Laman Webantu KM2A1: 4188 File Size: 27.8 Kb * |
Siri 6 G14: Mencari Geliga Dalam Gelita By Marhain Tua 11/4/2001 10:06 am Wed |
G14 B6/B7 [Mahathir menuduh rakyat ingin mencetuskan keganasan untuk
menumbangkan kerajaan tetapi tiada seorangpun tertangkap dan
terbukti sah melakukan kemusnahan. Rakyat tidak terdesak pun
untuk melakukan sedemikian kerana sudah ada banyak tanda
kerajaan akan tumbang dengan satu sentuhan yang lembut lagi
perlahan sahaja oleh seorang perempuan. Lagipun kerajaan cuma menemui
pistol mainan di dalam ribuan yang berhimpun aman itu tetapi
semua senjata ngeri yang disebutkan oleh Mahathir dulu telah
menjelma di Kg Medan. Sejarah merakam banyak pemerintah yang kejam tersungkur rebah
kerana perbuatan mereka sendiri - walaupun dia asyik menyalahkan
orang lain acap kali. Mahathir bernasib baik kerana orang melayu
bersifat lembut secara semulajadi. Tetapi jangan lupa mereka akan
memendam rasa yang bakal meledak keluar bila mengena kombinasi
kuncinya. Lapuran polis Fauzi adalah salah satu darinya tetapi
ada banyak lagi yang akan mengerikannya yang bakal datang dari
arah yang tidak disangka sama sekali......
- Editor] Kejayaan sesuatu demonstrasi rakyat terhadap kerajaan yang
memerintah bukan diukur melalui jumlah peserta ataupun kaedah
kekerasan yang mereka gunakan. Tidak juga melalui jumlah insan yang
tercedera ataupun terkorban sama ada secara kemalangan sendiri
ataupun di sebabkan pihak kerajaan yang cuba meleraikan mereka.
Kejayaan perhimpunan rakyat itu diukur sama ada mereka mencapai
matlamat yang telah ditetapkan. Inilah ukuran yang pertama. Kedua,
apakah ia berjaya mencetuskan satu impak yang berkesan di atas
usaha mereka itu. Ketiga, reaksi orang luar terhadap apa yang mereka
perjuangkan. Keempat, kebijaksanaan menggunakan struktur sekeliling
untuk memanjangkan sesuatu demonstrasi tanpa merosakkan harta
benda orang awam. Kelima, kemampuan mengikut perintah dan arahan
ketua untuk bersurai dan menamatkan demonstrasi itu.
Bukannya senang mengatur satu demonstasi rakyat. Ramai orang keliru
akan hakikat ini kerana mereka kerap teringatkan cara anak-anak
sekolah diajar beratur di sekolah. Ataupun cara kerajaan mengarahkan
rakyat berkumpul untuk bersenam-robik beramai-ramai ataupun untuk
mengadakan raptai perbarisan rakyat. Berdemonstrasi untuk
menyerlahkan rintihan terhadap pemerintahan adalah cerita lain.
Risikonya amat tinggi sekali terhadap pihak yang menganjur dan juga
yang turut serta. Agenda anjuran pun hanya merupakan satu panduan
kasar sahaja. Ia menunjukkan tarikh, tempat dan matlamat agenda
demonstrasi itu yang diharapkan dapat difahami oleh para pesertanya
untuk mencapai matlamat yang direncanakan. Sama ada agenda itu
dapat diikuti dengan tepat, adalah perkara lain kerana kemungkinan
agenda itu disabotaj adalah serba mungkin.
Di Malaysia, walaupun seluruh dunia diberitahu bahawa kerajaan
pimpinan seorang Wira Dunia Ketiga mengamalkan demokrasi,
demonstrasi rakyat secara aman, terutama sekali yang ditaja oleh
pembangkang, adalah sesuatu yang dianggap merbahaya dan perlu
ditindas sebelum terjadi. Kerana itu, setiap perkumpulan manusia
melebehi lima orang perlu mendapatkan lesen daripada pihak polis
terlebih dulu. Jika tidak, ia mudah ditakrifkan sebagai kumpulan haram.
