Laman Webantu KM2A1: 4137 File Size: 22.3 Kb * |
Siri 2 G14: Mencari Geliga Dalam Gelita By Marhain Tua 4/4/2001 11:35 pm Wed |
G14 B2/B7 [Selain dikaitkan dengan keganasan, perjuangan reformasi turut
dikaitkan sebagai menjana perpecahan dan huru-hara. Jika kita
menganalisa kata-kata Mahathir, beliau kerapkali berucap seolah-olah
mahu kekacauan dan keganasan meletus agar itu dapat menjadi BUKTI
betapa reformasi menggugat keharmonian, ketenteraman dan perpaduan.
Bukti inilah nanti akan menjadi modal untuk menakut-nakutkan pengundi
menjelang sebarang kempen pilihanraya untuk meraih sokongan kaum Cina
khususnya. Kalau boleh setiap perhimpunan reformasi itu mahu dicemari dengan
keganasan sebab itulah dalam semua kes polislah yang MULA-MULA bertindak
mencetus huru-hara. Mahathir memang sedar - jika perhimpunan reformasi
berakhir dengan kekasaran, beliau telah pun menang kerana tindak-tanduk
agresif pihak polis dapat digelapkan.
- Editor] Perpecahan orang Melayu itu telah dijadikan satu alat untuk seorang
diktator tua mencuba pelbagai gaya memantapkan kuasanya yang
semakin rapuh. Dia semakin terdesak apabila mendapati semua taktik
memperhaluskan tema 'perpecahan Melayu' tidak pun dipedulikan oleh
rakyat jelata. Apabila orang Melayu sendiri memandang remeh sahaja
tema perpecahan yang ditonjolkan itu apakah kaum lain boleh ambil
pusing akan halnya? Dicubanya pembabitan raja-raja dan sultan, tidak
menjadi juga kerana para sultan pun takut dituduh sewel oleh
rakyatnya. Untuk menganalisa pemerintahan satu rejim pemerintahan yang jijik dan
bangsat kita perlu memahami taktik-taktik jijik yang memang bangsat
yang dikendalikan bukan sahaja di peringkat pusat malahan di
peringkat negeri-negeri yang diterajui UMNO. Malahan di beberapa
negeri yang dipimpin oleh parti komponen Barisan Nasional, agenda
proksi itu pun dikuatkuasakan juga. Cuma kegilaan agenda itu nampak
kurang berbisa. Kita boleh ambil beberapa contoh terkini sebagai bahan perbandingan.
Saranan Ali Rastam agar orang Melaka tidak membuat lawatan ke
Kelantan dan Terengganu adalah satu arahan lelucon yang kita tahu
berpunca daripada 'godfather' beliau. Kita boleh nampak mamak
tongkang sedang memperkudakan empat menteri besar yang muda
untuk menjayakan agenda proksinya di peringkat negeri. Shahidan
Kassim dengan phobianya terhadap pemimpin PAS yang dilantik
secara sah oleh para pengundi. Dia taksub dengan aksi-aksi
memperlekehkan kewibawaan mereka. Adnan-UMNO masih lagi
dengan lagak samseng. Maklumlah baru sahaja disokong kuat oleh
'Godfather' dan 'Assistant Godfathers' (Paklah Dan Khalil) dalam
gelagat lucahnya. Di Perak kita mempunyai seorang menteri besar
yang sanggup bergadai jawatan kalau bapak angkatnya ditandingi bagi
jawatan presiden parti. Dengan lain perkataan, beliau bertugas bukan
untuk rakyat yang melantiknya tetapi untuk bapak angkatnya. Kini
tersebar berita bagaimana kelulusan diberikan untuk penubuhan
sebuah Gereja Katholik di Persiaran Bekor 21 Taman Perama (First
Garden) Ipoh. Bangunan itu asalnya adalah kepunyaan Renong
Berhad yang telah dijual dengan kerjasama seorang menteri bukan
Melayu. (Sila lihat: members. Tripod.com/mindarakyat2/ bawah tajuk
Bukti UMNO Gadaikan Agama). Hampir semua kerja-kerja yang dilakukan oleh menteri besar kelompok
ini sudah tentu menerima restu terlebih dulu daripada pemimpin
terulung UMNO. Semua orang tahu akan perkara ini, betapa semua
menteri besar dan meneri kabinet amat takut kepada diktator tua itu.
