Laman Webantu KM2A1: 4148 File Size: 27.6 Kb * |
Siri 3 G14: Mencari Geliga Dalam Gelita By Marhain Tua 5/4/2001 9:51 pm Thu |
G14 B3/B7 [Mahathir telah lama menguasai institusi polis. Di sini tersimpan
banyak rahsia kelemahan seseorang yang berguna untuknya. Dia sengaja
membiarkan hidup seorang polis tidak setara dengan kerja melainkan ia
membuat lain kerja kerana AIB adalah senjata UTAMA Mahathir untuk
memusnahkan sesiapa sahaja termasuk polis juga jika tersasul jadinya.
Cuba fikirkan kenapa banyak polis terbunuh di beberapa drama bikinannya?
Bila kisah Rahim Nor terbongkar Mahathir segera melepaskan jawatannya
kepada Pak Lah kerana dia tahu aib itu akan menjalar kepadanya jika
terus memegangnya. Tetapi Pak Lah tidak akan mampu berbuat apa-apa
kerana tangan Pak Lah sendiri akan terbakar memegangnya.
Begitu jugalah dengan Detik Gelita 14 yang bakal tiba. Mahathir memang
mencari AIB di mana-mana - maka jangan kita termasuk di dalam jeratnya
walaupun perpaduan temanya. Beliau amat takut dengan keaiban dirinya
sebab itulah dia menggelabah bila Fauzi melepaskan lapuran polis yang
bakal mengoyakkan mukanya kerana tajam sindirannya.
Kebaikkan kita di dalam perhimpunan Gelita 14 akan mengaibkannya...
sebab itulah dia mahu ia menjadi huru-hara supaya terbalik aibnya kepada
kita juga. Kita boleh menang tanpa melakukan huru-hara - dan Mahathir
sendiri sudah menyedarinya. Patutlah dia cuba mencemarkannya.... - dan
melalui polis tentunya.... Betapa pantasnya masa berpergian. Satu tahun sudah berlalu, kita masih tidak merasainya, seperti itu. Ini baru kita duduk-duduk di pejabat, di rumah dan bersembang-sembang di kantin ataupun di ruang minuman di kantor-kantor. Bagi golongan yang sudah ganyut tentunya masa yang ada digunakan juga untuk beramal menebus dosa sambil bersembang-sembang di anjung masjid dan surau menunggukan peredaran masa jua. Apatah lagi agaknya kalau seseorang itu menginap di sebuah mahligai indah berharga 200 juta ringgit dan berpergian ke sana-sini dengan satu jet pribadi yang berharga 250 juta ringgit pula. Aduh..... "Demi masa...." tentu sekali para pembaca yang beragama Islam amat faham akan awalkata surah ke 103 dalam Alquran. Inilah surah Al-'Ashr (masa) yang terjemahannya:
Jelas sekali surah ini menerangkan sifat-sifat orang yang rugi, apabila
dia tidak mengisi waktunya dengan perbuatan baik.
Saya mengambil pedoman daripada surah ini sebagai ingatan daripada
Allah. Memang sejak kebelakangan ini saya mengakui saya banyak
membuat kerja-kerja itu kerana keinsafan jua. Semalam, dalam penulisan
saya mungkin para pembaca dapat merasakan gambaran betapa 'tense'
ataupun tegangnya perasaan saya ketika menulis. Memang, saya
menulis dalam keadaan marah dan tertekan tetapi Allhamdulillah masih
lagi mampu terus tenang untuk berfikir. Saya amat marah membaca
beberapa berita dan emel yang dikirimkan bertali arus. Hampir semuanya
mempunyai sangkut- paut dengan seorang pemimpin terulung UMNO
yang sudah semakin ganyut tetapi tidak hiraukan masa keemasan yang
masih ada di tangannya. Patutlah Anwar Ibrahim kata, "Dia mahu
menongkat dunia..." Apabila saya mula menulis untuk Gelita 14 ini saya kerap teringatkan
arwah ayahanda saya, seorang anggota polis lepasan perang dunia
kedua. Ketika perang dia bertugas di hospital Jepun dan di sana dia
mampu belajar Bahasa Jepun dan beberapa dialek kaum Cina. Apabila
perang tamat, orang putih ambil dia menganggotai pasukan polis
bahagian khas memerangi propaganda komunis. Dari beliau saya belajar
semangat cintakan negara. Dari beliau juga saya belajar apa ertinya
pengorbanan. Dalam hidup saya sebelum beliau meninggal dunia lebih
empat puluh tahun yang lalu saya mungkin merasakan bahang
badannya tidak lebih daripada lima tahun. Dia meninggal ketika saya
masih mencecah dua puluh satu tahun. Salah satu ajarannya yang
masih saya ingat ialah "Jangan ambil harta orang, kerana itu adalah
haram...!". Itu merupakan satu pesanan kepada kami turun temurun dari
satu generasi kepada satu generasi yang lain. Kerana itu ajaran yang
paling diutamakan ialah bertaqwa kepada Tuhan.
