Laman Webantu KM2A1: 3926 File Size: 41.1 Kb * |
Siri 9 MMM: Melayu Sudah Menjadi Hamba Abdi UMNO By Marhain Tua 8/3/2001 7:40 pm Thu |
MMM9 [Dengan menangkap Ezam berdasarkan lapuran akhbar, polis sekali
lagi bertindak kasar berdasarkan mainan kabar. Tetapi polis tidak
pula berbuat apa-apa terhadap hasutan membakar dewan dan slogan mandi
darah oleh pemuda Umno yang terlalu kurang ajar. Jelas Umno takut
kepada Ezam yang menjadi simbol kebangkitan rakyat marhaen - khususnya
golongan muda. (Usia beliau cuma 34 tahun)
Tentu kita masih belum lupa Kedah bergegar kerana sentuhan Ezam di
sana. Polis kini cuba menonjolkan kebolehannya dan tentera pula diseru
menjauhi rakyat pula. Tetapi diam rakyat dan tentera jangan disangka
tiada apa-apa. Ia akan meledak bila disatukan bersama bila-bila masa
bila cukup masaknya walaupun Ezam tiada kerana lebih ramai yang sudah
mengganti dirinya. Bukankah Gelita 14 begitu dekat kemunculannya?
- Editor] Apabila sesuatu bangsa itu, tidak kiralah betapa gah dan besar sejarah keperwiraannya,
diputarbelit mindanya secara bertubi-tubi; semangat keperwiraannnya itu akan lesap
untuk menjadikan bangsa itu jatuh tersungkur - layak dijadikan kelas hamba abdi.
Inilah yang terjadi kepada bangsaku BANGSA MELAYU hasil pemerintahan seorang
warisan pendatang yang sanggup melakukan segala putarbelit yang hanya termampu
dilakukan oleh penyangak yang pandai membelit. Itulah juga kejayaan seorang pemimpin
Melayu yang bergelar Wira Dunia Ketiga hasil jolokan yang dicadangkan oleh seorang
Melayu juga. Melayu pada hari ini bukan lagi berada di pesimpangan kerana simpang yang
mencelarukan minda itu hanya ada dikhayalan sahaja. Melayu hari ini adalah satu bangsa
yang lama sudah mencelaru mindanya kerana putarbelit segelintir masyarakat bangsanya
yang lahapkan kuasa. Inilah masyarakat Melayu yang berselindung di sebalik UMNO
dengan segala kekuatan palsu yang berjaya menjadikan hanya seorang bajingan menjadi
'maharajah' di antara satu kumpulan raja rasmi yang mewarisi takhta secara tradisi.
Raja yang disembah dan dihamba-patikkan itu pun turut terbungkus dalam kelas 'hamba
bertaraf mulia dan berdaulat sahaja.'
Kenyataan fenomena ini menjadi terserlah dengan tindakan polis menangkap Ezam Mohd
Nor pada malam umat Islam sepatutnya bertakbir memuji kebesaran Allah, penciptanya.
Itulah malam yang memancarkan Lebaran Korban di mana setiap insan Islam harus berada
dengan keluarga dan sahabat handainya. Itulah malam yang paling syahdu di antara malam
yang perlu ditiduri oleh setiap insan bersama keluarga tersayangnya dan bukannya
diserkap untuk tidur merengkok di sebuah lokap polis yang tidak membawa sebarang
makna. Ezam ditangkap ketika orang Melayu bersiap menyambut hari lebaran. Di zaman
dulu-dulu hari lebaran disambut dengan menghidangkan kuih semperit. Inilah kuih
termoden yang mudah dibuat kerana bentuknya cantik dan belanjanya murah. Adun sahaja
tepung bersama majarin ataupun mentega dan campurkan sedikit telur, gula serta
pewarna. Masukkan adunan tepung itu ke dalam tabung untuk ditekan dan agar keluar
mengikut bunga acuannya. Adunan yang sama boleh ditekan lagi dengan bunga acuan yang
lain pula dan warna yang berbeza. Rupanya lain tetapi rasanya apabila dihidangkan tetap
sama juga. Ezam kini adalah mangsa politik Melayu ala acuan kueh semperit. Dia ditangkap
untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa itulah taktik UMNO yang diketuai oleh
sorang diktator bajingan yang memegang kuasa secara tipu muslihat juga.
