Laman Webantu KM2A1: 4233 File Size: 15.3 Kb * |
Proses Penyingkiran Yang Mendebarkan By CDB 17/4/2001 11:52 am Tue |
[Kebelakangan ini rakyat menjadi mangsa percaturan kuasa antara
Mahathir dan Dollah Badawi dengan polis sebagai pelurunya. Dollah
sudah pandai bermain aib kerana disitulah kelemahan Mahathir.
Tetapi mainan Mahathir lebih jijik sehingga sanggup bermain dengan
'bom' dan 'pelancar roket' serta membiar mandi darah di Kg Medan
untuk menjatuhkan kredibiliti Dollah. Pertempuran polis yang bertopeng
yang pro Mahathir dan polis tanpa topeng pro Badawi dijangka akan
berakhir dengan tragedi di mana aktivis reformasi menjadi mangsa...
Inilah sesuatu yang amat ditakuti menjelang perhimpunan agung Umno.
Mahathir sanggup menang dengan apa jua cara.....perhatikan semua
tindak-tanduknya - dia membaling batu untuk mencederakan Dollah dan
aktivis reformasi melalui polis bertopeng ISAnya....
- Editor] Tiada yang lebih 'mencemaskan' kepada saya melainkan apabila mendapat tahu
berita mengenai kekalahan beberapa orang panglima Mahathir dalam pemilihan
ketua bahagian UMNO beberapa hari lepas. Kekalahan orang harapan Mahathir
seperti Aziz Shamsuddin, Megat Junid, Mahadzir Khir dan beberapa lagi yang
lain merupakan pukulan berbisa kepada Mahathir sendiri. Ini kerana
orang-orang kuat beliau tersebut belum pernah atau jarang sekali ditewaskan
oleh para pencabarnya. Kekalahan para panglima Mahathir tersebut dipercayai akan memberikan impak
besar kepada halatuju UMNo selepas ini dimana ianya merupakan isyarat awal
yang begitu berani telah diambil oleh kem Badawi untuk menyingkirkan
Mahathir secara terhormat mulai daripada sekarang sehingga 2004 nanti.
Keberanian kem Badawi sekali ini lebih kepada mahu menunjukkan kepada
Mahathir bahawa beliau (Mahathir) sudah cukup tidak popular bukan sahaja di
mata rakyat malah di dalam UMNO sendiri. Percaturan Badawi kali ini
dipercayai mendapat dokongan dan sokongan kuat daripada Daim Zainuddin, yang
khabarnya semakin tidak ngam dengan Mahathir.
Tentu pembaca masih ingat ketika Mahathir jatuh sakit sekembalinya dari
mengerjakan haji dahulu dimana semasa sedang dirawat kerana agak tenat di
IJN, Daim telah mengusulkan kepada Badawi agar meminta Mahathir melepaskan
jawatannya kepada beliau. Mahathir menjadi berang tetapi dapat ditenangkan
kemudiannya. Bertolak dari itu Mahathir mulai mencurigai Badawi sementara
krisisnya dengan Daim dipercayai semakin melebar akibat perebutan 'harta
karun' negara selepas itu. Kemuncak kepada pergeseran Mahathir - Badawi ini
dipercayai semakin meruncing ekoran tindakan Badawi memperalatkan polis
untuk menggempur orangramai yang menghadiri ceramah BA di Kubang Pasu
baru-baru ini. Mahathir merasa amat tercabar dengan tindakan memalukan yang
telah dilakukan oleh Badawi itu. Sebaliknya Badawi mengambil kesempatan
untuk mengukuhkan cabarannya terhadap Mahathir kerana polis berada di bawah
jagaannya. Tindakan Badawi itu dipercayai sebagai membalas dendam kerana sebelum itu
telah dimalukan oleh Mahathir dengan beberapa insiden terhadap institusi
polis. Antaranya kes pencerobohan ke atas balai polis di Kedah selepas
kejadian Al-Maunah, kes kereta polis yang dilarikan perompak di Gombak dan
beberapa insisden lain yang turut menggugat kredibilitinya sebagai orang
nombor dua negara. Badawi merasakan beliau sedang diuji atau dipermainkan
oleh Mahathir. Insiden Kg Medan bulan lepas semakin menguatkan sangkaan
bahawa Badawi benar-benar sedang diuji kredibiltiinya. Motif Mahathir cuma
satu - meragui kemampuan Badawi untuk menjustifikasikan tindakan yang bakal
diambilnya sepertimana yang telah dilakukan ke atas timbalan-timbalanya
sebelum itu. Imej Badawi nampaknya semakin tercalar dan tercabar.
