Laman Webantu KM2A1: 4108 File Size: 4.6 Kb * |
AM: Beserah: ADUN Letak Jawatan By Intan Rusli 31/3/2001 11:23 pm Sat |
http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=746
Agenda Malaysia ADUN Beserah Letak Jawatan (29/3/2001) Oleh Intan Rusli KUALA LUMPUR, Khamis 29 Mac - UMNO Negeri Pahang kini berhadapan
dengan satu lagi pergolakan besar dan kontroversi baru apabila ahli
Dewan Undangan Negeri kawasan Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman
menyerahkan surat keluar parti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad pada jam 4.15 petang ini.
AgendaMalaysia (AM) difahamkan, dalam surat itu, beliau juga turut
menyatakan keputusannya untuk meletakan jawatan sebagai ADUN Beserah.
Fauzi adalah penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Kuantan.
Peletakan jawatannya itu dan keputusan untuk keluar dari Umno dibuat
sehari selepas beliau membuat laporan polis berhubung apa yang
didakwanya sebagai penyalahgunaan kuasa bekas Menteri Besar Pahang,
Tan Sri Khalil Yaakob sehingga menjejaskan aliran tunai Kerajaan
Negeri hari ini. Beliau juga disebut-sebut kecewa dengan proses pemilihan pimpinan
bahagian itu yang akan menyaksikan perebutan hangat jawatan yang
disandangnya kini menjelang pemilihan parti bulan depan.
Fauzi setakat ini gagal memperolehi "lesen" untuk mempertahankan
jawatannya kerana tidak memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi
berbanding dengan dua calon lain yang menentangnya. Jumlah pencalonan
yang diperlukan bagi melayakan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian
itu ialah 13 iaitu 20 peratus dari bilangan 65 cawangan yang ada
dalam bahagian Kuantan. Sehingga berita ini ditulis, beliau hanya menerima 9 pencalonan
manakala Naib Ketua Bahagian, Datuk Faizal Abdullah memperolehi 28
pencalonan dan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Wan Adnan Wan Mohd
mendapat 22 pencalonan. Faizal memang diketahui umum sebagai penyokong kuat Khalil manakala
Wan Adnan pula ialah Setiausaha Politik beliau di Kementerian
Penerangan. AM juga difahamkan enam lagi cawangan yang belum mengadakan mesyuarat
setakat ini sudah hampir pasti tidak akan memberi pencalonan kepada
Fauzi. Fauzi yang dihubungi oleh AM petang ini enggan mengesah atau
menafikan mengenai berita peletakan jawatannya. Katanya, "You
tanyalah dengan orang yang beri maklumat itu. Soal kedudukan saya itu
hak antara saya dengan Perdana Menteri."
Bagaimanapun berita tersebut telah tersebar luas dan menjadi buah
mulut di Kuantan hari ini. Beberapa pemimpin Umno Kuantan ketika
dihubungi berkata, sekiranya benar Fauzi turut melepaskan kerusinya
di Beserah, Umno akan berhadapan dengan satu lagi ujian getir kerana
pada pilihan raya 1999, beliau hanya menang dengan majoriti yang
tipis iaitu 991 undi sahaja. Fauzi memperolehi 8,242 undi manakala
lawannya dari Pas, Mohd. Yusof Ibrahim memperolehi 7,257 undi.
Beserah mempunyai 21,887 pengundi di mana 69 peratus daripadanya
adalah pengundi Melayu. Sementara itu, AM juga difahamkan bahawa Fauzi telah mengadakan
pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi sebelum mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir yang juga
Presiden Umno. Sejurus selepas pertemuan itu, AM difahamkan Abdullah
telah memanggil mesyuarat tergempar dengan beberapa pegawai kanannya.
Fauzi adalah di antara pemimpin Umno yang pernah menimbulkan
kontroversi apabila beliau secara terbuka telah mengunjungi bekas
Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim selepas pemecatannya
dari Umno dan kerajaan pada 3 September 1998. Beliau kemudiannya
sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila menyampaikan ucapan yang
berbaur simpati ke atas rakan persekolahannya itu ketika berucap pada
satu majlis anjuran Umno Pasir Puteh tidak lama kemudian.
Sebelum bertanding DUN Beserah, beliau adalah bekas Ahli Parlimen
Kuantan dan bekas timbalan menteri pusat. Spekulasi bahawa beliau
akan meninggalkan Umno dan menyertai sebuah parti pembangkang memang
menjadi perbualan politik tanahair. Sementara itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional, Zahid Md. Arip memberitahu, jentera parti itu dan Barisan Alternatif kini sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan Umno sekiranya benar Fauzi melepaskan kerusi dewan undangan itu. |