Hanya beberapa minggu yang lalu ada satu majlis khas di PWTC di mana Ibrahim Ali
bersama selebriti UMNO melancarkan kempen 'Takkan Melayu Hilang di Dunia'. Mereka
mahu menjelajah serata negara untuk memberi penerangan kepada rakyat jelata akan
keadaan negara yang mesti diperbetulkan oleh diktator jahanam dan juga timbalannya.
Apakah itu bukan berbentuk hasutan? Apakah yang mereka cakapkan itu tidak dirakamkan
oleh dunia sejagat? Adakah sesiapa di kalangan mereka yang ditangkap untuk disoal,
walaupun tidak dikenakan Akta Hasutan? Perkara semacam ini memang telah kita
ramalkan dengan jelas. Ibrahim Ali, Shahrir Samad dan siapa sahaja dalam UMNO boleh
mengutuk UMNO dan Mahathir dan mereka akan terlepas begitu sahaja walaupun kutukan itu
dibuat secara terbuka. Orang lain seperti Ezam tidak boleh melakukannya. Tindakan
laporan itu dikira salah dan boleh dikenakan Akta Hasutan.
Tetapi itulah hakikatnya. Ezam akan menjadi satu lagi katalis di kalangan rakyat marhaen
yang cintakan keharmonian negaranya dan keunggulan martabat bangsanya. Ezam mengikuti
jejak langkah ketuanya Anwar Ibrahim yang kini menjadi satu ikon dan katalis bangsanya.
Ironinya, penangkapan Ezam dilakukan selepas beberapa pegawai pergerakan pemuda UMNO
membuat laporan polis terhadap bekas rakan perjuangan mereka.
Apakah laporan polis yang dibuat oleh Ezam itu terdapat banyak cacat celanya
sehinggakan tidak ada pun seorang bajingan unggulan yang dituduhnya pernah dipanggil
oleh polis? Apakah lapuran pergerakan pemuda UMNO itu begitu lengkap sehinggakan
pihak polis tidak ada lagi sebarang syak wasangka dan curiga untuk melambatkan
penangkapan mereka terhadap Ezam?
Semalam, Utusan Melayu menyiarkan penafian Ezam mengenai kempen jalanan hariannya.
Tetapi, pada keesokan harinya (Hari Raya Aidiladha Selasa Mac 6, 2001) Utusan
mencatatkan kata pojok yang berbunyi 'Polis Tahan Ezam' - untuk siasatan setelah mengaku
merancang demonstrasi jalanan). Bukan pelik perkara ini, polis bertindak berdasarkan
laporan akhbar sahaja? Di mukasurat 4 akhbar yag sama ada dirakamkan 'Hishammuddin Bidas Penafian Ezam'.
Beliau berkata: "Keadilan sememangnya sejak diwujudkan tidak pernah senang melihat negara ini aman,
harmoni dan damai. Parti Keadilan sanggup mengheret dan meracuni pemikiran rakyat
ke kancah politik sempit mereka hanya untuk menggugat kestabilan dan keamanan yang
telah lama kita bina." Utusan melaporkan kenyataan Hishammudin betapa demonstrasi
jalanan yang dianjurkan oleh keadilan sering bercampur baur dengan emosi, rasa marah
dan benci sehingga menjurus kepada keganasan dan rusuhan. "Keadaan seperti itulah yang
ingin mereka lihat wujud di negara ini," ujarnya.
Hanya lebih satu bulan yang lalu menteri besar terbaru di negara ini telah menyebutkan
ikrar sanggup bermandi darah mempertahankan kedaulatan negara. Rakyat marhaen
mentertawakannya dan begitulah juga sambutan rakyat marhaen terhadap kata-kata
Hishammuddin Husin kali ini. Oleh kerana Ezam ditangkap sebaik sahaja Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan
polis, kebangkitan kemarahan rakyat akan terfokus terus kepada pergerakan pemuda UMNO.
Cuma, seluruh negara masih belum sedar siapakah sebenarnya yang membuat laporan polis
itu. Kali ini ia tidak dilakukan oleh Hishammuddin ataupun timbalannya Aziz Sikh
Fadzir yang lebih selesa berdiri berkokok di atas tembok pagar. Yang membuat laporan
polis kali ini ialah Zulkifli Alwi (Setiausaha pergerakan Pemuda UMNO), Mohammad Norza
Zakaria, Affendi Zahari dan Zein Isma. Mereka ditemani oleh Haidar Sikh Fadzir (Ketua
Pemuda Kepong) dan Mustapha Kamal Mohd. Yusuf (Ketua Pemuda Seputeh). Yang tidak
turut serta dalam episod ini ialah Bendahari Pemuda UMNO yang kini bergelar 'datuk'
dan merupakan salah satu klon seorang diktator jahanam.