Walaupun demonstrasi itu merupakan satu usaha rakyat secara aman,
ia tidak akan diberikan lesen. Inilah gambaran demokrasi pimpinan
seorang diktator tua yang juga menjadi presiden UMNO. Inilah
gambaran betapa berkecamuknya undang-undang yang perlu dipatuhi
kerana berdemonstrasi secara aman adalah hak rakyat yang
dibenarkan oleh perlembagaan negara. Matlamat demonstasi aman yang diberi nama GELITA 14 adalah untuk
memperingati pemerintahan Mahathir Mohammad yang zalim. Tetapi
pihak kerajaan tidak memperakuinya. Mahathir Mohamad lebih suka
mengatakan bahawa itu adalah demonstrasi memperingati ulangtahun
Anwar Ibrahim dipenjarakan. Maknanya dikatakan sama saja, tetapi
kepada mata dunia dan para analis, terdapat banyak perbezaannya. 14
haribulan April 1999 merupkan tarikh Anwar Ibrahim dimasukkan
penjara secara rasmi untuk menjalani hukuman. Sebelum itu dia
memang sudah lama dipenjarakan di atas tuduhan berlipat ganda yang
semuanya direka-reka. Itulah tuduhan yang boleh diberi ikat jamin
yang membolehkan Anwar duduk di rumah dan muncul di mahkamah
mengikut jadual yang ditetapkan. Tetapi tidak, Anwar perlu dikurung di
bilik berjejari besi untuk terus menyiksanya dan juga ahli keluarganya.
Anwar telah dikurung setelah rumahnya diserang oleh satu pasukan
komando polis yang lengkap bersenjata dan berpakaian
'tutup-muka,tutup-suara'. Mereka masuk mengopak pintu rumah yang
tertutup sedangkan di dalam rumah terdapat ramai manusia. Mereka
dikerah menunjukkan kekuatan polis untuk menangkap seorang
pemimpin yang ketika itu masih memegang jawatan kedua tertinggi
dalam parti politik yang memerintah negara. Perbuatan itu amat
memeranjatkan dunia kerana sebelum itu Anwar telah menulis secara
berhemah kepada pihak polis itu. Memang, melalui para peguamnya
Anwar sudah menulis surat betapa beliau bersedia menghadirkan diri
bila diperlukan. Ketika Anwar ditangkap, ratusan manusia berada di rumahnya untuk
memberikan sokongan moral sambil mahu mengenalinya lebih dekat
lagi. Bukan semua yang datang di rumah kediaman persendirian itu
yang kenal rapat dengan Anwar. Majoriti mereka adalah rakyat biasa
yana tidak pernah bersalaman dengannya sebelum itu. Mereka yang
rapat dan akrab dengannya sudah pun lama pergi menghilangkan diri.
Mereka sudah pun lupa bahawa kekayaan dan kejayaan hidup mereka
itu adalah dengan bantuan Anwar yang tertindas ketika itu.
