Laman Webantu KM2A1: 4181 File Size: 11.8 Kb * |
AM: Dr M, Gua Musang & Ku Li By Rozaid Rahman 10/4/2001 5:42 pm Tue |
[Satu analisis menarik kenapa Mahathir menghadirkan diri di Gua
Musang sebagai persiapan awal untuk menawan pewakilan menjelang
perhimpunan agung nanti. Bagi pemerhati politik Mahathir memang
kejam (ruthless) dalam tindak-tanduknya terhadap sesiapa yang
mungkin dapat menyainginya. Kebanyakkannya tersingkir melalui
rencana pengaiban akibat fakta (Musa) atau gambar (Ku Li) atau
khabar yang tersiar (Anwar). Tetapi semuanya dilakukan penuh
dengan muslihat dan disaat Mahathir 'kurang' sihat. Hanya Anwar
sahaja yang masih hidup walaupun telah dibunuh acap kali. Yang
lain sudah tawar hati dan 'menyokong' sahaja selagi Mahathir
masih bernyawa lagi. Kini terdapat desas-sesus hubungan Mahathir-Daim semakin longgar.
Daim tidak muncul semasa sesi OPP3. Mungkin sebab itu jugalah
pasaran saham amat ngeri mutakhir ini. Sila imbau kembali kabinet
tambahan Mahathir tempoh hari untuk membenteng dirinya. Kesemuanya
adalah kaki putar alam belaka.... Oleh Rozaid Rahman Tiada siapa dapat menafikan, permainan politik Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad bukan sahaja penuh dengan elemen-elemen mengejutkan
tetapi pada kebanyakan masa tidak boleh dibaca oleh lawannya atau
pun para pemerhati politik tanah air. Pada era kegemilangan Anwar Ibrahim sebagai seorang ikon kepada
generasi muda, Dr Mahathir berjaya melakukan satu coup d'etat dengan
mencurinya dari tangan Pas dan membawanya ke dalam Umno. Walaupun
para pengkritik melihat langkah itu kemudiannya satu malapetaka buat
Umno (lihat apa yang terpaksa dilalui oleh parti itu ekoran krisis
pemecatan Anwar) tetapi satu pandangan lagi berpendapat, sama ada
ia merupakan langkah yang salah atau benar, Anwar akhirnya dapat
dijinakkan oleh Dr Mahathir dan kemudian memusnahkannya sama sekali.
Sepanjang proses tersebut, Anwar kelihatan seperti akan menjadi
penganti mutlak kepada Dr Mahathir. Namun begitu, Dr Mahathir
sebagai seorang ahli politik yang pintar bermain teka-teki sentiasa
mengelak daripada menjawab secara tepat apakah Anwar akan mengantikannya.
Cuma beberapa tahun kemudian iaitu sebelum Anwar dipecat, barulah beliau
menyatakan pendiriannya dalam soal tersebut. Namun begitu barang diingat
bahawa sepanjang pendakian Anwar ke mercu kejayaan 'sementara' politik
negara, Dr Mahathir tidak pernah meminggirkan nemesis Anwar, iaitu
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau seolah-olah memberi peringatan kepada Anwar,
bahawa sebarang kesilapan langkah hanya akan membuka laluan kepada
Pak Lah. Atau dengan lebih tepat, jika Anwar menunjukkan tanda-tanda
akan melawan tauke, beliau sentiasa ada Pak Lah sebagai penggantinya.
Jelas sungguh, selepas ketiadaan Anwar, Pak Lah menjadi pilihan Dr
Mahathir sebagai timbalannya. Sekali lagi Dr Mahathir bermain dengan teka teki apabila beliau 'menolak'
calon yang lebih kanan (dari sudut undi dan hirarki) iaitu Datuk Seri
Najib Tun Razak ketika mengumumkan penganti Anwar.