Disebabkan didikan diterima daripada seorang bapa yang ketika itu
kerap dipanggil sebagai 'Bakul' oleh orang kampung, setiap kali saya
bersua dengan anggota polis, kenangan saya kerap membawa saya
kepada kemesraan seorang ayah yang amat tegas dalam urusan
hariannya. Tetapi kini apabila saya dapat cerita akan kerakusan polis,
amat sukar saya mahu mempercayainya kerana ingatkan pesanan ayah
saya itu. Hari ini saya menjadi kaget apabila membaca satu berita di akhbar The
Star yang bertajuk: "221 Sacked from Police Force". Eloklah saya
terjemahkan laporan itu secara spontan:
... "Kuala Lumpur: Sejumlah 221 anggota polis telah dibuang-kerja daripada pasukan polis dalam tahun 1998. Setengah dari mereka ini adalah berpangkat lans koporal. Kesalahan yang dilakukan termasuklah 'insubordinasi' mencemar martabat pasukan. Korupsi dan absen di tempat kerja. Demikian catatan Laporan Suruhanjaya Polis, tahun 1998. Walaupun banyak kes yang memalukan yang saya terima mengenai
pasukan polis, saya masih percaya pasukan polis adalah satu pasukan
yang penting dan telah banyak berjasa kepada bangsanya. Kerana itu
saya amat bangga dilahirkan sebagai seorang anak polis. Lagipun
memang amat ramai ahli keluarga saya yang menjadi anggota polis sejak
pasukan itu ditubuhkan dulu. Pada satu ketika ada lebih dari 30 anggota
keluarga kami yang seperingkat dan seusia dengan bapa saya yang
menganggotai pasukan polis dan tentera. Hampir semuanya sudah pun
lama pergi. Kerana itu hampir seluruh keluarga kami telah terkenal
sebagai satu keluarga yang kuat bekerja tanpa banyak karenah. Hingga
kini ramai golongan tua yang lebih rela menjadi ahli jawatankuasa masjid
dan surau daripada berpolitik. Tetapi, apabila saya diberitahu akan kelakuan sebilangan anggota polis
yang muda-muda sekarang ini saya kerap terpegun kerana cuba
membezakan perangai polis sebelum merdeka dengan polis selepas
merdeka. Apa sudah jadi, tanya saya. Malahan apabila saya membaca
kes mahkamah yang menceritakan kisah Dr. Munawar Anees, saya
dihinggapi demam panas untuk beberapa hari. Begitu juga ketika saya
melihat gambar-gambar yang menunjukkan muka Anwar dalam Laporan
Suruhanjaya Siasatan DiRaja Mengenai Kecederaan DSAI yang
dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Talib, bekas Peguam Negara. Kini,
kisah Azmin di mahkamah mengulang cerita serupa itu kembali. Kisah
bagaimana beliau disuruh telanjang bulat dan kemaluannya diambil
gambar oleh pihak polis. Aduh.......teruknya polis zaman Mahathir
ini....demikian keluarnya perkataan daripada mulut saya sehinggakan
cucu saya pun terkejut mendengarnya. "Kenapa Wan...?" tanya cucu saya kepada neneknya apabila
mendengar suara saya seperti itu. Isteri saya hanya mampu meletakkan
jari telunjuk ke bibirnya sahaja. Pada satu ketika dulu memang tidak boleh dibayangkan betapa mulianya
jawatan seorang anggota polis. Ayah saya amat dihormati, walaupun
gajinya tidak seberapa. Kalau dia balik ke kampung berjalan kaki dan
ada orang kampung yang berbasikal, waima seorang guru sekolah pun,
orang kampung itu akan turun daripada basikalnya untuk menemani
ayah ke rumah. Ayah akan memimpin tetamunya naik ke berandah
sambil menyuruh ibu membuat secangkir teh kosong. Demikianlah
berhemahnya orang Melayu dan hormatnya bangsaku terhadap angota
polis dan juga askar pada satu ketika dulu.
