Laman Webantu KM2A1: 4141 File Size: 5.3 Kb * |
AM: Anwar Di perkuburan By AM 5/4/2001 1:35 am Thu |
[Suasana pilu dan muram di perkuburan seorang ibu yang
begitu berjasa kepada negara tetapi tidak dicatatpun oleh
media perdana dengan adilnya. Bagaimana pula dengan sumbangan
kita kepada negara? Yang peliknya mengapa begitu ramai polis dan pegawai penjara
mengawal Anwar sedangkan beliau tidak mampu bergerak bebas akibat
kesakitan? Oleh Wartawan AM KUALA LUMPUR, Rabu 4 April - Bekas Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya
diberi kebenaran oleh pihak berkuasa penjara untuk
menziarahi jenazah bondanya buat kali terakhir hari ini
tetapi beliau tidak dibenarkan berada di kawasan masjid
Bukit Damansara di mana upacara sembahyang jenazah
dilangsungkan. Tiba dengan sebuah ambulans yang dikawal ketat oleh
pihak penjara, Anwar yang berkerusi roda dan berbalut di
paras pinggang duduk di sebelah pusara bondanya yang
tercinta, mengenggam segumpal tanah dan kemudian
dengan perlahan memasukkannya ke liang lahat. Beliau
diapit oleh pegawai-pegawai penjara tetapi beribu lagi
tangan yang mengaminkan doa untuk ibunya itu
mengemakan suasana hening di tanah perkuburan Kiara
dekat Damansara. Bergerak dengan perlahan sambil dipimpin oleh isterinya,
Wan Azizah Wan Ismail, Anwar yang pertama kali
menjejakkan kaki ke dalam rumahnya yang sederhana di
atas Bukit Damansara, telah memperolehi kebenaran khas
untuk melihat wajah Allahyarham Che Yan Hamid buat kali
terakhir setelah peguamnya, Sankara Nair, menghantar
sepucuk surat kepada Jabatan Penjara pagi ini memohon
kebenaran tersebut. Pihak penjara menjawab surat itu menjelang tengah hari
ini dengan menyatakan kebenaran untuk Anwar berbuat
demikian. Bagaimanapun kebenaran itu adalah bersyarat iaitu Anwar
hanya dibenarkan berada di kediamannya dan kemudian
diiringi oleh kenderaan penjara ke tanah perkuburan Bukit
Kiara dekat sini untuk upacara pengkebumian.
Che Yan, 74, atau lebih mesra dengan panggilan Mak
Yan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir
semalam di sisi Anwar ketika dirawat di Hospital Universiti
Petaling Jaya kerana serangan sakit jantung. Mak Yan
telah dimasukkan ke wad rawatan rapi setelah pertama kali
diserang sakit jantung Ahad lalu. Kediaman Anwar di Bukit Damansara sejak awal lagi
dipenuhi dengan ribuan orang termasuk sanak saudara
dan sahabat handai serta para pemimpin dari Barisan
Alternatif sehingga menjelang jenazah dibawa ke masjid
untuk dimandi dan dikapankan sebelum disembahyangkan.
Jenazah Mak Yan kemudiannya telah dibawa ke tanah
perkuburan Bukit Kiara. Di sana, dua buah bas yang dipenuhi dengan para
pegawai penjara telah siap menanti kedatangan Anwar
yang dibawa dalam satu kenderaan yang berasingan.
Suasana pilu menyelubungi tanah pusara yang
menyaksikan buat kedua kalinya keluarga Anwar
menziarahinya dalam tempoh hampir dua tahun setelah
abang sulungnya, Rani meninggal dunia pada tahun 1999.
Selepas bondanya selamat disemadikan, Anwar sekali lagi
disorong di atas kerusi roda terus ke arah ambulans yang
sedia menanti. Dengan bantuan beberapa orang pegawai
hospital dan penjara, beliau diangkat naik ke atas
ambulans kemudian mengangkat tangannya ke arah orang
ramai dan juga mereka yang menghadiri upacara di situ.
Polis dan pegawai-pegawai penjara duduk dan berdiri
bersama-sama orang-ramai yang telah pun memenuhi
ruang sekitar kubur bondanya - sekaligus memperlihatkan
suasana yang amat kontras di antara uniform biru mereka
dengan hadirin yang berkopiah, berbaju melayu dan
berkain sarung. Di saat-saat hening ini, tiada siapa yang tahu apa yang
terpahat di hati Anwar tetapi satu perkara yang pasti ialah,
kehadirannya telah mengubat kerinduan mereka yang
menantikan kebebasannya. http://www.agendamalaysia.com/detailinf.asp?gnum=12&num=758
Che Yan adalah merupakan sumber inspirasi kepada
Anwar sejak kecil dan dikenali sebagai orang yang
bertanggungjawab membawa Anwar ke gelanggang politik.
Anwar dikatakan mewarisi karisma dan bakat kepimpinan
menerusi ibunya yang pernah menjadi ketua kaum ibu
Umno sewaktu zaman-zaman awal parti itu ditubuhkan.
Malah beliau sering mengikuti ibunya ke
ceramah-ceramah politik semasa kecil. Sokongan Che
Yan ke atas perjuangan politik anaknya tidak pernah
padam dan luntur baik sama ada ketika Anwar merengkok
di dalam tahanan ISA mahupun selepas beliau dipecat dari
Umno dan kerajaan. Ketika isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
bertanding pada pilihan raya umum 1999, di kerusi asal
Anwar di Permatang Pauh, Che Yan adalah merupakan
salah seorang penceramah yang turun berkempen
walaupun kesihatannya tidak mengizinkan beliau berbuat
demikian. |