Laman Webantu KM2A1: 3880 File Size: 35.9 Kb * |
Siri 8 MMM: Yang Naik Lemak Dan Yang Naik Minyak By Marhain Tua 1/3/2001 7:47 pm Thu |
MMM8 [Mahathir berlagak seolah-olah beliaulah hero Malaysia dan mahu semua
memperakui kehebatannya. Padahal kita semakin berhutang dibuat oleh wawasan
sewelnya tetapi dia dan raja bukan main lagi hidup bergaya di dalam istana.
Mahathir dan Umno semakin naik lemak kerana semua institusi dikawal oleh
orang pilihan mereka. Ada yang naik minyak sehingga menoda gadis dan dana,
membunuh ulamak dan mengaibkan orang tanpa merasa berdosa. Tetapi orang
orang yang sesat dibiarkan pula. Diajak bertemu banyak kali didiamkan saja tetapi menangguh sedikit bising sedunia. Itu semua bukan budaya wira jagoan
perpaduan melayu di nusantara. Minyak dan lemak memang merbahaya apatah lagi jika ia sudah menyelimuti negara.
Hanya sedikit panas sudah mampu membakar semua yang ada termasuk rakyat yang
tidak berdosa. Ketika itu orang melayu akan hilang dunia mereka kerana semua
kekayaan sudah hangus menjadi tiada. Satu bulan yang lalu Mahathir Mohammad mengajar kerajaan Jepun bagaimana memperbaiki
ekonomi mereka. Semalam, pada 27 Februari, 2001 dia berucap di Beijing mengajar
dunia sejagat bagaimana kuasa-kuasa besar dunia harus dikenakan cukai khas untuk
membantu negara-negara miskin menjadi kaya. Alangkah sewel punya kerja yang
dilakukan oleh insan yang bergelar Wira Dunia Ketiga, hasil jolokan Dato' Wira
Ibrahim Ali. Tetapi itulah hakikatnya yang mesti diterima dengan hati yang terbuka oleh semua
rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu di dalam UMNO. Diktator Mahathir
tidak akan berhenti di situ. Dia akan terus mengajar dunia laksana seorang
professor yang berfikir hanya dia yang mampu menyelamatkan dunia ini. Dia fikir taktik
ini adalah sebaik kaedah untuk menarik balik perhatian dunia untuk mendengar
celotehnya. Tetapi itulah gelagatnya mahu berlakon lagi. Kalau dia serius dengan
saranan itu kenapa tidak mengucapkannya di Davos yang baru sahaja selesai
persidangannya? Bukankah di situ ramai pemimpin negara yang hadir, termasuk ketua
korporat dunia seperti Bill Gates yang turut serta? Ataupun apakah benar pada kali
ini Persidangan Davos tidak pun teringat dan teringin menjemput kehadirannya?
Kita sedar betapa Mahathir perlu berlakon dan seluruh negara akan terus berdiam
diri. Seperti ketika mengisytiharkan Dasar Pandang ke Timur (Look East Policy),
semua orang diam sahaja, sedangkan lokasi Jepun adalah di utara Malaysia
(Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak) dan bukannya ke Timur. Itu sebabnya
apabila Mahathir berkata bahawa Malaysia maju dan kaya raya kerana pengurusan
mengikut acuan sendiri, semua orang diam membisu sambil tergelak besar di dalam
hati. Apabila ekonomi negara merudum di rantau Asia, kita dapati pemimpin negara jiran
melaksanakan pelbagai kaedah berjimat sambil memulakan program pembangunan ekonomi
negara semula. Filipina dan Indonesia bergolak kerana rakyat terpaksa akur kepada
perlembagaan negara yang mahukan berlakunya peralihan kuasa. Di Thailand, kerajaan
bertukar dengan perlantikan perdana menteri baru dan kabinet yang baru. Raja
Bhumipol dan seisi keluarganya terus berusaha membantu rakyat yang menderita.
