Laman Webantu KM2A1: 4360 File Size: 15.1 Kb * |
Mana Mungkin Serigala Bersimpati Dengan Mangsanya! By CDB 2/5/2001 11:57 am Wed |
[Mahathir mengumumkan keputusan untuk tidak membenarkan Anwar
mendapat rawatan di luar negara adalah muktamad walaupun dirayu
oleh 108 individu. Beliau juga menuduh Anwar berbohong dengan
sakitnya itu. Ini bermakna beliau telah berkonfrontasi dengan
beberapa sasterawan negara yang terbilang didalam kelompok individu
itu. Sekaligus ini mungkin akan mencetus babak ketiga perjuangan
reformasi yang lebih bertenaga lagi. Kehadiran internet beserta
sasterawan negara mungkin akan melebamkan Mahathir kerana mata pena
itu lebih tajam dari hujung mata pedang. Bersedialah Mahathir untuk
menggelepar tertikam. Dengan mengatakan Anwar berbohong, Mahathir sendiri telah memperlekehkan
seorang pakar saraf antarabangsa yang dihormati dunia. Bukan itu sahaja,
dia telah memperbodohkan semua doktor pakar dalam negara yang sependapat
sakit Anwar memang kritikal kerana mungkin membawa risiko lumpuh jika
tidak dibedah segera dengan seteliti-telitinya - bukan sakit pinggang
biasa atau tulang belakang sahaja sebagaimana tuduhan Mahathir. Suharto
dan Sukarno pun membenarkan rawatan ke luar negara kepada musuh politik
mereka, tetapi Mahathir yang mengaku Malaysia negara Islam tidak mahu
berlembut langsung padahal Anwar sudahpun terhukum 15 tahun. Nyatalah
Mahathir sudah tidak berperi manusia sebagimana yang dituntut oleh ugama.
Dia sudah menjadi binatang seganas serigala agaknya?
- Editor] MANA MUNGKIN SERIGALA BERSIMPATI DENGAN MANGSANYA!
Serigala merupakan sejenis binatang yang buas, ganas dan kejam terhadap
mangsanya. Mungkin kita beranggapan bahawa singa yang menjadi raja di rimba
itu lebih ganas dan buas, tetapi sebenarnya binatang yang bernama serigala
sebenarnya terlebih buas dan kejam lagi terhadap mangsanya. Apabila seekor
serigala menyeringaikan gigi dan taringnya, dia pasti akan menerkam
mangsanya dengan buas dan ganas. Agak sukar sama sekali untuk mengelakkan
serangan seekor serigala yang berada di depan kita apabila dia telah
menerkam ke arah mangsanya. Mengapa saya membawakan kisah seekor serigala dalam tulisan saya kali ini?
Ya, ini kerana untuk memberikan pembaca suatu gambaran betapa manusia yang
bernama Mahathir Mohamad yang sedang berkuasa mutlak sebagai Perdana Menteri
itu sebenarnya tidak jauh bezanya dengan seekor serigala yang maha buas dan
kejam itu. Jika serigala hanyalah seekor binatang yang tidak berakal, tetapi
manusia bernama Mahathir itu adalah manusia yang mempunyai akal fikiran
tetapi hati nuraninya tidak langsung berbeza dengan seekor serigala yang
dipanggil binatang itu! Apabila saya menyifatkan Mahathir itu sebagai
orang yang wajahnya adalah manusia tetapi hatinya adalah serigala pada dua
tahun lepas, Ustaz Fadzil Noor dalam satu ceramahnya di Taman Melewar (kalau
tak silap saya) terus 'bersetuju' dengan 'terminologi' yang saya gunakan
itu, lalu beliau menggunakan ungkapan yang saya sebutkan itu dalam
ceramahnya. Memang tepat pun ! Saya ingin menggambarkan betapa manusia bernama Mahathir itu adalah
sebenar-benarnya berhati serigala berwajah manusia dalam sikapnya yang zalim
dan tidak berperikemanusiaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang
menderita kesakitan tulang belakang sekarang ini. Sebelum itu saya ingin
mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada 108 individu dari pelbagai
kelompok masyarakat yang menghantar petisyen meminta rayuan agar Mahathir
membenarkan Anwar dirawat di luar negeri. Meskipun rayuan tersebut telah
ditolak mentah-mentah oleh 'manusia berhati serigala' itu, namun
sekurang-kurangnya dapat menggambarkan betapa majoriti rakyat Malaysia masih
lagi mempunyai sifat belas kasihan dan simpati dengan penderitaan orang lain
tanpa mengira fahaman politik dan agama mereka. Hanya manusia berhati
kering seperti serigala sahajalah yang akan melihat penderitaan orang lain
itu sebagai helah, lakonan dan pura-pura semata-mata.