Apakah reaksi dan impak kerja-kerja seperti ini kalau bukan
memperlekehkan rakyat dan orang Melayu dan juga agama Islam?
Apakah ini caranya pemerintah mahu mengelakkan perpecahan dalam
persaudaraan orang Melayu? Masih teringatkah anda sekelian betapa Datok Seri Siti Hasmah
berangkat ke Iraq dan Jordan dalam missi muhibbah? Bukankah ini
kali pertama beliau berbuat demikian atas nama missi muhibbah?
Kenapa pula ke Iraq dan tidak ke Bosnia ataupun ke Albania? Ketika
berita ini tercetus, beberapa orang kariah masjid Kampung Baharu
telah mula bercerita panjang. Mereka mula meneka apakah agenda
sebenar lawatan itu. Ada pelbagai teori yang dikemukakan, maklumlah
kariah yang amat berpengalaman di Kampung Baru. Yang sudah
melihat asam garam politik di Kelab Sultan Sulaiman, di Bangunan
UMNO lama apatah lagi di PWTC. Rumusan yang dibuat dalam persidangan parlimen rakyat di masjid itu
memberi gambaran bahawa Hasmah ke Iraq untuk menarik perhatian
PBB (terutama sekali Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) kepada
masalah kemiskinan dan penderitaan orang Iraq. Kerana itu dia telah
membawa alat-alat perubatan yang diperlukan. Ada yang menyoal
pula kalau mahu mengirimkan alat perubatan kenapa tidak gunakan
Persatuan Palang Merah dan juga Persatuan Bulan Sabit. Bukankah
belanja terbang ke sana pergi dan balik lebih mahal daripada kos alat
perubatan yang disumbangkan? Lojik juga, soalan itu, tetapi kepada
siapakah yang boleh dikemukakan soalan semacam itu? Lagipun
kariah masjid bersembang itu untuk mengisi waktu menunggukan azan
berkumandang semula. Semalam soalan yang tergantung itu sudah menerima jawapannya. Ada
seorang veteran UMNO yang memberikan jawapan itu. "Lihat !",
katanya. "Hasmah ke Iraq untuk melembutkan perhatian dunia ke atas
Nurul Izzah. Dia berjaya menarik minat peserta persidangan PBB di
Geneva". Kami pun menadah tangan kerana ada seorang Pak Lebai
yang membaca doa kesyukuran. Teringat balik telahan yang dibuat
oleh veteran UMNO itu tadi. Kalau betul telahan itu, memang dahsyat
otak Mamak Tongkang. Dia sudah tahu Nurul Izza pasti menarik minat
dunia apabila didedahkan dilemma bapanya di penjara. Mamak
tongkang sudah semakin sedar masalah Anwar yang dibelasah dan
dipenjarakannya itu bukan lagi masalah Malaysia dan orang Melayu.
Anwar akan menjadi masalah badan hak asasi manusia di PBB. Melalui
kegigihan anak sulungnya masalah Anwar Ibrahim adalah masalah
seluruh dunia yang cintakan keamanan.
Ucapan Nurul Izzah di Geneva telah menarik minat seluruh dunia
sehinggakan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi
Hak-hak Asasi Manusia sanggup bertemu Nurul Izzah dan berbincang
akan masalah bapanya. Di manakah Mamak Tongkang mahu taruh
muka kalau Madam Mary Robinson mengambil langkah positif akan hal
Anwar nanti. Apakah beliau akan mencuba mendapatkan bantuan
Sadam Hussein? Mamak Tongkang sebenarnya terperangkap dengan kerakusannya. Dia
terpaksa menolak secara berhempas pulas untuk tidak disapina ke
mahkamah yang mengendalikan kes Anwar. Tetapi, affidavit Megat
Joned dan mungkin juga Daim Zainuddin akan mencekik lehernya
juga. Keterangan Aziz Shamsuddin yang dikatakan akan ke mahkamah
tentunya akan menjerutnya lagi. Di waktu yang sama dia tahu media
massa dunia akan menyoalnya akan tiga perkara penting. Satu, kenapa
dia kecut perut untuk di sapina. Kedua, kenapa dia suka membohong
mengatakan adanya perpecahan antara orang Melayu sedangkan
sejak awal tahun lagi orang Melayu hidup senang-lenang tanpa
perpecahan? Ketiga, Kalau dia lantang bersuara pasal demokrasi
kenapa dia tidak galakkan jawatan yang disandangnya itu
dipertandingkan? Ketiga-tiga soalan ini akan menjerutnya dan sebagai Raja Kelentong
terunggul di dunia, dia mesti pandai untuk memintasnya sendiri.