Malahan baginda mengambil sikap menetap di negaranya kerana mahu menjimatkan belanja
negara. Di Malaysia, apabila ekonomi negara menghimpit jiwa masih ramai raja-raja Melayu
yang bersantai keluar negara. Sebaik sahaja YDP Agong bertukar kuasa, yang lama
(kini YT Negri Sembilan) pergi bercuti ke Argentina, yang baru (Sultan Selangor)
mampu pula bercuti melihat Sukan Olimpik di Australia. Sekembalinya, YDPA telah
bersetuju untuk menjual tanah rakyat di Selangor kepada kerajaan Persekutuan
untuk ditukar nama menjadi Putrajaya. Sultan Kelantan telah bersantai ke Dubai seolah
ramai penduduk Kelantan bermastautin di sana. Sebelum itu, dia telah melaksanakan majlis
'buruk-siku-diraja' dengan menarik gelaran bintang yang pernah diberikan kepada rakyat
jelata. Gelagat raja-raja bersantai ke luar negara dengan iringan beberapa pegawai
istana adalah satu perbelanjaan besar yang sepatutnya tidak diamalkan lagi
ketika negara sedang dilanda krisis ekonomi. Sekaligus, apabila raja-raja berucap
kepada rakyat dan bertitah agar rakyat berjimat, titahnya itu hanya layak
dibakul-sampahkan sahaja. Begitu juga halnya apabila raja melakukan budaya
buruk-siku, apakah dia fikir boleh terus berperangai biadap semudah itu? Inilah yang
mesti difahami oleh rakyat kerana sudah sampai masanya warga istana itu disedarkan
bahawa mereka tidak boleh bersikap seperti raja-raja Melayu kuno lagi kerana kini
adalah zaman IT dan bukan zaman raja mesti disembah sehinggalah rakyat sanggup
berjuang sampai mati. Warga istana berbelanja besar sehingga sukar difahami oleh
rakyat. Begitu juga dengan sikap raja-raja masih menggaji pawang di istana. Untuk apa
semua itu sedangkan amalan pawang dan jembalang itu bukannya mainan orang beragama
Islam? Kemudahan raja-raja bersantai ke luar negara sedangkan ada rakyat yang kelaparan
dan anak-anak sekolah yang tidak mempunyai upaya membayar yuran peperiksaan mereka,
adalah satu gambaran betapa pincangnya ekonomi negara yang diurus oleh seorang
diktator tua. [Nasib malang peneroka Felda berikutan kejatuhan harga minyak
kelapa sawit- Editor] Kita masih ingat lagi apa yang dilakukan oleh si diktator tua ini sebaik sahaja kes
Anwar Ibrahim mula didengar di mahkamah. Dia berlagak sakan mengelilingi dunia
dengan laungan betapa dia mampu memulihkan ekonomi negara. Beberapa persidangan besar
ditaja di luar negara untuk dia menjadi tukang ucap utama. Malaysia juga menghantar
puluhan pegawai tinggi kerajaan untuk menyertai ratusan tauke-tauke korporat
negara menghadiri persidangan besar-besar itu, sedangkan perbelanjaan mereka semua
sudah mampu membayar segala kos peperiksaan anak-anak keluarga miskin untuk
mengambil peperiksaan mereka. Tetapi, kehadiran pegawai tinggi kerajaan itu dianggap
sebagai penting untuk memberi 'credibility' ataupun kesahihan kepada ketokohan
seorang diktator tua yang memberikan ucapan utamanya. Malahan, ada maklumat yang
dikirimkan kepada kita mengatakan salah satu sebab penerbangan MAS lingkup ialah
kerana terpaksa menaja penerbangan pemimpin dan rombongan daripada Afrika untuk
menghadiri persidangan di Langkawi dan juga persidangan lain di mana si diktator tua
memberikan ucapaan utamanya. Apakah tajuk ucapannya itu kalau bukan cara Malaysia bangkit semula dan 'Bagaimana
mahu memulihkan ekonomi yang diganyang oleh penyangak matawang asing'. Kini, semua
kata-kata bongkak yang diucapkan mengenai pemulihan ekonomi itu ternyata tidak ada
satu pun yang melegakan rakyat marhaen di negara ini. Namun, si diktator tua
yang angkuh itu masih lagi cuba menonjolkan dirinya di pentas dunia. Inilah yang
dikatakan oleh orang dulu-dulu; 'kokok berdarai-darai ekor begelumang tahi juo !!!'
Menyedari betapa ekonomi negara merudum seiring jalan dengan merudumnya nama besar
UMNO dan nama gah Mahathir Mohamad, kita dapati usaha gigih oleh satu 'badan ghaib'
yang mahukan UMNO dan PAS duduk semeja berbincang mengenai perpaduan orang Melayu.