Ramai yang tertanya-tanya kenapakah Najib yang menduduki kerusi
naib presiden paling kanan tidak menjadi pilihan sedangkan Abdullah
yang menduduki kerusi nombor dua dalam ranking naib presiden
menjadi pilihannya. Sebenarnya Dr Mahathir sentiasa bermain modus operandi yang hampir
serupa apabila mencorakkan barisan kabinetnya dan juga mencaturkan
langkah politik seterusnya. Masih ingat lagikah ketika Tengku Razaleigh Hamzah pertama kali
tewas di tangan Musa Hitam pada pemilihan jawatan timbalan presiden
Umno selepas Dr Mahathir mengambil alih teraju negara dari tangan
Tun Hussein Onn? Selepas kekalahan Ku Li, Dr Mahathir tidak menyingkirkan bekas
menteri kewangan itu dari persada politik tanah air. Sebaliknya,
walaubagaimana sekali pun sokongan yang ditunjukkannya kepada
Musa, Dr Mahathir tetap 'menyimpan' Ku Li di dalam barisan
kabinetnya. Malah Ku Li masih diberi jawatan bendahari agung
Umno dan menteri pusat. Ini kerana beliau sentiasa hendak
Musa sedar bahawa sekiranya dia menjadi ancaman kepada
kedudukannya sebagai perdana menteri, pada bila-bila masa sahaja Ku
Li boleh diambil sebagai rakan sekutu yang baru.
Ada satu lagi teori yang mengatakan bahawa Dr Mahathir tidak pernah
bimbang akan percaturan politik Ku Li ataupun Pak Lah. Mereka pada
pandangan Dr Mahathir adalah ahli politik yang 'lurus' dan tidak
banyak akal sepertimana Musa dan Anwar. Tetapi dari segi pengalaman
dan personaliti, Ku Li hampir-hampir sama dengan Musa.
Kedua-dua Musa dan Anwar mahu dilihat sebagai seorang
negarawan. Kedua-duanya juga adalah pemimpin semulajadi - tergolong
dalam kategori dilahirkan untuk menjadi pemimpin sama seperti Dr
Mahathir. Malah karisma dan aura kepimpinan kedua-duanya melampaui
batasan kenegaraan. Mereka telah mencapai status antarabangsa.
Sepertimana Musa, Anwar dilihat di Indonesia sebagai pemimpin ASEAN,
bukan pemimpin Malaysia semata-mata, misalnya.
Musa pula dikenali dan dihormati di Eropah dan dunia barat kerana
karismanya dan juga pemikirannya. Baru-baru ini, satu forum yang
dihadiri oleh Musa di Eropah telah mendapat sambutan yang agak
luar biasa bagi seorang yang bertaraf bekas timbalan perdana menteri
Malaysia. Anwar pula ketika masih menyandang jawatan timbalan
perdana menteri, sentiasa mendapat perhatian dunia dan juga ASEAN
lebih-lebih lagi apabila beliau muncul dengan konsep masyarakat
madaninya. Hubungan Anwar dengan dunia dan generasi muda Malaysia yang
nampaknya masih belum padam walaupun sudah hampir tiga tahun
tersingkir dari politik arus perdana sudah sewajarnyalah
membimbangkan Dr Mahathir. Tetapi bagaimana pula dengan Musa' Apakah pengaruh Musa sebagai
seorang negarawan serta kata-katanya yang sering ditafsirkan sebagai
berbaur politik dan nasihat buat ahli-ahli Umno merupakan satu
ancaman juga kepada kepimpinan Dr Mahathir' Beberapa bekas
penyokong kuat Musa pernah berkata, Dr Mahathir sentiasa melihat,
kata-kata Musa mengenai politik sebagai satu percubaan untuk kembali
ke politik arus perdana - satu percubaan menguji permukaan air.
Dan apakah imej Musa sebagai libertarian Melayu dan egalitarian
Malaysia yang kini lebih tertonjol melalui tugasnya sebagai
pengerusi Suhakam menjadi satu igauan buat Dr Mahathir?
Oleh itu sekali lagi percaturan harus dilakukan. Maka kunjungan
Dr Mahathir secara tiba-tiba ke Gua Musang hujung minggu lalu
sudah tentulah menjemput seribu satu pertanyaan dan persoalan,
apakah pula game plan Dr Mahathir selepas ini. Ramai
yang pada mulanya melihat langkah itu sebagai satu usaha untuk
berjinak-jinak semula dengan Ku Li ekoran desas-desus hubungan
dinginnya dengan Tun Daim sekarang.