Ayah saya tidak pernah berkereta ketika hayatnya. Memadai dengan
satu basikal besar cap 'Raleigh' yang ditinggalkannya sebagai harta
pusaka. Dia sudah lama pergi tanpa meninggalkan harta pusaka yang
banyak. Yang paling penting dan paling berharga peninggalannya ialah
sikap amanah di tubuh anak-anaknya. Dia pergi selepas menanggung
sakit demam panas yang begitu lama kerana terlalu lama berada di hutan
Pahang. Kerana tugasnya melawan komunis dia berjaya menanam
semangat juang pada anak-anaknya dengan pesanan bahawa "Inilah
negara kita. Kalau kita tidak sanggup berjuang mempertahankannya,
siapa yang boleh kita harapkan?" Itulah pesanannya kepada saya setiap
kali kami berkesempatan bermesra. Ini juga pesanannya kepada hampir
semua kawan-kawan saya yang datang ke rumah ketika beliau ada.
Kalau beliau ternampak kawan-kawan bermain di laman dia akan
mengajak mereka naik ke rumah untuk dijamu air kosong dan sekeping
dua roti kering benggali. "Belajarlah baik-baik...." pesannya selalu.
"Kalau kita mahu menjadi satu bangsa yang besar kita mesti berilmu
dulu... Kita mesti tidak lupakan Allah ! Itu sebabnya kita sebut Hai Ya
Alassolah..... dan selepas itu baru kita sebut Hai..ya alal falah......"
Inilah pesanannya selalu kepada anak-anaknya dan kepada
rakan-rakan anaknya. Memang beginilah pesanan orang tua-tua dulu
kala di kampung-kampung. Mereka menentukan setiap anak kampung itu
bertaqwa dulu kerana itulah kuncinya kejayaan sesuatu bangsa Melayu
itu. Kemudian mereka beri penekanan kepada usaha mencari ilmu
pengetahuan kerana itulah kunci mencari kekayaan.
Apabila kita baca cerita pasukan polis yang begitu kerap dibabitkan
dengan korupsi dan kerja-kerja jijik mengambil gambar kemaluan orang
apakah fikiran orang kampung di mana pegawai polis itu dilahirkan?
Apabila kita dengar beberapa pegawai polis yang memaksa Azmin
mengaku dil*w*t oleh Anwar Ibrahim dan membuat fitnah bahawa Dato
Harun Din gilakan betina, apakah pendapat orang kampung di mana
pegawai yang mengugut itu fikirkan? Apa pula keaiban yang ditanggung
oleh anak dan bini para pegawai yang melakukan ugutan seperti itu?
Apa pula bentuk keaiban ahli keluarganya?