Kita tidak boleh katakan bahawa persidangan itu adalah berasaskan keinginan
keseluruhan ahli UMNO, kerana dalam UMNO sendiri sudah wujud Badan Bertindak Melayu
yang telah mengutuk dan mencemoh Mahathir secara terang-terangan.
Tujuan sebenar BBM secara lahiriahnya ialah mahukan Mahathir undur agar UMNO
dapat bernafas semula seperti yang mereka impikan. Saya pernah menulis bahawa itu
semua adalah lakonan semata-mata kerana adanya pembabitan Ibrahim Ali. Sejarah
sudah menunjukkan kalau Ibrahim Ali terbabit dalam sesuatu majlis di negara ini;
tidak kiralah kalau majlis itu mengganyang orang luar ataupun orang dalam, ia hanya
merupakan satu lakonan sahaja. Ibrahim Ali sanggup menggunakan sesiapa sahaja untuk
melakonkan skrip olahannya. Rakyat marhaen masih ingat lagi betapa Ibrahim mengupah
budak-budak sekolah untuk berdemo di tepi jalan memperlekehkan Amerika. Dia lupa
yang diperlekehkannya ketika itu adalah anak-anak sekolah yang tidak pun mengerti
apa-apa. Rakyat Marhaen hanya perlu membaca 'Dua Wajah' tulisan Syed Hussein
Ali (Presiden PRM) untuk menyedari betapa pengecutnya Ibrahim Ali itu sebenarnya.
Ibrahim Ali hanya berani bersuara lantang di hadapan khalayak ramai dan di depan
corong mikrofon sahaja. Kita dapat rasakan Mahathir kini sudah menjadi seorang yang 'gila isim', kerana
terlalu ghairah untuk berucap di hadapan orang ramai. Tidak kiralah kalau majlis itu
satu persidangan UMNO ataupun satu majlis kecil penyerahan sijil kepada murid
sekolah ataupun sesiapa sahaja, asalkan majlis itu dilangsungkan di satu suasana
yang dikira selamat bagi dirinya. Mahathir lebih selesa dengan majlis semacam itu
daripada melihat keadaan hidup orang Melayu di kampung-kampung yang semakin tergugat
oleh dasar pemerintah yang tidak pernah ambil pusing terhadap rakyat marhaen yang
susah. Gelagat Mahathir yang sudah lupa daratan adalah hasil kaedah UMNO ditadbirkan
sejak dua puluh tahun yang lalu. Mahathir hanya akan sedar (atau pura-pura sedar)
penderitaan rakyat setiap kali diadakan majlis tepuk amai-amai di PWTC di mana para
perwakilan mendengar ucapan berdegar-degar para perwakilan parti. Ketika itu akan
disentuh segala penderitaan rakyat secara gambaran sahaja, sedangkan gambaran itu
hanya merupakan selingan kepada segala ucapan puja-memuja dan puji-memuji pucuk
pimpinan parti yang diketuai oleh 'presiden seumur hidup yang paling dikasehi'.
Apakah hasil segala ucapan itu akan memperbarui cara hidup rakyat marhaen yang
miskin? Tidak! Perhimpunan semacam itu digunakan untuk melaksanakan program menindas
rakyat lagi. Apabila UMNO bertindak menyuruh Petronas mengubah warna hijau
daripada logonya, pembaziran wang rakyat marhaen berlaku kerana Petronas adalah hak
rakyat. Apabila UMNO membincangkan kes pengharaman HARAKAH, yang rugi adalah rakyat
kerana mereka dinafikan hak membaca maklumat yang tidak diputar-belitkan untuk
memihak kepada UMNO. Apakah perlunya satu 'rehearsal' (raptai) untuk persidangan tahunan itu kalau tujuan
sebenarnya ialah untuk melakukan satu latihan bagaimana segelintir pemimpin UMNO mahu
terus memutar minda golongan yang lebih besar lagi? Dengan lain perkataan, setiap
kali persidangan tahunan UMNO itu dilangsungkan, segala agenda yang diatur itu sudah
dirancang awal-awal lagi untuk menyejukkan suasana agar hujah para perwakilan sudah
hilang sengat dan bisanya. Jadilah persidangan itu satu majlis 'tepuk-amai-amai'
sahaja, akhirnya. Itu sebabnya masalah kehidupan orang Melayu masih lagi ditakuk lama kerana UMNO
sebagai tunggakan ketuanan Melayu itu sudah jauh menyimpang daripada perjuangan
asalnya. Kerana itu, UMNO kini sudah tidak seperti dulu dan selamanya akan hilang
kepercayaan orang Melayu. Strategi ini memang menjadi satu amalan yang direstui oleh hampir semua pemimpin
dalam parti kerana mereka amat takut kalau-kalau ada perwakilan yang akan mendedahkan
'telur tembelang' yang mereka simpan selama ini. Saya pernah berbincang dengan
beberapa veteran UMNO Negri Sembilan mengenai hal ini dan ingin merakamkan beberapa
maklumat yang mereka minta saya tulis untuk pengetahun orang Melayu yang akan memilih
ahli jawtankuasa baru di peringkat bahagian tidak lama lagi.