Di tahap awal pemenjaraan, Anwar sedang sakit teruk dibaham oleh
seorang ketua polis yang naik minyak. Bayangkan apa yang boleh jadi
kepada seorang manusia yang digari tangannya dan disuruh duduk di
kerusi untuk menjadi sasaran seorang pakar karate dan judo? Ketika
ditangkap, Anwar dikenakan tuduhan polis biasa yang membolehkan
beliau diikat jamin. Tetapi, apabila mukanya hampir lumat,
undang-undang ISA telah dijatuhkan ke atasnya. Ini membolehkan
pihak polis terus menahannya tanpa membawanya ke pihak
pengadilan. Di waktu yang sama Rahim Nor yang menjawat Ketua Polis
Negara ketika itu telah menyatakan betapa "Anwar berada dalam
keadaan selamat dan sihat". Ketika itu, si diktator tua pun ikut kata-kata
Rahim Nor dan mengulangkan kenyataan polis laksana satu pita
rakaman sahaja. Sedangkan di waktu kenyataan dibuat Anwar masih
lagi telanjang bulat di bilik kurungan tanpa ada sebarang bantuan
perubatan diberikan. Yang lebih menghibakan, semua bentuk
penggambaran dilakukan termasuk mendapatkan segala helai rambut
dan bulu yang diperlukan. Kehilangan Anwar secara mendadak tentunya meresahkan rakyat yang
cintakan keamanan. KERESAHAN itu datang bukan sahaja dari
pelusuk tanahair malahan juga di seluruh dunia. Dunia memang
menonton drama yang sedang diarahkan oleh si diktator tua kerana di
waktu yang sama seorang penulis ucapan Anwar bernama Dr. Anees
Munawar sedang menghadapi tekanan juga kerana disiksa. Beliau
akhirnya disuruh mengaku pernah diliwat oleh Anwar. Anees yang
mengaku dalam keadaan tertekan, akhirnya menarik balik pengakuan
itu dan kini sedang melakukan proses undang-undang untuk
membersihkan nama baiknya. Perkara yang sama pernah dilalui juga
oleh beberapa orang yang rapat dengan Anwar. Tuduhan utama ialah
mereka telah diliwat oleh Anwar. (Cukuplah dulu cerita ini kerana
Anwar masih dihadapkan di mahkamah) Proses mendapatkan bukti untuk menghukum Anwar adalah satu proses
yang boleh dijadikan bahan komik komidi seperti 'MAD' dan 'Gila-Gila'.
Tilam sebuah kondominium telah diusung sebagai bahan bukti bahawa
tilam itu menampung air mani Anwar "ketika melakukan kerja-kerja
maksiat". Itulah tuduhan yang mengatakan Anwar berbuat maksiat yang
sengaja diada-adakan. Malangnya apabila perkara itu dipertikaikan
kondominium berkenaan belum pun siap dan tilam itu pun belum dibeli.
Tidak ada pula yang memberi keterangan betapa tilam itu pun belum
dibuat lagi. Namun, tilam itu diusung setiap hari ke mahkamah. Kalaulah
tilam itu boleh berkata-kata tentu terdengar suara "Ciss....betapa
bodohnya manusia di Malaysia...!" Tetapi, itulah hakikatnya, proses
undang-undang itu terpaksa diubahsuai untuk memuaskan nafsu
seorang diktator yang sudah sewel. Dia arahkan sahaja pihak tertentu
untuk melakukan sesuatu, dan akan berlakulah apa yang
dikehendakkinya. Jikalau tidak manakan boleh seorang hakim
mengatakan 'Tidak relevan, tidak relevan, tidak relevan...?' Semua
barang bukti yang menyinggung dan menggugat kes yang ditekankan
ke atas Anwar adalah tidak relevan. Cuma dia sahaja yang relevan
rupanya. Akhirnya Anwar terjebak kepada proses kehakiman yang
sebenarnya tidak relevan itu dan dihukum enam tahun penjara setiap
satu tuduhan. Mujur hukuman dilakukan serentak, kalau tidak Anwar
terus menjadi mangsa yang sememangnya tidak relevan kepada si
diktator tua. Ketika proses mahkamah berjalan, Anwar dicaci dan
dituduh pelbagai oleh si diktator tua dalam perjalanannya mengelilingi
dunia. Walaupun hakim pernah mengeluarkan amaran agar perbuatan
seperti itu dihentikan, siapakah yang sanggup mendakwanya?
Demonstrasi aman rakyat yang dikenal sebagai Gelita 14 adalah satu
manifestasi rakyat terhadap segala bentuk kezaliman Mahathir bin
Mohammad. Demonstrasi itu pada awalnya dirancang untuk
membolehkan rakyat berkumpul mengiringi Ezam Mohd Nor menghadap
Yang Dipertuan Agong dan menyerahkan satu memorandum rakyat.
