Laman Webantu KM2A1: 4119 File Size: 7.3 Kb * |
AM: Beserah: Fauzi Cukup Bukti dan Saksi By Intan Rusli 2/4/2001 11:02 am Mon |
Pilihan Raya Kecil Beserah Oleh Intan Rusli Sudah kosongkah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah
sebagaimana yang semua orang sangkakan?
Janganlah terlalu ghairah bahawa satu pilihan raya kecil akan
menyusul tiba tidak lama lagi kerana episod pujuk memujuk dalam
Umno dan rundingan pintu belakang masih belum selesai.
Memang benar, penyandangnya Datuk Fauzi Abdul Rahman telah
menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar Pahang,
Datuk Seri Adnan Yaakob Jumaat, 30 Mac tetapi Speker Dewan
Undangan Negeri mahupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negeri
Pahang masih belum menerima surat rasmi bagi tindakan
selanjutnya. Adnan sendiri juga belum membuat sebarang keputusan mengenai
surat peletakan jawatan tersebut. Malah Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri belum membuat sebarang
keputusan muktamad berhubung surat peletakan jawatan Fauzi.
Mungkin selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini,
beliau akan mengarahkan Adnan mencari formula bagi mengelakkan
pilihan raya umum dari terjadi. Sekarang bukanlah masa yang mudah bagi Umno untuk berhadapan
dengan satu lagi pilihan raya kecil selepas demam kemenangan
Lunas oleh Barisan Alternatif (BA) belum lagi reda.
Bagi Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Pas, krisis di Beserah
ini adalah saat yang dinanti-nantikan untuk membuat satu lagi
pukulan maut ke atas Umno. Barang diingat Umno cuma menang
tipis iaitu 985 undi sahaja pada pilihan raya umum 1999.
Dengan kemelut ini dan ditambah lagi perkembangan terbaru ekoran
laporan polis yang dibuat oleh Fauzi sendiri ke atas Khalil,
pembangkang akan mengeksploit isu rasuah dan penyelewengan
habis-habisan untuk memastikan Beserah menerima nasib yang
sama seperti Lunas. Malah para pemimpin utama Keadilan dan Pas telah pun menempah
tiket penerbangan paling awal untuk ke Kuantan malam ini dan
hujung minggu untuk memulakan kempen awal pilihan raya kecil.
Jentera bilik gerakan mereka sepertimana yang dikhabarkan oleh
Ketua Penerangan Pemuda Keadilan, Zahid Md Arip kepada
Agenda Malaysia (AM) sudah pun digerakkan sebaik sahaja
khabar-khabar angin Fauzi akan meletak jawatan tersebar luas di
Kuantan minggu lalu. Tetapi cara Fauzi mengemukakan surat peletakan jawatannya (iaitu
kepada Adnan dan bukannya Speaker dewan) telah menimbulkan
sedikit teka-teki mengenai status kerusi DUN Beserah. Hanya
Speaker DUN yang berhak mengisytiharkan kekosongan kerusi
tersebut selepas menerima surat makluman peletakan jawatan ahli
dewan walaupun tuan yang punya diri telah membuat satu
pengumuman rasmi menerusi sidang akhbar dan melalui surat yang
ditujukan kepada Adnan. Jika diteliti, kenyataan Fauzi bahawa hanya siasatan khusus
mengenai penyelewengan dan rasuah ke atas cara pencalonan di
bahagiannya sahaja yang boleh menukar semula keputusannya
untuk meletakkan jawatan seperti ingin memberi ruang kepada
pucuk pimpinan menghantar wakil untuk berunding dengannya
berhubung isu ini. Janganlah kita semua lupa bahawa Fauzi adalah
ahli politik veteran dan bermain tarik tali dalam politik adalah satu
seni yang menyeronokkan. Fauzi mahu pekong di Kuantan didedahkan tetapi lain pula
nampaknya reaksi spontan Dr Mahathir. Cara presiden Umno itu
menjawab peletakan jawatan Fauzi adalah dalam bentuk yang
menyindir bukannya reaksi direct berhubung isu yang dibangkitkan.