Kebanyakan cawangan UMNO sudah tidak wujud lagi. Bagaimana bahagian dapat terus
bertahan dan memilih perwakilan akhirnya ke PWTC merupakan satu muslihat politik yang
diatur oleh wang ringgit juga. Itu sebabnya setiap projek kerajaan yang melibatkan
kerja-kerja kontrak mesti dianugerahkan kepada orang UMNO sahaja. Tidak kiralah
kalau orang yang 'memenangi' kontrak itu seorang bekas guru besar sekolah ataupun
seorang bekas peon pejabat kerajaan. Yang menjadi paspot untuk orang Melayu mendapat
tender kerajaan ialah dia mesti menjadi ahli UMNO dulu. Kesannya, apabila kontrakator
Melayu itu mendapat kontrak membina bangunan (katakanlah sekolah baru) ia akan
menyerahkan semua kerja kontrak itu kepada orang Cina sambil memakan keuntungan
komisen sekitar sepuluh peratus. Kerana itu kos kontrak pembinaan sekolah yang sekitar
1.4 juta (contohnya) akan dilaksanakan dengan belanja sekitar RM900,000 sahaja,
kerana kontrak berkenaan terpaksa memperuntukkan segala sogokan kepada orang-orang
tertentu. Contoh kerja-kerja kontrak yang 'hancai-bancai' boleh dilihat tersergam megah di Bukit
Jalil dan juga di Stadium Malawati di Shah Alam. Cuba perhatikan stadium itu dan
lihatlah bagaimana rupa cat yang telah digunakan pada bangunan itu. Belum pun lima
tahun bangunan itu, rupanya buruk seolah-olah dibina selepas Perang Dunia Kedua dulu
lagi. Beberapa contoh perlu ditonjolkan untuk kita merakamkan kenapa perkara begini
boleh terus berpanjangan dan jarang sangat diberi perhatian di persidangan UMNO di
PWTC. Di daerah Rembau terdapat sekitar 78 lesen kontrak yang dipegang oleh
Bumiputra (Kelas A - Kelas F). Ironisnya, 'tidak seorang pun pemborong bumiputra itu
yang mempunyai alat kelengkapan pemborong seperti jentolak, berpadan dengan lesen
pemborong yang dipegangnya'. Itu sebabnya mereka akan melepaskan setiap kontrak yang
mereka menang itu dan berpuashati dengan komisen sahaja. Mereka lebih selesa dengan
panggilan kontraktor yang 'mundar-mandir dengan kereta mercedez berlampu mata belalang
sahaja.' Itulah tahap pemborong (kontraktor pembohong) bumiputra tajaan UMNO. Itulah juga
muka-muka yang akan mewakili bahagian UMNO di tempat mereka ketika berhimpun di PWTC
nanti. Inilah juga penyangak-penyangak yang akan cuba mempertahankan ketuanan Melayu
mengikut acuan UMNO yang dilakar oleh sekumpulan Malbari disekeliling seorang
diktator tua. Inilah penyangak yang tidak sedar apakah sebenarnya erti perjuangan
untuk menaikkan martabat bangsa. Apa yang mereka faham ialah bertepuk ramai-ramai
apabila ada perwakilan yang akan melaungkan seruan perjuangan dan bercakap lantang
mengenai ketuanan Melayu. Berapa ramaikah di antara mereka itu yang sanggup
menggunakan kereta buatan negara sendiri? Berapa ramaikah di antara mereka yang
mempunyai anak-anak yang sedang menuntut di negara asing baik dari kelas rendah
sehingga menengah dan apabila pulang semasa bercuti akan lebih rela bertapa di pab dan
kelab malam, walaupun umur masih belum dewasa lagi?
