerahkan' Shah Iran membuat mereka melancarkan 'Projek B'
dengan membuatkan Iraq berperang dengan Iran. Iraq pun menjadi sekutu Amerika dan
Iran menjadi seteru dunia barat. Hanya China dan Russia menyebelahinya dan Jepun
ikut serta secara selamba dan berahsia. Tiba-tiba peperangan yang banyak bertumpu
di batasan ke dua negara menjadi reda setelah beberapa kapal perang Iran tenggelam
di Teluk Parsi kerana tembakan 'exocet'; peluru berpandu buatan Peranchis. Satu
gencatan senajata tiba-tiba diusahakan agar kedua negara tidak bertembak-tembakan.
Rahsia sebenar gencatan itu ialah kerana seluruh negara teluk yang diketuai oleh
Arab Saudi telah melengkapkan negara mereka dengan kelengkapan perang yang
canggih. Bayangkan, Arab Saudi telah membeli tiga buah AWAC (Advance Warning Aircraft)
sebuah pesawat udara Boeing yang lengkap dengan segala peralatan elektronik untuk
menyekat dan 'mematikan' alat elektronik pihak lawan. Semua negara Arab yang
kaya dengan minyak itu membuat tempahan yang berbilion dollar harganya. Mereka
tidak ambil pusing betapa mereka tidak mempunyai pegawai dan pemandu pewasat yang
terlatih untuk mengendalikan semua kelengkapan itu. Terpaksalah mereka impot
penerbang daripada Pakistan, Somalia dan Afrika Selatan untuk kerja-kerja itu.
Ramai juga anak Melayu Singapura yang diimpot bagi bahagian teknikal. Ada juga
beberapa kerat anak Melayu Malaysia yang berjaya menerima tawaran negara Arab itu,
kebanyakannya di bidang masakan dan pelayan meja makan sahaja.
Alangkah hebatnya Saddam Hussin sehinggakan lima presiden Amerika masih tidak lagi
mampu menumbangkannya. Bukankah itu juga yang berlaku kepada Fidel Castro? Tetapi,
Fidel Castro sudah bertakhta lebih lama lagi. Sejak John Kennedy menjadi
presiden Amerika dan Kruschov menjadi Presiden Russia dan Gescard D'estaing menjadi
Presiden Peranchis. Mungkin untuk menghapuskan Iraq itu memang menyulitkan
Amerika dan rakan sekutunya kerana Baghdad terletak di pendalaman negara dan
Saddam Hussin sentiasa berlegar di beberapa istana dan kubu bawah tanahnya. Tetapi,
Cuba hanya sebuah kepulauan yang boleh diserang dalam masa dua jam perjalanan laut
daripada Florida. Bagaimanakah Castro mampu menjadi presiden paling lama di
dunia? Begitu jua halnya dengan Yassir Arafat yang sudah memimpin orang Palestin lebih
empat puluh tahun lamanya. Israel mampu menembak orang Palestin sesuka hati, tetapi
Yassir Arafat jarang sangat diserang hendap? Jawapannya ialah kerana manusia yang
bergelar pemimpin bangsanya seperti Castro, Saddam,Yassir Arafat dan Ghadaffi
adalah pemimpin yang sengaja dibiarkan terus bertakhta di puncak kuasa mereka tanpa
diganggu gugat oleh kuasa besar dunia. Cuma pemimpin Afrika seperti Kabilla, Mobuto
Sesi Seiko, Sarjan Doe, dan beberapa pemimpin di Chad dan Ivory Coast serta
Senegal yang mudah tertembak dalam rampasan kuasa di negara mereka.
Alangkah pelik cerita ini, tetapi itulah hakikatnya. Ada pemimpin yang tidak dapat
bertahan lama kerana dia naik lemak terlalu cepat dan sudah difikirkan tidak
berguna kepada dunia barat. Tetapi, ada pula pemimpin yang sengaja dibiarkan naik
lemak bertahun lamanya sehinggakan kehidupannya sudah sampai ke tahap naik minyak.