Sebagai orang yang gian menjadi Wira Dunia Ketiga tentu sekali
Mahathir tidak merestui urusan rakyat itu. Kerana itu dia cetuskan satu
propaganda betapa huruhara akan berlaku. "Mereka akan gunakan
bom molotov, parang panjang dan belantan untuk buat huru-hara. Kita
perlu bertindak sebelum terlambat."
Memang cantik sungguh propaganda si diktator tua. Bukankah itu juga
bentuk propaganda yang digunakan di Sanggang ketika mahukan kaum
Cina dan India mengundi BN dulu? Bukankah itu juga bentuk ugutan
yang digunakan oleh BN (terutama sekali MCA) untuk menakutkan
rakyat di waktu berkempen dulu? Memang, banyak kemenangan BN di
pemilu-10 dulu adalah seperti yang berlaku di Sanggang. Kempen
menghasut dan mengugut telah digunakan. Rakyat yang takut mudah
percaya. Inilah imej rakyat yang cintakan keamanan.
Apabila si diktator tua menggunakan taktik itu dalam ucapannya
sebelum berlepas terbang melarikan diri ke Havana, dia fikir taktik itu
akan menjadi sekali lagi. Dia fikir orang di Kuala Lumpur memang
mudah dipukau dengan beberapa patah kata-kata menghasut yang
digembar-gemburkan di TV dan radio. Dia fikir kalau polis Kuala
Lumpur pertunjukkan kekuatan di Masjid Negara dan di beberapa
tempat stategik di kotaraya, rakyat marhain akan kecut perut dan duduk
memeram apa yang patut diperam, di rumah.
Demonstrasi rakyat terus berlaku seperti yang dirancangkan. Segala
taktik menumpaskan usaha rakyat itu berkecai. Memorandum rakyat itu
telah diserahkan dengan selamatnya mengikut yang dirancangkan.
Rupa-rupanya taktik mengugut rakyat telah gagal segagal-gagalnya.
Beberapa pemimpin ditangkap sebelum itu dan ramai juga rakyat
marhain yang ditahan untuk dijatuhkan hukuman. Matlamat demonstrasi
rakyat tercapai dengan jayanya. Yang tertangkap, tertindas dan
tercedera adalah satu kemestian dalam perjuangan rakyat yang tidak
bersenjata. Pengorbanan mereka adalah lambang kecintaan rakyat
terhadap negaranya. Tidak boleh digambarkan dengan beberapa kata-kata betapa
dalamnya impak demonstrasi aman Gelita 14 itu. Sejarah bangsa
Melayu dan negara Malaysia akan merakamkan betapa demonstrasi
aman rakyat kali ini walaupun nampak berbentuk kecil-kecilan di
sana-sini, adalah pemangkin satu gelombang rakyat yang amat besar
maknanya. Mungkin untuk tujuan propaganda, pihak kerajaan akan
mengatakan rakyat merusuh untuk menggugat keamanan. Apa gunanya
berdemonstrasi semata-mata untuk menyerahkan memorandum kepada
raja-raja, kata sesetengah pihak. Bukankah kita ada parlimen dan ada
wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah negara? Kata satu
pihak lagi. "Apa ada pada parti keADILan sedangkan wakilnya di
parlimen hanya wakil minoriti?". Demikian yang ditanya oleh seorang
penulis akhbar upahan. Untuk memahami impak yang terlaksana, kita perlu menyorot ke
belakang sedikit (jangan banyak-banyak, kerana kesuntukan ruang)
untuk memahami rintihan rakyat. Rakyat tidak akan berkumpul secara
aman kalau mereka tidak terdesak. Mereka sudah lama hidup tertekan,
merasakan mereka semakin terpinggir. Rakyat marhain sudah menjadi
rakyat Kelas Tiga di negara kelahiran mereka sendiri. Banyak sangat
bahan rintihan mereka itu. Bayangkanlah kalau sebuah negara yang
kaya raya dengan hasil bumi yang pelbagai masih tidak memberikan
ruang kepada rakyat menerima pendidikan percuma, apakah maknanya
