Laman Webantu KM2A1: 4251 File Size: 13.0 Kb * |
AM: Memperkasakan Kuasa By Rozaid Rahman 19/4/2001 4:58 am Thu |
[Satu analisis menarik dari AM. Daim mungkin disisihkan
dan Ku Li mungkin ditabal menjadi Menteri Kewangan yang baru.
Lawatan Mahathir ke Gua Musang baru-baru ini mungkin satu
isyarat Ku Li diambil kembali. Daim dikatakan akan mengambil
cuti 3 bulan sebelum bersara dari kerajaan. Tetapi terdapat
spekulasi Daim sudah tidak ngam dengan Mahathir kerana sudah
tidak muncul lagi dalam mesyuarat MKT, pembetangan OPP3 serta
perlantikkan Ali Abul Hassan sebagai penasihat ekonomi. Zeti
juga dijangka akan digugurkan untuk digantikan dengan Nor
Mohamed. Ezam sepatutnya telah lama ditangkap di bawah ISA, tetapi baru
sekarang beliau diberkas. AM berpendapat Mahathir tidak mahu
Dollah terjatuh titi jika dijerkah Ezam acap kali. Sila maklum
ini cuma pendapat dan analisis sahaja... mungkin ada benar atau
silapnya dimana-mana. Walaupun begitu ia tetap menarik kerana
Umno akan carik juga walaupun ia ditampal secara tiba-tiba.
Ribut sedang melanda tetapi tiada seorang pun di dalam Umno
mengetahuinya dan bersiap bersedia kecuali Daim sahaja......
- Editor] ANALISIS BERITA : MEMPERKASAKAN KUASA
Oleh Rozaid Rahman Pelantikan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ali Abul Hassan
Sulaiman sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri
sebenarnya memberi indikasi kepada halatuju politik dan pasaran
dalam tempoh yang terdekat ini. Petunjuk yang paling jelas ialah Dr Mahathir Mohamad sedang dalam
proses memperkukuhkan kedudukan pasukan pengurusan krisisnya
(crisis management team members) ke arah mempersiapkan diri untuk
melakukan sesuatu yang drastik dan mengejutkan dalam kerajaan
yang sudah tentu pula mempengaruhi sentimen pasaran.
Tingkah laku seperti ini bukanlah amalan baru dalam tata kerja Dr
Mahathir. Sebelum memecat Datuk Sri Anwar Ibrahim pada 2
September 1998, beliau juga telah memberi petunjuk yang sama.
Perkara pertama yang dilakukannya ialah dengan membuat satu
pengumuman kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersiap sedia
untuk menerima beberapa berita yang mengejutkan.
Pada mulanya, orang-ramai menyangkakan bahawa beliau akan
mengumumkan beberapa polisi baru tetapi apa yang berlaku adalah
jauh lebih drastik dari itu. Yang pertama, Gabenor Bank Negara, Ahmad Mohamed Don
meletakkan jawatan dan tempatnya digantikan oleh (mungkin juga
secara kebetulan!!!) Ali Abul Hassan sendiri. Tidak lama selepas itu,
beliau mengumumkan langkah-langkah baru kerajaan dalam
mengawal pasaran mata wang ringgit, kawalan terhadap tukaran
asing dan kemudiannya kemuncak dari semua itu ialah mengumumkan
pemecatan Anwar Ibrahim daripada semua jawatan kerajaannya.
Apa yang lebih menarik tentang paten berfikir Dr Mahathir ini ialah
hampir setiap penafiannya membawa kepada perkara sebenar.
Sebagai contoh, baru-baru ini ketika beliau ditanya apakah dalam
rombakan kecil kabinet yang akan dilakukannya akan wujud sebuah
kementerian baru, Dr Mahathir dengan selamba menafikannya. Tetapi
keesokan harinya, beliau mengumumkan pembentukan sebuah
kementerian baru untuk wanita dengan Datuk Shahrizat Jalil sebagai
menterinya. Perkara yang sama berlaku sehari sebelum pemecatan ke atas Anwar
dibuat. Dr Mahathir telah ditemuramah dalam program Wawancara
RTM1 oleh Ketua Pengarang Kumpulan The NSTP, Datuk A. Kadir
Jasin. Dalam program itu, Dr Mahathir telah ditanya apakah benar
khabar angin yang bertiup kencang bahawa Anwar akan meletakkan
jawatan. Jawapan yang diberi oleh Dr Mahathir ialah; 'Itu semua
adalah khabar angin' yang saya tahu ialah, saya hanya akan
menerima peletakan jawatan daripada Anwar sekiranya beliau tidak
lagi berupaya melakukan tugas kerana sakit atau terlantar sakit
sehingga tidak dapat bangun. Saya juga hendak menolak
desas-desus yang mengatakan saya dan timbalan saya ada masalah
besar 'kalau tidak sependapat dalam beberapa perkara tu biasalah.'