Mereka terus dipelihara dengan segala lakonan dan drama untuk menentukan mereka
terus dapat bernyawa. Jadi, ada dua jenis pemimpin dunia yang bukan menjadi ahli
kuasa besar Dunia Pertama. Satu kumpulan dibiarkan naik lemaknya sebelum ia digulingkan
selalunya melalui rampasan kuasa ataupun peperangan saudara. Satu kumpulan lagi
sengaja dibiarkan terus berkuasa tanpa banyak usaha untuk menumpaskannya. Kuncinya
terletak kepada khazanah yang ada pada negara pemimpin yang dibiarkan terus naik
minyak itu. Ghadaffi dan Saddam dibiarkan terus berkuasa supaya Amerika terus dapat mengawal
harga turun naik minyak. Di waktu yang sama bekalan kelengkapan perang boleh
disalurkan oleh Peranchis, Jarman dan Russia serta China. Jepun, China dan Korea
boleh membekalkan kelengkapan elektronik secara bermonopoli kerana dua negara
ini sengaja menyingkirkan tawaran negara orang putih. Itali boleh memainkan
peranannya sebagai pembekal pelbagai alat elektronik dan mesin kecil-kecilan
melalui hubungan sejarah yang lama dengan Libya. Dari situ ia berkembang ke Iraq
melalui syarikat Arab yang menjadi proksinya.
Semua kapal minyak Iraq dikawal oleh kapal perang yang mempunyai kelengkapan
perang yang canggih. Tetapi, Iran mampu menembak kapal-kapal besar itu dengan
menggunakan askar berani mati yang menggunakan bot kecil yang berkuasa tinggi. Mereka
menunggu di perairan antarabangsa yang sepatutnya bebas daripada serangan musuh dan
menyerang kapal Iraq dengan jayanya. Iraq membalas dendam dengan menggunakan
'Exocet'. Banyak kapal perang Iran yang dibedilnya dan pada satu hari Iraq telah
menyerang pelantar minyak Iran di 'pintu-masuk' Teluk Parsi itu. Hilanglah cahaya api
di malam hari yang menerangi kawasan masuk ke Teluk Parsi.
Tetapi, Iran bukan bodoh. Ia melancarkan satu projek menghentam pelantar minyak Dubai
dengan alasan; kalau dia tidak dapat menyedut minyak yang ada di dasar bumi wilayah itu,
orang Arab pun turut terpaksa bercuti dulu. Semua negara Arab dan penyokongnya di
barat terpaksa menjelir lidah lagi. Di waktu yang sama Iran mengeluarkan amaran,
mana-mana negara Arab yang menerima kapal-kapal Amerika untuk diperbaiki akan dianggap
bermusuhan dengan Iran. Terbantutlah usaha kerajaan Dubai untuk memperbaiki kapal
perang Amerika. Taktik yang sama telah diamalkan oleh Amerika dan kuasa besar barat di Asia
terutama sekali di kawasan yang satu ketika dulu mereka gelarkan sebagai Gugusan
kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Gelaran itu hanya berubah kerana orang Melayu
sendiri yang mengubahnya. Lihatlah buku sejarah dan peta lama orang barat. Mereka
menulis dengan megah nama gugusan pulau-pulau Melayu itu. Cuma, apabila rantau itu
semua menerima kemerdekaan, panggilan lama itu tidak lagi mahu digunakan oleh pemimpin
tempatan sendiri. Yang disebut sebagai kepulauan Melayu itu bermula daripada Filipina dan menurun
secara satu lengkungan ke bawah mendasari kepulauan Republik Indonesia dan naik ke
atas sehingga mencecah Segenting Kra. Alangkah besar dan hebat rantau itu sehinggakan
Bahasa Melayu diiktiraf sebagai 'Lingua Franca' di rantau ini. Ketika kerajaan
Melayu sudah semakin rapuh dulu pun setiap bahtera dan jong pedagang yang memasukki
perairan gugusan kepulauan Melayu itu mesti mempunyai penterjemah khas ataupun anak
kapal yang pintar berbahasa Melayu. Cerita yang baik-baik mengenai keagongan orang
Melayu sejak zaman pra penjajah dulu boleh didapati dengan membaca tulisan penulis
Filipina yang menyingkap sejarah kehebatan Jose Rizal, seorang anak Melayu beragama
Islam yang dijadikan bapa kemerdekaan Filipina.