kekayaan itu? Kekayaan apakah yang mahu dibanggakan kalau
anak-anak bersekolah petang pulang ke rumah selepas
burung-burung menyudahkan mimpi pusingan pertamanya di malam
hari? Sejarah kematangan manusia tidak pernah melewati suku abad. Orang
putih kata; 'The prime of life goes around twenty five years of a
person's life- time". Kini, si diktator tua sudah menghampiri tiga puluh
lima tahun dalam sejarah politiknya. Sejak dia berjaya memukau
sokongan rakyat untuk mengnyahkan Tunku Abdul Rahman Putra
Alhaj, dia sudah lupa daratan, kini. Dia sudah berjaya
memperteguhkan satu sistem pemerintahan yang dikenal oleh sejarah
sebagai sistem Mahathirisme. Apakah yang tidak pernah dilakukan
untuk memuaskan nafsunya? Apakah yang tidak dibina untuk menjadi
satu lambang keegoan dan ketaksubannya untuk membalun harta
rakyat? Apakah bentuk kerajaan yang belum pernah dicubanya?
Daripada demokrasi hingga ke kronisme, semuanya sudah
dipraktikkannya tanpa banyak disedari oleh rakyat marhain kerana
kelicikannya berpolitik. Apakah taktik-taktik penindasan yang tidak
pernah dicubanya? Memang panjang ceritanya nanti kalau kita mahu
mengungkit semua itu. Semua cerita jijik-jijik belaka. Semuanya cerita
betapa rakyat dikelentong terang-terangan. Contoh yang paling baru
ialah "betapa Kuala Lumpur akan menjadi huruhara dengan
penggunaan bom molotov, belantan dan parang panjang."
Pada satu ketika dulu beberapa pemimpin pembangkang seperti Dr.
Syed Husin Ali, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Abdul Malek Hussain, Lim
Kit Siang, Dr. Nasir dan banyak lagi telah dicekup dan diserkap di
bawah Akta ISA berdasarkan tuduhan menghasut rakyat. Mereka
merengkuk dalam penjara seperti juga Burhanuddin Hilmi, Boestamam
dan banyak lagi yang sudah lama pergi. Demikianlah berbisanya Akta
ISA itu yang membolehkan sesiapa sahaja yang disyaki menggugat
keharmonian negara ditangkap bila-bila masa dan dikenakan tuduhan
untuk dipenjarakan tanpa perbicaraan terbuka. Anwar Ibarahim pun
pernah dipenjarakan pada tahun 1974 di bawah akta yang sama.
Apabila Mahathir Mohamad, Wira Dunia Ketiga melaungkan di
hadapan pemberita (yang kemudiannya ditayangkan pula rakaman
ucapannya itu), betapa huru-hara akan meletus di ibukota, dia
sebenarnya sudah layak ditangkap di bawah Akta ISA. Tetapi, dia
dibiarkan sahaja kerana sistem pemerintahan negara pimpinan
Mahathir membolehkannya berkata apa sahaja melewati kuasa sistem
perundangan negara. Wira Dunia Ketiga ini (alangkah jijiknya jolokan ini he..he..he.), telah
memberi pesan agar pihak polis bertindak tegas ketika dia berada di
rantau orang. Inilah yang dipraktikkannya sejak dia memegang teraju
pemerintahan negara. Ada sahaja pergolakan rakyat yang berlaku
sepeninggalannya yang perlu ditangani oleh timbalannya. Yang
anihnya setiap kali sesuatu pergolakan rakyat itu akan berlaku dia
mampu meninggalkan pesan agar polis bertindak. Dia tidak pernah
meninggalkan pesan agar timbalannya mencari jalan tengah dan
bermuafakat dengan pihak yang mahu membantah. Apa jenis pemimpin
demokrasikah ini? Kata-kata hasutan yang dihamburkan oleh Mahathir sebelum berlepas
adalah satu hasutan yang amat menjijikkan. Ia sengaja menakutkan
rakyat dan merupakan satu arahan sulit agar polis bertindak ganas dan
menumpaskan demonstrasi itu walaupun ia bererti pertumpahan darah.