Kita harus merakamakan di sini satu fenomena terbaru dalam taktik acuan politik kueh
semperit UMNO ini. Sebelum Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan terhadap Ezam ada
satu lagi laporan yang dibuat sehari sebelumnya. Pada kali itu laporan tersebut
dibuat oleh Ketua Siasatan Jenayah Ibupejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Deputi
Supritendan Yusuf Shafie di IPD Dang Wangi.
Oleh kerana kesuntukan ruang, kita akan bincangkan terus kenapa Ezam ditangkap
sedangkan semua orang bercuti untuk hari lebaran dan beliau sepatutnya dibiarkan
merayakan hari lebaran bersama keluaraga dan teman-temannya. Pada hari Raya dulu Ezam
ditangkap di lapangan terbang KLIA sekembalinya daripada lawatan umrah dan pulang
untuk merayakan lebaran Hari Raya Puasa. Apakah pihak polis tidak sedar, tindakan
menangkapnya itu memperlekehkan martabat Pasukan Polis Malaysia bukan sahaja di mata
rakyat marhaen tetapi di seluruh dunia?
Rakyat marhaen tentu tidak lupa bagaimana ada menteri UMNO yang dibiarkan bebas berminggu lamanya walaupun polis sudah mengetahui dia telah menembak mati seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan. Rakyat marhaen masih ingat bagaimana Abdullah Ang yang ditangkap dan dihukum penjara boleh diberikan kebebasan untuk keluar malam menikmati 'bakut teh' di malam hari. Begitu juga dengan layanan Mahathir terhadap seorang ketua pemuda UMNO yang dituduh melakukan hubungan zina dengan gadis sunti sehingga menghasilkan zuriat. Dia tidak terpenjara tetapi seorang ahli parlimen Cina yang dipenjarakan pula. Apakah salahnya kalau Ezam diberitahu secara lisan agar melapurkan dirinya di balai polis sehari selepas menyambut hari raya untuk siasatan dan kemudian menahannya ketika itu?
Semua ini adalah peristiwa yang menghantui Mahathir kerana dia tahu Ezam dan pemimpin
muda parti pembangkang sedang mempelopori kebangkitan rakyat marhain untuk
menjaga wang rakyat agar tidak terus dibazirkan oleh Mahathir dan para sahabat
bajingannya. Sebenarnya, di sinilah terserlahnya kelemahan hampir semua akhbar dan
risalah parti pembangkang dan juga NGO yang mahukan rakyat marhaen menyokong
mereka. Rakyat marhaen terlalu galak disogokkan dengan cerita ekonomi yang
merudum. Apakah Mahathir menunjukkan sebarang 'keinsafan' terhadap tuduhan Ezam dan
pemimpin pembangkang? Masih banyak lagi pembaziran dan projek mega yang dilaksanakan
tanpa rakyat memahaminya kerana tidak ada pendedahan mengenainya.
Pada dasarnya rakyat marhaen sudah menjadi konfius dan mencelaru kerana mereka
sendiri tidak tahu betapa negara beransur muflis kerana projek mega yang membazirkan
khazanah rakyat. Kebanyakan projek mega ini dilaksanakan di Bandar Airmata Rakyat
(Putrajaya) dan Selangor Darul Ihsan. Kelmarin Menteri Besar Selangor
mengisytiharkan projek pelihara buaya di Banting. Berapa juta agaknya? Adakah dia
sedar betapa projek pemeliharaan buaya di Thailand yang merupakan antara projek
terbesar di dunia sedang mengerang kerana kekurangan perniagaan? Berapakah kos tenaga
pekerja di Thailand kalau dibandingkan dengan kos tenaga kerja di Malaysia?
