Laman Webantu KM2A1: 4202 File Size: 30.2 Kb * |
Siri 7 G14: Mencari Geliga Dalam Gelita By Marhain Tua 12/4/2001 9:06 pm Thu |
G14 B7/B7 (Akhir) [Gelita 14 tahun 2000 sudah pun berlalu dan kini kita menghampiri
Gelita 14 yang lebih mencabar kerana beberapa aktivis penting sudahpun
ditangkap di bawah akta ISA. Jika Mahathir menyangka merekalah geliga
di dalam gelita selama ini Mahathir tersilap besar. Geliga itu sudah pun
terbang dan sedang terpendam di dalam jiwa anak-anak muda yang nampak diam
tetapi kencang bila disentuh oleh sesuatu yang bergegaran di dalam fikiran.
Sebahagian daripada mereka tidakpun terlibat di sana tetapi begitu tersentuh
bagai mereka berada di situ juga. Banyak negara maju memberikan ruang kepada rakyat berhimpun aman dan bersuara
supaya pemimpin tidak leka dengan tanggungjawab mereka. Mengapa seorang 'wira
dunia ketiga' begitu takut berdepan dengan rakyat sedangkan mereka cuma
bersenjatakan suara sahaja? Mencengkam rakyat hanya akan memarakkan kebencian
yang bakal meledak secara semulajadi tanpa memerlukan sebarang pemimpin berada
di sisi. Itulah geliga di dalam gelita yang hebatnya pasti.....
- Editor] (Tribut : Kepada rakyat Kelas Tiga yang masih merasakan dirinya
tersiksa dan terhina, hasil proses pemerintahan kukubesi yang beransur
berkarat). Kalau ada sesiapa yang ikut serta dalam demonstrasi aman rakyat
terhadap pemerintahan Mahathir yang rasa kecewa dengan prestasi
pembabitan mereka, biarlah artikel ini ditujukan khas kepada mereka.
Izinkan saya memulakan artikel ini dengan memetik satu nukilan dari
hati yang merintih seorang aktivis yang tersiar di FGR bertarih
16/4/2000:
[Dari FGR 16/2/2000. ] Memang sudah menjadi satu kelaziman, setiap tunjuk perasaan aman
akan membawa cerita sedih, pilu, suka, derita, ketawa dan juga lucu.
Oleh kerana sesuatu tunjuk perasaan itu mencerminkan perilaku
manusia yang terserlah secara bersahaja dan mungkin juga secara
tertekan. Pelbagai cerita akan muncul lagi untuk mewarnai sejarah
pergolakan bangsa menentang pemerintahan kukubesi secara aman.
Kalau di negara barat, tunjuk perasaan seperti ini sudah mengorbankan
beberapa jiwa di kedua-dua pihak. Di Korea, Thailand, Fillipina dan
Indonesia, tunjuk perasaan seperti ini selalunya berakhir dengan
kebakaran gudang dan kantor, kereta dan motor malahan nyawa yang
tidak berdosa ikut melayang sama. Bukan sahaja bom molotov, parang
panjang dan belantan yang digunakan. Sebut sahaja apa juga jenis
senjata tercanggih di dunia, hampir semuanya ada dalam simpanan
mereka. Pihak yang menganjurkan rusuhan pasti mempunyai stokpail
senjata yang berbahaya untuk menentang pihak polis.
Di sinilah letaknya mutu para pemimpin demonstrasi Malaysia dan
kebijaksanaan para peserta demonstrasi itu. Mereka tidak menggunakan
sebarang senjata, melainkan suara dan semangat juang sahaja. Apakah
Mahathir Mohammad dan para belacinya tidak mampu bersyukur
kepada Allah akan fenomena ini? Apakah mereka fikir rakyat Malaysia
tidak mampu menentang mereka dengan kekerasan bila dicabar?
