Laman Webantu KM2A1: 4346 File Size: 10.9 Kb * |
Kalau Tiada Angin Masakan Pohon Bergoyang? By CDB 30/4/2001 5:48 pm Mon |
[Mokhzani mungkin dilantik untuk menjawat satu kementerian selepas
berundur 'nama' dari dunia koporat. Beliau sekadar mengundur nama - bukan
mengundur harta - jika tidak beliau akan melepaskan semua pegangannya dan
jawatannya di alam koporat. Menurut Mokhzani sendiri, tujuannya mengundur
nama itu adalah kerana ingin menumpukan lebih perhatian kepada politik.
Ini bermakna ada sesuatu menantinya di sana.
Memang sudah lama menanti... Rombakkan kabinet awal tahun ini sebenarnya
telah menyediakan pentas untuk Mokhzani beraksi kerana yang dilantik adalah
orang kepercayaan Mahathir selama ini - termasuk pakar fitnah dan putarbelit
media. Dengan pemimpin keADILan yang lantang berada di dalam penjara ISA, itu
sudah cukup untuk menggerunkan sebarang pencabar dalam Umno sendiri. Lagipun
polis tidak perlu memaklumkan kepada menteri dalam negeri untuk menangkap
sesiapa... (termasuk menterinya sendiri?) - inilah kata Dollah Badawi.
Mahathir pula sudah memberi kata-dua pemimpin politik Umno boleh di tahan ISA
kerana politik wang. Tektik menghentam orang kaya dan pengunduran Daim sudahpun
membuka laluan... maka Mokhzani akan dipersilakan.
- Editor] Beberapa hari lepas akhbar-akhbar dan media arus perdana memberikan tumpuan
khas kepada anak kedua Mahathir, Mokhzani yang kununnya telah berhenti
daripada dunia korporat perniagaannya. Agak aneh bagaimana seorang yang
begitu haloba mencari kekayaan dan kemewahan dunia, tiba-tiba mahu
membuangnya begitu sahaja walhal tidak pula kedengaran beliau mahu
mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. atau pergi beruzlah kepadaNya
sepertimana perbuatan seorang wali yang masyhur dahulu, iaitu Ibrahim bin
Adham yang secara sukarela meninggalkan dunianya semata-mata kerana mahu
mencari keredhaan Ilahi. Menurut orang tua-tua kita, kalau seseorang itu berperangai aneh dan
ganjil-ganjil kemungkinan dia nak buang tebiat ataupun nak mati. Membuang
segala kekayaan dan kemewahan bagi anak seorang yang kaya raya dan begitu
rakus membolot segala hasil mahsul negara dengan bersandarkan kekuasaan
bapanya, seorang yang begitu berkuasa di negara ini, tentulah menimbulkan
tanda tanya. Ini bukan kes membuang tebiat atau berperangai ganjil orang
yang nak mati. Tindakan Mokhzani meninggalkan dunia korporat dan
kekayaannya yang super mega itu dipercayai ada hubung kaitnya dengan
perancangan bapanya, Mahathir untuk membawanya jauh ke tengah di dalam arus
politik negara. Ketika baru-baru Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dahulu, saya pernah
mengutarakan suatu pendapat bahawa apabila Mahathir meletak jawatan sebagai
Perdana Menteri, beliau sama sekali tidak akan melepaskan cengkaman
kuasanya kepada penggantinya. Tetapi beliau akan melantik dirinya sebagai
Menteri Kanan sepertimana Lee Kuan Yew di Singapura. Pandangan saya itu
mendapat reaksi spontan Mahathir keesokkan harinya apabila diajukan soalan
oleh para wartawan, beliau telah menafikannya sebaliknya berkata apabila
beliau berhenti nanti beliau akan perbanyakkan amal ibadat (kununnya) dan
tidak lagi mahu terlibat dengan soal-soal politik.