Teori ini boleh diterima jika melihat kepada paten percaturan
politiknya sepertimana yang dinyatakan di atas. Ini dikuatkan
lagi dengan hakikat bahawa pada hari pembentangan rancangan 10
tahun negara di Dewan Rakyat minggu lalu, Dr Mahathir membaca
teks pembentangan rancangan tersebut tanpa Daim di sisinya.
Tetapi sekali lagi, kunjungan ke Gua Musang itu berjaya mengelabui
mata orang dan menjadi decoy kepada matlamat sebenar Dr Mahathir,
kata seorang pemerhati politik tanah air. Jika seandainya Ku Li dibawa
masuk ke arus perdana politik negara, ia bukanlah untuk mengimbangi
pengaruh Daim atau kerana hubungan Dr Mahathir dengan menteri
kewangan itu yang dikatakan dingin tetapi hasrat
yang tersirat ialah semata-mata untuk mengimbangi populariti dan
penonjolan Musa dalam agenda nasional dan internasional.
Sejarah telah memperlihatkan, sepanjang era kepimpinan Dr Mahathir,
beliau telah berkelahi dan berpisah dengan ramai tokoh politik tetapi
pada masa yang sama tidak mempunyai masalah untuk menerima
mereka semula. Para pengkritik dan penganalisa politik pula sering
berkata, bagi Dr Mahathir siapa sahaja boleh sentiasa kembali dalam
arena politik negara kecuali dua orang tokoh. Seorang bernama Musa
Hitam dan seorang lagi Anwar Ibrahim.
(Isnin, 9 April 2001) Latar belakang anggota Kabinet baru
Anak kelahiran Pulau Pinang dan menyertai Umno pada 1981 menerusi Umno Bahagian Kepong di Kuala Lumpur.
Menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai sejak 1995.
Berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya pada 1977 dan 18 tahun kemudian menjadi Setiausaha
Parlimen Kementerian Belia dan Sukan. Beliau mula dipilih sebagai ahli Exco Wanita Umno pada November 1993 dan pada 1996, dipilih menganggotai
Majlis Tertinggi Umno. Pada Mei tahun lalu, memenangi jawatan Naib Ketua Wanita Umno.
Pada 1995, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan dan dalam rombakan Kabinet
Disember 1999, dinaikkan ke jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
BRIG JEN (B) DATUK ABDUL HAMID ZAINAL ABIDIN, 57.
Dilahirkan di Bagan Datoh, Perak dan menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak
Julai 1995. Beliau berkelulusan Diploma Pendidikan Kolej Islam Malaya dan Ijazah Sarjana Perundangan Islam
dalam siasah syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.
Beliau pernah menjadi Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) pada 1986 sebelum mengetuai Jakim yang
pada asalnya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Islam.
Beliau juga pernah menjadi pemegang amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).
Tengku Adnan, pemegang ijazah Pentadbiran Perniagaan, mula mencipta nama dalam politik pada 1984 setelah
dilantik Ketua Penerangan Umno cawangan Kampung Bakti di Bahagian Seputeh, Kuala Lumpur sebelum menjadi
timbalan ketua bahagian itu pada 1985.
Setahun kemudian beliau dilantik naib pengerusi Biro Antarabangsan Pemuda Umno dan Ketua Biro Kewangan
Pemuda Umno. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerja Umno pada 1999 dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Wilayah Persekutuan tahun lalu. Beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Seputeh sejak 1996.
SENATOR DATUK M KAYVEAS, 47. Kayveas, yang dilahirkan di Benta, Pahang adalah Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) sejak 1993 dan
berkelulusan undang-undang dari Universiti Buckingham serta ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti
Hull, London. Pada 1999, beliau dilantik anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara II dan menganggotai jawatankuasa
kemiskinan majlis itu. Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator pada 4 Disember lalu. Kayveas mempunyai firma perundangan sendiri,
Blanche and Kayveas. SENATOR DATUK ZAINUDDIN MAIDIN, 61.
Zainuddin adalah tokoh wartawan yang tidak asing lagi dan pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan
pada 1982-1992. Lebih dikenali sebagai Zam, beliau berundur daripada jawatan itu pada 1992 dan dilantik sebagai
Penasihat Jabatan Pengarang selama dua tahun.
Pada masa yang sama, beliau tinggal di London dan menulis buku Mahathir Di Sebalik Tabir.
Beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 1998 dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan pada
Ogos tahun yang sama. |