Apabila Filipina mencapai kemerdekaannya pentadbiran negara sudah mirip pentadbiran
Amerika dan budaya hidup pemimpin Filipina adalah berpaksikan cara hidup orang kaya
yang mempunyai ladang tebu yang berpuluh ribu hektar luasnya. Inilah kumpulan yang
menerajui kerajaan Filipina sehinggalah Marcos naik menjadi diktatornya. Amerika
membiarkan segala kekejaman Marcos tanpa mahu memperbetulkannya kerana Marcos
menyerahkan Teluk Subic sebagai pengkalan perang Angkatan Armada Amerika.
Demikian juga halnya di Indonesia. Sukarno dibiarkan berkuasa lama sehingga beliau
digulingkan kerana terlalu memihak kepada fahaman Komunis yang dianjurkan oleh S.N.
Aidid. Tempatnya digantikan oleh Suharto dan bermulalah satu era pemerintahan kuku
besi yang lebih tiga dekad lamanya. Amerika tidak berminat menyingkirkan Suharto
kerana mengambil pendirian bahawa Indonesia ialah seekor harimau yang sedang
tidur. Kalau Indonesia bangkit, ia adalah sama dengan kebangkitan semua negara Arab
yang disatukan semuanya. Indonesia mempunyai segala-galanya, baik dari sumber hasil
bumi hinggalah tenaga kerja yang sanggup bekerja keras. Yang penting sekali,
Indonesia ialah sebuah negara Islam yang terbesar di dunia. Membiarkan
kebangkitan Indonesia bererti memacu kebangkitan Islamiah di kepulauan Indonesia itu
sedangkan usaha mengembangkan ajaran agama Kristian memang sudah lama dilaksanakan
secara pilihan. Apatah lagi ketika masih muda dulu sehingga di tahun-tahun terakhir
hidupnya Ibu Tien Suharto diangkat sebagai 'Rahib Agong' pengembangan ajaran
Kristian keseluruhan Indonesia. Pada era Suharto ramai panglima Indonesia yang
beragama Kristian telah dinaikkan pangkat. Indonesia yang bangkit untuk maju bererti
mengurangkan tenaga buruh kasar di Malaysia dan mengurangkan masalah sosial di
Malaysia. Sekaligus ia memperkuatkan syiar Islam di Indonesia dan melunturkan usaha
mengkristiankan republik itu. Kebangkitan Indonesia memang disekat secara terancang oleh semua kuasa besar. Kerana
itu dakwah anti Islamiah sentiasa dijalankan secara bersistem juga. Sehinggakan
apabila Jusuf Habibie naik menggantikan Suharto, dia sengaja dimanipulasi agar
tidak dapat bertahan lama. Kuasa besar lebih rela melihatkan Indonesia ditadbir
oleh seorang kiai yang sudah rabun matanya. Namun, rakyat Indonesia faham
segala putar belit ini dan menunggukan masa untuk menyedarkan rakyat jelata betapa
mereka terpaksa melakonkan drama mengikut skrip yang ditulis oleh kuasa besar.
Salah satu cara memperlekehkan kuasa besar itu ialah dengan menggalakkan Gus Dur
terus keluar negara untuk menonjolkan nama Indonesia. Tetapi, semua professional
Indonesia tahu, itu sahaja caranya untuk mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan
terhadap segala kekotoran yang menyelimuti negara di zaman Suharto.
Dari segi perlembagaan, Gus Dur dan parti politik dukungannya mempunyai hanya 18
persen suara di Dewan Perundangan Rakyat. Tetapi, dia menonjol kerana mainan politik
yang amat kuat yang tidak mahu parti lawannya naik. Kumpulan penyangak di sektor
perdagangan Indonesia lebih selesa berpresidenkan seorang yang rabun matanya dan
yang tidak mampu melihat dengan jelas apa lagi membaca segala keterangan di atas
kertas. Gus Dur akan dicatat dalam sejarah politik dunia sebagai presiden yang
terlalu banyak keluar negara memandang apa yang dia tidak dapat lihat.