Apabila Mokhzani yang terkenal kayanya dan menguasai begitu banyak
syarikat-syarikat termasuk yang disenaraikan di BSKL berkata mahu
mengundurkan diri dari dunia korporat, perkara pertama yang terlintas dalam
kepala saya ialah 'politik'. Saya percaya pengunduran beliau daripada
sektor korporat adalah untuk membolehkannya memasuki laluan baru dunia
politik bersama-sama bapanya. Pergeseran Mahathir dengan Daim kebelakangan
ini menguatkan andaian ini dimana Mahathir dipercayai akan memberikan
kedudukan yang kukuh dan selesa kepada Mokhzani di dalam parti dan kerajaan
sebelum beliau berundur diri dari jawatan Perdana Menteri.
Semenjak krisis Anwar, Mahathir sudah tidak mempercayai sesiapa pun lagi di
kalangan menteri-menteri kabinetnya. Tambahan pula dalam situasi beliau yang
sudah tidak lagi popular itu, beliau ingin mempastikan keadaan yang selamat
buat diri dan keluarganya andaikata beliau tidak lagi menjadi Perdana
Menteri. Desas desus yang bertiup kencang mengatakan adanya pakatan mahu
menyingkirkannya yang didalangi oleh Daim - Badawi menguatkan sangkaannya
bahawa mereka yang ada di sekelilingnya adalah musang berbulu ayam dan
gunting dalam lipatan yang cukup merbahaya buatnya.
Krisis antara beliau dengan Daim masih belum menampakkan klimaksnya lagi
sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu ini. Meskipun Daim sedang bercuti
kununnya untuk membereskan fail-fail projek pembangunan yang bertimbun,
tetapi agak aneh dan belum pernah terjadi seseorang menteri yang mengambil
cuti begitu lama menghabiskan cutinya di pejabat. Kalau begitu, apa gunanya
mengambil cuti kalau masih datang membuat kerja?. Percutian Daim itu
sebenarnya adalah untuk mengurangkan tekanan dan spekulasi perletakan
jawatannya sebagai Menteri Kewangan. Daim dipercayai akan meletak jawatan
sebaik sahaja tempoh percutiannya selama 60 hari tamat nanti.
Saya ada terbaca beberapa pandangan netters yang membuat ramalan akan
kemungkinan Mokhzani akan dilantik sebagai Menteri Kewangan yang baru
menggantikan Daim nanti. Meskipun andaian atau ramalan tersebut ada asasnya,
tetapi saya percaya Mokhzani tidak akan dilantik sebagai Menteri Kewangan
serta merta. Beliau dipercayai akan dilantik sebagai salah seorang timbalan
menteri selepas dilantik sebagai seorang senator. Perlantikan Mokhzani
sebagai timbalan menteri mungkin cuma untuk jangkamasa yang singkat dan akan
disusuli dengan perlantikannya sebagai menteri penuh iaitu sebagai Timbalan
Perdana Menteri menggantikan Badawi yang akan disingkirkan melalui satu
rombakan kabinet selepas itu. Dengan Mokhzani sebagai TPM, kedudukan
Mahathir sebagai PM sudah pasti tidak akan tergugat lagi. Bukan sahaja
kedudukannya tidak tergugat daripada sebarang ancaman musuh-musuh
politiknya, malah selepas beliau meninggalkan jawatan PM pun sudah pasti
akan mendapat jaminan dan perlindungan daripada anaknya .
Apabila mendapati Mokhzani sudah berada di kedudukan yang teguh dan selamat
sebagai TPM, Mahathir akan meletak jawatannya sebagai PM dan memberi laluan
kepada anaknya itu menjadi Perdana Menteri, sementara beliau sendiri akan
melantik dirinya sebagai menteri kanan sepertimana Lee Kuan Yew di
Singapura. Badawi nampaknya terpaksa menggigit jari apabila teori ini
menjadi kenyataan nanti. Kepintaran Lee Kuan Yew mencorakkan politik
Singapura dan memilih bakal pengganti dengan tenang dan selamat memberikan
ilham kepada Mahathir untuk mencubanya. Ketidakpastian yang sentiasa melanda
warna politik negara menyebabkan Mahathir terpaksa memilih jalan yang lebih
selamat untuk kehidupannya selepas bersara nanti. Dengan melantik dirinya
sebagai menteri kanan juga akan membolehkan beliau memberikan tunjuk ajar
dan bimbingan kepada Mokhzani dalam mengurus negara selain mempastikan
segala projek-projek pembangunan yang telah dirancang terutama bandar
Putrajaya dapat berjalan dengan lancar sepertimana dikehendakinya.
