[Sebahagian kakitangan JPM (seperti EPU) sudah berpindah tetapi
KDN masih berada di Jalan Dato Onn. Malah ada satu bangunan yang
masih baru (bercermin biru) tersergam di situ serta satu 'flyover'
khas yang mahal menjalar ke situ. Menurut kabar, kesemuanya akan
dijual kepada pihak tertentu. Soalnya siapa yang mahu membeli kesemua
bangunan di situ kerana ia sedikit jauh dari pusat bandar dan terlalu
besar. Mungkin tiada pembeli maka KDN dikekalkan supaya tidak termalu...
Ramai tidak tahu KDN menduduki hanya secebis sahaja bangunan-bangunan di situ.
- Editor]
SOALAN PARLIMEN UNTUK AHLI-AHLI PARLIMEN BA
Saya bukanlah wakil rakyat tetapi saya telah merangka sebanyak 20 soalan di
bawah untuk wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif mengemukakannya di sidang
Parlimen nanti. Soalan-soalan yang saya rangka ini adalah hasil daripada
pemerhatian, analisis dan maklumat yang diperolehi dari sumber-sumber
tertentu di dalam jabatan-jabatan Kerajaan. Tujuan saya merangka
soalan-soalan untuk Sessi Dewan Rakyat ini adalah untuk memudahkan kerja
wakil-wakil BA di Parlimen nanti. Saya tahu ada segelintir wakil-wakil kita
yang malas membuat 'homework' untuk sidang Parlimen. Ini suatu kenyataan
yang tidak boleh dinafikan dan tiada siapa pun yang harus melenting dengan
kenyataan saya ini. Saya bukanlah marah kepada mereka sebab mungkin mereka
ketiadaan idea dan 'point' untuk bercakap di Parlimen.
Jadi, saya serahkan 20 soalan yang sangat relevan ini kepada mana-mana 27
orang wakil BA di Parlimen untuk dikemukakan semasa sidang berlangsung.
Kalau Ustaz Fadzil rasa nak ambil, ambillah. Kalau Mat Sabu rasa nak
bercakap, bercakaplah. Kalau Mahfuz rasa menarik jugak soalan-soalan saya
ni, persilakanlah. Perjuangan ini untuk rakyat, bukan untuk kepentingan
peribadi. Kalau wakil-wakil BA kekurangan 'point' untuk bertanya di
Parlimen, saya sedia membantu. Jadi, cubalah tengok-tengokkan soalan-soalan
saya di bawah ini. Saya rasa masih belum pernah soalan-soalan ini
dikemukakan dalam sidang-sidang Parlimen sebelum ini.
- Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang ditanggung oleh Kerajaan
untuk perpindahan jabatan-jabatan kerajaan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya
dan berapa buahkah kementerian dan jabatan yang telah beroperasi di sana
semenjak Putrajaya dijadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
- Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang terpaksa ditanggung oleh
Kerajaan untuk memberi subsidi pengangkutan kepada kakitangan kerajaan yang
terpaksa berulang alik dari KL ke Putrajaya semenjak mula-mula berpindah ke
sana sehingga subsidi tersebut diberhentikan.
- Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang terpaksa ditanggung oleh
setiap kakitangan kerajaan yang berkerja di Putrajaya yang berulang alik
dari KL, terutama sekali untuk perbelanjaan petrol, tol dan tambang bas.
Adakah kerajaan bercadang untuk mengecualikan bayaran tol kepada
kakitangannya yang berulang alik setiap hari ke Putrajaya demi meringankan
beban kewangan mereka selama tempoh mereka berkhidmat di sana. Jika tiada
cadangan sedemikian, apakah alternatif yang boleh difikirkan oleh Kerajaan
untuk meringankan beban kewangan terutama bagi kakitangan yang berpendapatan
rendah yang memilih untuk tidak menghuni di kuarters kerana telah memiliki
rumah sendiri.
- Minta penjelasan Mahathir apakah kesan-kesan jangka pendek dan jangka
panjang akibat perpindahan ke Putrajaya terhadap aspek sosio - ekonomi
terutama kepada pemilik-pemilik bangunan swasta di Kuala Lumpur yang
dahulunya disewa bangunan mereka oleh jabatan-jabatan kerajaan. Berapakah
kadar pasaran semasa sekarang bagi sewa bangunan-bangunan swasta di KL kesan
signifikan perpindahan ke Putrajaya itu. Ini kerana banyak bangunan swasta
di KL kini kosong kerana ketiadaan penyewa berkapasiti besar sebagaimana
pejabat-pejabat kerajaan yang sanggup menyewa bangunan-bangunan mereka.