Pernahkah dia buat kajian akan projek pengekspotan daging buaya di Australia dan
Afrika yang diusahakan oleh usahawan Barat? Adakah dia kaji projek yang sama yang
dilaksanakan di beberapa negara membangun seperti di Kambodia, China, Filipina dan
New Caledonia? Kini, Mohamad Khir Toyo mahu membelanjakan sekitar 20 juta membina bangunan yang boleh
digunakan untuk memasarkan hasil kerja orang kampung seluruh Selangor. Inilah yang saya
katakan benda-benda yang melucukan. Mohd. Khir sudah menjadi terlebih 'bijak'
seolah-olah menyambung 'kerja-kerja Mat Jenin' seorang menteri besar yang menanam
padi di atas bumbung. Tetapi kalau dua puluh juta itu ditaruhnya dalam satu tabung khas
di mana setiap daerah dalam negeri Selangor diperuntukkan satu juta untuk mengeluarkan
makanan untuk diekspot, dia akan mampu menjadikan peruntukan dua puluh juta itu menjadi
berlipat ganda dalam masa dua tahun. Selangor mempunyai kawasan bekas lombong bijih
yang banyak. Dia hanya perlu menggalakkan ternakan ikan yang sesuai untuk dijadikan
'fish fillet' dan kontrakkan penjualannya untuk pasaran dunia. Inilah yang dilakukan
oleh kerajaan Israel di Afrika. Inilah juga sebabnya PBB mempunyai satu jabatan khas
yang disebut UNEP (United Nation Environmental Programme) di Nairobi, Kenya, Tujuan
sebenar penubuhan jabatan PBB ini ialah untuk memberikan perlindungan diplomatik kepada
pegawai Israel dan pro Israel yang mengendalikan perniagaan ternakan 'Talapia
Nilotica' di beberapa tasik di Afrika. Ikan Talapia Nilotica ini sungguh besar dan
amat sesuai dipelihara di lombong bijih lama ataupun tempat seperti Tasik Cini,
Temenggor, Banding dan sebagainya. Ikan yang besar adalah sebesar meja guru sekolah,
kulitnya boleh dijadikan kulit perhiasan wanita yang lebih tinggi nilainya daripada
kulit buaya (kerana kos mewarnakannya yang lebih rendah). Israel memelihara ikan
jenis ini di Afrika dan menjadikannya bahan 'fish and chips' di kedai-kedai makan di
Amerika dan Eropah. Sekarang ini kita tidak pernah mendengar sebarang berita berkaitan dengan kerajaan
negeri yang mengeluarkan bahan makanan untuk digunakan oleh Tabung Haji di Arab Saudi.
Yang kita dengar ialah pelaburan Tabung Haji dalam industri membotolkan whiskey dan
brandi di India dan menjual tanah ladang kepunyaan sukusakat Suharto-Mahathir di
Indonesia. Industri pemakanan terutama sekali bekalan ikan segar di Tanah Arab adalah dimonopoli
oleh rakyat Pakistan. Inilah sindiket yang sama mengendalikan industri ikan di
Pakistan sehingga Afghanistan dan Utara Iran. Malahan FAO (badan PBB dalam bidang
makanan) menganjurkan Persidangan tahunan perikanan melalui 'Infosamak' di Bahrain
setiap tahun. FAO ada wakilnya di Malaysia yang bergelar Infofish yang boleh membantu
Malaysia dalam hal ini. >Kenapakah kita tidak pernah mendengar usaha kerajaan negeri
dalam industri pembekalan ikan di peringkat global? Bukankah ini industri yang paling
mudah dan murah untuk setiap perkampungan orang Melayu? Kini, teknologi ternakan ikan
tidak perlu kolam dan tasik lagi. Sudah ada teknologi ternakan dalam tangki simen dan
gentian sahaja. Kenapakah ini tidak dilakukan, sedangkan Ibrahim Ali penah menjadi
Pengerusi FAMA satu ketika dulu? Projek ternakan ikan untuk ekspot apabila dijadikan projek taraf desa dan kampung
tidak memerlukan belanja beratus ribu ringgit. Ia adalah satu projek murahan sahaja yang
tidak mendatangkan komisen kepada sesiapa yang menajanya. Ia bukannya projek mega
yang boleh dimegahkan, walaupun hasilnya akan menghakiskan setiap rakyat marhaen yang
berada di tahap kemiskinan mengikut taksiran dunia (world poverty level). Ia tidak
akan dilaksanakan oleh kerajaan mahathir kerana tidak ada sukusakat yang boleh menjadi
jutawan baru segera melalui projek itu. Tidak pedulilah kalau orang Melayu akan menjadi
terus tertekan hidupnya. Kalau projek ternakan ikan untuk ekspot dibuat di setiap desa di seluruh negara ia
mampu menghakiskan kumpulan termiskin di negara ini. Modal tidak menjadi soal lagi kerana
daripada zakat tabung haji sahaja sudah cukup dijadikan modal awal dan modal pusingan.