Pada satu ketika, bermacam analisa telah dibuat kenapa affidavit
Megat Joned ditukarkan. Ada yang kata Megat didesak untuk bebuat
demikian atas titah perentah seorang maharaja tua. Itulah yang dijawab
oleh responden kepada Quizlet tajaan Tranung Kite. Ada yang berkata
pengubahan affidavit Megat Joned adalah bertujuan untuk
menunjukkan tidak ada sebarang konspirasi terhadap Anwar.
Semuanya adalah berdasarkan tohmahan yang direncana oleh Umi
Hafilda. Betulkah analisa ini? Tetapi, dalam 'debat- parlimen' di masjid
Kampung Baharu itu memang ramai para veteran UMNO yang lulus
hukum undang-undang. Malahan bekas pegawai kanan polis pun ada.
Kalau semua tuduhan dikenenkan kepada Umi Hafilda, apakah akan
jadi apabila Umi Hafilda dipanggil semula? Saya terkejut dengan
jawapan yang akan saya rakamkan di sini: "Hendak panggil macam
mana? Kalau dia sudah tidak ada lagi?......."
Berdasarkan dilema yang dihadapi sekarang, si diktator tua tidak ada
pilihan lain. Dia akan merencana agar satu huru-hara berlaku ketika dia
tidak berada di negara ini. Inilah salah satu agenda proksi yang perlu
ditangani oleh Paklah. Sekali lagi drama ala Mamali akan muncul
semula. Besar kemungkinannya Paklah akan di Musahitamkan. Untuk
melancarkan agenda proksi ini dia sudah mulakan pelancaran
tembakan mariam buluhnya. Dia kata: ... "Saya dengar Keadilan hendak adakan demonstrasi pada 15 April ini
dengan tujuan nak memperingati tentang sesuatu dan mereka sedia nak
pukul polis..." Alangkah terkejutnya seluruh negara kalau seorang
pemimpin terulung sanggup menipu begitu dan bercakap di hadapan
kamera TV? Inikah seorang pemimpin yang beragama Islam yang
sepatutnya bertanggungjawab dengan tutur katanya?
Saya ingin memetik kenyataan-akhbar Ezam Mohd Nor yang
menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan si diktator tua itu:
.... "Rakyat yang berhimpun pada 15 April ini adalah rakyat yang
prihatin terhadap kezaliman yang berlaku di negara ini di zaman
pemerintahan Mahathir Mohamad. Rakyat akan memperingati tarikh 14
April, tarikh di mana Dato Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman
penjara 6 tahun, sebagai HARI KEZALIMAN MAHATHIR. Rakyat harus
terus diingatkan dan dididik untuk memahami erti kezaliman dan
membina tekad untuk menentang kezaliman.