Krisis yang meruncing antara Mahathir dengan Daim mungkin akan mencetuskan
satu lagi drama yang hebat di dalam pentas politik negara. Kecuali Daim
mengambil langkah 'mengalah', sebarang tentangan samada secara langsung atau
sebaliknya, akan menjerut Daim ke kancah pertarungan yang kalaupun tidak
sehebat seperti yang dialami oleh Anwar, tetapi mampu menggegarkan arena
politik tanahair. Dengan kemasukan Mokhzani ke dalam pentas baru politik
bersama bapanya, Mahathir sudah pasti akan mendapat dokongan yang kukuh.
Kedudukan Mokhzani sebagai Penolong Bendahari Pemuda UMNO akan menjadi batu
loncatan kepadanya untuk melompat lebih tinggi ke atas dengan kehendak
bapanya. Ketika mana Mahathir sendiri akan terancam oleh mereka yang sedang mengintai
peluang untuk menyingkirkannya secara diam-diam (diketuai oleh Badawi -
Daim), kemasukan Mokhzani akan memberikan nafas baru untuk Mahathir
mengukuhkan kuasanya. Saya belum dapat meramalkan portfolio apakah yang
bakal diberikan Mahathir kepada anaknya itu tetapi besar kemungkinan adalah
sebagai timbalan menteri dalam negeri (untuk menjaga polis) atau timbalan
menteri kewangan [sebelum dilantik sebagai TPM yang saya maksudkan di atas].
Selepas Daim bersara apabila cukup tempoh percutiannya nanti, Tengku
Razaleigh Hamzah dipercayai akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Daim.
Lawatan Mahathir sebanyak dua kali ke Kelantan baru-baru ini dianggap
sebagai langkah 'masuk meminang' semula Ku Li untuk membawa masuk beliau ke
dalam kerajaan. Perlantikan Ku Li sebagai Menteri Kewangan menggantikan Daim, selain dapat
mengukuhkan sokongan terhadapnya (Mahathir), juga sebagai langkah untuk
merampas kembali Kelantan dari tangan PAS. Dengan kedudukkannya sebagai
menteri kabinet, Ku Li diharapkan oleh Mahathir agar dapat berbuat sesuatu
untuk menyekat pengaruh PAS dari terus berleluasa. Gabungan Ku Li - Mokhzani
mungkin menjadi suatu acuan baru teori pengukuhan kuasa Mahathir untuk
mempastikan beliau tidak digugat selagi beliau menjadi PM. Ku Li yang
terhutang budi mungkin tidak lagi mencuba untuk menjatuhkannya.
Saya percaya pengunduran diri Mokhzani dari dunia korporatnya adalah
sandiwara untuk mengelabui mata umum sahaja. Perancangan Mahathir untuk
mengukuhkan kuasanya tidak dapat tidak mesti melibatkan penglibatan anaknya
sebagai orang yang akan ditunjukkan sebagai penggantinya kelak.
Ketidakyakinan Mahathir terhadap Badawi yang menjadi timbalannya serta
beberapa perselisihan yang berlaku antara mereka berdua baru-baru ini akan
menjadi titik tolak untuk Mahathir menyisihkan Badawi sepertimana
timbalan-timbalannya sebelum ini. Hanya dengan melantik anaknya sendiri
sebagai bakal pengganti barulah ancaman terhadap kerusinya itu dapat
dihapuskan. Yang jelas, kemasukan Mokhzani ke dalam arena politik negara
bakal mewarnai lagi pentas sandiwara yang mereka lakonkan. Logikkah
mengundur diri dari dunia korporat yang serba mewah hanya semata-mata untuk
memberikan tumpuan kepada keluarga, sedangkah sudah berbelas tahun kekayaan
dan kejayaan tersebut dikejar?. Bagi saya, kalau tiada angin, masakan pohon
akan bergoyang ? Selamat datang Mokhzani ke alam baru dunia politik bersama
daddy anda ! Cucu Datuk Bahaman |