Projek ikan ini boleh dilaksanakan dalam empat bahagian: a) ikan segar dihantar terus
setiap hari, (b) ikan masin yang amat tinggi nilainya di tanah Arab dan negara yang
jauh daripada laut di Afrika (c) 'fillet fish' ataupun jejari ikan yang diperlukan
oleh pasaran makanan segera, (d) ikan setengah masak (precooked fish) untuk restoren
dan hotel di luar negara. Semua teknik ini bukannya benda yang baru. Teknik 'vacuum
packing' yang dipelopori di Utara Pranchis (Nantes) membolehkan bekalan masakan
disediakan dua tiga bulan terlebih awal untuk dibekalkan di semua hotel besar di
Eropah. Itu sebabnya hidangan makanan disediakan dalam masa lima minit selepas membuat
pesanan. Inilah teknik yang digunakan untuk menyediakan makanan syarikat penerbangan.
Kenapakah teknik ini tidak dilaksanakan di seluruh desa melalui KEMAS dan FAMA selama
ini? Jawapannya terletak kepada ketiadaan komisen yang besar untuk melancarkan
projek yang tidak MEGA ini. Lagipun, kalau bekalan ikan terhad; ia memudahkan
masyarakat orang tengah di Kuala Lumpur berniaga bebas sambil menikmati untung
yang besar. Mereka lebih selesa mengawal pasaran ikan dengan mengimpotnya daripada
negara luar (Vietnam, Kambodia, India, Pakistan dan Eropah). Kuasa monopoli inilah
yang membuatkan masyarakat nelayan Melayu masih merempat di kampung halaman
sendiri. Ini juga sebabnya Mahathir tidak mewujudkan Kementerian Perikanan, sedangkan
kita mempunyai pesisiran pantai yang lebih panjang daripada Thailand dan Taiwan.
Rakyat marhaen sudah semakin sedar betapa Mahathir dan orang-orang kesayangannya
menyalahgunakan wang rakyat di Tabung Haji, KWSP dan pelbagai dana Amanah Saham. Bila
Ezam menonjolkan agenda 'mengawasi wang rakyat' dia sebenarnya menjolok sarang tabuan
di mana segala bajingan Mahathir sedang bersarang. Bayangkan apa yang berlaku di Tabung
Haji. Kerajaan India sanggup mengeluarkan sabsidi kepada sekitar 75000 (tujuh puluh lima ribu)
jemaah haji di kalangan rakyatnya yang beragama Islam. Tetapi, kerajaan India adalah
kerajaan Hindu. Di Singapura, pelbagai potongan (rebat) sedang diberikan kepada
rakyatnya. Tetapi, apabila orang Islam Malaysia pergi mengerjakan haji dan umrah setiap
tahun kosnya dinaikkan lagi. Soalnya sekarang bagaimanakah MAS setiap tahun kalah tender
untuk mengangkut jemaah haji ke tanah suci. Bagaimanakah syarikat perkhidmatan udara yang
dikuasai oleh seorang lagi klon diktator tua boleh memenangi tender itu? Apakah rakyat
marhaen tidak boleh berfikir bahawa MAS kalah tender kerana disuruh menaikkan
sebut-harga tendernya ? Bukankah 'Air-Asia' pada asalnya satu syarikat perkhidmatan
udara yang diasaskan oleh Tan Sri Ting? Satu ketika dulu saya pernah mengungkit kenapa
Tabung Haji tidak mampu membeli pesawat sendiri untuk mengangkut jemaah haji. Kalau klon
Mahathir boleh menyewa pesawat untuk mengangkut jemaah haji kenapakah Tabung Haji tidak
mampu melakukannya? Kenapakah perkara itu sukar untuk difikirkan oleh pentadbir Tabung
haji dan Lembaga Pengarahnya? Sehingga sekarang, Tabung Haji tidak pun mampu membuka
satu laman web YANG BERKESAN untuk kemudahan umat Islam. Alangkah lucu perkara ini? Tetapi
inilah lelucon yang membuatkan kita marah kerana pengurusan Tabung Haji seolah-olah
mempersendakan para penjimat Islam. Kalau Tabung Haji ada mempunyai laman web sendiri
YANG BERKESAN, bukankah mudah untuk keluaraga para jemaah mengikut pergerakan saudara
mara mereka di tanah suci itu? [Tabung Haji memiliki beberapa buah syarikat IT yang bersifat 'System Integrator'.