"Saya mencabar Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk membuktikan
segala bentuk perancangan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang
didakwa mempunyai unsur-unsur keganasan. Sebagai rakyat yang
bertanggungjawab saya tetap menolak sebarang unsur keganasan dan
sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mempastikan
keganasan tidak berlaku. Saya bercadang untuk menemui pihak Polis
Diraja Malaysia untuk bekerjasama mempastikan keganasan dapat
dihindarkan. Saya menyeru seluruh rakyat yang akan hadir pada 15
April ini untuk tidak membawa sebarang bentuk objek yang boleh
dilihat sebagai senjata malah kayu bendera juga tidak akan kita
benarkan untuk dibawa pada hari tersebut dan sekiranya dibawa kita
akan mempastikan ianya diserahkan kepada pihak polis pada hari
tersebut....." Panjang lagi kenyataan akhbar Ezam itu. Syabas...... !!!! Saya gembira
membaca kenyataan itu. Saya baca berkali-kali untuk menghayati isi
kandungannya. Tidak salah bagi kita orang tua yang gayut usia
melakukannya. Bukankah itu mengingatkan kita kisah lama
mempertahankan negara dari ancaman Jepun dan komunis? Saya
harap para webmasters akan melekatkan (url) ucapan Ezam itu untuk
mudah diakses oleh pembaca artikel ini. Memang naik bulu roma saya
ketika membaca kenyataan akhbar itu. Ia mengingatkan kita masa
muda-muda dulu apabila membaca berita bagaimana bangsa kita
diperlekehkan Ketika komunis cuba mengawal negara, ketika Natrah
cuba dilarikan ke Belanda. Semua insiden itu datang menyirap ke
badan yang memang pun tua. Hanya semangat juang masih tetap
muda. Si mamak tongkang harus bersyukur kepada Allah dan merasakan
dirinya masih bertuah lagi. Dia harus meneliti kenyataan akhbar si
Ezam itu. Jelas sejelas-jelasnya. Dia harus membacanya berkali-kali
agar jangan tersilap tafsir sehinggakan tergamak memberikan arahan
yang silap kepada para penguatkuasa yang sentiasa mengikut
perintah. Alangkah bertuahnya si mamak tongkang menerima kenyataan akhbar
di mana seorang anak muda masih lagi berhemah dalam memberi
hormat kepadanya? Saya tidak lagi memberi hormat itu kerana dia
sudah tidak lagi layak menerimanya. Saya tidak lagi menganggapnya
sebagai pemimpin terulung Melayu. Saya lebih menganggapnya
sebagai presiden UMNO. Itu pun, mengikut beberapa veteran UMNO
merupakan satu kedudukan laksana telur di hujung tanduk.
Bayangkan, apakah lagi yang digusarkan oleh si mamak tongkang?
Mana botol molotov, mana parang panjang dan mana senjata yang
akan mencetuskan huru-hara? Inilah yang dikatakan senjata memakan
tuannya. Mamak Tongkang telah secara serius menuduh parti keadilan
cuba mencetuskan huruhara. Semua ini ada dirakamkan di dalam
akhbar tajaan UMNO dan semua saluran TV tajaan UMNO. Kita belum
baca lagi catatan ini di akhbar parti pembangkang, kerana akhbar itu
memang tidak pun ada lesennya. Ketika menulis rencana ini satu 'breaking news' telah diterima hasil
daripada pertemuan Nurul Izzah dengan Pengerusi Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia PBB di Geneva. 'Breaking News' yang disiarkan di
Laman FGR dan disedut daripada Malaysiakini dipetik sebagai
berkata: 'PBB melahirkan rasa prihatin terhadap perkembangan
pencabulan hak asasi manusia kebelakangan ini di Malaysia.
Sebarang perkembangan di Malaysia boleh dilapurkan secara
langsung ke pejabatnya di Geneva. Ini termasuklah kemungkinan
pencabulan hak asasi ketika mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini
di Masjid Negara.' Kita rakamkan 'Tahniah dan Syabas' kepada Nurul Izza. Kita mahu
lihat apakah reaksi mamak tongkang akan perkara ini. Impak
pengumuman Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ini adalah 'far reaching'
dan tentunya menggegarkan dada si diktator tua kerana kesannya
adalah amat mendalam. Kita akan ulas semua ini di Bahagian Ketiga,
insya Allah. Gelagat si Mamak Tongkang menuduh parti Keadilan akan
mencetuskan huru-hara harus diterjemahkan sebagai satu kelakuan
seorang diktator yang sudah semakin sedar betapa rakyat
membencinya. Seperti yang dikatakan ramai penganalis politik, si
mamak tongkah memang kelihatan serba-salah kali ini. Kelakuannya di
hari yang terdekat memang nampak sangat gelabahnya. Dia sudah
semakin sewel dan nyanyok. Dia sudah berani menyebut peristiwa
yang mengerikan dan menggugat keselamatan negara sedangkan
peristiwa itu tidak pun dianggap oleh rakyatnya akan berlaku. Apakah
sebenarnya tujuan si mamak tongkang berperangai demikian?
