Laman Webantu KM2A1: 4084 File Size: 20.9 Kb * |
Siri 10 MMM: B1 Kathelika Niramile By Marhain Tua 29/3/2001 9:06 pm Thu |
MMM 10 Bahagian 1/2 [Kg Medan adalah peristiwa biasa yang kemudiannya
dikacau oleh 'pihak tertentu' yang berpengalaman
melakukan begitu kerana kepupusan sokongan. Inilah
kawasan setinggan yang masih terpinggir walaupun
penghuninya sudah beranak dan bercucu dan sering
memangkah BN sejak dulu. Janji pembangunan tidak ditepati
sehingga kemiskinan dan jenayah menjadi-jadi. Akhirnya
meledaklah kekecewaan menjadi pergaduhan ngeri kerana
disimbah minyak dan api oleh pihak yang memang mahu
ia terus kekal begini. Inilah pihak yang menjadi kaya raya mengutip hasil
di bumi setinggan selama ini... patutlah mereka
mahir membina bom dan apa sahaja untuk membakar
kerana bimbang berkurang undi jika penduduk dinyahkan
pergi. Dan idea itu muncul dari mulut Mahathir sendiri.
- Editor] Sejak Episod Kg. Medan meletus, banyak emel telah
dikirimkan ke kantong 'marhaintua' sehinggakan
saya menerima amaran daripada tuanpunya URL agar
saya bertindak secepat mungkin. Saya sebenarnya
tidak terdaya menyekat ledakan emel itu kerana
paling banyak yang termampu saya baca di bahagian
awalannya untuk disimpan ke dalam disket ataupun
diketepikan ialah hanya sekitar 55 kiriman
sahaja, setiap hari. Kalau lebih dari itu yang
diterima, tentu berlaku kesesakan yang sukar
dielakkan. Ramai pengirim yang mahukan pendapat saya, sambil
ada juga yang memikirkan saya sudah-kecut perut
untuk menulis mengenainya. Saya ingin mengambil
kesempatan kali ini memberikan penjelasan mengenai
isu Kg. Medan, yang saya anggap satu isu yang
sengaja dibesar-besarkan kerana kepentingan politik
'orang tertentu' (pinjam istilah Mahathir kerana dia
amat suka menggunakan frasa ini sekarang). Saya
harapkan tulisan saya mengenai episod Kg. Medan
(di sini bermaksud seluruh kawasan dan perkampungan
persekitarannya) akan menghentikan lambakan kiriman
emel kepada saya, selepas ini. Saya ulang untuk dirakamkan di sini, episod Kg.
Medan adalah satu kisah pergaduhan kecil yang
dapat dilihat di mana-mana terutama sekali di
satu penempatan manusia yang padat. Sepatutnya ia
sudah selesai dengan tindakan pantas pemimpin
masyarakat setempat. Kalau episod bermula pada
Mach 3, kenapakah ia meledak mulai Mach 6?
Semua agensi kerajaan berkata episod Kg. Medan
bukannya pergaduhan perkauman. Tetapi, kenapakah
mangsa daripada kaum India dihantar ke Hospital
Universiti dan mangsa Melayu ke Hospital Besar?
Kalau kerajaan serius untuk mengawal keadaan
kenapakah tidak diadakan sekatan terhad
(restrictive curfew) di malam hari di kawasan yang
hangat sebaik meledaknya isu itu? Kenapa pula
akhbar perdana dibiarkan menulis mengenai berita
pergaduhan di tempat lain dengan menggunakan
perkataan 'pergaduhan kaum' sedangkan ternyata
kebanyakan episod 'tambahan' itu adalah kes
samseng dan kegiatan bajingan yang kerap berlaku
di negara ini? Kerajaan pimpinan Mahathir mempunyai banyak
pengalaman mengenai rusuhan kaum ataupun
pergaduhan kaum. Bila ia tercetus (ataupun apakah
benar ia sengaja dicetuskan?) di Kelantan, kesannya
ialah penubuhan MAGERAN yang kini disedari oleh
rakyat Kelantan, sebagai usaha menidakkan PAS untuk
memerintah negeri itu. Selama 21 bulan MAGERAN
berkuasa di negara ini dengan Hashim Aman dilantik
khas untuk mentadbir Kelantan. Kerajaan BN yang
hampir kecundang pada pemilu 1969 itu telah
menggunakan kuasa putar-belit untuk mengisytiharkan
dharurat ekoran apa yang dikatakan Peristiwa
Berdarah 13 hb Mei 1969. Hanya pada hari Sabtu
20hb Februari 1971, berakhirnya tugas dan tanggung
jawab MAGERAN. Pada hari itu 14 orang ahli Dewan
Negara yang baru dan 143 orang anggota Dewan Rakyat
telah mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan
masing-masing (sila rujuk ms 74-75 'Tun Dr.