- Minta penjelasan Mahathir berapakah kos yang terpaksa dikeluarkan oleh
kerajaan untuk menanggung perbelanjaan pegawai-pegawai yang terpaksa
menghadiri mesyuarat di jabatan-jabatan tertentu di Putrajaya sedangkan
pejabat mereka masih berada di KL. Antara kos yang ketara ialah petrol, tol
dan masa yang terpaksa dihabiskan untuk perjalanan sampai ke sana.
- Minta penjelasan Mahathir berapakah kos sampingan yang terpaksa
ditanggung oleh setiap orang ketua keluarga penghuni kuarters Putrajaya
untuk berulang alik ke bandar-bandar berdekatan seperti Kajang dan Puchong
bagi membeli keperluan harian mereka seperti ikan, sayur dan sebagainya
akibat ketiadaan kemudahan asas seperti pasar, gerai dan bengkel membaiki
kenderaan di Putrajaya. Apakah langkah-langkah segera yang akan diambil oleh
Kerajaan untuk mengatasi kesulitan penghuni-penghuni kuarters tersebut.
- Minta penjelasan Menteri Kesihatan, apakah langkah-langkah proaktif yang
akan diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan masa menunggu
orangramai yang datang untuk menemui doktor di Jabatan Pesakit Luar HKL.
Ini kerana pesakit-pesakit yang datang terpaksa melalui tiga tahap
penungguan iaitu di kaunter daftar kad, di hadapan bilik pemeriksaan doktor
dan di kaunter mengambil ubat. Mereka terpaksa menunggu sehingga 2 - 3 jam
hanya untuk diperiksa selama tidak sampai 5 minit oleh doktor.
- Minta penjelasan Menteri Kesihatan, benarkah kerajaan bercadang untuk
mengkorporatkan hospital-hospital milik kerajaan tidak berapa lama lagi dan
mewujudkan Tabung Insuran Kesihatan Negara dimana setiap rakyat yang ingin
ke hospital kerajaan dimestikan mencarum di Tabung tersebut untuk
membolehkan mereka mendapatkan rawatan.
- Minta penjelasan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apakah langkah-langkah tegas yang sedang
dan telah dirangka oleh kerajaan untuk membendung gejala sosial budaya gay
dan l#####nisme yang melanda dan merebak begitu cepat terutama sekali di KL
seperti di kawasan Bukit Bintang dan KLCC. Adakah kerajaan sedar bahawa
budaya tersebut telah membiak begitu subur sekarang ini terutama di dua
kawasan yang dinyatakan itu.
- Minta penjelasan Menteri Kewangan benarkah kabar angin yang mengatakan
bahawa wang kertas satu ringgit telah dicetak tanpa sandaran rezab emas dan
ini bererti wang tersebut tiada nilai seperti mana wang Jepun dahulu.
- Minta penjelasan Menteri Pendidikan, adakah pihak-pihak tertentu telah
cuba mengeksploitasi dan mencari untung daripada kalangan ibubapa
pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM dan STPM
dengan menjual borang-borang permohonan ke universiti sebelum keputusan
rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan sedangkan ianya pasti
mengecewakan ibubapa dan pelajar yang gagal memperolehi keputusan yang baik
dan menjadi suatu pembaziran kepada mereka dan terpaksa menanggung kerugian
begitu sahaja kerana tidak layak pun untuk memohon ke universiti. Adakah
kerajaan bercadang untuk mengembalikan prosedur ini seperti mana dahulu
dimana borang-borang permohonan ke universiti hanya akan diedarkan selepas
keputusan rasmi peperiksaan dikeluarkan supaya tidak membebankan rakyat yang
berpendapatan kecil.
- Minta penjelasan Menteri Pendidikan, adakah kerajaan bercadang untuk
memperkenalkan semula skim pemberian biasiswa untuk pelajar-pelajar yang
berjaya memasuki universiti tempatan sepertimana yang telah dibuat di zaman
kerajaan 3 PM sebelum ini. Apakah rasional kerajaan memansuhkan skim
pemberian biasiswa dan menggantikannya dengan skim pinjaman kepada
pelajar-pelajar universiti walhal ketika negara masih berasaskan pertanian
dahulu kerajaan mampu untuk memberikan biasiswa kepada para pelajar
universiti tetapi di zaman negara kita yang sudah berasaskan perindustrian
kini, skim biasiswa telah dihapuskan.
- Minta penjelasan Menteri Kerjaraya, adakah kerajaan sedar bahawa mutu
dan tahap Lebuhraya KL-Seremban terutama di Sungai Besi masih terlalu jauh
dari memuaskan dan amat tidak setimpal dengan bayaran tol yang dikenakan
kerana pemandu kenderaan terpaksa menghadapi kesesakan yang amat teruk
ekoran sempitnya lebuhraya tersebut. Apakah langkah-langkah drastik kerajaan
untuk mengatasi perkara ini dan adakah kerajaan bercadang untuk mengurangkan
kadar tol di laluan tersebut kesan masalah yang dialami oleh pengguna di
lebuhraya itu.