UMNO di zaman kepimpinan Mahathir sudah membudayakan ketuanan Melayu secara konsep
samseng dan bajingan seperti yang berlaku di negara Afrika dan juga Jepun. Di
Jepun, tidak ada pemimpin politik yang dapat naik dan bertahan lama tanpa ada sokongan
kumpulan 'Yakuza dan Abon'. Di Afrika, tidak ada pemimpin yang dapat bertahan lama
tanpa sokongan para Rahib dan ketua padri institusi kristian ataupun NGO di tempat
mereka. Saya pernah menulis dulu kepada beberapa pemimpin UMNO secara emel peribadi bahawa
UMNO yang ada kini adalah UMNO yang membesar mengikut acuan yang dibentuk oleh
Mahathir bin Mohamad dengan sokongan padu segelintir manusia yang menopangnya. (Saya
ulang perkataan 'MENOPANG' supaya tidak disalahertikan dengan perkataan 'MENUMPANG').
UMNO kini adalah hasil satu sistem raksasa yang dilakar oleh Mahathir pada asalnya
kerana dia rakuskan kuasa dan ditopang ataupun disangga oleh segelintir insan yang
mahukan dia terus berkuasa kerana melaluinya mereka turut mendapat kuasa. Contoh
yang terbaik ialah melihat bagaimana pekebun meletakkan sebatang kayu (sangga) untuk
menyangga sebatang pisang yang sedang berbuah. Kalau pisang itu tidak disangga,
batangnya akan tumbang dan buahnya akan terbantut. Tetapi, di waktu yang sama di
keliling pokok itu terdapat banyak anak-anak pokok pisang yang semakin berserabut
tumbuh di pangkalnya. Mahathir adalah laksana pisang yang sedang berbuah itu. Dia akan
terus disangga selagi buahnya belum matang dan kayu sangga itu akan terus berada di
situ sebelum beralih ke pohon pisang yang lain, yang lebat daunnya dan besar jantungnya
menandakan buah-buah yang besar dan lazat rasanya.
Untuk menjamin ketuanan Melayu dalam UMNO itu budaya menopang dan menyangga pemimpin
terpaksa terus diamalkan. Di sinilah munculnya satu sistem bajingan dalam UMNO kerana
setiap ketua UMNO perlu memelihara satu kumpulan bajingan yang berlagak laksana samseng
agar ketokohan 'ketua penyangak' itu dihormati dan kata-katanya dipatuhi. Melalui
sistem semacam inilah makanya kita lihat seorang kerani 'tally- clerk' perkapalan
boleh menjadi exco, seorang juru-engsot get keretapi boleh menjadi wakil rakyat, dan
seorang mandor parit dan tali air boleh menjadi menteri besar. Semua ini berlaku
kerana sejarah kepimpinann UMNO di perkampungan dan pekan-pekan dulu, diasaskan oleh
para guru lepasan SITC. Inilah anak-anak Melayu yang lulus sekolah darjah lima dan
dikumpulkan oleh British di sebuah maktab di Tanjung Malim untuk dididik menjadi guru
terlatih. Selepas negara mencapai kemerdekaan, ramai calon SITC itu merupakan
anak-anak Melayu yang mendapat pangkat 'C' dalam peperiksaan LCE (PMR sekarang ini).