Pergeseran mereka berdua nampaknya tidak habis setakat 'uji menguji'
kemampuan semata-mata. Di Kubang Pasu, Badawi mencabar Mahathir melalui
tindakan polis FRU. Di Kg Medan, Mahathir mencabar Badawi dengan pergaduhan
yang nampaknya terlalu lembab untuk diselesaikan oleh polis yang terletak di
bawah jagaan Badawi. Nampak menarik sekali permainan mereka kali ini. Diam
Badawi betul-betul diam ubi. Mencabar dalam senyap-senyap untuk menguji
'suhu' kekuatannya. Tangkapan ISA ke atas Ezam dan rakan-rakannya benar-benar mencabar pula
kewibawaan Badawi bilamana beliau selaku Menteri KDN telah dilangkaui oleh
Mahathir melalui arahan penangkapan tersebut. Badawi telah tidak dimaklumkan
oleh Norian Mai berhubung dengan arahan Mahathir itu. Dengan harapan
tangkapan melalui ISA itu akan membendung kemaraan puak reformasi, Mahathir
mengambil kesempatan untuk 'mencabar' Badawi dengan mempersetankan beliau
selaku Menteri Dalam Negeri. Ia juga mahu menunjukkan kepada Badawi bahawa
'aku masih boss di sini'. Tidak hairanlah apabila Norian membuat lawak
jenaka mengatakan puak reformasi sedang merancang untuk mengumpulkan
pelancar roket dan bom untuk menjatuhkan kerajaan Mahathir. Mungkin
pembohongan ini suatu taktik untuk memalukan Badawi yang dirasakan tidak
mampu untuk membendung kemaraan dan keberanian puak-puak reformasi meskipun
telah dua tahun memegang jawatan sebagai Menteri KDN. Penafian Badawi yang
mengatakan beliau tidak tahu menahu penangkapan di bawah ISA Ezam dan
rakan-rakannya itu jelas menunjukkan bahawa arahan tersebut dibuat secara
individu oleh Mahathir sendiri, dengan mengenepikan Badawi sebagai menteri
yang seharusnya mengeluarkan arahan penangkapan tersebut.
Amat menarik sekali untuk kita menelusuri persengketaan dalam diam antara
Mahathir dengan timbalannya kali ini. Jika pertelingkahannnya dengan Musa
Hitam dahulu di ketika beliau masih gagah perkasa, begitu jugalah ketika
Ghaffar tersingkir, beliau masih mempunyai Anwar yang menjadi tulang
belakang kekuatannya di dalam parti, tetapi selepas Anwar disingkirkannya
dengan begitu aib, kedudukan dan kekuatan Mahathir kini ibarat lori buruk,
yang kelihatannya besar tetapi enginenya sudah tidak mampu untuk berjalan
jauh ke depan. Mengambil kesempatan dengan kedudukan Mahathir yang kian hari
kian lemah inilah maka Badawi menyusun strategi dengan mengukuhkan
kedudukannya di pelbagai sudut. Menyedari yang pengaruh Mahathir di dalam parti kian merosot dan sentimen
mahukan beliau disingkirkan atau berundur dari jawatannya kian marak, maka
Badawi dengan sokongan padu, bukan sahaja moral malah wang ringgit dari
Daim telah mengatur orang-orangnya di setiap Bahagian untuk menundukkan
orang-orang Mahathir. Dengan kekuatan politik wang yang dibiayai oleh Daim,
manusia terkaya di Malaysia, Badawi nampaknya berjaya dengan mudah
memenangkan orang-orangnya mengatasi kem Mahathir. Kekalahan ayam tambatan
Mahathir, iaitu Aziz Shamsuddin merupakan tamparan memalukan kepada
Mahathir kerana Aziz merupakan simbol imej kepada Mahathir kerana peranannya
yang cukup besar dalam kes menyingkirkan Anwar dahulu. Bukan suatu kebetulan
apabila ayam jaguh Mahathir itu kecundang di tangan pencabarnya kerana
beliau sendiri dianggap mewakili batang tubuh Mahathir di Bahagiannya.