Malaysia Dan Dilema Bikinan Kuasa Besar
Antara semua negara di Tenggara Asia (ASEAN) Malaysia yang mencapai kemerdekaannya
pada 31.8.1957, sepatutnya kini merupakan salah sebuah negara terkaya di dunia yang
layak diiktiraf sebagai ahli kumpulan G-7. Tidak ada sebuah negara lain di dunia ini
yang mempunyai hasil kekayaan semula jadi yang begitu besar seperti yang terdapat
di Malaysia. Cuba kita bandingkan Malaysia dengan negara yang kaya raya di dunia
yang mempunyai kawasan yang sama besarnya ataupun bilangan penduduk yang lebih
kurang sama dengannya ataupun tahap kemodenan yang sama usia dengannya. Cuba
perhatikan Taiwan, yang merupakan sebuah pulau yang mempunyai jumlah penduduk lebih
kurang sama dengan Malaysia tetapi diwujudkan oleh kumpulan Nasionalis yang berpisah
dengan tanah besar China. Taiwan mengimpot hampir semua keperluannya tetapi mempunyai
simpanan dana yang besar bukan sahaja di negara sendiri tetapi di negara luar.
Kekuatan Taiwan terletak kepada sumber tenaganya hingga mampu menguasai industri
elektronik dunia termasuk permainan kanak-kanak yang menggunakan elektronik.
Sekaligus kita faham berapa tingginya mutu pendidikan di Taiwan walaupun kelulusan
universitinya masih tidak diiktiraf di Malaysia. Sawah padi Taiwan sentiasa digunakan
sepenuh maksimum. Penanaman padi diselang-seli dengan ternakan siput dan ikan serta
udang. Bayangkan betapa agressif dan berkesannya teknologi pertanian di sebuah
kepulauan yang mempunyai cuaca bersifat sab-tropika.
Taiwan mempunyai media yang amat kritikal terhadap prestasi kerajaan yang
memerintah. Kerana itu kira kerap melihat pergadohan di dewan parlimen mereka di
antara parti pemerintah dan parti pembangkang. Inilah kesan ketelusan akhbar di sana
di mana setiap wartawan cuba memaparkan berita yang berpaksikan 'investigative
reporting'. Kekuatan terbesar ekonomi Taiwan terletak kepada semangat persatuan
bekerjasama mereka yang disokong kuat oleh sistem perbankan negara. Kalau kita lihat
akan armada kapal penangkapan ikan Taiwan di perairan Arjentina hingga ke Lautan
Merah, semua kapal itu adalah kepunyaan koperasi rakyat marhaen Taiwan.
Kita boleh bandingkan negara ini dengan Switzerland sebuah negara tersepit di
tengah-tengah tamadun Eropah. Kekayaan warisan negara itu hanyalah 'batu' dan
'salji'. Tetapi, di sanalah tersimpannya emas berbungkal dan harta karun kebanyakan
pemimpin negara sejak manusia mengenal tamadunnya. Lebih enam puluh peratus manusia
yang ada di Switzerland adalah pendatang dari luar. Mereka mula-mula menjadi petugas
kepada semua institusi pertubuhan bangsa sejagat yang mendahului PBB. Kini, ramai
berada di situ kerana terdapat banyak institusi Bank Dunia dan cawangan hampir setiap
bank yang besar di dunia. Kekuatan terbesar Switzerland ialah 'RAHSIA'. Inilah negara
yang mempunyai akta khas mengenai rahsia perbankan yang amat dipercayai oleh semua
penyimpan wang di sistem perbankannya.
Tanyalah sesiapa yang lama bertugas di Switzerland, bagaimana gelagat pemimpin dunia
yang datang 'beristirehat' di Switzerland. Kepakaran orang Switzerland menyimpan rahsia
membuatkan ramai pemimpin politik negara ini yang suka melakukan missi perdagangan
ke Eropah dan Amerika dengan melakukan 'stopover' (persinggahan) sehari dua ke
Switzerland. Anda boleh membuka akaun rahsia di bank Switzerland di setiap lobi hotel
lima bintang di sana. Tidak perlu pergi ke bank yang besar-besar, memadai dengan
membukanya di cawangan kecil yang terdapat di sebelah meja penukar wang hotel sahaja.