Mereka sepatutnya mampu membina laman yang lebih BERKESAN adanya - Editor]
Ezam akan menjadi 'kambing hitam' bikinan sekumpulan penyangak dalam UMNO yang diketuai
oleh seorang presiden yang naik melalui putarbelit juga. Cuba perhatikan pergerakan
pemuda UMNO itu. Lihat keadaan semua exco UMNO dari segi kehidupan mereka dan
bandingkan dengan kepandaian dan kelulusan mereka. Tanpa pembabitan dengan UMNO,
mereka tidak mungkin menjadi pemimpin dan hidup senang-lenang.
Beberapa minggu yang lalu Ali Rustam ketua menteri Melaka ada menyebut betapa perlunya
mendapatkan khidmat seorang bekas penglima tentera untuk menjadi ketua penguatkuasa mesin
judi haram. Saya ingin menasihatkan Ali Rustam agar beristigfar panjang-panjang.
Anggapannya itu bukan sahaja menghina golongan tentera malahan ia memperlekehkan kelas
ketua menteri dan menteri besar di negara ini. Ali Rustam tidak tahu ataupun tidak mahu
tahu apakah kualiti menjadi seorang panglima tentera. Saya fikir kalau Ali Rustam masuk
angkatan tentera beliau hanya layak menjadi 'quartermaster' menjaga bekalan makanan
sahaja ataupun lebih rendah daripada itu. Ali Rustam dan juga pergerakan pemuda UMNO
tidak sedar kualiti seorang panglima tentera kerana tidak ada panglima tentera setakat
ini yang rakuskan kuasa. Kalau panglima tentera di Malaysia ini setaraf dengan
panglima tentera yang mungkin dikenali oleh Ali Rustam di Afrika, Malaysia sudah lama
mengalami rampasan kuasa di mana pemimpin UMNO sudah lama terpenjara kerana kebajingan
mereka. Bukankah ini yang telah berlaku di Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina?
Kalau kita lihat rampasan kuasa yang pernah berlaku di Afrika, kebanyakan rampasan kuasa
itu dilakukan oleh pegawai NCO (Non-Commisoned Officers - pegawai tidak bertauliah).
Contoh yang terbaik ialah di Liberia yang menonjolkan Sarjan Samuel Doe yang mati
dibunuh akhirnya oleh seorang sarjan yang kini menjadi presiden pula. Samuel Doe dan
pegawai tentera lain merampas kuasa kerana mengambil iktibar daripada Napoleon Bonaparte
dan juga Hitler. Mereka berdua adalah berpangkat koperal sahaja pada asalnya. Salah
satu sebab kenapa Ezam mesti diaibkan ialah untuk menonjolkan kekuatan polis sehingga
menakutkan angkatan tentera Malaysia. Kalau inilah yang difikirkan oleh Mahathir dan
pemikir bajingannya, biarlah saya katakan bahawa Mahathir sedang menjolok sarang tebuan
juga. Mahathir mungkin merasa selesa dengan sikap dingin panglima tentera Melayu hasil
pengaruh yang mungkin ada di tangan Hashim Ali adik iparnya. Tetapi, Mahathir dan semua
pemimpin UMNO mesti sedar bahawa 'askar tentera dan rakyat jelata berpisah tiada....!!!!'
(Kita akan tulis mengenai rampasan kuasa tentera dalam MMM 10 Insya Allah.)
Ezam terpaksa diaibkan untuk memesongkan kisah seorang sultan yang mempunyai banyak
skandal membabitkan kisah anak perempuannya yang sudah berumur 19 tahun. Sebenarnya
kisah yang didedahkan oleh Malaysiakini adalah cerita basi. Hampir semua pengendali web
Melayu dan penulis laman internet sudah lama tahu hal ini. Cuma kami tidak mendedahkannya
dulu, cukup setakat menyindirnya sahaja. Warga istana tahu kalau kisah Sultan ini
membesar dan menular ia akan menampar imej UMNO dan Mahathir kerana ia berlaku sejak
Mahathir bergelar 'Maharajah'.
Ezam mesti diaibkan sebagai amaran jelas kepada PAS. Mahathir tidak berminat menangkap
Mahfuz Omar Mat Sabu ataupun Ismail Kamus. Dari segi kelantangan bercakap Mahfuz Omar
memang lebih celupar daripada Ezam. Tetapi, Mahfuz tidak boleh ditangkap kerana Mahathir
amat ghairah mahukan PAS terus berunding dengan UMNO. Tujuan sebenar perundingan hanya
untuk melecehkan proses keaiban kejatuhan Mahathir dan kumpulan bajingannya.