Ismail - Negarawan Berjasa' karangan Mohd.
Tajuddin b. Hj. Abdul Rahman) Rusuhan kaum pernah meledak di Pulau Pinang
hingga membabitkan kerahan tentera untuk membantu
polis menanganinya. 'Curfew' dilaksanakan untuk
seketika dan sekatan berita buruk dikenakan
terhadap akhbar perdana. Keadaan menjadi reda
dengan cepat kerana pemimpin kaum ikut serta
meredakan keadaan. Dalam kes Kg. Medan hingga ke hari
ini ada saja berita susulan disiarkan mengenai
pergaduhan kaum di tempat lain selain sekitar Kg.
Medan. Kenapakah perkara ini dibiarkan?
Kerajaan Selangor pimpinan Khir Toyo bertindak
cepat cuba menyelesaikan perkara ini dengan
melaksanakan makan 'berdamai' di kediaman rasmi
beliau. Apakah itu tindakan bijak? Bagi saya itu
tindakan bahlol kerana ia serupa dengan mengubat
di tempat yang tidak sakit. Ketika episod 13 Mei dicetuskan oleh 'orang
tertentu' jamuan makan damai diadakan di Jalan
Chow Kit yang dihadiri oleh penduduk setempat
dengan disertai pasukan Askar Melayu dan polis.
Ketika itu orang melayu tidak lagi membeli-belah
di pasar Chow Kit. Mereka sudah menempatkan satu
pasar baru di Kg. Baru (bekas tapak pasar minggu
yang kini dibina rumah pangsa). Di waktu itu
beberapa kedai popular kepunyaan tauke cina sudah
musnah dimakan api. Contohnya ialah kedai jahitan
Wing Kwong (nama asalnya sebelum dibakar ialah
Sing Kwong). Taukehnya tidak menyesal dengan
kebakaran itu dan dia pernah berkata:
'Saya jadi kaya kerana 99% pelanggan adalah orang
Melayu. Saya tetap buka lagi kedai saya.'
Diperbetulkannya kedai itu kerana dia tahu yang
membakar kedainya bukannya orang Melayu Kg. Baru.
Selepas itu dia bersama dengan beberapa orang
taukeh Cina lain menubuhkan Mun Loong. Di Kg.
Medan, ramai penghuni India yang berkata bahawa yang
datang membuat kacau bukannya orang tempatan.
Siapakah mereka? Inikah mereka yang termasuk dalam
golongan 'orang tertentu'? Rakyat Marhaen Yang Dimangsakan
Katakanlah apa yang berlaku di Kg. Medan itu
sesuatu yang 'real' kenapakah kerajaan bertindak
sehingga mahu menggunakan Akta ISA kepada sesiapa
yang menabur cerita karut. Mampukah kerajaan terus
bersikap mengugut rakyatnya setiap kali ada
kesangsian rakyat marhaen terhadap sesuatu
peristiwa? Kampung Medan dan persekitarannya yang dikatakan
bergelora itu adalah satu penempatan yang terawal
selepas kemerdekaan dicapai. Kepadatannya pada
tahap awal tidak sepadat Kg. Kerinci tetapi ia
merupakan satu penempatan untuk manusia yang
terpinggir. Kg. Medan dan persekitarannya adalah
lambang kepincangan BN yang paling besar dalam
menangani kehidupan satu kumpulan pengundi yang
taat setia selama lebih 40 tahun.
Saya mempunyai ramai saudara dan kenalan di Kg.