Keesokan harinya, Anwar dipecat. Itulah paradoksnya seorang yang bernama Mahathir Mohamad. Tetapi
sama ada kita menyayanginya atau membencinya, beliau telah
berjaya melaksanakan apa jua perancangan politiknya tanpa gagal
sejak hampir 20 tahun yang lalu walaupun kes Anwar ini akan
dikenang sebagai kes yang paling sukar dan rumit yang pernah
dikendalikannya sejak memegang tampuk pemerintahan negara.
Menjelang jam 11 pagi 18 Julai ini, Dr Mahathir akan menyambut
ulangtahun yang ke-20 sebagai ketua kerajaan Malaysia. Menjelang
tarikh itu beliau akan mencatat sejarah dan namanya akan terukir di
dalam Malaysian Books of Record sebagai perdana menteri Malaysia
yang paling lama berkhidmat. Jika rajin membuat sedikit kajiselidik,
ada kemungkinan juga beliau adalah perdana menteri yang paling
lama berkhidmat di dunia selepas perang dunia kedua - yang dipilih
secara demokratik iaitu melalui pilihan raya umum.
Dalam pemikiran Dr Mahathir, itu adalah salah satu sebab mengapa
kuasa dunia yang lain cemburu ke atas pencapaian dirinya.
Jadi, dengan perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku di
hadapan mata kita sekarang, apakah pula perancangan politik Dr
Mahathir agaknya. Pelantikan Ali Abul Hassan mungkin memberi
sedikit indikasi. Lawatannya ke Gua Musang juga boleh jadi satu
indikasi. Jumaat ini (20 April), beliau akan sekali lagi ke Kelantan -
kali ini Kota Bharu - untuk lawatan kerja selama sehari. Dalam
tempoh sebulan ini, beliau melakukan dua lawatan kerja ke Kelantan
- satu perkara yang jarang-jarang dilakukannya.
Di pasaran, para analis membuat andaian bahawa pelantikan Ali Abul
Hassan telah memberi satu tamparan hebat kepada Tun Daim
Zainuddin yang kini semakin menyepi dan ketidakhadirannya dalam
beberapa program atau mesyuarat utama telah menimbulkan tanda
tanya mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir.
Daim bukan sahaja tidak hadir di Parlimen ketika Dr Mahathir
melancarkan program perancangan 10 tahun baru-baru ini malah
beliau juga tidak kelihatan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT)
Umno Isnin lalu (16 April). Kembalinya pasukan pengurusan krisis di keliling Mahathir sudah
tentulah bertujuan untuk melemahkan kedudukan Daim, kata seorang
analis pasaran. Petunjuk-petunjuk pasaran katanya seperti
mengesahkan sentimen ini. Pelantikan Ali Abul, seorang yang digelar
'Mahathirista' pula dilakukan ketika desas-desus sedang bertiup
kencang mengatakan Dr Zeti Akhtar Aziz akan diganti oleh seorang
lagi 'Mahathirista' sebagai gabenor bank pusat itu.
Orang yang dimaksudkan itu ialah Datuk Nor Mohamed Yaacop,
yang juga penasihat kewangan kepada perdana menteri. Nor
Mohamed bukanlah muka baru dalam industri perbankan. Beliau
pernah berkhidmat di Bank Negara sebagai penolong gabenor dan
kemudiannya penasihat kepada gabenor sebelum dilantik ke jawatan
sekarang, Mei tahun lepas. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat
dengan Kumpulan Rashid Hussein dan juga Kumpulan Abrar.
Ali, akan bekerjasama dengan Nor Mohamed yang pada pandangan
kebanyakan penganalisa akan menjurus ke arah pelantikannya (Nor
Mohamed) sebagai gabenor yang baru. Walaupun semalam Dr
Mahathir telah menjelaskan bahawa pelantikan Ali Abul Hassan
sebagai penasihatnya yang kedua adalah disebabkan oleh bebanan
kerja yang semakin bertambah tetapi para penganalisa masih
tertanya-tanya justifikasi di sebalik pelantikan itu melainkan ia
hanyalah sebagai batu loncatan kepada satu tugas yang lebih besar
dan drastik. Jadi, apakah Nor Mohamed akan benar-benar dihantar ke Bank
Negara untuk mengantikan Zeti yang dikatakan akan dilantik ke satu
jawatan baru dalam kerajaan? Ini hanya akan terjawab seandainya Dr Mahathir merasakan bahawa
telah tiba masanya untuk beliau melantik menteri kewangan yang baru
bagi mengantikan Daim yang pada pandangan Dr Mahathir sudahpun
selesai melaksanakan tugas-tugasnya ekoran pemecatan Anwar.