Inilah sebabnya setiapkali tertabalnya kerajaan baru di negeri-negeri, ada sahaja
lawatan perniagaan yang akan ditaja oleh Menteri Besar yang terbaru ke Eropah. Mereka
ingat rakyat Malaysia bodoh sangat apa sebenar tujuan lawatan mereka itu. Bukankah
Menteri Perindustrian Negara sentiasa sahaja mengelilingi dunia untuk menaikkan ekonomi
negara? Tidak cukupkah lagi dengan peranan Pesuruhjaya Perdagangan di setiap negara
di Eropah itu sehingga exco UMNO pun perlu membuat missi perdagangan di Eropah.
Apakah mereka fikir orang Eropah baru setahun jagung pengalamannya dalam dunia
perniagaan? Mampukah doktor yang hanya pandai tampal dan cabut gigi berdebat dengan
tuanpunya perdagangan yang sudah lebih empat ratus tahun usia perdagangannya? Mampukan
seorang bekas jaga get keretapi bercakap mengenai perniagaan global?
Kemajuan sesuatu bangsa itu tidak boleh dinilai dengan adanya bangunan menara kembar
dunia tertinggi di dunia. Tidak juga kerana ia mampu membuat lapangan terbang yang lebih
besar dan lebih murah daripada bikinan negara asing. Tidak juga kerana ia mampu
membuat bendera negara yang terpanjang di dunia. Ataupun kerana ia mempunyai seorang
pelayar yang telah berani mengelilingi dunia bersaorangan. Semua itu bersifat relatif
sahaja. Dunia sejagat tidak menilai kebesaran sesuatu bangsa itu kepada pembinaan
sesuatu yang relatif. Sejak Malaysia menerima kemerdekaannya, Allah telah mengurniakannya dengan pelbagai
kemewahan yang boleh membuat orang asing irihati dan menggeleng kepala. Mereka irihati
kerana tidak ada negara lain yang menerima segala kemewahan itu sehinggakan Malaysia
mampu menjadi satu negara yang besar. Tetapi mereka menggelengkan kepala kepada
kebodohan kepimpinan Malaysia selama ini yang tidak tahu menilai peluang kemewahan
yang Allah hamburkan. Ramai orang asing naik pening memikirkan kenapakah Malaysia tidak
membangun sehebat Taiwan ataupun Switzerland ataupun Singapura? Taiwan menjadi hebat
kerana menguasai industri elektronik kecilan dunia. Switzerland hebat kerana
menguasai perkhidmatan perbankan dan percutian dunia. Singapura hebat kerana menguasai
industi perkhidmatan pos, perkapalan dan udara dunia. (Tidak ramai orang yang tahu
bahawa sejak berpuluh tahun lamanya Pos Singapura merupakan 'hub' pengagehan mel dan
bungkusan dunia yang terbesar).
Malaysia tidak mampu menjadi sebuah negara yang hebat kerana otak rakyat Malaysia
sudah dipasak dan dipukau laksana seekor gajah yang takutkan rantainya (saya pernah
menulis akan fenomena ini dan meminta jasabaik PW menerbitkannya semula).
Malaysia hebat hanya kerana TV dan radio Malaysia mengatakan ianya hebat. Malaysia
hebat kerana Mahathir dan Projek 'Malaysia-Boleh' mengatakan Malaysia hebat. Kita
perlu soal dirikan lama-lama dan dalam-dalam, adakah negara yang saya sebutkan hebat
tadi (Taiwan, Singapura dan Switzerland) pernah menaja satu pasukan penerjun untuk
turun di Khutub Utara dengan sebuah kereta buatan mereka? Adakah mereka menaja satu
pasukan payung terjun turun di Khutub Selatan? Jawapannya tidak. Tetapi mereka memang
sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya dua pasukan (seperti juga Indonesia) yang mendaki
Everest setiap tahun. Berapakah hebatkah Malaysia kalau projek LRT yang sepatutnya siap
untuk digunakan oleh Sukan Komanwel masih lagi terpacak tanpa kesudahannya?