Penangkapan Ezam di bawah Akta Hasutan akan meledak menjadi satu kebangkitan rakyat yang
tidak dapat dibendung oleh UMNO, Polis dan juga Mahathir. Orang Melayu bencikan Mahathir
kerana dia mengaibkan Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan yang sehingga kini tidak pun
dapat dibuktikan di mahkamah. Mahathir sendiri takut menghadirkan dirinya ke mahkamah
sebanyak dua kali setelah arahan dikeluarkan kepadanya. Di waktu yang sama, dia terus
menjelajah dunia menghabiskan wang rakyat memberikan syarahan kenapa dia memecat Anwar.
Kini, Ezam ditangkap untuk dihadapkan ke mahkamah atas Akta Hasutan. Apakah akan jadi
kalau peguam Ezam mendapatkan mahkamah mengeluarkan sapina kepada Mahathir? Bukankah
tuduhan bahawa Ezam cuba menjatuhkan kerajaan mula-mula sekali dituturkan oleh Mahathir
sebelum Utusan Melayu terus mengapi-apikan isu itu? Kalau kes Ezam dihadapkan ke mahkamah
kali ini kita menjangkakan beberapa peguamnya akan meminta semua exco pemuda UMNO turut
disapina termasuk pegawai polis yang membuat laporan polis. Kes Ezam di mahkamah mungkin
memakan masa yang panjang. Apakah akan jadi kalau Ezam tidak diberikan ikat jamin?
Perlembagaan Malaysia tidak melarang sesiapa berdemo secara aman, dan inilah yang
ditekankan oleh Ezam tetapi diputarbelit oleh Mahathir, UMNO dan Utusan Melayu.
Penangkapan Ezam atas tuduhan ini boleh dilihat sebagai ekoran akhir setelah pihak
musuhnya gagal dengan tohmahan betapa dia pernah memanjat tembok rumah Anwar Ibrahim
untuk bertemu dengan anak wira rakyat marhaen itu. Orang yang membuat tuduhan ini
dulunya adalah seorang pemandu kereta Ezam yang diperkenalkannya sebagai seorang
'sahabat'. Tetapi begitulah ragamnya politik Melayu. Sahabat dan kawan boleh bertukar
menjadi lawan. Ini semua jarang berlaku dalam politik kaum lain. Itu sebabnya UMNO
bikinan Mahahtir merupakan sebuah parti Melayu di mana segala kelakuan negatif Melayu
itu hidup subur. Secara tidak disedari Mahathir dengan sokongan Pemuda UMNO yang nyata tidak matang lagi
berpolitik telah mencetuskan satu semangat kebangkitan rakyat. Orang Melayu kelas
marhaen akan bangkit disebabkan Ezam bin Mohd. Nor. adalah satu ikon yang akan menjadi
satu katalis yang akan membuatkan orang melayu bersatu padu menentukan Mahathir undur
daripada arena politik. Sama ada Mahathir dan para penasihatnya akan percaya ataupun tidak, rakyat marhaen
sedar bahawa Ezam dan sahabatnya selama ini mahukan Mahathir undur dan bukannya mahu
jatuhkan kerajaan. Majoriti rakyat marhaen sedar kerajaan pimpinan UMNO boleh
dijatuhkan melalui pilihanraya umum 2004. Yang mereka mahu berlaku sekarang ialah
pengunduran Mahathir dan para jongosnya. Itu sahaja............dulu!!!!
Mahthir semakin menyedarkan orang Melayu apa ertinya berjihad ke jalan Allah. Dia
terpaksa menjadikan Ezam sebagai mangsa untuk menutup malu terhadap apa yang sedang
berlaku di Kubang Pasu. Majlis yang ditaja oleh PAS selama satu minggu dan membabitkan
orang Melayu adalah satu pengaiban kepada Mahathir dalam sejarah politiknya. Dulu dia
kerap menuduh Soros sebagai penyangak matawang yang menjahanamkan ekonomi negara.
Tetapi apabila rakyat marhaen membuka Laman Web George Soros rakyat faham betapa Soros
banyak membantu negara miskin. Pembabitannya di Malaysia tidak mungkin terjalin tanpa
pemimpin UMNO juga ataupun para pemimpin korporat yang rapat dengan UMNO.