Semuanya mungkin berlaku satu hari nanti. Apabila ia berlaku memang
tidak ada jalan untuk berpatah balik. Mahathir bin Mohammad harus
bersedia menghadapi hari-hari sebagai petanda berakhirnya tarikh
luputnya. Apa yang telah berlaku adalah satu gambaran jelas betapa pihak yang
memerintah sudah jauh ketinggalan dalam kaedah memerintah rakyat
yang memilih mereka. Sepatutnya permintaan rakyat untuk
berdemonstrasi diberikan lesen oleh polis agar usaha rakyat itu boleh
bertukar menjadi satu pesta yang disertai oleh sesiapa sahaja tidak kira
apa usianya dan apa juga fahaman politiknya. Biarkanlah mereka pilih
apa tema yang sesuai untuk memperingati perkampungan secara aman
itu. Itu hal mereka, yang pentingnya mereka diberikan kebebasan untuk
bersuara mengikut perlembagaan yang menjaminkan hak itu kepada
mereka. Melalui pertembungan sihat seperti yang dirancangkan oleh para
penganjur GELITA 14 itu, rakyat tentu faham apa yang dimaksudkan
oleh pihak penganjur. Di waktu yang sama pihak kerajaan tentu
berupaya untuk bertindak memperbaikki prestasinya.
Di negara maju, hampir semua tunjuk perasaan rakyat dilakukan secara
perundingan awal akan agenda yang dipilih oleh pihak yang
mengadakan tunjuk perasaan. Mereka berbincang lebih awal dulu
dengan pihak polis agar segala persiapan menjadi rapi dan tidak
mengganggu-gugat keselamatan negara. Tempat berdemonstasi, tema
tunjuk perasaan, tempoh bertunjuk perasaan dan segala kelengkapan
yang akan dibawa sebagai 'prop' untuk menguatkan tunjuk perasaan;
semuanya dirunding dulu dengan pihak polis untuk kejayaan sesuatu
demonstrasi. Dengan lain perkataan, pihak polis menentukan
keselamatan harta awam dengan mengajak pemimpin kumpulan yang
mahu berdemonstrasi itu untuk berunding dulu. Perkara ini dilakukan
kerana menunjuk perasan itu adalah satu kebebasan yang dihormati
oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia yang mengamalkan demokrasi.
Malahan, di negara komunis pun peristiwa tunjuk perasaan dirunding
dulu oleh kedua-dua pihak yang terbabit.
Apakah Mahatir sudah pekak badak kerana tidak memahami kaedah
ini? Kenapakah dia berpura-pura tidak tahu akan taktik berdemonstasi
masakini? Kalau kita lihat kos yang dikeluarkan untuk melatih pegawai
polis dalam ilmu pertahanan awam mereka tentu pakar dalam psikologi
membenteras huruhara rakyat. Ini bererti mereka memang pakar dalam
demonstrasi rakyat. Sejarah telah membuktikan setiap kerajaan yang menidakkan rakyatnya
menunjuk perasaan secara aman terpaksa bersedia akhirnya
digulingkan oleh rakyat secara yang tidak aman. Di Thailand beberapa
tahun yang lalu ramai para aktivis yang sanggup berpuasa berhari-hari
lamanya kerana mahukan kerajaan yang memerintah meletakkan
jawatan. Demonstrasi aman seperti ini diperlekehkan sahaja. Akhirnya
rakyat memberontak dan berbuat huruhara dan kerajaan itu pun lari
lintang pukang. Di Fillipina, kerajaan Marcos kerap membendung tindakan rakyat
berdemonstrasi. Malahan, setiap kali Marcos ke luar negara dibawanya
semua isteri para pemimpin tentera dan polis sebagai cagaran agar
suami mereka tidak berbuat angkara untuk menggulingkan kerajaannya.
Akhirnya rakyat bersatu dan menunjuk-perasaan dan sanggup
membuat benteng berhadapan dengan kereta-kebal tentera. Marcos
terbang lintang pukang dan kojol di negara orang.
Di Indonesia, Pak Soharto sudah lama digulingkan. Sebelum itu dia
berperanan sebagai Dewata Raya di Indonesia Raya. Isterinya Tien
Suharto melakukan apa sahaja yang diingininya untuk mengaut
khazanah negara. Pak Harto mengundurkan diri setelah menyerahkan
kuasa kepada Habibie. B.J. Habibie pun sudah mengundurkan diri
kerana mengikutkan kehendak majoriti rakyat yang mahukan Gus Dur.
Ketika Pak Harto melepaskan jawatannya, dia tidak pernah bersuara
bahawa Indonesia akan dilepaskannya setelah adanya klon untuk
menggantinya. Dia tidak pernah pun meletakkan syarat sampai bila dia
boleh berkuasa kerana dia tahu itu bukan lagi dalam bidang kuasanya.
