Laman Webantu KM2A1: 3876 File Size: 6.0 Kb * |
Banduan atau Bantuan?? By MSuri 28/2/2001 8:42 pm Wed |
[Kisah ini membayangkan betapa institusi kehakiman dan polis begitu tercemar
sekali. Mereka bukan memberi bantuan tetapi mahu diri mereka sendiri senang
lenang tanpa perlu bertugas panjang. Pihak polis selalunya tidak ingin anda
melapurkan kehilangan sesuatu bersabit orang lain kerana itu memerlukan
mereka berkerja lebih (mencari dan menyiasat pencurinya) sedangkan gaji mereka
sendiri tidak memadai. Maka mulalah mereka mencari wang lebih atau cuba
membereskan kerja secepat mungkin - mendera atau menjual makanan dalam lokap
dan penjara. Malah ramai yang ditangkap tanpa direkod apa-apa kerana mereka
menunggu sesuatu sebelum menulisnya....
- Editor] Banduan atau Bantuan?? Pernah anda di penjarakan? Pasti tak ramai yang sanggup mengaku dan tak ramai juga yang merasa makan nasi
kukus berlauk ala kadar di tembuk batu berpagar besi itu. Saya tak salah kan
anda, ini kerana anda dilahirkan kemungkinan memang bukan untuk terpenjara
tetapi sebaliknya minda anda yang sering dipenjarakan disebabkan ia hanya
sebesar otak siput. Kenapa saya berkata demikian? Sebabnya secara jujur saya mengaku yang saya
pernah merangkok hampir 6 kali di penjara Pudu, Kajang, Penor dan Kem Kemunting
hanya kerana saya terlalu 'nakal' dalam usaha mengisi perut. maklumlah, sekolah
sampai darjah empat, mana ada kelayakan untuk bersaing dengan anda semua yang
bijak-bijak belaka. Kes pertama, ialah kes naiya! Disebabkan ikut rakan yang mengajak pergi makan
angin di Pantai Morib, saya terjebak dek polis apabila mereka menuduh saya
mencuri lori kecil yang dipandu oleh rakan saya itu. Hakikatnya, saya baru
berusia 15 tahun... dan saya tak tahu langsung nak pandu lori. Malah, saya tak
tahupun yang lori itu lori curi. Nak tahu apa berlaku pada saya? Polis yang ditugaskan menjaga keamanan rupa-
rupanya hanya pandai 'mendera' dan 'menyeksa' untuk mendapat pengakuan. Mereka
melakukan pelbagai cara termasuk memukul kaki saya dengan getah paip hitam,
menyepit jari menggunakan pen, memukul, menampar, dan menarik rambut sampai
tercabut. Bila saya tabah melalui semua penyeksaan itu, mereka tambah 117 sebelum
menghadapkan saya kemuka hakim. Disebabkan saya Juvana, masa tu saya tidak
dapat dihantar ke penjara (remand) bila tiada penjamin. Saya hanya diletakkan
di dalam lokap dan ia berlarutan hingga enam bulan lebih.
Hakim yang mengadili saya masa tu ialah Hakim Wan Adnan... dan saya masih ingat
wajahnya yang tenang dan pandai memujuk. Dia telah memujuk saya agar mengaku
bersalah dan menawarkan pembebasan saya dengan jaminan berkelakuan baik selama
dua tahun. Saya yang bodoh, menerima sahaja tawaran Hakim tersebut walaupun saya tidak
bersalah. Selepas menandatangani surat dibilik bawah mahkamah, saya dilepaskan
dan berakhirlah tugas seorang penegak undang-undang. Yang memandam rasa ialah saya kerana selepas 15 tahun pengakuan bersalah saya
itu, barulah saya sedar bahawa rekod jenayah tetap tercatit meskipun ia nampak
mudah, ibarat Cinderalela mendapat impiannya.
Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan? SAYA, POLIS, HAKIM ATAU RAKAN
SAYA MENCURI LORI ITU TANPA PENGETAHUAN SAYA???? Saya tahu, pastinya ada antara
anda yang tidak percaya perkara sebegini boleh berlaku. TERPULANG!!
Kalau nak tahu, kesan mendiami lokap selama 6 bulan itu telah mempengaruhi
kehidupan saya apabila saya bercampur dengan penghuni lain di situ. Akibatnya,
saya kemudiannya memasuki lokap dan kemudian penjara lagi. Kali ini, secara sah
kerana saya melakukan jenayah hasil pengalaman yang dipelajari di bilik
kurungan itu. Dan saya hanya menyesal apabila hidayah muncul dari Allah, tetapi sayangnya
sudah terlambat kerana sudah bergelar 'BEKAS BANDUAN'. Satu sebutan yang
lantang disebut oleh segelintir pihak yang bangga pada diri mereka kerana
bersih, suci dari dosa kerana tidak bergelar 'BANDUAN'.
Sememangnya, saya tabik pada anda yang tidak bergelar 'BANDUAN'. Tapi, saya
tetap bangga pada diri sendiri kerana berpengalaman dan tahu sedikit sebanyak
tentang perjalanan penjara, tugas pegawai penjara, karenah banduan lain, cara
makanan di situ, kehidupan sosialnya dan macam-macam lagi yang tidak dapat anda
bukan BANDUAN perolehi walau memiliki wang berjuta.
Lebih penting lagi, saya tahu perjalanan penyiasatan polis, keadilan hakim dan
kebangsatan pendakwaraya dalam menyelesaikan satu-satu kes secara 'fast'.
Kesimpulannya, jangan menghina bekas BANDUAN kerana mereka bukan BINATANG atau
HAIWAN yang minta dilayan begitu. Mereka juga manusia biasa yang kadangkala
jadi mangsa ketidakadilan dalam masyarakat yang kelam-kabut mencari dosa.
Ikhlasnya, saya simpati pada Anwar. Dakwaan layanan khas oleh segelintir pihak
yang tidak merasa keperitan penjara amat mendukacitakan. Jika begitu andaian
anda, mulai hari ini, anda bolehlah meminta pihak penjara memberi makan nasi +
sambal belacan pada banduan asing seperti mat saleh.
Bukan apa, walaupun mereka banduan yang sama seperti saya, tetapi mereka tetap
makan roti, keju, epal berbanding banduan tempatan. Malah banduan benggali
turut merasa makan capati... bukankah itu keistimewaan juga namanya??
Bagi anda yang hanya pandai menghina bekas banduan, silalah masuk dan menjadi
seperti kami untuk merasa sendiri peritnya hidup dipenjara. Jangan bongkak,
penjara bukan susah untuk dimasuki kerana banyak kes yang boleh menjadikan anda
seorang banduan tanpa anda duga. Ia mungkin hanya menanti masa dan ketikanya sahaja!
bersabarlah... INSAN DUKA. |