Ramai yang tidak dapat masuk maktab harian (Day Training Centre) dibenarkan pula
mengajar dengan mengambil kursus perguruan di hujung minggu. Itulah zamannya di mana
sebahagian besar perkampungan Melayu yang tidak mempunyai bekalan letrik dan lampu. Yang
menerangi rumah-rumah adalah lampu minyak yang dipanggil lampu 'stom' ataupun lampu
'sentel' sahaja. Inilah bukti betapa orang Melayu di kampung-kampung hidup menderita ketika itu
sedangkan itulah juga sumber tenaga yang berkhidmat di pasukan tentera, polis, bomba dan
segala perkhidmatan yang tidak diingini oleh kaum asing di negara ini. Tanpa lampu yang
terang benderang di kampung bagaimanakah anak-anak mampu membuka buku pengajian di malam
hari. Lagipun, anak-anak yang bersekolah jauh di bandar pulang keletihan di waktu maghrib
dan perlu tidur awal untuk menunggu bas sebelum subuh keesokan harinya. Memang amat
berbeza nasib mereka kalau dibandingkan dengan kaum India yang dibekalkan letrik di
malam hari dan kaum Cina di perkampungan terkumpul (Chinese New Villages) yang mempunyai
segala kemudahan mewah untuk hidup dengan selesa.
Satu contoh budaya sabsidi dalam UMNO boleh dilihat di Negeri Sembilan. Kalau kita
pergi ke merata kampung kita akan terdengar perkataan 'Isa-P'. Pada mulanya saya
kurang arif dengan perkataan itu memikirkan kalau itu nama manusia tentulah abjad solo
itu diletakkan di hadapan nama seperti yang berlaku kepada 'P.Ramlee'. Di Negri
Sembilan 'Isa-P' adalah nama jolokan kepada menteri besar yang ada. Saya masih
mencari makna 'P' itu, tentu sekali bukan bererti 'putih' menunjukkan ketelusan
kepimpinan beliau. Kemewahan yang diraih menjadi pemimpin UMNO tidak kiralah di mana pemimpin itu berada
menyebabkan berlakunya satu pertembungan dalam UMNO kini hinggakan berlakunya perpecahan
dalam parti. Tetapi, perpecahan dalam UMNO itulah yang dikatakan perpecahan Melayu yang
disebabkan oleh hasutan parti pembangkang. Kerana itu, makanya Mahathir dan pucuk
kepimpinan UMNO pusat terlalu ghairah mahukan satu perundingan dilaksanakan di antara PAS
dengan UMNO. Apabila adanya suasana cemoh-mencemoh disebabkan pergolakan dalaman UMNO itu sendiri,
Mahathir dan para penasihatnya cuba menuduh pihak lain. Suasana sebenar adalah
disebabkan pergolakan mahukan kuasa yang akan mendatangkan kemewahan tanpa perlu bekerja
dan mengeluarkan modal untuk berniaga. Itu sebabnya budaya tuduh-menuduh,
hasut-menghasut, berbomoh-bomoh dan surat layang sehingglah bunuh membunuh memang sudah
menjadi budaya sebati dalam UMNO. Kerana itu juga sikap bohong-membohong adalah satu
amalan lumrah dalam UMNO. Ketika PAS dan UMNO mula berunding di peringkat teknikal dulu, PAS telah mengemukakan
syarat di tahap awalan lagi bahawa mereka hanya akan berunding terus kalau beberapa
syarat awalan dipersetujui. Antara pra-syarat itu ialah kerajaan harus memulangkan
royalti minyak kepada kerajaan Terengganu (kerana itu hak rakyat Terengganu). HARAKAH
harus diberi semula hak penerbitannya seperti dulu. Yang ketiga, kerajaan hendaklah
menentukan agar polis menghentikan tindakan ganas di majlis ceramah parti pembangkang.
Inilah sahaja tiga syarat yang amat mudah untuk diperkenankan oleh Maharajah Mahathir.