Kalau dia bersuara lantang untuk menarik perhatian agar pengaruh
kuasanya tidak terhakis, dia baru sahaja menang pencalonan presiden
UMNO tanpa dipertandingkan. Kalau dia gusar akan ekonomi Malaysia
yang teruk satu ketika dulu, kini ekonomi semakin pulih. Malahan
bantuan pinjaman Miyazawa yang diterima daripada Jepun sudah pun
mula diagihkan. Saya berpendapat, si Mamak Tongkang berperangai ganjil di hari-hari
kebelakangan ini disebabkan risau yang amat sangat. Seperti yang
pernah saya tulis dulu, dia risau akan impiannya yang sudah
membesar dan menjadi satu raksasa yang sudah mahu menelannya.
Sistem pertadbiran yang dicanai hingga menjadi satu raksasa ini sudah
menghambat hidupnya. Dia sudah menjadi serba-salah dan menjadi
seorang banduan kepada perbuatan jijiknya.
Si Mamak tongkang telah memenjarakan Anwar bin Ibrahim pada 14
April yang lalu. Kini di saat hampir dekatnya ulangtahun tarikh keramat
itu dia sudah dihambat satu ketakutan seolah-olah dia sendiri akan
dipenjarakan. Hidupnya sudah tidak senang lagi, tidurnya sudah tidak
nyaman. Fikirannya sudah semakin tidak siuman kerana tutur katanya
pun sudah mula tergagap-gagap. Dia telah mendera Anwar Ibrahim
dengan lagak seorang 'godfather' satu pergerakan Mafia dengan Rahim
Nor sebagai panglima garangnya. Kini, mengikut budaya dan amalan
mafia anak si mangsanya sedang menghambat sisa hidupnya. Dia
sudah menjadi serba-salah kerana budaya Mafia tidak
mengizinkannya menghapuskan anak kepada mangsa yang cuba
dihapuskannya. Ini amat bertentangan dengan amalan mafia. Hakikat ini
semakin menekan hidupnya kerana Nurul Izzah sudah pun mendapat
sokongan yang besar daripada dunia luar. Semua ini tidak masuk
dalam congaknya ketika cuba menghapuskan pengaruh Anwar Ibrahim
dulu. Kejayaan Nurul Izzah itu membawa erti yang besar bukan sahaja
kepada keluarga Anwar Ibrahim. Ia lebih bermakna kepada rakyat
Malaysia yang cintakan kedamaian, yang rindukan sebuah negara
yang mudah kaya raya kerana rakyatnya yang sedia bekerja kuat dan
bekerjasama. Yang penting sekali inilah sebuah negara majmuk yang
mempunyai rakyat berbilang kaum yang amat tinggi tahap toleransinya.
Inilah ciri-ciri rakyat yang amat dikesalkan oleh Mamak Tongkang. Dia
tahu selagi rakyat sanggup bersatu tanpa bantuan dan motivasi
kerajaan, kuasa kediktatoran yang ada padanya memang tidak dapat
bertahan lebih lama. Apakah taktik pemerintahan yang jijik-jijik yang
belum lagi dicubanya? Semuanya gagal. Kerana apa? Kerana adanya
satu sistem pintas yang terlaksana di atas inisiatif rakyat marhain yang
cintakan negaranya. Satu ketika yang lalu, si mamak tongkang cuba memperteguhkan
kuasanya dengan membaham Anwar Ibrahim. Kerja-kerja membaham
itu diamanahkannya kepada Rahim Nor. Tetapi, apakah tujuannya yang
sebenar kalau tidak mahukan Anwar mati dalam bilik seksaan yang
gelap gelita tanpa sehelai kain menutup auratnya. Allah maha pengasih
dan penyayang. Anwar terus benyawa. Penangkapan yang
kemudiannya diputar balik dan dibuat atas tuduhan akta ISA masih
tidak dapat menghilangkan kesan-kesan lebam di muka Anwar
sehinggakan seluruh dunia menjadi gempar. Apakah alasan Mamak
Tongkang ketika itu? "Oh, Anwar mencederakan mukanya sendiri."
Demikian penjelasannya. Para malaun yang menjilat 'ponggongnya'
pula berkata pelbagai alasan lagi. "Anwar sengaja membengkam
matanya agar kelihatn lebam....;!" demikian kata menteri celupar yang
kalah menjadi ketua wanita UMNO. "Anwar cedera kerana
perbuatannya sendiri...!" kerana seorang menterei lagi. Ada pula yang
berkata, "Isteri Anwar yang melakukan lebam itu...!"