- Minta penjelasan Menteri Kerjaraya, adakah kerajaan bercadang untuk
mewujudkan lembaga bekalan air sendiri bagi Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dan Putrajaya untuk mengelakkan kesan kenaikan drastik yang dibuat
oleh kerajaan Selangor bagi tariff air seperti baru-baru ini supaya penduduk
di kedua buah Wilayah Persekutuan tersebut tidak terlibat dengan keputusan
yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor ?
- Minta penjelasan Menteri Dalam Negeri, adakah kerajaan bercadang untuk
memperkenalkan Kor Agama di dalam pasukan polis sepertimana Kor Agama di
dalam angkatan tentera demi memastikan tanggungjawab anggota polis yang
beragama Islam melaksanakan tugas mereka dengan penuh kesedaran dan
keinsafan. Ini kerana ramai anggota polis yang cuai dalam menunaikan perkara
asas dalam Islam seperti sembahyang 5 waktu dan solat Jumaat berbanding
dengan anggota tentera, mungkin kerana kurangnya kesedaran agama dan
kesibukan tugas mereka.
- Minta penjelasan Menteri Telekomunikasi dan Multimedia, adakah kerajaan
tidak bercadang untuk meminta pihak Telekom Malaysia menurunkan kadar tariff
bayaran laluan penggunaan internet sebanyak 1.5 sen seminit yang dikenakan
(jika dicampur caj penggunaan internet 1.0 sen menjadi 2.5 sen seminit) demi
menggalakkan lebih ramai lagi rakyat menggunakan kemudahan internet dan
meluaskan tahap pengetahuan IT mereka ? Ini kerana jika dibandingkan dengan
negara-negara maju, kadar yang dikenakan oleh Telekom tersebut masih tinggi
dan membebankan bagi golongan tertentu seperti pelajar.
- Minta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adakah kerajaan
sedar bahawa dasar pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam
perkhidmatan awam yang dilaksanakan sekarang, iaitu dengan memberi keutamaan
100 % kepada calon-calon lepasan bidang sains dan IT telah menjejaskan
dengan teruknya (menutup rapat) peluang calon-calon dari bidang yang lain
untuk memasuki skim perkhidmatan tersebut. Apakah skima yang digunapakai
oleh JPA dalam mendiskriminasikan perkara ini dan berapa peratuskah
keperluan kerajaan di bidang sains dan IT dari segi jumlah tenaga PTD yang
diperlukan itu. Berapa peratuskah pelatih PTD yang berhenti semasa sedang
berkursus selama 9 bulan di INTAN semenjak 10 tahun yang lalu dan apakah
langkah-langkah yang telah diambil untuk membendungnya?
- Minta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adakah kerajaan
telah membuat suatu kajian terperinci mengenai kesan-kesan positif dan
negatif daripada pengenalan sistem waktu kerja secara berperingkat yang
telah diperkenalkan 3 tahun lepas di jabatan-jabatan kerajaan di Kuala
Lumpur. Adakah kerajaan sedar bahawa pengenalan sistem tersebut telah
menjejaskan keberkesanan sistem kerja di jabatan kerajaan kerana ada Ketua
Jabatan yang terpaksa menunggu pegawai atau pembantunya tiba ke pejabat
terlebih dahulu sebelum dapat mengadakan mesyuarat ataupun menulis surat dan
terpaksa 'kehilangan' mereka selepas jam 4.00 petang kerana waktu masuk yang
berbeza.
- Minta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adakah kerajaan
bercadang untuk memperkenalkan waktu kerja 5 hari seminggu dalam masa yang
terdekat ini kerana kajian pihak tertentu mendapati cuti Sabtu Pertama dan
Ketiga yang diperkenalkan oleh kerajaan telah membantu meningkatkan ekonomi
dan perlancongan domestik dengan ketara. Minta jumlah dan peratusan
peningkatan hasil pelancongan domestik selepas pengenalan cuti Sabtu pertama
dan ketiga tersebut.
- Minta penjelasan Menteri Perusahaan Utama/Menteri Pertanian, adakah
kerajaan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan program penanaman
alternatif yang mendatangkan pulangan lumayan yang cepat kepada para
peneroka getah dan kelapa sawit, seperti tanaman pokok stan agar dapat
membantu para peneroka ketika musim kejatuhan harga komoditi tersebut. Jika
ada, setakat manakah kemajuan yang telah dicapai dan jika tiada, apakah
langkah alternatif yang telah diambil untuk membantu para peneroka dalam
jangka panjang.
SELAMAT BERJUANG UNTUK RAKYAT !
Cucu Datuk Bahaman
2 Mac 2001
|