Medan. Saya pernah menulis secara kiasan
bagaimanakah wakil rakyat UMNO sanggup berkhidmat
di kawasan seperti itu sedangkan kebanyakan rumah
yang dihuni amat menyedihkan. Sebagai perbandingan
banyak reban ayam wakil rakyat di luar bandar yang
berkeadaan lebih selesa daripada rumah yang dihuni
oleh setinggan Kg. Medan. Banyak sangkar kucing
peliharaan (dan anjing di mana ada kaitannya)
wakil rakyat dan pemimpin UMNO di seluruh negara
ini yang lebih mahal daripada beberapa rumah
penduduk setinggan di Kg. Medan. Banyak jalan
dan lorong ke dusun buah-buahan pemimpin UMNO
yang jauh lebih baik daripada jalan dan lorong
ke rumah penduduk setinggan di Kg. Medan dan
persekitarannya. Kalau kita ambil setiap satu set perabut impot
yang terdapat di ruang tamu setiap pemimpin UMNO
dan BN di seluruh negara ini, kita akan dapati
kos setiap set perabut itu adalah lebih mahal
harganya daripada kebanyakan rumah yang dibina di
Kg. Medan. Apabila cerita ledakan Kg. Medan meletup, tidak
ada pemimpin BN yang berani masuk melihat keadaan
sebenar. Apakah mereka takutkan keselamatan mereka
terancam? Ataupun mereka sudah diberitahu keadaan
yang sungguh menjijikkan di situ memang tidak
sesuai untuk pandangan wakil rakyat? Cuba bayangkan
setiap longkang monsun di perkampungan setinggan di
situ yang diletakkan jambatan titi untuk
diseberangi setiap hari. Di situlah segalanya
kejijikan kehidupan manusia yang merempat. Itulah
gambaran betapa dahsyatnya keadaan hidup manusia
kelas pekerja yang taat setia selama ini kepada
kerajaan yang memerintah. Di situlah terletaknya
satu kumpulan masyarakat yang kais pagi makan
pagi dan kais petang makan hati. Ada yang terpaksa
menetap di situ sejak 25 tahun dulu kerana telah
dijanjikan rumah murah kerajaan. Ketika janji
awal diberikan tiga puluh tahun dulu harga kos
bikinan rumah murah hanya Tujuh Ribu Ringgit sahaja
dan dijual kepada golongan marhaen dengan harga
dua puluh lima ribu. Tikus yang berkeliaran di Kg. Medan adalah sama
besarnya dengan tikus di beberapa tempat di petaling
Jaya seperti di Damansara Utama, Damansara Jaya,
SS2, Kampung Melayu di Petaling Jaya , malahan juga
di Putra Jaya. Ada saiz tikus yang lebih besar
daripada saiz kucing Parsi peliharaan pemimpin
UMNO. Kalau keadaan Kg. Medan tidak diperbaiki kita
akan berkemungkinan diserang wabak hawar-tikus
'plague' yang disebabkan oleh tikus-tikus ini.
Kalau khinzir dan babi yang dipelihara dan
diberikan suntikan pelbagai hormon boleh dijangkiti
oleh wabak JE apakah tikus liar tidak boleh
membawa virus yang membunuh manusia? "Nama anda sudah ada dalam bancian UMNO ataupun
MIC - sabar sedikit masa lagi.!!!"
Itulah janji sejak zaman Datuk Harun yang
diulang-ulang ketika zaman Hormat Rafai, Ahmad Razali
Ali, Mohammad Tyson dan kini Khir Toyo. Semua orang
yang mendahului Khir Toyo pernah menjanjikan rumah
murah kepada setinggan di Kg. Medan. Mereka masih
hidup lagi. Tanyalah mereka kenapa rumah yang dijanjikan itu
masih belum diberikan lagi. Kalau kita menyorot ke
belakang hanya dua puluh tahun, ramai anak
setinggan Kg. Medan sudah pun bekerja dan mereka
kenal hanya seorang perdana menteri sahaja. Di
kalangan mereka yang cerdik pandai mungkin sudah
kenal 18 nama perdana menteri Jepun, dan sedar
betapa yang memegang jawatan sekarang akan
meletakkan jewatannya minggu depan. Kalau ada di
kalangan anak Kg. Medan yang berbakat seperti
Yusuf Chong mengejek suara orang, tentu ramai yang
pandai meniru cakap dan suara Mahathir. Tentu ramai
yang boleh menyebut: "Kalau anda sayangkan negara
ini, anda mesti sanggup berkorban untuk bekerja
kuat. Malaysia Boleh..!!!" Tentu ramai di kalangan
mereka yang mampu berfikir dan menyoal: "Bekerja
kuat untuk Mahathir? Malaysia Boleh untuk siapa?"