Taktik menghasut rakyat akan berlakunya huruhara kini memakan
tuannya. Rakyat yang berdemonstrasi secara aman telah mengikut
arahan ketuanya tanpa mengggangu ketenteraman dan merosakkan
harta awam. Demikian patuhnya rakyat yang berdemonstrasi
sehinggakan TV kerajaan terpakas menayangkan 'filem lama di mana
tong sampah dibakar dan tayar buruk berasap' yang lama tersimpan di
arkib filem. Orang TV terlupa menunjukkan gambar rakyat dengan
parang panjang dan belantan. Begitu juga dengan filem bom molotov
dibuang oleh rakyat yang 'berhuruhara' Apa yang jadi seterusnya?
Sah, seorang diktator tua yang nyanyok dan yang dikenal juga dengan
panggilan Raja Kelentong dan Raja Pendusta, sudah terlepas cakap.
Cakap bohong......maknanya. Bukankah ini juga manusianya yang
mengatakan bahawa "Reformasi sudah mati...." selepas BN menang di
Sanggang dulu? Saya ingin memetik kata-kata seorang reformis muda
dari golongan Hawa yang menulis:
Cakap dan tulisan membakar semangat seperti yang ditulis oleh
seorang gadis seperti ini adalah jalur-jalur semangat bangsa yang
dianyam secara bertimbal mengikut rentak juang dan getaran semangat
manusia yang keluar bersatu. Kata semangat seperti ini sekaligus
memadamkan apa juga hasutan yang tidak berasas seorang diktator
tua. Sekaligus ia mendedahkan Mahathir Mohammad sebenarnya
seorang petualang bangsa yang mesti dijatuhkan, disingkirkan dan
dilenyapkan nama dan pengaruhnya.
Memang Mahathir amat bangga dengan kemenangan di Sanggang.
Reformasi sudah mati katanya. Malahan "kemenangan di Sanggang
menunjukkan rakyat tidak lagi peduli akan soal remeh temeh seperti kes
Anwar di Mahkamah." Alangkah bongkaknya beliau ketika itu Dia lupa
siapa yang pegang kuasa veto. Belum pun empat puluh hari ucapan
takburnya itu, rakyat sudah mencelekkan matanya. Minda rakyat sudah
luas terbuka, apakah reformasi sudah mati? Apakah rakyat lupa akan
penderitaan Anwar? Apakah rakyat akan maafkan Mahathir kerana
pemerintahannya yang zalim? Demonstrasi Aman Rakyat 15 April sebenarnya menyerlahkan kebijaksanaan beberapa pihak yang perlu dirakamkan dalam tulisan ini:
Mereka tidak termakan umpan yang dihulurkan oleh seorang pengail
politik tua. Tidak ada bom molotov, tidak ada parang panjang dan tidak
ada belantan. Malahan lencana parti politik diharamkan. Begitu juga
dengan baju parti politik dan kayu bendera parti. Kaedah pemimpin
menaikki tren daripada pelbagai bandar adalah satu taktik yang
sungguh pintar. Ia bukan sahaja menarik semangat seluruh negara
bahkan melemahkan tenaga pemantauan pihak polis. Inilah yang amat
ditakuti oleh Mahathir kerana dia sudah menjangkakan polis dapat
melaksanakan satu gegaran yang berkali ganda daripada apa yang
ditunjukkan oleh PDRM di bawah kepimpinan Rahim Nor dulu. Kita
boleh menjangkakan Mahathir melenting kepanasan dan marah yang
amat sangat. Di waktu yang sama dia tentu marah kepada para juaknya
yang tidak berjaya mengikut perintahnya.
