Laman Webantu   KM2A1: 3990 File Size: 3.8 Kb *



PAS Di Ambang Kehancuran!
By tv3

16/3/2001 4:28 pm Fri

Assalamualaikum/Selamat Sejahtera
Semua Pejuang REFORMASI

Selama ini PAS dengan lantang mengkritik Mahathir melalui ceramah-ceramah di seluruh negara. PAS mahu Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri secepat mungkin. Ini bererti juga, bagi PAS, Mahathir tidak layak lagi untuk memimpin negara. Dan oleh kerana pemimpin negara adalah juga pemimpin bangsa Melayu, Mahathir bukan lagi layak untuk memimpin Melayu.

Orang-orang Melayu telahpun menolak Mahathir dan UMNO pada tahun 1999. Kemenangan UMNO dibantu oleh undi kaum lain, khasnya kaum Cina. Dianggarkan tidak kurang dari 85% dari mereka telah memangkah UMNO/BN. Ekoran cara Mahathir menangani isu "Suqiu", permasaalahan sekolah Cina (dan beberapa isu lagi), kini jelas kepada Mahathir bahawa sokongan orang Cina kian merosot, sebagai yang telah dimanifestasikan di Lunas. Didalam satu perjumpaan tertutup, Mahathir mengaku anggaran sokongan kaum Cina terhadap UMNO/BN kini tinggal hanya 50%. Justeru, beliau tidak ada jalan lain kecuali mencuba untuk memegang kembali teraju kepimpinan Melayu.

Andaikata PAS duduk semeja berbincang dengan Mahathir, yang pasti, akan kecewalah semua orang orang Melayu yang telah menolak Mahathir. Kesabaran mereka yang selama ini dianaktirikan oleh rejim Mahathir (anak rejim Mahathir hanyalah kroni-kroni dan UmnoPutra) akan tercabar lagi. Sukar hendak dibayangkan rasa kecewa yang bakal melanda! Berbincang semeja bererti PAS mengiktiraf Mahathir sebagai seorang yang masih berperanan untuk memimpin Bangsa Melayu. Ini bertentangan dengan semua hujah hujah yang disebarkan diceramah ceramah atau waktu kempen pilihanraya! Kredibiliti PAS, tidak boleh tidak, pasti terjejas.

Perbincangan "Perpaduan Melayu" yang dicanangkan, tidak ada risiko bagi Mahathir. Sebaliknya, yang jelas, hanya ada kemungkinan keuntungan baginya.

Kini, walaupun perbincangan gagal diteruskan diatas apa jua alasan, Mahathir masih lagi berupaya menonjolkan dirinya sebagai seorang yang sanggup berdamai demi kepentingan orang Melayu. Orang-orang Melayu yang "neutral" tetapi jahil tentang pelbagai bentuk kerakusan yang dilakukan (dulu, kini dan selamanya!) oleh rejim Mahathir akan memberikan sokongan kepadanya. Kuncu-kuncu dan media-medianya akan terus meracuni rakyat dengan menonjolkan (kononnya) PAS lah yang menolak peluang untuk berbincang tentang satu isu yang amat genting, ya itu, "perpaduan" Melayu.

Agak sudah terlambat bagi PAS menolak seratus peratus pertemuan ini setelah menunjukkan kesanggupannya. Kalau telah ditolak pun, imej politiknya boleh diburukkan oleh UMNO seperti yang disebut tadi. Mungkin (pada hemat saya) jalan pertengahan yang terbaik adalah bagi PAS untuk terus mengadakan pertemuan dengan UMNO. Dan BUKAN dengan Mahathir yang kini dilihat sebagai tidak lagi layak memimpin orang Melayu, khasnya. Mungkin ada yang berpendapat bahawa UMNO juga tidak layak melibatkan diri didalam hal sedemikian kerana ia nya (UMNO) sendiri telah ditolak oleh orang Melayu. Sekurang kurangnya PAS, sedikit sebanyak, bolehlah menunjukkan sifat toleransinya. Sebaik-baiknya biarlah mereka yang mewakili UMNO ini, masih mempunyai maruah dan harga diri beserta dengan kredibiliti yang mantap, walaupun diakui bahawa ini adalah ciri ciri yang amat gersang dikalangan pucuk pimpinan yang sedia ada.

Prinsip yang harus didokong PAS ialah, "Kita sedia bertemu dengan UMNO atau sesiapa sahaja untuk berbincang tentang perpaduan Melayu serta Bangsa Malaysia. Cuma perbincangan TIDAK BOLEH MELIBATKAN MAHAFIRAUN, yang kini dilihat tidak lagi berkelayakkan!"

Kita orang-orang Melayu menunggu gerak dan aksi dari PAS.