Setiap kali UMNO membuka mulut di kampung-kampung apakah yang mereka laungkan? (i)
Dulu, Kini dan Selamanya; (ii) Umno itu Kerajaan dan Kerajaan itu UMNO; (iii) Orang
Melayu hanya boleh maju melalui UMNO; (iv) Hanya UMNO yang mampu menjamin ketuanan
Melayu dan keutuhan agama Islam. Inilah cogankata yang dianggap 'kunci-kata keramat'
yang dipasak kepada otak orang Melayu sejak dua puluh tahun yang lalu. Inilah mainan
politik yang berputar di minda orang Melayu. Empat kunci kata ini sebenarnya menjadi
penghalang otak orang Melayu yang mahu maju. Dengan lain perkataan, cogankata UMNO
merupakan penyedap untuk orang Melayu lalai. Kerana Melayu sudah lalai laksana orang
yang dipukau makanya mereka terpaku di takuk lama tanpa membangun secara menyeluruh.
Kerana itulah Mahathir dan para juak dan sukusakatnya berada di satu tahap yang
selamat tanpa diganggu gugat oleh kuasa besar.
Setiap cogankata UMNO memang disokong oleh banyak projek kerajaan yang mahal harganya.
Malahan pelancaran majlis perdana projek itu sahaja memakan ratusan ribu ringgit.
Contohnya ialah Projek Rakan Muda. Lebih satu ratus juta ringgit telah dibelanjakan,
tetapi kos pengiklanan sahaja menelan tujuh puluh juta ringgit. Kerana itu kita kerap
terbaca tulisan puja-memuja oleh orang tertentu yang menjadi kaya raya melalui
pengiklanan sahaja. Kalau projek BTN dan KEMAS begitu berkesan untuk memukau pemikiran
orang Melayu, bagaimana pula boleh timbul teori Melayu sudah berpecah?
Lain Gendang Lain Tarinya BTN dan KEMAS dikerah dengan belanja rakyat marhaen untuk mencanang bahawa UMNO
dibawah kepimpinan Mahathir Mohamad ialah sebuah parti yang sungguh proaktif dan amat
memikirkan masalah rakyat jelata. Itulah lagu yang kerap digendang dan didendangkan.
Tetapi apa yang sudah jadi akhirnya? Getah dan Sawit merudum harganya sejak tiga
setengah tahun yang lalu. Di waktu yang sama, Mahathir, Rafidah Aziz dan Paklah
bersimpang siur mengelilingi dunia lebih hebat daripada Ketua Setiausaha Negara
Amerika. Apakah kerja mereka sebenarnya?
Kini, harga proton naik lagi, sedangkan seluruh dunia tahu bahawa Proton adalah kereta
basi yang sudah hampir dibuang oleh Mitsubishi. Lihat, Mitsubishi terpaksa menarik semula
lebih 95,000 kereta buatannya di seluruh dunia. Yang peliknya, tidak ada satu pun kereta
proton yang dikatakan bermasalah. Orang Melayu diajar agar berbangga dengan Proton dan
Produa. Malahan Proton Waja 'adalah kereta rekaan anak tempatan'. Sila buka
www.mitsubishi.com dan buka bahagian segala model dan produk keluarannya. Anda akan
perhatikan apakah Waja itu betul-betul rekaan anak Malaysia.