Sejak Anwar dipenjarakan ada juga sekali-sekala kaum keluarga saya
berkumpul. Inilah keluarga yang seangkatan dengan saya yang
berpangkat dua-pupu atapun tiga-pupu, kerana kamilah merupakan
zuriat keluarga polis pada zaman British dulu. Majoriti kami naik
berpelajaran tinggi kerana usaha gigih sendiri dan bukannya dengan
subsidi kerajaan. Kini ada yang mempunyai firma guaman sendiri, klinik
perubatan, firma perundingan sebagai lambang hidup bersusah-payah
mencari rezeki yang halal. Ramai di antara kami yang bekerja dulu
sambil belajar sekolah malam ataupun secara pos ketika itu. Maklumlah
untuk masuk universiti belajar undang-undang dan perubatan,
peluangnya amat terhad. Pada zaman British anak kampung yang tidak
berpengaruh walaupun mendapat Gred Satu akan dihantar masuk tentera
dan polis. Kalau mahu di hantar ke Britain tentunya ke Brinsford dan
Kirby untuk menjadi tenaga pengajar. Sekembali daripada Kirby ataupun
Brinsford, ramai antara kami yang belajar melalui pos untuk menjadi
peguam, akauntan dan apa juga bidang professional yang boleh
memajukan diri sendiri. Pengalaman kami itu menjadi satu sumber
semangat pula kepada keturunan kami dengan ingatan ajaran golongan
tua "Jangan ambil harta orang...Itu haram..." Inilah pedoman hidup kami
turun temurun. Ia menjadi satu amalan. Kami lebih bersedia mengadu
kepada Allah daripada mengadu kepada sesama insan akan penderitaan
yang datang menimpa. Kerana itu sudah menjadi pedoman hidup yang
diajar kepada kami sejak kecil lagi. Ajaran yang saya pusakai dan turunkan kepada zuriat saya seterusnya
adalah lambang ajaran orang Melayu marhain di kampung-kampung
dan di bandar-bandar. Saya amat percaya selagi ada azan
berkumandang di corong masjid dan surau di negara ini, orang marhain
Islam akan menurunkan wasiat warisan bangsa ini kepada generasi yang
mendatang. Inilah ajaran yang sudah menjadi satu budaya yang mulia di
kalangan orang Melayu. Akan tetapi, sejak dua puluh tahun yang lalu, wasiat bangsa yang
diamanahkan kepada generasi hari ini sudah semakin pudar ditelan oleh
keadaan. Ia seolah-olah sudah menjadi satu budaya yang semakin
layak dirakamkan untuk disimpan di muzium tamaddun Melayu. Semakin
ketara kini, kehidupan orang Melayu itu lebih cenderung menghalalkan
beberapa aspek kehidupan yang sepatutnya menjadi haram.
Kalau memfitnah itu dianggap satu dosa besar, kenapakah amat kerap
sangat kita lihat seorang pemimpin teragung UMNO berbuat demikian
hampir setiap kali dia mengeluarkan kata-kata daripada mulutnya?
Disebabkan dia mahu orang yang mendengar fitnahnya itu mempercayai
akan segala faktor fitnah yang dituturkannya, dia terpaksa berbohong,
dan terus berbohong. Apabila dia mula berbohong, dia tidak akan
berjaya menyelamatkan jiwanya yang dicemari oleh sikap berbohong itu.
Akhirnya dia menjadi seorang manusia yang tidak lebih tinggi
maratabatnya daripada seekor syaitan.
Kalau kerja-kerja memfitnah dan berbohong itu dilakukan seorang diri
tanpa membabitkan orang lain, tentulah dosa besar yang ditanggungnya
itu menjadi tanggungjawabnya sendiri. Tetapi, apabila orang lain yang
dikerahnya terbabit sama untuk memperkuatkan kerja jijiknya itu,
bukankah dia mempalitkan dosa besar kepada orang itu yang akhirnya
menjerumuskan seluruh ahli keluarga orang yang terbabit? Terlalu ramai
pegawai kerajaan melakukan dosa besar kerana terbabit dengan kerja
jijik yang ditaja oleh Mahathir. Inilah kerja jijik yang digalakkannya untuk
menentukan dia terus berkuasa. Kerja-kerja jijik menabur fitnah dan kerja-kerja kotor mendera orang
untuk memperkuatkan fitnah sudah menjadi satu kerja nasional kepada
majoriti orang kerajaan di negara ini. Tidak kira orang itu menjadi
anggota polis, tentera, kastam, immigresen, tukang masak, tukang ambil
gambar, warder, guru, ustaz, wakil rakyat dan malahan siapa saja yang
dapat dicekau oleh sistem pemerintahan rejim seorang diktator tua yang
sungguh hipokrit dalam sejarah Melayu moden.
Oleh kerana orang Melayu itu pada dasarnya adalah satu bangsa yang
amat patuh kepada golongan tua, setiap arahan yang diterima dari atas
dianggap satu perintah walaupun arahan itu boleh dianggap bercanggah
dengan ajaran agama Islam. Di sinilah letaknya perbezaan pegawai
Melayu didikan Melayu di zaman British dengan pegawai Melayu
didikan barat di zaman Mahathir. Melayu generasi dulu sanggup
melanggar perintah orang putih dan raja-raja kalau perintah itu adalah
bertentangan dengan ajaran Allah.