Dia berserah dan pasrah untuk melepaskan jawatannya. Yang menjadi
kucar kacir sebelum dia meletakkan jawatan adalah gara-gara reaksi
para jongos dan juak yang mahukan kuasa Pak Harto itu dikekalkan.
Mereka tahu kalau Pak Harto pergi, kuasa yang ada pada mereka itu
pun tidak akan bertahan lama lagi. Oleh kerana kuasa Pak Harto telah terlalu tinggi letaknya dan
kekuatannya telah dipropagandakan sebagai terlalu besar, makanya
Pak Harto dapat bertahan lama. Itulah dia illusi yang dipasang siap oleh
para jongos dan juak yang mengampunya. Mereka itulah sebenarnya
pengkhianat negara yang kini masih menunggu untuk ditelanjangkan
dosanya. Oleh kerana si diktator tua sudah semakin sewel, sebarang usaha
rakyat mendedahkan salah-lakunya mesti ditentang habis-habisan.
Apakah rintihan rakyat itu relevan ataupun tidak, sudah tidak menjadi
minatnya. Dia sudah lupakan kepentingan rakyat yang meletakkanya di
persada yang sungguh berkuasa. Oleh kerana terlalu lama berkuasa,
dia sudah semakin takbur bahawa kuasa itu adalah hak mutlaknya selagi
hayat dikandung badan. Alangkah aibnya perbuatan itu. Apa saja yang
dikatakan oleh rakyat agar dia boleh bertaubat akan ditentangnya.
Sebagai seorang Islam, kita harus ambil banyak iktibar daripada apa
yang berlaku sekarang. Mahathir bin Mohammad adalah pemimpin
tertinggi sebuah parti politik yang lama berkuasa. Inilah parti politik yang
dikatakan menjamin ketuanan orang Melayu. Inilah parti politik yang
dikatakan menjamin kesucian agama Islam. Tetapi, lihat dulu apakah
yang berlaku sejak dua puluh lima tahun yang lalu. Di manakah
martabat orang Melayu secara keseluruhannya? Di manakah
kedudukan agama Islam secara kenyataannya di negara tanah orang
Melayu? Jikalau raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam di
negeri masing-masing, kenapa keluhuran agama Islam itu tercemar
secara berdikit-dikit tanpa diperbetulkan? Kenapakah Mahathir bin
Mohammad dibiarkan terus memperlekehkan ajaran Islam itu? Kita tentu
teringat akan nama Salman Rushdie, seorang yang menganut agama
Islam yang menulis buku 'The Satanic Verses' yang mepersendakan
agama Islam. Kalau kita baca buku itu dan ambil segala ucapan
Mahathir yang menghina agama Islam, kita akan berani berkata bahawa
Mahathir Mohammad bukan sahaja setongkang dengan Salman
Rushdie malahan lebih teruk dan jijik lagi. Kalaulah ucapan-ucapan
Mahathir itu diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris dan disebarkan,
sudah pasti ada beberapa kumpulan Islam di dunia ini yang
menawarkan hadiah agar Mahathir Mohammad dibunuh sahaja.