Perselisihan Mahathir-Daim telah diambil peluang sebaik-baiknya oleh Daim
yang diam itu untuk mengukuhkan kem Badawi kerana merasakan Mahathir kini
adalah suatu liabiliti besar kepada parti dan negara dan tidak harus sama
sekali dibiarkan terus untuk memimpin parti dan negara untuk beberapa tahun
lagi. Daim dipercayai memberikan sokongan bulat kepada Badawi untuk
mengambil apa jua langkah yang dikira akan berpihak untuk mengukuhkan
kedudukannya di dalam parti dan kerajaan kerana si lurus bendul itu (Badawi)
amat memerlukan sokongan orang seperti Daim untuk merampas takhta daripada
Mahathir. Ini kerana beliau menyedari adalah tidak mungkin untuk Mahathir
menyerahkan dengan mudah takhta PM itu kepadanya dalam keadaan tiadanya
jaminan yang konkrit untuk melindungi beliau dan anak-anaknya sekiranya
beliau mengundur diri kelak. Inilah dilema Mahathir semenjak beliau begitu
berdosa menyingkirkan Anwar lebih dua tahun lalu.
Pada 9 Februari lepas, dalam tulisan saya yang bertajuk 'Bila Kaum Badawi
Mula Menyerang - Awaslah Mahathir' saya telah membayangkan ancaman terhadap
kedudukan Mahathir ini secara serius apabila Badan Bertindak Melayu yang
diketuai oleh Al-Kataki telah menghentam beliau secara terbuka. Kumpulan ini
dipercayai mewakili golongan pro perubahan yang dinaungi oleh Badawi untuk
menguji sentimen kekuatan Mahathir secara lebih jauh. Melalui serangan
'ganas' yang dilakukan oleh Al-Kataki di dalam perhimpunan tersebut, Badawi
mendapat isyarat bahawa tindakbalas Mahathir sudah kurang menyengat. Citra
Mahathir yang sudah teramat hodoh dan buruk di mata penyokong Barisan
Alternatif telah diguna dengan sebaik-baiknya oleh Badawi untuk terus
mengganyang Mahathir dengan berselindung di sebalik wajah Al-Kataki itu.
Mungkin ramai dari kita yang tidak menyangka bahawa si dungu dan lembab
seperti Badawi itu tidak akan pergi jauh dalam memancing strateginya. Tetapi
berdasarkan senario yang sedang berlaku, jangkaan kita selama ini mungkin
sudah kurang tepat kerana cita-cita yang menggunung untuk menjejaki takhta
PM membuatkan Badawi kelihatan tidak dapat terus bersabar. Rentak dan tari
terpaksa dipercepatkan dengan bantuan Daim yang diam untuk terus menghenyak
Mahathir dari kiri dan kanan. Berdasarkan senario politik semasa yang tidak lagi banyak berpihak
kepadanya, perhitungan Mahathir kali ini terhadap timbalannya itu semakin
agak sukar. Kesilapannya membuang Anwar yang seterusnya mengundang
penentangan massa membuatkan Mahathir terpaksa berfikir sejuta kali untuk
menghadapi 'si lembik' Badawi kali ini. Silap gaya bukan Badawi yang
terperosok tetapi beliau sendiri yang akan jatuh terjelepuk. Dalam masa yang
relatif singkat, Badawi dipercayai telah berjaya mengukuhkan kedudukannya
di dalam parti dan kerajaan ekoran momentum kebencian terhadap apa yang
dikatakan sebagai kezaliman tanpa batas Mahathir terhadap Anwar. Golongan
yang masih bersimpati terhadap Anwar tetapi masih sayangkan UMNO terpaksa
memilih antara dua - samada terus menyokong Mahathir dengan ikhlas ataupun
memutarkan jarum sokongan bulat mereka kepada Badawi. Inilah kesempatan
terbaik yang membuatkan Badawi mendapat sokongan bulat di dalam parti
sekarang. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka yang masih mahu
bergayut di dagu si Nyanyuk itu di dalam UMNo kini sudah boleh dikira dengan
jari. Ramai ahli-ahli UMNO yang terpaksa berpura-pura menyokong kerana
sudah menjadi tradisi mereka menyokong demi mendapat projek dan kedudukan.