Demikianlah cara otak Melayu itu diperam agar tidak menjadi geram. Orang Melayu dianggap
oleh pemimpin UMNO sebagai kilang memangkah kertas undi sahaja untuk memilih calon undi
UMNO di pilihanraya. Inilah tugas sebenar BTN dan KEMAS. Tetapi, kalau KEMAS dan BTN
mampu menggembeling fikiran orang Melayu untuk bersatu, tidak ada satu ekar pun tanah
kosong orang Melayu yang terbiar begitu sejak berpuluh tahun yang lalu. Segala taktik
membekukan pemikiran Melayu daripada maju seirama dengan kemajuan dunia menyebabkan
pemimpin Melayu seperti Mahathir sengaja dijaga oleh Amerika agar terus berkuasa tanpa
sebarang masalah. Inilah taktik yang digunakan oleh British, Peranchis dan Jarman
terhadap Kamal Ataturk satu ketika dulu di Turki. Inilah juga puncanya orang Turki
diajar untuk mencampakkan kopiah dan tarbus mereka dan memilih topi buatan barat,
sedangkan topi itu belum dipastikan asal usul kulitnya. Sekaligus, Turki hingga ke hari
ini menjadi satu negara yang kebingungan sedangkan Barat melihatnya sebagai sebuah
benteng yang berbentuk penampan kemaraan pengaruh Islam untuk berhijrah balik ke rantau
yang pernah dikuasainya. Orang Melayu menjadi kebingungan dan meraba-raba sejak dua puluh tahun lamanya. Pemikiran
orang Melayu sudah dipukau begitu cantik sekali dengan segala slogan yang hangat-hangat
dan segala projek yang berbentuk mega. Laksana orang bermain kuda-kepang yang terpaksa
menunggu berjam lamanya sebelum dia merasakan 'kudanya' itu betul-betul terbang,
sedangkan ia hanya kulit dan buluh bikinan manusia yang menyerupai kepala kuda. Bayangkan
mainan kuda kepang dengan mainan tarian naga ataupun tarian singa yang betul-betul
memerlukan satu kecekapan yang hanya dapat dimantapkan melalui latihan yang berdisiplin.
Inilah kiasan yang berlaku kepada orang Melayu yang disogok oleh kepimpinan UMNO dengan
ajaran persis mainan kuda kepang. Kita khayal kerana kepimpinan yang curang dan bertaraf penyangak. Inilah prestasi orang
Melayu pimpinan UMNO yang dilantik menjadi wakil rakyat. Sebaik sahaja mengangkat sumpah
menjadi wakil rakyat mereka lupa akan sumpahan mereka itu bahawa mereka adalah 'wakil'
kepada rakyat. Memang anih kalau difikirkan bagaiman seorang wakil rakyat mudah lupa
daratan. Tentu kita ingat akan kisah seorang wakil rakyat yang membawa wang ke Australia
secara berkilo beratnya. Bagaimana pula dengan kes Haji Waad yang kemudiannya
dibebaskan oleh mahkamah. Kini, ada satu kes lagi membabitkan wakil ADUN Senaling. Kalau
isteri keduanya itu tidak menuntut pembelaan rakyat marhaen tidak akan mudah mengetahui
bagaimana seorang wakil rakyat Senaling boleh mempunyai tanah yang luas di Lukut. Ini
baru dua kisah ADUN Negeri Sembilan. Belum lagi kisah Menteri Besar yang dikatakan
bukan kepalang besar penyangaknya. Mahathir pernah memberikan gelaran 'penyangak' (penyangak matawang) kepada George Soros.
Oleh itu tidaklah salah kalau kita katakan hampir semua pemimpin UMNO yang menjadi wakil
rakyat adalah penyangak juga. Sekaligus Mahathir adalah raja segala penyangak Melayu.
Keadaan ini berlaku kerana media tidak menjalankan peranan mereka.
Taiwan maju kerana setiap kelakuan wakil rakyat diteliti dengan teropong yang paling
besar oleh medianya. Apa juga kelakuan mereka memang diberikan ruang yang besar.
Singapura menonjol kerana setiap projek kerajaan mendapat penelitian yang rapi oleh
medianya. Tetapi, di Malaysia pihak medianya adalah bertaraf penyangak jua. Ramai
wartawan Melayu sanggup bersekongkol dengan wakil rakyat atas dasar 'menjaga periuk
nasi.' Contoh yang terbaik ialah berita TV3 yang mengatakan bahawa PAS hanya memberitahu
pembatalan perundingan dengan menyusupkan surat notis itu ke bawah pintu ofis Khalil
Yaakob. Ini adalah satu pembohongan besar yang telah dinafikan oleh pegawai Khalil
Yaakob sendiri. Kenapakah TV3 tidak pernah mengungkit betapa surat Mahathir mengajak PAS
berunding itu dikeluarkannya atas nama seorang perdana menteri dengan beralamat di
Putrajaya? Bukankah itu menepati slogan bahawa UMNO itu Kerajaaan dan Kerajaan itu UMNO?