Keupayaan orang Melayu bersabar dan tidak terburu-buru seperti
orang Iran yang menghukum Salman Rushdie adalah satu gambaran
budaya orang Melayu. Mereka lebih rela menunggu masa agar
Mahathir memperbaikki keadaan dan sedar untuk bertaubat nasuha,
setidak- tidaknya sebelum dia mati. Tetapi, apabila kita lihat
perangainya yang berpanjangan memburukkan bangsa Melayu itu,
setakat manakah kesabaran itu boleh bertahan? Apakah beliau masih
layak digelar pemimpin negara kalau niat baik rakyat berkumpul
menyerahkan satu memo kepada Agongnya dikatakannya sebagai
huruhara? Bukankah itu gambaran seorang pemimpin yang sudah
sewel? Kita dapat melihat secara jelasnya di hari-hari yang mendatang, siapa
yang sedang memerintah negara ini secara logiknya. Adakah
pemerintahan itu sebenarnya datang daripada Mahathir ataupun
beberapa orang lain yang menggunakan Mahathir sebagai proksi
mereka. Soalan ini kita kemukakan kerana mendapati Mahathir sudah
semacam tidak berapa minat untuk memerintah. Dia sudah tidak
kisahkan sangat masalah rakyat jelata.. Rakyat jelata yang merasakan
tekanan hidup bertambah-tambah disebabkan pelbagai masalah sudah
semakin tertanya-tanya apakah Mahathir memahami kesengsaraan
mereka. Apakah Mahathir tahu betapa susahnya hidup di kotaraya
dengan gaji sekitar RM 650.00. Itulah gaji yang diterima oleh
kebanyakan pengawal keselamatan dan polis biasa. Itulah juga gaji
yang diterima oleh sebahagian besar penghuni rumah setinggan di
kotaraya. Apakah yang boleh dibelanjakan dengan wang sebanyak itu
bagi sebuah keluarga yang mempunyai sekurang- kurangnya lima
mulut untuk disuap setiap hari? Kalau Mahathir faham akan masalah ini tentu dia sudah lakukan satu
program untuk memperbaikki taraf kehidupan rakyatnya. Tetapi apakah
yang selalu digembar-gemburkannya? Dia selalu berkata; "Kerajaan
menyokong projek besar-besar kerana apabila projek itu mendapat
keuntungan, kerajaan menerima cukainya untuk diagihkan kembali
kepada rakyat" Soalnya sekarang di manakah cukai yang dibayar oleh
syarikat besar-besar itu sedangkan mereka memerlukan duit rakyat
untuk terus bernafas dan jatuh tergolek kerana muflis?
Apabila rakyat mula sedar akan kepincangan pimpinan negara, rakyat
mengeluh dan mahu Mahathir undur. Tetapi, bukan sahaja Mahathir
yang enggan undur, malahan semua pengampu yang menakik
khazanah negara yang tidak mahu Mahathir undur. Mereka amat takut
kalau Mahathir sudah tidak berkuasa, mereka adalah golongan yang
pertama yang akan menerima padahnya, bukannya keluarga Mahathir.
Sejarah kepimpinan Mahathir bukannya cantik sangat. Ia menjadi cantik
disebabkan proses propaganda yang bertubi-tubi. Terlalu banyak
khazanah negara yang dibazirkannya kerana beberapa projek yang
telah dikendalikan oleh para kroni. Kalau kita perhatikan beberapa
projek yang diterajui oleh ketua syarikat daripada kaum Cina, kita
dapati projek itu gagal dengan membabitkan berjuta ringgit. Mahathir
masih sanggup mempertahankan projek itu sehingga ke titisan peluh
jantannya. Yang lucunya, hampir semua projek yang gagal itu
diamanahkannya kepada taiko-taiko Cina yang dipertikaikan oleh
sebilangan besar masyarakat Cina di negara ini. Lihat dulu siapa Eric
Chia, Tan Sri Ting Pek Khing, Vincent Tan, Abdullah Ang dan banyak
lagi. Begitu juga yang sedang naik laksana roket sekarang ini yang
namanya tidak perlu kita sebutkan dulu. Apakah Mahathir amat
berpegang teguh kepada falsafah China bahawa orang yang tidak
berkelulusan universiti lebih pintar menguruskan perniagaan
besar-besar? Ataupun apakah mereka itu dipilih kerana mudah
dimanipulasi? Siapakah yang memanipulasi siapa dalam hal ini?
Sebenarnya, beberapa harian dan majallah Cina memang banyak
menulis akan perkara ini, cuma kita orang Melayu tidak membacanya
kerana tidak ada terjemahannya. Seorang kawan Cina yang kerap
memberikan terjemahan secara sukarela kepada saya akan cetusan
minda masyarakat Cina pernah berkata:
........."Adalah amat sayang sekali, Mahathir seorang Melayu yang berpelajaran tinggi mudah termakan pujuk rayu orang Cina yang tidak berpelajaran. Inilah golongan yang naik melalui tipu muslihat dan penggunaan samseng dan segala rupa bentuk korupsi. Golongan Cina seperti ini akan menggunakan segala taktik kotor untuk naik dan menjadi kaya. Mereka tidak punyai pilihan lain. Inilah golongan yang sanggup menggadaikan isteri dan anak mereka untuk meniduri sesiapa sahaja yang mereka mahu pengaruhi. Nampak sangat Mahathir telah terpesong dengan mempercayai golongan ini. Bahananya memang tidak jelas sekarang ini kerana golongan serupa ini menggunakan wang panas sebagai modal perniagaan mereka. Kejayaan mereka mempergunakan Mahathir bererti mereka menjadi juara untuk membersihkan wang haram (money laindering) itu di negara ini. Amalan 'Money-laundering' merupakan sistem benteng mempertahankan kuasa Mahathir selama ini." Saya percaya Mahathir memang tidak menyedari perkara ini daripada
awal lagi. Dia bukannya semudah itu untuk dibelit oleh orang-orang
yang rakus. Tetapi, sejak tujuh tahun yang lalu, saya telah meneliti
ucapan-ucapan dan cara Mahathir berfikir. Nampak sangat beliau
berfikir seolah-olah dia menguruskan satu konglomerat perniagaan dan
bukannya mentadbir sebuah negara yang bermajmuk penduduknya.