Saya merakamkan setinggi tahniah kepada pihak polis kerana
melakukan apa yang mereka patut lakukan. Walaupun ada suara
mengatakan 'the police over-reacts.." yang bermaksud pihak polis
sedikit 'over', saya tabik pihak polis. Kejayaan polis mengekang para
penunjuk perasaan tanpa menggugat harta benda awam dan
kehilangan nyawa adalah sesuatu yang mesti dihormati dan
dirakamkan dalam lipatan sejarah bangsa.
Dalam setiap demonstrasi, sembilan puluh lima peratus peserta
sebenarnya tidak dapat memahami matlamat sebenar berdemonstrasi.
Apatah lagi kalau tunjuk perasaan itu tidak punyai ketua yang sah dan
agenda demonstrasi yang jelas. Sebarang perubahan taktik
berdemonstrasi adalah melalui pesanan mulut yang boleh disabotaj
oleh elemen musuh. Elemen musuh kepada rakyat yang tunjuk
perasaan tidak semestinya pihak polis. Ia mungkin golongan yang
bencikan Anwar Ibrahim, semata-mata. Mungkin juga golongan yang
bencikan Mahathir tetapi tidak berani untuk menggerakkan agendanya
sendiri secara terus terang. Berdemonstrasi di Malaysia bukannya sama seperti di negara barat. Di
barat para peserta tunjuk perasaan berlatih dulu untuk bersiap sedia
bagaimana bersatu menentang serangan polis. Mereka dilatih oleh
bekas pelatih pihak polis. Mereka diberikan kata semangat dan ada
kalanya mereka diberikan upah yang tinggi sebelum menunjuk
perasaan. Di barat, demonstrasi rakyat selalunya didalangi oleh
pertubuhan yang besar dan kaya sama tarafnya dengan parti politik
yang memerintah. Menyedari hakikat ini kita nampak betapa pihak polis telah berlagak
samseng untuk memuaskan nafsu serakah seorang diktator tua apabila
melihat video yang ditunjukkan kepadanya. Dia mahu melihat rupa
yang bengis daripada pihak polis ketika berdepan dengan rakyatnya.
Inilah budaya bajingan dan budaya 'kaki gedebeh' ala seorang mamak
tongkang yang mahu diterapkan dalam pasukan polis negara ini. Dia
lupa bahawa setiap anggota polis yang bertugas menghadapi
demonstrasi rakyat di negara ini menghadapi dilemma tersendiri
disebabkan adanya sanak saudara yang tunjuk perasaan yang mesti
dianggap musuh ketika itu. Dia lupa betapa rakyat marhain tunjuk
perasaan bukan kerana bencikan negaranya, tetapi bencikan nama
Mahathir Mohammad dan yang empunya diri.
Rakyat yang berdemonstrasi adalah wakil segenap lapisan warga
negara ini. Merekalah doktor pakar yang menyelamatkan nyawa
Mahatir ketika dibaiki jantungnya, merekalah pakar perubatan yang
bertungkus lumus menyelamatkan Aziz Shamsuddin ketika ditimpa
kemalangan yang mengorbankan isterinya. Merekalah para pakar
perubatan yang menyelamatkan ramai raja-raja yang selalu keluar
masuk di hospital. Mereka adalah pegawai kastam, immigresen, askar
sama ada yang masih berkhidmat ataupun sudah pencen. Mereka
adalah kerja pejabat kerajaan ataupun swasta. Mereka adalah
juruteknik kilang yang terletak di merata tempat sama ada di pusat
industri ataupun di tapak bebas cukai. Dengan kata singkat, para
demonstrasi itu adalah wakil rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.
Dengan kuasa Allah tunjuk perasaan mereka telah berjaya kerana para
peserta itu telah menggunakan kebijaksanaan mereka.