"Dr. Mahathir Mohammad melahirkan kebimbangannya
terhadap trend terbaru parti pembangkang yang kian
ghairah mahu mencetuskan huru-hara termasuk ingin
melihat berlakunya pertumpahan darah dalam
negara. Beliau mempunyai maklumat bahawa
penyokong-penyokong Parti Keadilan (Keadilan)
merancang untuk melakukan rusuhan ganas di ibu
negara, 15 April ini" Orang Utusan yang membuat laporan itu menulis
lagi: "Difahamkan pihak tertentu mahu melakukan
tindakan agresif itu bertujuan mendapatkan semula
perhatian rakyat setelah merasakan pergerakan mereka
semakin tidak mendapat sokongan." Kalau boleh saya minta jasabaik RTM Malaysia dan
juga TV3 menyiarkan klip rakaman sidang akhbar
Mahathir di mana dia ada berkata: "Saya dengar Keadilan hendak ada demonstrasi pada
15 April ini dengan tujuan nak memperingati
tentang sesuatu dan mereka sedia nak pukul polis,
nak bawa senjata kayu dan 'Molotov-c##katil' (bom
botol). Oleh itu kalau nak buat apa-apapun
kenalah buat sekarang, sebelum melarat.
Kemudian di New York dia bercakap di PBB di mana dia
memperlekehkan orang Melayu beragama Islam kerana
terlalu taksub kepada agama sehingga sanggup
membuang TV dan radio ke sungai. Tetapi, berapa
ramaikah pendengar di New York yang sedar bahawa
inilah penyangak yang serupa yang menuduh Tunku Abdul
Rahman Putra pad Mei 1969 dulu, kerana keadaan daif
orang Melayu disebabkan memberi kepentingan kepada
peniaga Cina? Apakah dasarnya mengenai keadan
Melayu daif kalau bukan merujuk kepada keadaan
hidup orang Melayu di Kg. Medan? Begitulah caranya perkampungan setinggan itu
membiak. Baik di Kg. Medan dan persekitarannya,
Kg. Kayu Ara, Kampung Air Panas di Setapak, Kg.
Setinggan di Jalan Tun Sambanthan berdekatan
Bangunan MAB dan banyak lagi kampung setinggan di
sekitar Lembah Kelang. Hampir semua perkampungan
ini adalah bekas lombong yang dipetak-petakkan oleh
'orang tertentu' dan dijual oleh ketua kampung
kerana Ketua kampung itu adalah proksi dan
'pemegang amanah' di kalangan 'orang tertentu'.
Orang-orang Datuk Keramat tentu masih ingat kisah
perkampungan setinggan yang terbakar di kawasan yang
kini menjadi tapak LRT Stesen Datuk Keramat.
Apakah secara kebetulan perkampungan itu terbakar
hangus sebaik sahaja stesen LRT mahu dibangunkan?
Begitu juga perkampungan setinggan yang paling
tua di Kuala Lumpur satu ketika dulu. Saya
pernah menulisnya dalam Siri Suasana Lebaran
Pencetus Minda. Itulah perkampungan 'Belakang Mati'
di Chow Kit yang tidak pun terjejas ketika
tercetusnya Mei 13, tetapi musnah kerana kebakaran
ketika era MAGERAN. Projek Sang Kancil Ketika jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipegang
oleh Tan Sri Elias Omar (ketika itu dia lebih
dikenali sebagai Dr. Eliyas Omar sahaja), ada satu
rancangan yang disebut Program Sang Kancil khas
untuk penempatan setinggan. Program ini
menyediakan paip-air, bekalan api letrik dan tandas
serta sedikit perparitan dan jalan bertar. Sejak
itulah perkampungan setinggan membesar kerana ia
diusahakan oleh 'orang tertentu' seperti
bersindiket. Di siang hari kita lihat kawasan
perumahan dipancang. Keesokan harinya, rumah papan
sudah terbina siap dengan program pasang siap yang
canggih. Program pasang siap inilah yang menjadi tempat
tinggal warga kotaraya di Kuala Lumpur yang
bekerja sebagai anggota polis, tentera, pasukan
keselamatan, kerani, pekerja kilang, pegawai kastam,
pegawai imigresen, peniaga pasar malam, pasar borong,
pengurus gerai makan dan kedai-kedai barangan,
pengawal keselamatan pemimpin BN, sekuriti bank dan
pejabat dan banyak lagi termasuk peguam muda, doktor
muda , dan apa juga bidang professional yang ada