Tetapi majoriti Melayu di zaman pemerintahan UMNO kendalian
Mahathir akan menganggap perintah kerajaan Mahathir setaraf dengan
ajaran Allah. Kerana itu ada pegawai polis yang sanggup
menggambarkan kemaluan seseorang dengan niat orang itu terhina
sehingga sanggup memperakui segala fitnah yang direncana. Inilah
jawapan kepada kenyataan yang dibuat oleh penulis muda daripada
Kota Sarang Semut Kedah yang bernama Ab. Jalil Aboo Backer....
"Apapun satu tindakan pembetulan hendaklah dilakukan untuk
mengembalikan cerita sebenar jasa Dr. Mahathir dan UMNO kepada
generasi muda. Dr. Mahathir mungkin merasakan ia tidak penting. Tapi ia
amat penting kepada akidah orang Islam dan survival UMNO."
Berdasarkan secebis potong ayat seperti di atas kita boleh buat kajian
betapa orang UMNO itu sudah dipukau sehalus-halusnya sehinggakan
kepimpinan Mahathir itu dianggap penting kepada akidah orang Islan
dan penyumbang besar kepada keutuhan UMNO?
Disebabkan proses doktrinasi sedemikian kita lihat Mahathir menjadi
angkuh dan semakin garang. Dia sudah melupakan bahawa usianya
sudah tidak dapat menjaminkan survival kuasanya dalam UMNO, seperti
yang dijangka oleh majoriti veteran UMNO. Seperti kata Tun Ghafar
Baba, janganlah ada sesiapa yang cuba perasan akan peranannya
dalam UMNO sedangkan beliau dan beberapa veteran UMNO yang lain
sebenarnya memainkan peranan yang lebih besar daripada Mahathir.
Kalau orang seperti Ghafar Baba dan seangkatan dengannya tidak
memandang jasa Mahathir sebagai penting bagi akidah orang Isalam
dan survival UMNO siapakah Ab. Jalil A. Backer yang sanggup
menghina minda orang UMNO seluruhnya? Nampak sangat selagi
Mahathir dibenarkan berkuasa dalam UMNO dia akan merupakan seekor
kerbau yang membawa lumpur ke sana-sini dan mempalitkannya kepada
badan sesiapa yang datang bersalam tangannya.
Dalam survival UMNO masakini kita nampak bagaimana orang muda
yang mempunyai didikan yang boleh dikatakan baik-baik digunakan
untuk memutar-belitkan otak dan minda orang Melayu. Orang seperti
Astora Jabat yang sebenarnya tidak mempunyai hak dan lesen untuk
mencetuskan minda orang Melayu berpolitik, sudah diberikan pentas
untuk melakukannya kerana dia difikirkan sesuai untuk menerjah minda
orang yang menentang UMNO sekarang. Penulis seperti Abd. Jalil Aboo
Backer nampaknya sudah diberikan mandat mengambil alih tugas yang
pernah dilakukan oleh Bekas Professor dan bukan Dr. Universiti Malaya
yang kini sudah bergelar YB UMNO. Mereka ini diberikan ruang yang
luas di Utusan dan juga saluran media yang lain. Kedua-dua manusia
ini kelihatan menjalankan peranan pelapis kepada tugas yang dijalankan
oleh dua tiong peliharaan Jabatan Perdana Menteri - Rais Yatim dan
Hamid Othman. Di samping itu, untuk memperkuatkan peranan menggenyeh minda orang
Melayu satu proses menguatkuasakan dasar UMNO dalam kehidupan
orang Melayu digunakan pula beberapa kumpulan pegawai polis untuk
mengganyang pihak pembangkang. Kalau kita teliti dengan rapi taktik ini
kita akan sedar betapa hampir semua pemimpin muda Barisan Alternatif
mempunyai kes polis yang sengaja diada-adakan. Azmin, Ezam,
Roslan, Zainur Zakaria semua mempunyai masa depan yang perlu
dihabiskan di balai polis kalau tidak di mahkamah. Begitu juga Karpal
Singh, Chin Tuan, Zunar dan sebut sahaja beberapa nama lagi.