Di pihak UMNO pula, mereka meminta PAS bersetuju agar tidak mendedahkan apa juga butir
perbincangan jawatankuasa teknikal itu kepada umum. Tetapi apakah yang dilakukan oleh
UMNO seterusnya? Mereka berkata bahawa PAS telah sengaja mengagalkan perundingan
dengan menimbulkan syarat pula. Semua orang percaya dan semua pemimpin UMNO naik
melalot mengutuk PAS dengan bermacam-macam lagi tuduhan yang terkeluar daripada
pra-syarat yang dikemukakan oleh PAS itu. Inilah contoh budaya berbohong yang menjadi
amalan UMNO selama ini. Seperti juga sikap Mahathir yang mengatakan dia mempunyai bukti
yang kukuh mengenai kelakuan Anwar Ibrahim satu ketika dulu. Buktinya ialah
adanya Tivoli Apartment sebelum tarikh pembangunannya dan sebelum tilam bertompok tiga
belas dibikin lagi. Namun, dengan segala pembohongan itu mahkamah masih mampu bersidang
dan Anwar Ibrahim boleh dihukum selama lima belas tahun. Bayangkanlah betapa besarnya
dosa setiap insan yang bersekongkol dengan Mahathir dalam kes Anwar itu. Hampir semua
mereka itu sanggup bersekongkol dengan Mahathir kerana takut kehilangan kemewahan
dunia. Masa juga akan menentukan kuasa Allah yang akan menghukum mereka selagi mereka
bernyawa. Sedikit demi sedikit kita nampak dengan jelasnya bagaimana mereka semakin
menghampiri gerbang hidup yang sengsara walaupun pada nama mereka itu berbaris bintang
gelaran yang telah dianugerahkan oleh warga istana.
Apabila pemimpin UMNO bercakaran sesama sendiri untuk menjadi ketua bahagian, sekaligus
budaya wang dan sogokan janji-janji pun berkembang biak. Sekaligus juga sistem samseng
tempatan itu akan berkembang biak juga. Itu sebabnya ramai pemuda kampung yang mampu
berfikiran waras sudah semakin rela meninggalkan UMNO untuk menyokong parti pembangkang.
Mereka semakin sedar bahawa budaya wang UMNO itu hanya untuk mengekalkan ketuanan UMNO
dalam masyarakat kampung sahaja. Saya pernah menulis betapa tidak ada bezanya di antara
pemimpin UMNO di sesuatu bahagian dengan 'Ali Baba' dalam cerita dongeng 'Ali Baba dan
penyamunnya'. Ali Baba tidak boleh menjadi ketua penyamun tanpa adanya para penyamun
yang setia dengannya. Kalau ada pengikut yang tidak setia tentulah Ali Baba sudah
ditumpaskan dan mereka pula memilih seorang ketua penyamun yang baru. Begitu juga
dengan Mahathir, dia masih dapat bertahan kerana ramai lagi pengikut yang setia yang
sanggup 'menupang' kuasanya. Kerana itu Mahathir terpaksa memperibadikan setiap institusi kerajaan agar mereka
menjadi jentera yang mengekalkan kuasanya. Di peringkat negeri pemerintahan BN, semua
ketua menteri dan menteri besar kerajaan UMNO (seperti Isa-P) terpaksa pula
memperibadikan institusi kerajaan mengikut gelagat maharajah mereka. Itulah sahaja
jaminannya untuk mereka terus mengekalkan kuasa. Mengikut sistem Ali Baba Ketua
Penyamun, semua menteri besar dan ketua pemimpin UMNO terpaksa mengambil sikap
seorang yang mempunyai otak penyamun juga. Apabila segala bidang penguatkuasaan itu
sudah berada di tangan mereka, rakyat marhaen tidak mempunyai peluang untuk hidup
senang-lenang melainkan mengikut gelagat yang dilakar oleh Mahathir dan para pemimpin
UMNO peringkat negeri, daerah dan pekan. Terpulanglah kepada pemimpin Umno itu kalau
mahu merelakan parti pembangkang berceramah secara bebas ataupun berkumpul tanpa
diganggu-gugat oleh pihak polis. Bayangkan sendiri bagaimana semua penyangak ini sanggup
menipu rakyat yang mengundi mereka dan menggelarkan mereka 'Yang Berhormat.'
Inilah demokrasi yang ditonjolkan oleh Mahathir di seluruh dunia. Dia boleh malalak
keseluruh dunia cuba membetulkan negara asing; cara mereka harus memerintah. Demokrasi
katanya mesti memberi kemudahan kepada negara miskin membangun untuk naik setara
dengan negara kaya. Tetapi, di negaranya sendiri ramai bangsanya yang kais pagi makan
pagi dan kais petang makan hati. Demokrasi dalam Darulboleh adalah cara hidup mengikut
hukum-hukum yang ditentukan oleh pemimpin UMNO.