Sokongan padu yang diterima Badawi kini boleh dilihat melalui keputusan
pemilihan ketua-ketua bahagian dimana kebanyakan ayam-ayam jaguh Mahathir
telah kalah tak berkutik lagi. Tamparan hebat ini telah menaikkan semangat
dan moral orang-orang Badawi dan mungkin sesuatu yang mengejutkan jika
terjadi sesuatu yang luar biasa di dalam perhimpunan agung UMNO bulan depan?
Meskipun Mahathir kelihatan semakin kurang bermaya dalam menghadapi kemaraan
kaum Badawi tersebut, tetapi barang harus tak dilupakan bahawa orang tua
tersebut masih cukup berbisa penangannya. Keghairahan kem Badawi untuk
mengasak dan mengasak Mahathir jika silap langkah pasti akan membawa padah.
Sekalipun Mahathir kelihatan 'tenang' dalam menghadapi strategi timbalannya
kali ini, namun beliau masih lagi memiliki kunci kekuasaan mutlak untuk
memusnahkan mereka yang dirasakan akan menikamnya dari belakang. Kekalahan
orang-orangnya di tangan orang-orang Badawi dipercayai akan membuatkan singa
tua itu terpaksa mengeluarkan kukunya sekali lagi.
Suatu kemungkinan besar yang sukar ditolak ialah apakah Badawi bakal
menerima nasib yang sama seperti 3 timbalannya sebelum ini? Jawapannya, ya!
Pergeseran demi pergeseran yang berlaku antara keduanya bakal meledakkan
lahar gunung berapi yang membakar arena politik negara sekali lagi. Tetapi
kali ini saya percaya Mahathir tidak akan mengambil tindakan yang kelihatan
zalim seperti yang dilakukannnya ke atas Anwar dahulu. Ini untuk mengelak
ledakan kedua kemarahan rakyat terhadap dirinya apatah lagi dengan keadaan
beliau yang sudah terlalu lemah itu. Tindakannya ke atas timbalannya kali
ini dipercayai akan dilakukan secara 'terhormat' iaitu melalui proses
penyusunan semula kabinet, yang dipercayai akan dibuat selepas perhimpunan
agung UMNO bulan depan. Melainkan beliau (Mahathir) mati dalam masa yang terdekat ini, harapan
besar Badawi melalui sokongan padu Daim, untuk menjejaki singgahsana kerusi
PM nampaknya semakin malap. Beberapa kesilapan dan tindakan Badawi yang
menimbulkan kemarahan Mahathir terutamanya insiden tindakan ganas FRU di
Kubang Pasu itu akan dijadikan asas untuk mengenepikan Badawi secara
terhormat itu. Rentak dan tari Mahathir nampaknya masih gagal di atasi oleh
Badawi meskipun beliau (Badawi) telah berjaya mengumpulkan orang-orangnya
dalam masa yang relatif singkat untuk membendung pengaruh Mahathir.
Kejayaan Badawi menyingkirkan para panglima Mahathir beberapa hari lepas
sebenarnya bakal mengundang sial buatnya. Saya tergamam untuk mengatakan
siapa yang akan menyingkir siapa dalam proses penyingkiran yang amat
mendebarkan pada kali ini. Untung sabut timbul - untung batu tenggelam, namun
untung Badawi ke mana gerangannya? Yang pasti, tiada siapa lagi yang boleh
bekerja dengan Mahathir sebagai timbalannya melainkan beliau melantik Mirzan
atau Mokhzani sebagai TPMnya yang kelima! Jika Lee Kuan Yew boleh (melantik
anaknya), mengapa tidak Mahathir?
Cucu Datuk Bahaman
|