Semua orang sedia maklum bahawa pelantikan semula Daim ke
jawatan lamanya itu adalah untuk meletakkan semula sistem dalam
perspektif yang 'betul' ekoran krisis yang ditinggalkan akibat
pemecatan Anwar. IMF, kawalan mata wang, penyusunan dan pengstrukturan semula
konglomerat-konglomerat yang sering dikaitkan dengan Umno;
penerbitan dan penjualan bon baru serta penarikan semula
kedatangan pelabur asing - semua itu adalah tugas utama yang
dipertanggungjawabkan ke atas Daim selepas pasca pemecatan
Anwar. Dan orang yang disebut-sebut akan dilantikan oleh Dr Mahathir
untuk mengantikan Daim ialah tidak lain dan tidak bukan, Tengku
Razaleigh Hamzah. Lawatan ke Gua Musang awal bulan ini dan
sekali lagi ke Kelantan Jumaat ini seolah-olah sebagai satu proses
meminang semula Ku Li. Tetapi barang diingat bahawa permainan catur yang digerakkan oleh
Dr Mahathir ini bukan sekadar melibatkan satu langkah tetapi mungkin
juga dua atau tiga langkah serentak. Seandainya beliau membawa semula Ku Li ke dalam kabinet dan arus
perdana politik tanah air, ia bukanlah sekadar untuk memadamkan
pengaruh Daim yang sejak akhir-akhir ini tidak begitu gembira
dengan langkah-langkah ekonomi dan pembahagian projek serta
penyusunan semula syarikat-syarikat gergasi yang ternyata tidak
dilakukan mengikut cara Daim tetapi pada masa yang sama adalah
untuk memperkukuhkan kedudukan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi
dan mengimbangi populariti Tan Sri Musa Hitam - seorang lagi
nemesis politiknya. Dr Mahathir memerlukan Pak Lah menjadi lebih terjamin, kukuh dan
kuat seandainya beliau berhajat untuk menyerahkan kuasa menjelang
pilihan raya umum akan datang. Sebab itulah penangkapan Ezam
M.Nor and the gang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
menjadi satu realiti juga akhirnya. Dahulu Ezam dikatakan akan
ditahan di bawah ISA ketika beliau pulang dari Indonesia pada 14
Mac 1999. Tetapi di luar jangkaan semua orang beliau tidak ditahan
oleh polis pun selepas berada enam bulan di perantauan dan
berkempen menentang Dr Mahathir di sekitar negara Asean.
Malah beliau sekali lagi dikatakan akan ditahan ekoran
pendedahannya berhubung beberapa rahsia kerajaan, pemberian
projek serta kertas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas
pemimpin-pemimpin tertentu. Tetapi itu juga tidak menjadi kenyataan
mungkin kerana faktor pilihan raya. Kini pilihan raya telah selesai dan pilihan raya akan datang masih
jauh ke hadapan, kerajaan hanya menunggu masa dan saat yang
sesuai sahaja untuk menahan bekas setiausaha politik kepada Anwar
itu. Kehadiran Ezam di ceramah-ceramah umum di sana-sini dan
terus menerus mengkritik dasar Dr Mahathir dan juga kewibawaan
Pak Lah termasuk anak-anaknya pada pandangan perdana menteri
adalah satu ancaman kepada proses peralihan kuasa yang lancar
dan tenang. Pak Lah tidak boleh dibebankan dengan ancaman-ancaman seperti
ini untuk membolehkannya mengambil tampuk pemerintahan negara
secara aman. Atas sebab itulah barangkali, Ezam akan merengkok di
Kamunting untuk satu jangkamasa yang panjang samalah seperti
mentornya, Anwar Ibrahim ketika beliau ditahan di bawah akta yang
sama pada tahun 1974. Sehingga kedudukan Pak Lah terjamin,
barulah peluang untuk Ezam kembali sebagai warga bebas akan
menjadi kenyataan. Kehadiran Ku Li yang pernah bersama-sama Pak Lah membentuk
satu pasukan yang dinamakan Team B, pada masa yang sama akan
menjadikan pengaruh Musa Hitam kendur. Kita akan tertanya-tanya
bukankah dahulu Musa, Ku Li dan Pak Lah berada di dalam satu kem?
Tetapi jika ditenung sedalam-dalamnya, itulah percaturan politik yang
menjadikan Dr Mahathir seorang pemimpin yang kukuh - divide and
rule. Sebagaimana beliau membawa masuk Anwar dan kemudian
menjadikannya sebagai seorang yang begitu banyak kuasa dan
pengaruh untuk mengimbangi kuasa dan pengaruh Musa, Ku Li, Pak
Lah dan kemudian harinya Daim, beliau telah menggunakan semula
Daim dan Pak Lah serta lain-lain untuk mengimbangi semula
pengaruh Anwar. Hari ini beliau mungkin memerlukan modus operandi
yang sama untuk mengimbangi pengaruh Daim di dalam kerajaan dan
pasaran. Pengaruh Musa yang semakin popular sebagai pengerusi
Suhakam adalah satu lagi 'ancaman' kepada perancangan politik Dr
Mahathir. Akhir sekali, apakah keputusan anaknya Mokhzani untuk tidak
bertanding mempertahankan kerusi sebagai Ketua Pergerakan
Pemuda Umno Bahagian Merbok ada kena mengena dengan krisis
ini? Jawapannya mungkin dalam sedikit masa lagi.
(Rabu, 18 April 2001) Link Reference : Memperkasakan Kuasa |