Kalau kita selidikki pula jenis-jenis perniagaan yang diceburi oleh
anak-anaknya dan kita amati pula para rakan kongsi mereka akan
timbul satu trend bagaimana Mahathir dipengaruhi oleh orang-orang
yang menjadi rakan kongsi anak-anaknya itu. Oleh kerana kebanyakan
bisnes yang dikendalikan adalah bisnes yang besar-besar, kita boleh
buat andaian bahawa umur yang tidak seberapa dan pengalaman kerja
yang masih matang tidak memungkin anak-anaknya itu pintar dalam
urusan yang mereka kendalikan. Apabila berlaku kecacatan kepada
agenda perniagaan, mereka tidak mampu mengawal proses
merudumnya perniagaan mereka kerana kekurangan pengalaman. Jalan
pintas yang paling mudah ialah meraung kepada papa dan mama untuk
meminta bantuan. Apa lagi, pintu kahzanah negara pun dibuka tanpa
melaungkan mantera 'Semar Inseng matakaji.....' yang pernah diajar oleh
P Ramlee kepada orang Melayu dulu. Mahathir hanya perlu
memenjarakan Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan yang jijik-jijik,
tidak kiralah termasuk mel*w*t sesiapa sahaja yang namanya
ditonjolkan untuk dijadikan mangsa. Bukankah itu taktik peniaga Cina di
zaman dulu-dulu? Untuk sekian lama sejak dua tahun yang lalu kita diberitahu betapa
Mahathir membalun harta negara untuk menyelamatkan syarikat
anak-anaknya. Tidak, itu tidak benar-sebenarnya. Dia telah melakukan
semua itu untuk menyelamatkan para kroninya.. Anaknya terus
dimangsakan oleh para kroni itu untuk menutup identiti mereka. Inilah
golongan yang masih menguasai kerusi di parlimen, di dewan
undangan negeri dan yang masih menjadi tokoh korporat yang
dihormati. Sebenarnya Mahathir amat arif tentang hal ini. Itu sebabnya
dia mudah melenting kalau ada orang bertanya kenapa dia terlalu
memberi penekanan untuk menyelamatkan perniagaan anak-anaknya.
Dalam hal ini Mahathir, memang ada betulnya.
Untuk mengetahui syarikat yang dimiliki oleh anak-anak Mahathir, anda
boleh buka Laman Fitnah e-UMNO (http://come.to/e-umno) dan buka
laman Ekonomi (harta anak-anak). Di laman web lain pun ada semua
butir-butir itu diarkibkan. Dari situ kita akan tahu berapa besarnya harta
yang dimilikki oleh anak-anak Mahathir ini. Aduuuhhhh. Banyak sekali.
Tidak setimpal dengan umur mereka dan ilmu pengetahuan mereka.