Oleh kerana berbohong sudah menjadi darah daging kebanyakan pemimpin UMNO, mereka sangup
merelakan sesuatu pembohongan itu semata-mata untuk mengekalkan kuasa. Astora Jabat
menulis 'mengenai Mahathir sebagai Firaun yang baik.' Tidak ada seorang pun pemimpin
UMNO; baik yang masih berkuasa ataupun yang veteran yang gilakan kuasa, yang sanggup
menyanggah pendapat Astora bedebah itu. Di manakah Hamid Othman penasihat agama Mahathir?
Di manakah Abdul Hamid menteri agama UMNO yang tidak suka lif yang dinaikkinya dikongsi
oleh orang lain? Di manakah pula menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang sepatutnya
bertindak terhadap orang-orang yang memutarkan minda orang Melayu? Cuba bandingkan
saranan Astora Jabat selama ini dengan apa yang dikatakan putarbelit Al Arqam satu
hari dulu, mana satu yang lebih berbahaya?
Setiap pemimpin politik harus sedar bahawa seorang ahli politik yang sedang berjaya
sebenarnya memainkan peranan laksana seorang imam naik mimbar. Setiap imam yang naik
mimbar akan naik ke tempat paling teratas untuk berkhutbah. Selepas berkhutbah dia
akan turun mengikut anak tangga yang sama ketika naik. Tidak ada jalan lain untuk
keluar daripada mimbar itu. Begitulah juga yang perlu dihadapi oleh Mahathir dan
semua pemimpin UMNO. Apabila mereka naik ke atas, mereka akan turun mengikut jalan
yang sama. Itu sebabnya dalam politik kita jangan mudah leka kalau naik secara
mendadak. Kalau kita naik melompat, kita turun akan terjun pula. Dalam politik segalanya
boleh terjadi, apatah lagi dalam politik Melayu mengikut acuan Mahathir. Orang Melayu
semakin kebingungan kerana budaya rasuah dan politik wang tidak dapat dihakiskan lagi.
Mahathir akan melalak selagi dia mampu bersuara, tidak kiralah kalau dia masih menjadi
pemimpin UMNO atau tidak pun lagi. Semua janji-janji itu lenyap kerana digantikan dengan pelbagai sandiwara untuk
memutarkan minda. Tidak ada satu pun projek kerajaan ke arah pembangunan insan yang
berjaya dilaksanakan. Tetapi, pelbagai lakonan yang merupakan 'perasa-minggu-ini' untuk
rakyat terutama sekali orang Melayu beromong kosong di warung-warung (di coffee house
sudah berkurangan sekarang ini) dan di berandah masjid dan surau membincangkan kisah
yang sengaja di kemukakan untuk membuang masa. Di waktu yang sama, harga barang makan
dan segala kos perkhidmatan dinaikkan melambung tingginya tanpa memikirkan penderitaan
rakyat jelata. Sayang, sambil Mahathir dan Rafidah dan juga Paklah kerap mundar-mandir mengelilingi
dunia, ekonomi negara semakin merudum dan menjadi teruk. Orang-orang Cina dan golongan
kaya raya sudah lama mengalihkan simpanan mereka ke luar negara menunggukan masa dan
ketika untuk lari terus dari negara ini. Mereka sudah lama merancangnya sejak lebih
sepuluh tahun lagi. Kalau ditakdirkan Mahahtir masuk hospital kerana sakit esok hari
kita boleh menjangkakan semua tempahan tiket kapal terbang di semua lapangan terbang
Malaysia dan juga Singapura, Bangkok dan Hongkong akan penuh kerana ramai ahli KEJAM
yang mahu melarikan diri. Tinggallah rakyat marhaen menunggu negara ini sambil terus
bekerja dan terus membayar segala hutang piutang yang disebabkan segala projek mega
yang dibina untuk memuaskan ego seorang diktator yang sudah lama naik lemak dan kumpulan
bajingannya yang sudah lama naik minyak.
Sesungguhnya, Mahathir dan kumpulan penyangak yang bepaut kepadanya masih lagi tidak
sedar betapa mereka telah memusnahkan keceriaan di kalangan masyarakat Malaysia yang
berbilang bangsa. Sesungguhnya para pemimpin Melayu yang naik kaya raya dalam UMNO
sudah hilang pedoman selagi mereka sanggup bersekongkol dengan si Raja Penyangak ini
tanpa memikirkan untuk bersatu menuntut dia undur daripada arena poltik Melayu.
-marhaintua-
|