Kita tahu semua kerja-kerja jijik yang mengaibkan para pemimpin muda
BA adalah didalangi oleh UMNO terutama sekali oleh pergerakan
pemuda UMNO. Yang paling menjijikkan ialah setiap kali para pemimpin
BA ini dihadapkan ke mahkamah gambar mereka diletakkan di muka
hadapan akhbar perdana, seolah-olah mereka ini semua adalah
komunis yang berkurap ataupun penyibar virus terbaru. Soalnya
sekarang siapakah yang sebenarnya patut malu dengan segala berita
seperti itu kalau bukan orang Melayu? Di sinilah timbul satu persoalan
lagi, bagaimanakah semua pegawai polis yang terbabit itu sanggup
melakukan kerja-keraja yang membuang masa semata-mata untuk
memuaskan tuan-tuan politik yang lupa daratan itu?
Kalau orang yang menjadi mangsa penderaan pihak polis itu kena ugut,
pihak polis yang menjalankan ugutan itu juga sedang diugut. Mereka
terpaksa menjalankan peranan ugutan itu kerana masa depan mereka
sudah diugut. Dengan lain perkataan, ugut mengugut sudah menjadi satu
budaya baru kepada orang Melayu di zaman Mahathir. Impak budaya
baru ini membuatkan orang Melayu dalam UMNO dan juga dalam
perkhidmatan kerajaan menjadi satu kumpulan insan beragama Islam
yang hidupnya ketakutan. Mereka menjadi takut kepada bayang-bayang
Mahathir. Mereka terpaksa menjadi tukang turut yang setia "agar akidah
mereka tidak tersimpang....." Hai, ya Allah... apa sebenarnya yang
sedang berlaku kepada bangsaku....?
Ketaksuban membuta-tuli, ketakutan dalam tugas sehinggakan sanggup
melanggar perintah Allah sudah menjadi satu budaya kerja dan
kehidupan orang Melayu. Kerana itu kita lihat ada segelintir penyokong
kuat Anwar dulu sudah sanggup melepaskan pegangan perjuangan dan
sumpah setia perjuangan Islam semata-mata mahu menyelamatkan harta
benda yang ditimbun dan dipulun ketika Anwar berkuasa. Nasib baik,
segelintir sahaja gamaknya. Tetapi jumlah yang sebenar masih tidak kita
tahu. Kini, saya percaya majoriti orang Melayu yang menyokong
semangat reformasi tidak pun kenal Anwar dari dekat. Malahan ramai
para penulis prolifik di Laman pro-reformasi tidak pernah bersalam
tangan dengannya apatah lagi menerima secangkir kopi daripadanya.
Alangkah terbalik court perkara ini? Ya.....inilah kebenaran, inilah
kenyataan, inilah gerak keadilan yang datang dari langit....Inilah
perjuangan yang berasaskan nawaitu yang suci murni. Kerana majoriti
yang menyokong Anwar kini, tidak pernah mengharapkan apa-apa
daripada perjuangan itu. Mereka hanya mahu negara ini bebas daripada
segala gejala kerakusan dan kekotoran yang dibawa masuk oleh
seorang diktator tua yang memikirkan dia lebih berkuasa daripada
Tuhan. Setiap insan yang beragama tidak kira apa anutan agamanya, amat
faham apa ertinya balasan Tuhan. 'Bala' kepada orang beragama Islam
adalah jelas tercatat di bawah bab 'Kadaq dan Qadar'. Pernah beberapa
kali dulu saya mencuit minda akan bala yang mungkin datang silih
berganti sebagai amaran daripada Allah. Saya ingin membawa perhatian
pembaca artikel ini kepada tulisan seorang penulis terkenal bernama
M.G. Pillai yang tuisannya akan saya cuba terjemahkan secara bebas.
Saya petik tulisan bertajuk ; Is A Coxsackie Epidemic About to Hit Kuala
Lumpur, yang dipaparkan oleh Laman Reformasi.
Inilah fenomena yang amat saya geruni dan pernah saya sindir para
pembaca berdasarkan segala bentuk maksiat yang berleluasa sejak
Mahathir menjadi semakin gila dengan kuasanya. Pelbagai jenis virus
dan wabak penyakit dan pelbagai bentuk bencana alam sudah
menyerang negara ini secara silih berganti. Ia bermula dengan keadaan
jerebu satu ketika dulu, diikuti oleh banjir dan keadaan kering kontang.