Bayangkan apakah perasaan anak-anak Melayu yang pernah belajar
dengan mereka di sekolah hingga ke universiti. Bagaimanakah keadaan
anak-anak Melayu itu yang masih lagi melunaskan biasiswa kerajaan
mereka dan cuba bekerja secara jujur dan amanah sambil membayar
ansuran rumah dan kereta. Menyedari hakikat ini eloklah kita sedar betapa Mahathir berperangai
songsang sejak sepuluh tahun yang lalu kerana terjebak ke dalam
kancah yang disediakan oleh sistem pemerintahannya yang sudah
membesar laksana satu raksasa. Dia tidak berupaya memusnahkan
raksasa itu kini dan terpaksa akur kepada kehendak raksasa itu untuk
terus berkuasa. Inilah bahananya memerintah dengan keyakinan rakyat
dan memungkirkan sumpah setia yang diambil ketika memegang jawatan
yang diamanahkan itu. Itulah sebabnya perangai Mahathir lima belas
tahun yang lalu dan Mahathir di alaf baru ini amat berbeza sekali. Dia
sudah menjadi saorang banduan kepada sistem kerakusan yang sudah
menghantui hidupnya. Untuk meneruskan rencana yang telah dikotak-katikkan oleh sisem
raksasa ini ramai para pengikut setianya yang menjadi mangsa. Ghafar
Baba, Musa Hitam, Tengku Leigh, dan yang terakhir ialah Anwar
Ibrahim. Semua pemimpin yang namanya disebut sebelum Anwar telah
terjebak ke kancah 'oblivion' ataupun semi-oblivion (oblivion bererti
terpendam) melainkan Anwar. Anwar Ibrahim cuba dipendamkan juga
tetapi sanggup bangkit menentang Mahathir dan akhirnya terjerumus
pula dalam penjara. Mahathir sanggup memenjarakan Anwar yang merupakan benteng
utama yang melonjakkan namanya dan melanjutkan pengaruh kuasanya
yang amat rapoh dan palsu selama itu. Setelah merasakan kepuasan
kuasa dia terus haloba dan sanggup memenjarakan Anwar
semata-mata mahukan terus berkuasa. Sebenarnya, Mahathir yang
terpenjara kini walaupun pada asasnya jasadnya masih bebas
bekeliaran ke sana-sini. Dari segi spiritual, fikiran Mahathir sudah lama
terpenjara dalam kepompong yang menyanyokkan.
Sejarah telah menunjukkan rakyat mula gelisah apabila kehidupanya
tidak tenteram. Ketenteraman kehidupan dirasakan tergugat apabila
pendapatan bulanan tidak dapat menampung keperluan hidup rakyat
jelata. Ini berlaku apabila kos barang makan semakin menigkat. Kos
perkhidmatan yang asas seperti tambang bas, tol, keretapi, wayang,
dan sebagainya semakin mengikat sehinggakan rakyat merasa tertekan
untuk hidup secara 'simple' dan bersahaja. Di waktu yang sama rakyat
mula membuat penilaian secara mencongak akan cara hidup mereka
dengan cara hidup jiran di sebelah rumah. Kalau keadaan tertekan
sama dirasai, mereka akan berkumpul pula untuk menilai cara hidup
orang lain. Apabila rakyat marhain menilai pula cara hidup orang atasan mereka
tentu menjadi keliru dengan sistem pemerintahan negara. Mereka
menjadi tertekan melihatkan betapa adanya satu kumpulan manusia
yang mampu menggunakan kereta berlainan setiap hari kerana terlalu
banyak kereta di halaman rumah. Apabila melihatkan latar belakang
orang yang hidup mewah itu tidak pun seberapa hebat dengan orang
lain, tentulah masyarakat keliling tertanya-tanya di gua manakah si 'Ali
Baba' mendapatkan harta karun. Tentu rakyat marhain mahu juga
menjadi 'Kassim Baba' sekali dalam hidupnya. Apabila diberitahu
keperluan menjadi kaum kerabat Para Kroni, sudah tentu rakyat marhain
merasakan diri mereka sudah jatuh menjadi rakyat negara kelas Tiga.
Dengan hal yang demkikian Mahathir Mohammad tidak boleh
menyalahkan rakyat jelata berdemonstrasi kalau mereka mahu
menyerahkan satu memorandum kepada Yang Dipertuan Agong
ataupun kepada raja dan sultan yang lainnya. Mereka tidak ada pilihan
lain lagi setelah menilai keadaan hidup mereka yang terus tertekan.
Rakyat berhak meminta raja-raja bertindak menyingkirkan Mahathir
daripada jawatannya kerana rekod kezaliman pemerintahannya.
Tindakan rakyat adalah mengikut apa yang dibenarkan oleh
perlembagaan negara. Kenapakah Mahathir menidakkan hak rakyat
bertemu rajanya untuk menyerahkan satu memorandum? Kalau rakyat di
negara ini dengan mudah boleh bertemu sebarang duta luar negara
untuk menyerahkan surat bantahan (seperti yang kerap dilakukan oleh
pergerakan pemuda UMNO) kenapakah rakyat tidak dibenarkan
melakukannya terhadap raja mereka sendiri?