Walaupun rakyat terpaksa berlari ke sana dan sini semata-mata
mengikut arahan pendek yang disampaikan kepada mereka, golongan
yang muda sanggup bermain sorok-sorok ataupun 'hide-and-seek'
dengan pihak polis. Pihak polis pula sudah memahami taktik itu dan
ikutkan sahaja skrip yang telah diolah oleh rakyatnya.
Inilah jalur sejarah yang pasti akan ditimbalkan juga. Inilah kebijaksanaan segenap lapisan rakyat yang perlu dirakamkan. Kerana, di waktu segolongan rakyat bertunjuk perasaan menentang polis, berganda lagi banyakknya yang berdoa dalam hati secara sendirian agar kumpulan rakyat itu berjaya. Di waktu yang sama para keluarga polis yang bertugas itu pun mempunyai ahli keluarga yang turut berdoa agar Tuhan memelihara mereka. Inilah hakikat hidup yang tidak difahami oleh Mahathir Mohammad. Dia fikir pihak polis boleh ikut apa yang diamahukan. Dia fikir semua pegawai kerajaan adalah robot yang sudah diprogramkan. Dia fikir semua pasukan bersenjata di negara ini adalah 'zombies' yang akan mengikut kata-katanya secara membabi-buta. Dia fikir pihak polis Gerak Am adalah satu pasukan yang mudah melatah dengan sedikit arahan keras laksana babi yang sudah buta apabila diherdik terus bingkas; lari sana dan lari sini untuk mencetuskan huruhara. Dia terlupa budaya Mahathirisme masih belum berjaya mengecutkan otak daripada kepala rakyatnya. -Setiap Yang Bergolak Ada Hadnya Para penunjuk perasaan bersurai mengikut arahan. Mereka datang
dengan aman dan bersurai dengan aman. Mereka yang datang
daripada beratus batu dengan kos yang dikeluarkan dari saku sendiri
membawa seribu kenangan. Inilah wira bangsa yang sanggup
berkorban diri dan mempertaruhkan nyawa untuk menyedarkan
bangsanya. Inilah manusia yang berjiwa baru di Malaysia ini. Jangan
dihiraukan apa bangsanya dan jangan difikirkan apa agamanya, dan
jangan dipersoalkan apa jantinanya. Rakamkanlah perjuangan mereka
itu semua. Catatkanlah tarikh 14 April 2000 sebagai satu tarikh
bersejarah di alaf baru di mana semua lapisan rakyat sanggup bersatu
mengikut satu agenda yang ditentukan oleh pemimin muda yang masih
belum puas hidup berumah tangga. Mahathir Mohamad sudah pasti mengadakan mesyuarat khas untuk
mendengar taklimat semua pihak. Tentunya pihak yang tunjuk perasaan
tidak akan dipelawa menghadiri taklimat itu. Dia akan bertanya apa
sudah jadi dengan Molotov c##ktail, parang panjang dan belantan?
Dia akan terus bertanya beberapa pihak mengapa tidak ada
"apanamaa...... huruhara?" Kita boleh jangkakan berjela-jela penerangan yang akan diberikan
oleh semua pihak. Semuanya akan menuding jari. Setiap satu jari yang
dituding ada empat yang menuding ke diri sendiri. Di kalangan yang
menuding itu, tentu ramai yang berkata di dalam hati: "Piraaah, orang
tua nyanyok...... Huruhara kepala Atok kau.....?" Kalaulah Mahathir
dapat mendengar kejian seperti itu tentu dia akan tersentak dan cuba
merenung zaman silam dan berkata pula "Tongkang nombor berapa
Datuk aku naik dulu dan bila dia sampai...? Takkan pada 14 April
kot.......!" Dia tidak akan berfikiran begitu kerana ada masalah yang
lebih penting yang perlu difikirkannya sekarang. Mahathir sudah
kesuntukan masa. |