melainkan menjadi pemimpin UMNO dan BN yang
berpangkat besar. Keadaan persekitaran yang
menjijikkan di Kg. Medan itu adalah pandangan yang
sudah lama terpahat di lubuk hati setiap para
pemimpin dan professional yang mempunyai hubungan
sejarah dengan Kg. Medan kerana ramai mahasiswa dan
mahasiswi Melayu dan India yang pernah menghuni
di perkampungan itu sejak empat puluh tahun dulu
lagi. Sejarah akan memperakukan betapa Projek Sang
Kancil telah membuatkan ramai pemimpin UMNO dan
MIC serta MCA menjadi kayaraya. Kebanyakan tanah
tapak rumah yang dibeli ataupun disewa bulanan oleh
penghuni setinggan adalah kepunyaan parti BN,
terutama sekali UMNO. Pergilah kesemua perkampungan
setinggan, anda akan diberitahu rumah pemimpin
tempatan UMNO dan juga MIC yang mengutip sewa
bulanan tapak rumah yang melambak-lambak itu
sehinggakan ada orang tertentu yang mengutip
pendapatan sekitar RM30,000 setiap bulan. Kalau
seorang pengarah bandaraya Kuala Lumpur boleh
memegang lesen haram gerai sebanyak 85 unit dan
memajaknya kepada kaum mendatang, bagaimana pula
agaknya rumah setinggan yang dipajakkan kepada
orang luar yang amat memerlukannya?
Setiap kali seorang tuanpunya rumah setinggan
membawa masuk peralatan untuk membetulkan rumahnya
dia akan didatangi beberapa pegawai penguatkusa
bandaraya yang lengkap dengan kamera dan lori
pengangkut untuk mengangkut papan, simen, pasir
dan zinc yang baru dibelinya. Alasannya
penguatkuasa KL (termasuk Shah Alam, PJ, Ampang, Hulu
Langat Kelang dsbg) berhak menahan kerja-kerja
pembaikan terhadap rumah setinggan. Tetapi
pengecualian boleh diberikan dengan menyogok setiap
penguatkuasa yang datang. Cukai yang tidak
berjadual ini adalah amalan biasa kerana itu kita
lihat penguatkuasa yang berpakaian segak berkeliaran
merata tempat dengan mata terbeliak melihatkan setiap
projek rakyat marhaen untuk dicukai. Tetapi di waktu
yang sama, orang-orang ini juga mempunyai banyak
rumah sewa ataupun tapak perumahan untuk dijual.
Di waktu yang sama juga kebanyakan mereka ini
adalah anggota pasukan gerak gempur pemuda UMNO dan
MIC. Dari sini kita tentu faham bahawa banyak pihak
yang tidak mahu menyelesaikan masalah setinggan
di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar kerana
perkampungan setinggan itu adalah perniagaan yang
besar kepada banyak pihak, terutama sekali para
pemimpin UMNO. Malahan ada cerita yang
mengatakan bagaimana penghuni setinggan telah
menjadi tenaga pengundi hantu yang bergerak
daripada satu kawasan mengundi ke satu kawasan
yang lain ketika pemilu 1999 dulu, di Teluk Kemang
dan juga di Sanggang. Cuma mereka tidak berjaya
melaksanakan taktik yang serupa ketika berlakunya
pilihanraya kecil di Lunas. Masalah Kampung Medan bukanlah masalah tidak ada
rumah. Ia adalah masalah perumahan kepada yang
memerlukannya. Di samping itu disebabkan keadaan
pekerjaan yang memberikan pendapatan yang rendah
berbanding dengan harga barangan asas yang semakin
meninggi, ia mencetuskan satu suasana kekecewaan
dalam kehidupan seharian penghuni setiap
perkampungan setinggan. Suasana yang serba
kekurangan inilah yang membuatkan ramai penghuni
kampung setinggan yang terjebak dengan dadah, arak
dan segala bentuk maksiat yang menjerumuskan
kehidupan sesaorang insan yang melarat itu.
Apabila perut sentiasa lapar, tidak ada apa
nasihat dan ajaran sosial yang boleh diendahkan.
Inilah yang membuat sesuatu masyarakat itu
memberontak terhadap pihak atasan kerana mereka
terlalu lama menanggung kekecewaan. Apakah
unsur-unsur ini tidak difahami oleh Mahathir
Mohammad, Samy Vellu, Ling Liong Sik dan semua
pemimpin Barisan Nasional? |