Beliau menyebut sesiapa yang gagal mendapat pencalonan untuk
melayakkan mereka bertanding sebarang jawatan dalam parti jangan
membuat kacau. Apakah ini bermakna Fauzi yang tidak mendapat
pencalonan yang mencukupi untuk layak bertanding sedang
membuat kacau dalam parti? Beberapa pemimpin Umno Pahang yang ditemubual AM
memberikan reaksi mereka sendiri. Seorang ketua cawangan yang
enggan namanya disiarkan berkata, 'Kenyataan PM itu ada
benarnya untuk mengelak calon-calon lain yang ternyata gagal
mendapat pencalonan tanpa alasan kukuh mengambil langkah yang
sama.' 'Itu tidak baik kepada parti tetapi masalah di Kuantan adalah satu
kes yang berbeza. Kegagalan Datuk Fauzi bukanlah disebabkan
oleh penolakkan rakyat Beserah tetapi adalah disebabkan faktor
seperti yang diberikan oleh beliau,' sambung ketua cawangan itu
lagi. Fauzi dalam perjumpaan dengan penyokong-penyokong yang
mengunjungi beliau di rumah malam tadi membuat penjelasan
panjang lebar tentang isu ini. 'Beliau akan melepaskan jawatan DUN Beserah sekiranya isu
politik wang yang berleluasa di dalam mesyuarat cawangan
khasnya di Bahagian Kuantan dan isu salahguna kuasa bekas
Menteri Besar, Tan Sri Khalil Yaakob tidak ditangani dengan
sewajarnya oleh pihak parti dan polis,' kata seorang pesara guru
yang juga perwakilan dari salah satu cawangan di Bahagian
Kuantan . Menurut ahli itu lagi, dalam perjumpaan yang berlangsung
sehingga pukul 2.00 pagi itu, Fauzi turut memberitahu terdapat 14
lagi laporan akan dibuat kepada pihak polis terhadap salahguna
kuasa di Pahang. AM difahamkan juga dalam perjumpaan tersebut,
Fauzi telah memaklumkan beliau mempunyai bukti yang kukuh
beserta saksi-saksinya sekali berhubung dakwaan penyelewengan
yang dikatakannya itu. Mengenai penggunaan wang atau hadiah yang begitu berleluasa
sehingga beliau gagal dicalonkan untuk mengekalkan jawatan ketua
bahagian Kuantan yang disandangnya sejak dua penggal lalu,
menurut sumber itu lagi, Fauzi turut mempunyai bukti yang kukuh di
atas laporan yang dibuat kepada pihak polis.
Antara bukti yang dinyatakan oleh bekas timbalan menteri di
Jabatan Perdana Menteri itu ialah, pemberian wang tunai RM500
beserta sampul surat kepada para perwakilan cawangan, hadiah
daging lembu dan hadiah 'hamper'.
Menurut sumber terdekat Datuk Fauzi, ADUN itu juga telah dipanggil
mengadap Ke bawah Duli Sultan Pahang untuk memaklumkan
kepada baginda tentang isu yang menjadi perhatian seluruh negara
ini. Seperti yang dinyatakan oleh Adnan, Fauzi telah melaksanakan
tanggungjawab nya sebagai wakil rakyat dengan cemerlang dan
membuka pusat perkhidmatan setiap hari dari pagi hingga ke malam.
'Bukan untuk memujuk atau merayu, kita tidak boleh menghalang
mana-mana wakil rakyat untuk meletak jawatan, itu hak
masing-masing. Cuma alasan dan sebab di sebalik isu perletakkan
jawatan itu perlu diambil perkiraan dan dipertimbangkan
sewajarnya,' ujar beliau dalam sidang akhbarnya.
Adnan mengambil sikap berhati-hati dalam krisis ini tetapi
nampaknya cara dan bagaimana beliau akan menyelesaikan
kemelut tersebut adalah jauh lebih berat dan mencabar daripada
apa yang telah beliau lalui di Sanggang.
(31 Mac 2001) Link Reference : Agenda Malaysia |