Apabila Mahathir ketandusan idea untuk mencari orang asing dijadikan kambing hitam
program bajingannya, Ezam menjadi mangsa sekali lagi. Mahathir mahu rakyat marhaen
percaya bahawa Ezam adalah musuh rakyat. dan penyebab kenapa pelabur melarikan diri.
Dakyah ini disokong oleh Baharum Razak, presiden penjaja Melayu wilayah persekutuan.
Cuma Baharum Razak tidak terfikir bahawa keselamatan negara sudah lama tergugat
kerana terdapat lebih lima puluh peratus orang asing yang menjaja dengan
menggunakan lesen orang Melayu. Cuba lihat di kedai R&R 'Plus' dan 'Elit' siapakah
yang berniaga dan bekerja sekarang kalau bukan orang asing sedangkan lesen adalah
atas nama orang UMNO. Begitu juga di kebanyakan gerai di Chow Kit dan bandar besar
seperti Johor Bahru, Ipoh, Penang, Alor Star dan sebagainya. Apakah yang Bahrum Razak
sudah lakukan apabila tercetus kisah pengarah bandaraya yang mempunyai dan
mengendalikan 80 (lapan puluh) lesen gerai makan di Kuala Lumpur?
Tetapi itulah juga taktik Mahathir. Dia terus menipu dan berbohong kerana mahu terus
berkuasa. Rakyat marhaen terutama sekali veteran UMNO masih ingat apa yang pernah
Mahathir ucapkan di parlimen pada 11 Ogos 1965. Kita petik rakaman Hansard parlimen
akan kata-katanya itu;
"Saya tidak percaya, saya sebutkan lagi - TIDAK PERCAYA - dengan diadakan, dengan dicatitkan di dalam perlembagaan hak-hak bumiputra maka ni akan membawa kepada kesenagan bagi orang-orang Melayu. Dan pada satu masa, kita AKAN BUANG SAMA SEKALI hak-hak istimewa orang-orang Melayu......" (Saya minta jasabaik Webmasters menyedut perenggan ini daripada Hansard Parlimen). Sepatutnya Hansard Parlimen boleh dirujuk daripada laman web. Rakyat marhen sudah lama memendam kata-kata, seperti mana mereka masih ingat bagaimana
Putrajaya diserahkan oleh Kerajaan Selangor tanpa mengambil kira bangkangan rakyat.
Seperti juga cadangan Mahathir di BAOA Beijing yang mahukan kuasa besar dicukai untuk
membantu negara membangun naik. Tetapi, apakah rakyat marhaen akan lupa bagaimana wang
rakyat digunakan untuk memulihkan segala kerugian yang dialami oleh klon-klonya dan
para kroninya? Mahathir fikir semua penipuan ini dapat ditutup dengan menangkap Ezam
dan menderanya. Kalau Ezam tidak dibebaskan dan segala tuduhan ditarik balik ia akan
bererti bahawa kejatuhan Mahathir hanya menunggu saat terakhirnya.
Inilah saatnya Mahathir mungkin menghadapi segala kutukan dan proses diganyang oleh
pelbagai kelompok dalaman yang masih berada dalam UMNO. Inilah bermulanya saat genting
bagi Mahathir. Sekaligus, Pemuda UMNO pun akan diperlekehkan oleh orang Melayu. Laksana
'hyena' yang kelaparan, golongan dalaman ini dijangka bangkit mengganyang Mahathir secara
terang-terangan. Kebenaran akan tetap menjadi kebenaran. Apakah dosa sebenar Ezam yang dia dituduh di bawah
Akta Hasutan? Mahathir tidak punyai pilihan lagi selain mengundurkan dirinya dan lari ke
negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia. Saya ingin beri pesanan kepada
Mahathir, eloklah undur dengan segera sebelum terlambat dan sebelum semangat jihad orang
Melayu membara seluruh negara. Bukalah lembaran sejarah dan lihat apa yang akan jadi kalau
orang Melayu mengamuk, dan sebelum lagu "Selamat Tinggal Romeo" menjadi popular semula.
Memang buruk padahnya. Mahathir melalui pergerakan Pemuda UMNO sudah membuatkan orang
Melayu merasakan diri mereka terhina. UMNO tajaan Mahathir sudah menunjukkan betapa
orang Melayu sudah menjadi hamba abdi kepada kerakusan mereka. Apabila polis turut
dengan telatah ini, ia sudah membuatkan orang Melayu itu menjadi satu bangsa yang sungguh
terhina. -marhaintua- |