Demikianlah sistem pemerintahan yang rakus menjadi satu raksasa
yang amat menakutkan. Inilah sistem yang kini akan menghambat si
mamak tongkang itu selagi ada hayat dikandung badannya.
Menyedari hakikat ini, si mamak tongkang sudah tidak rela melihat
ketenangan dan keamanan bertapak di negara ini. Dia sudah menjadi
bunga teratai yang naik mengambang di tasik yang kotor. Akarnya tidak
mencecah bumi kerana mudah hidup di atas segala kekotoran yang
ada. Bunganya pula tidak akan naik meninggi menggapai awan. Teratai
adalah bunga dan tetap akan menjadi bunga. Ia cantik menguntum
selagi ada kekotoran di tasik itu dan akan terus menguntum selagi
dizinkan Allah. Tetapi siapakah yang mahu menyunting teratai dan
untuk apa? Menyunting pokok teratai memerlukan setiap insan
mencedok segala kekotoran yan ada di tasik itu. Tidak ada orang yang
sanggup melakukannya sedangkan banyak lagi bunga lain yang tidak
perlu diambil mengikut cara itu. Begitulah juga dengan si mamak
tongkang ini. Semakin hari bertukar hari, semakin ramai rakyat negara
ini sudah sedar bahawa kehadirannya sudah lama melampaui masa.
Kalau kita lihat akan gelagat si mamak tongkang kebelakangan ini kita
nampak para pemikir UMNO pun sudah menyedari akan beban yang
terpaksa mereka tanggung. Bukankah kerana kesedaran itu dia
diketepikan dari berkempen di Sanggang? Para pemikir dalam UMNO
dan Barisan Nasional pun sedar kalau mamak tongkang hadir di
kempen Sanggang dulu, alamat lingkuplah usaha mereka. Tentu sekali
mereka berhemah seperti Ezam melembutkan hatinya agar tidak
berkempen di Sanggang. Si Mamak Tongkang tahu strategi ini adalah titik-titik permulaan yang
dia mungkin disingkirkan. Cerita ini sudah pun disampaikan ke
telinganya. Dengan lain perkataan sudah ada satu konspirasi besar
dalam perjuangan UMNO yang nampak tenteram persis air yang amat
tenang. Ini bererti raksasa yang dibinanya dengan penuh rakus itu
sudah mula membayangi hidupnya. Mamak Tongkang akan ke Cuba dan amat sedar bahawa sudah ada
satu konspirasi besar yang mahukannya mengundurkan diri. Inilah
waktunya yang dia mesti berada di kubu sendiri. Tetapi, apakah daya.
Janjinya untuk berada di Havana bersua muka dengan seorang lagi
diktator tua dan raja kelentong Amerika Tengah terpaksa ditunaikannya.
Hanya satu jalan sahaja lagi yang ada padanya untuk menentukan dia
masih lagi berkuasa dan masih lagi berbisa. "Huru-hara..........!". Ya,
kalau huru-hara boleh dicetuskan sepeninggalannya di luar negara,
sudah pasti dia dapat memulihkan kuasa yang semakin terhakis
daripada jawatannya. Akan tercetuskah huru-hara yang diimpikan oleh seorang diktator tua?
Tertunaikah keazamannya melihatkan huru-hara di ibukota seperti
yang dirancangnya? Apakah dia sudah fikir rakyat jelata sudah gila
seperti dia? Apakah dia fikir semua pegawai kerajaan adalah seperti
segerombolan kecil pemimpin UMNO yang rakus dan haloba serta
taksub kepada pukauan politiknya? Apakah dia fikir anggota tentera
yang kelihatan tenang kini, tunggul kayu ataupun kayu mati yang
bernyawa? Kalau mereka boleh bermati-matian mengorbankan jiwa
raga untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh, apakah
mereka sanggup berdiam membatu melihatkan seorang Melayu celup
(apanamaa....Pakistan celup?) terus menghina bangsanya?
Sebenarnya si Mamak Tongkang bukan sahaja mencabar ketaqwaan
rakyat Islam di negara ini. Dia bukan sahaja mencabar maruah bangsa.
Dia sudah berani mencabar Allah SWT sebenarnya.....!
-Marhaintua- |