Sikap wartawan Melayu membuat laporan untuk hidup dan mengampu, membuatkan majoriti
Melayu pada keseluruhannya hampir-hampir hidup laksana katak di bawah tempurung. Apa yang
disogok oleh TV dan akhbar Melayu itulah dunia pengetahuannya. Mujur, ada internet dan
laman reformasi untuk memberikan ruang berbeza untuk orang Melayu mencapai kebenarannya.
Wartawan Melayu pada keseluruhannya sudah tidak pandai menulis secara menganalisa
sesuatu situasi. Yang mereka pandai ialah memfitnah dan mencipta berita bohong. Sila
buka ruangan yang menyiarkan bahan gosip di Utusan Melayu. Naik jijik dan mual
beritanya. Anihnya penulis gosip itu kerap bercerita mengenai kaabah. Beberapa minggu
yang lalu ada seorang penyebar gosip merintih kerana isteri M. Nasir enggan memberitahu
sama ada dia sedang hamil ataupun tidak. Bagi saya, apabila sesaorang itu hamil, itu
adalah rahsia peribadinya yang tidak ada kena mengena dengan prestasi suaminya. Tetapi,
cerita semacam itu pun boleh dijadikan bahan oleh wartawan kelas begini.
Oleh kerana kemajuan orang Melayu itu dinilai daripada apa yang dipaparkan oleh media,
kita lihat peranan wartawan amat penting dalam kemajuan bangsanya. Begitu juga dengan
tahap pemikiran dan tingkah laku wakil rakyat. Mujur juga sistem pentadbiran negara yang
diwarisi oleh PTD (Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik) adalah berasaskan sistem British.
Golongan ini mempunyai sistem di mana isteri-isteri (mungkin juga termasuk suami
pegawai wanita) pegawai PTD diberikan kursus khas secara beragenda agar mereka
berfikiran selari dengan kemajuan peningkatan pangkat si suami/isteri.
Tetapi, saya jarang mendengar betapa isteri para wakil rakyat menjalani kursus khas
untuk memperbaiki diri mereka. Mungkin kerana mereka sibuk ataupun kerana majlis yang
dikelolakan oleh BTN, Kemas dan Bakti ataupun tugas mengiringi suami membuatkan mereka
tidak ada kesempatan masa. Tetapi, kalau kita lihat golongan Mak Andeh (pinjam istilah
Wak Amin Sapiro) memang diketahui mereka memainkan peranan yang amat besar untuk
menjadikan suami mereka hebat sebagai penyangak sahaja. Sila buka majalah yang
memaparkan fesyen orang Melayu dan lihat keadaan rumah wakil rakyat dan cuba cari
cerita siapakah wakil rakyat itu sebelum menjadi wakil rakyat. Bagaimanakah wakil rakyat
kita mampu mempunyai segala isi rumah yang berjuta harganya sedangkan sebelum itu wakil
itu adalah seorang guru KEMAS ataupun tukang engsot pagar keretapi, ataupun ketua
kumpulan kompang dan rebana ubi ?
Yang penting kepada kuasa besar itu ialah Malaysia yang kaya raya dengan segala hasil
bumi yang ada harus membelanjakan wangnya untuk projek gila-gila. Tidak kiralah kalau
separuh anak-anak Melayu yang bersekolah di kampung dan desa terpaksa belajar sambil
berlapar. Yang penting kepada kuasa besar itu Mahathir memerintah negara mengikut acuan
mereka walaupun Mahathir boleh bersuara lantang bahawa Malaysia membangun mengikut
acuan seorang malbari. Kemajuan bagi Mahathir ialah apabila orang Melayu di
kampung-kampung sudah tidak bercawat lagi.
-Marhaintua-
22.2.2001 |