Laman Webantu KM2A1: 3969 File Size: 4.9 Kb * |
Roboh Kuil Buddha: Tindakkan Taleban Bercanggah Dengan Piawai Islam By Mahfuz 14/3/2001 8:26 am Wed |
[Sebenarnya banyak perkara yang masih samar dalam lapuran pemusnahan
patung Buddha. Taleban mungkin berhak melakukan sesuatu yang terbaik buat
semua rakyatnya - termasuk memusnahkan patung jika itu kehendak semua
(termasuk penganut Buddha di situ) - seandainya mereka ada dan jika itu
dituntut sendiri oleh ugama asal (original) Buddha. Di sinilah pakar Buddha
perlu bersuara - malangnya dimanakah mereka? Orang lain nampaknya lebih kuat
bersuara - sepatutnya dunia bertanya kenapa?
- Editor (sekadar mengusik minda)]
ROBOH KUIL BUDDHA : TINDAKAN TALEBAN BERCANGGAH DENGAN PIAWAI ISLAM
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah tindakan Kerajaan Taleban
Afghanistan yang telah bertindak meruntuhkan berhala-berhala milik penganut
agama Buddha di Afghanistan sekiranya benar seperti yang dilaporkan oleh
media massa. Bagi DPP Pusat, tindakan mencerobohi dan memusnahkan rumah
ibadat orang bukan Islam adalah bercanggah dengan prinsip Islam yang
membenarkan kebebasan beragama bahkan Islam menghormati hak orang bukan
Islam untuk memilih jalan hidupnya sendiri.
DPP Pusat secara terbuka mempertegaskan jika benar seperti yang dilaporkan
oleh media tentang tindakan Taleban itu, maka itu bukanlah gambaran sebenar
sebuah kerajaan Islam yang sedang dicanangkan oleh gerakan Islam seluruh
dunia. Tetapi apa yang berlaku itu adalah dasar Taleban sendiri yang dibuat
tidak berdasarkan prinsip asas Islam. DPP Pusat juga mempertegaskan bahawa
sekiranya PAS memerintah negara ini, semua kepentingkan orang bukan Islam
tidak akan dicabuli bahkan akan terus dipertahankan mengikut hak yang
sewajarnya diperolehi oleh mereka. Seperti yang berlaku di Kelantan dan
Terengganu, PAS tidak mencabuli hak orang bukan Islam bahkan dipertahankan.
DPP Pusat sebenarnya masih sangsi terhadap laporan akhbar yang melaporkan
tentang tindakan Taleban di Afghanistan kerana kesahihan beritanya tidak
dapat dipastikan. DPP Pusat mempertikaikan sumber sebenar berita tersebut
yang mungkin mempunyai niat tidak baik terhadap Taleban ataupun bertujuan
untuk menjejaskan nama baik gerakan Islam di negara ini yang mula mendapat
kepercayaan rakyat. Sekiranya berita tersebut dipetik daripada agensi berita
Barat terutama Amerika Syarikat (AS), ia boleh dipertikaikan kerana AS
sentiasa mencari jalan memburukkan Taleban terutama selepas Taleban
melindungi Osama Ben Ladin. PAS sendiri di negara ini mempunyai pengalaman yang sangat pahit dengan
manipulasi dan putar belit media massa. Segala tohmah yang buat berkenaan
dengan dasar kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu sudah cukup menjadi
bukti. Isu hukum hudud, wanita bekerja, harga air, istana dan sebagainya
yang sentiasa diputarbelitkan oleh media yang tidak beriman sangat jelas
bertujuan untuk memburukkan gerakan Islam. DPP Pusat tidak menolak
kemungkinan Taleban juga menerima nasib yang sama kerana Taleban adalah
musuh utama AS dan PAS pula merupakan musuh utama BN yang menggunakan
syarikat perunding iklan Yahudi, Sachi & Sachi dari AS sebagai penasihat
medianya. DPP Pusat walau bagaimanapun mengajak rakyat negara ini menilai terlebih
dahulu tindakan kerajaan Taleban terhadap penduduk bukan Islam di negara
tersebut. Adakah masih terdapat penganut agama Buddha di Afghanistan dan
adakah kuil yang diruntuhkan itu masih berfungsi untuk tujuan agama penganut
Buddha. Jika tidak ada penganut Buddha dan kuil tersebut pula tidak
digunakan, adalah wajar ia tidak dipertahankan di sebuah negara Islam.
Tetapi sekiranya masih terdapat penganut Buddha di sana dan kuil tersebut
masih digunakan oleh mereka, maka tindakan merobohkan kuil ini sangat
tercela sekali. DPP Pusat sendiri tidak teragak-agak untuk mengutuk Taleban
jika itulah keadaan yang berlaku. Walau apapun yang berlaku dan walau apapun yang dilaporkan oleh media, namun
DPP Pusat masih lagi menuntut penjelasan sebenar daripada Kedutaan
Afghanistan di Kuala Lumpur tentang apa yang dilaporkan ini. Penjelasan ini
sangat penting untuk menentukan kesahihannya sekaligus membersihkan nama
baik kerajaan Afghanistan sekiranya apa yang dilaporkan itu tidak benar.
Bagi DPP Pusat, mempercayai secara bulat-bulat apa yang dilaporkan oleh
media Barat dan tempatan yang hipokrit adalah tidak wajar. Nanum kenyataan
ini bukan bermaksud untuk mempertahankan tindakan Taleban, tetapi kebenaran
dan keadilan mesti didahulukan.
|