Kemudian penyakit kuku dan mulut dan JE. Kini Coxsackie A menjelma
lagi. Soalnya sekarang, kenapakah perkara ini dipengapkan seolah-olah ia
tidak berlaku lagi? Bukankah ini juga caranya kerajaan Mahathir
memerap kisah jangkitan JE di Bukit Pelandok dulu. Bukankah virus
sebenarnya dipanggil virus Nipah akhirnya? Kenapakah kita harus terus
ditipu? Memang amat berat kali ini saya menulis kerana saya mendedahkan
rintihan hati saya dan membabitkan segolongan orang Melayu yang
memegang tugas yang amat mulia di hati saya. Inilah tugas seorang
Polis yang memang tidak dibenarkan oleh ayah saya untuk
menjawatnya. "Cukuplah tugas itu dipikul oleh keluarga yang
seangkatan denganku" katanya satu masa yang lama dulu. Tetapi,
apabila kita baca akan gelagat para polis yang dikenakan tindakan
disiplin saya mula menyoal profession ini. Sakali gus hati kecil saya
tergerak menuding jari ke arah Mahathir. Dia sudah melacurkan
profession ini tanpa disedari oleh para pemegang amanah rakyat ini. Di
dalam ilmu pengurusan ada satu teori yang menyebut "There is no such
thing as bad labour, but there's bad management." Ini bererti pasukan
polis itu sudah menjadi demikian disebabkan kepimpinannya yang
lemah. Apakah kerana menyedari hakikat teori ini makanya Mahahtir
melepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri kepada Paklah?
Kepada saya, kalau ada pegawai polis yang menggentel kemaluan Dr.
Anees ataupun Anwar ataupun Azmin, mereka telah lakukan semua itu
kerana diugut untuk tidak dinaikkan pangkat ataupun akan ditukarkan ke
tempat lain. Mereka tidak lakukan itu disebabkan taksub terhadap
menjalankan tugas. Saya lebih rela berpendirian mereka lakukan itu
kerana diugut untuk memperbaiki masadepan mereka dalam angkatan
polis. Tetapi dengan kesedaran ini dan dengan tertulisnya artikel ini saya
mahu menjemput para pegawai polis tidak kira dalam bidang apa mereka
bertugas. Saya ingin mengingatkan mereka dengan kata-kata ini:
Dengan nama Allah SWT dan demi masa; saya mengajak seluruh
anggota polis tidak kira apa pangkatnya dan apa warna kulitnya dan
tidak juga kira apa anutan agamanya, marilah kita tegakkan keadilan dan
kembalikan kebenaran dalam budaya hidup kita. Marilah kita tentang
cengkaman permerintah diktator. Marilah kita sama-sama tebus maruah
bangsa kita yang tercemar disebabkan kerakusan seorang diktator tua
yang sudah hilang arah. Tebuslah keaiban tindakan polis di Memali.
Tebuslah keaiban tindakan polis terhadap Dr. Anees dan terbuslah
keaiban tindakan polis terhadap Anwar Ibrahim. Tebuslah keaiban yang
ditanggungi oleh orang kita Melayu di Masjid Negara April 99 yang lalu.
Yang lebihnya kita berserah saja kepada Allah. Lupakanlah arahan
Mahathir di April 14 dan 15 ini. Marilah kita sama-sama mencari
kegemilangan geliga di celah-celah kegelitaan itu.
Ingatlah kalau anda diperintahkan menghayunkan cota ke badan insan
yang datang berkumpul secara aman, anda sebenarnya melanggar
hukum hak asasi kemanusian. Anda sebenarnya yang memperkecilkan
hak manusia berdemonstrasi seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Negara. Ingatlah, berjuang ke arah kebenaran dan
berjuang menjatuhkan pemerintahan regim seorang diktator adalah satu
kemestian dalam hidup setiap insan yang beragama Islam. Dan ingatlah,
pada jata PDRM yang dijunjung oleh setiap anggota polis adalah dua
perkataan - 'ALLAH' dan 'MUHAMMAD'. Janganlah anda
membelakangkan kedua-duanya demi seorang manusia bernama
Mahathir bin Mohamad. -Marhaintua- |