Belum pun sampai empat puluh empat hari, sejak Mahathir meminta
raja-raja turun ke padang bertemu rakyat untuk memperbaiki
perpecahan yang dikatakannya melanda masyarakat Melayu.
Seruannya itu pun belum dipraktikkan lagi oleh raja-raja dan besar
kemungkinannya ia hanya merupakan satu seruan sahaja. Cukup untuk
dijadikan bahan sejarah raja-raja Melayu dengan rakyatnya. Itulah
cara pentadbiran Mahathir. Kita tentu masih ingat beberapa projek
rakyat yang dilancarkan ketika kempen pemilu ke-10 hampir
memuncak. Ada kempen Tujuh 'M'. Ada kempen 'Pas Baru' di Kelantan,
ada kempen 'Malaysia Boleh' dan 'Majulah Malaysia dan sebagainya.
Semua itu adalah sebahagian daripada propaganda untuk mengekalkan
kuasa Mahathir dan para juaknya. Begitulah juga dengan projek Lim
Kok Wing, Rakan Muda yang berjuta-juta harganya. Siapakah yang
untung daripada projek itu kalau bukan para kroni semuanya?
Kini rakyat yang hidupnya semakin tertekan sudah pun bersatu untuk
menentang pemerintahan Mahathir secara aman. GELITA 14 yang
memperingati pemerintahan yang zalim telah digerakkan dengan
penyerahan satu Memorandum kepada yang Dipertuan Agong. Barisan
rakyat yang aman itu sepatutnya diberi ruang untuk menyerahkan
Memo itu tanpa perlunya sebarang lesen. Kerana sikap itu adalah tanda
hormat para pemimpin kepada rakyatnya. Lagipun kebebasan
berdemonstrasi adalah satu kebenaran yang termaktub dalam
perlembagaan negara. Adalah amat malang Mahathir sebagai pemimpin terulung negara
sanggup memfitnah bahawa rakyat akan berbuat huruhara dengan
berenjatakan bom molotov, parang panjang dan belantan. Rakyat
ternyata lebih bijaksana darinya. Demonstrasi GELITA 14 telah berjalan
dengan jayanya dan sekaligus memperlekehkan pendirian dan
buruk-sangka Mahathir. Saya ingin merakamkan satu kandungan emel
yang ditulis akan hal ini: "Bersyukur Hanya Kepada Yang Esa" oleh: ZABA Rakyat marhain sudah bangkit sempena kemunculan GELITA 14.
Mereka bangkit mengikut cara yang mereka tahu. Ada yang berdoa,
ada yang bersolat hajat, ada yang sanggup menantikan pancutan air
asid mengenai tubuhnya. Mereka datang dari pelusuk negara hanya
dengan satu berita agenda yang pendek tetapi penuh bermakna. Inilah
kebangkitan rakyat yang pernah saya ingatkan kepada mereka yang
berkuasa dan memerintah sejak dua tahun yang lalu. Mahathir dan para
juaknya memperlekehkannya seolah-olah rakyat marhain itu adalah
robot yang boleh dikunci-kunci di belakangnya untuk melakukan apa
sahaja gerak laku yang telah diprogramkan. Itulah rakyat marhain di
zaman IT, mengikut persepsi Mahathir Mohammad. Oleh kerana
taksubnya dengan kemegahan negara di bawah pentadbirannya, oleh
kerana besarnya nafsu untuk menjadikan negara menonjol dalam
bidang IT Mahathir fikir rakyat sudah boleh diprogram seolah-olah
sudah tertanam satu chip khas di anggota mereka.
Kalau rakyat mahukan lesen berdemonstrasi dia mahukan rakyat
membawa bom molotov, parang dan belantan untuk mencetuskan
huru-hara. Itulah demonstrasi rakyat mengikut tafsirannya. Dia lupa
itulah chip IT yang belum terpasang di otak semua rakyat yang tidak
segila dan sesewel dirinya. Rakyat negara ini tidak perlu chip IT seperti
itu. Masanya sudah sampai untuk Mahathir Mohammad memasang satu
chip pada dirinya yang boleh mengulangkan kata-kata yang berbunyi:
Undurlah dengan cara terhormat ketika masih lagi bernyawa.......!
Wassalam. -Marhaintua- |