Sudahlah menolak mentah-mentah rayuan tersebut, tetapi menuduh Anwar sebagai
pembohong dan berpura-pura sakit ataupun cuma sebagai sakit pinggang sahaja
merupakan suatu ungkapan yang lahir dari seorang manusia yang hatinya
hitam legam dan dipenuhi dendam kesumat yang tebal. Jika ada dihatinya
sedikit 'nur' iman dan ingatkan balasan Allah s.w.t. di akhirat kelak,
nescaya tidak akan terkeluar ucapan sedemikian dari mulut seorang yang
mengaku sebagai seorang Islam. Sudahlah melakukan fitnah durjana yang tidak
dapat dibuktikan secebis pun di mahkamah, kini nampaknya beliau masih belum
berpuas hati dengan 15 tahun penjara yang dikenakan ke atas musuh politiknya
itu. Melihat kepada besarnya kemarahan dan dendam Mahathir kepada Anwar,
seolah-olah Anwar itu telah melakukan suatu dosa yang maha besar ke atas
beliau. Seolah-olah Anwar itu telah membunuh seluruh ahli keluarganya tanpa
belas kasihan. Seolah-olah Anwar telah melakukan dosa yang Tuhan sendiripun
tak akan ampunkannya. Demikianlah seolah-olahnya dosa Anwar terhadap
Mahathir sehingga tidak sedikit pun mengundang rasa simpati dari dalam
dirinya. Walhal, jika adapun dosa Anwar terhadap Mahathir ialah kerana
keengganannya menyelamatkan syarikat anak-anaknya yang hampir bangkrap dalam
tahun 1998 dahulu dengan menggunakan duit rakyat. Itu sahaja dosanya. Sampai
begitu sekali dendamnya manusia berhati serigala itu!
Meskipun begitu, tidaklah sukar untuk saya memahami kemuncak dendam dan
kemarahannya ke atas Anwar itu - iaitu berpunca dari slogan 'undur Mahathir
undur' (yang mencetuskan penentangannya yang berterusan selepas itu) yang
dicetuskan oleh Anwar sebelum tragedi penangkapannya 20 September 1998
dahulu. Inilah puncanya sehingga melahirkan dendam hitam itu !
Berbalik kepada isu Anwar yang sedang menderita kesakitan itu, saya melihat
sikap berdolak dalik yang dimainkan oleh kerajaan Mahathir sehingga
membiarkan Anwar menderita begitu lama itu sebagai suatu 'percubaan terbuka'
untuk memusnahkan Anwar secara 'legal' iaitu untuk membiarkan Anwar
menanggung kesakitan sehingga akhirnya akan menyebabkan beliau lumpuh
kalaupun tidak menghabiskan riwayatnya. Anwar yang lumpuh dan tidak
berupaya untuk berbuat apa-apa adalah suatu keseronokan dan kredit yang
cukup besar untuk kesinambungan hayat kekuasaan bagi seorang diktator yang
tidak mengaku dirinya diktator itu. [Buat masa ini Anwar yang sedang
bergelut dengan kesakitannya itu sudah pun tak mampu untuk melontarkan
kata-kata perangsang dan penentangan terhadap diktator itu] . Saya percaya
selepas kegagalan 'misi arsenik' dalam Tahun 1999 dahulu, misi kali ini
tidak menampakkan dengan ketara akan 'perancangan' yang disengajakan itu.
Dengan membuat sejuta dalih dan helah, dengan bantuan mereka-mereka yang
boleh dijualbeli maruahnya, dengan pertolongan mereka-mereka yang sanggup
menjadi pelacur dan dilacurkan, akan nampak lebih realistik lagi percubaan
untuk memusnahkan Anwar pada kali ini. Kalau tidak masakan perkara kecil
seperti itu pun begitu sukar diselesaikan.
Saya ingin bertanya - siapa Dr Abdul Razak Kechik sebelum ini? Siapa Omar
Mohd Dan sebelum ini? Adakah mereka ini orang tersohor seantero alam
sehingga begitu gah melontarkan kata-kata amaran dan ultimatum meminta Anwar
memilih satu antara dua - bedah atau balik ke penjara? Siapa Omar Mohd Dan
yang begitu heboh memperkatakan tentang kos penjagaan Anwar yang sudah
mencecah RM65,000 kerana begitu lama berada di hospital? Kenapa tiba-tiba
sahaja heboh dikatakan yang duit pembayar cukai sebanyak itu telah
dihabiskan untuk menjaga seorang banduan walhal tidak pernah berlaku
sebelum itu hal yang seumpama itu? Baiklah, kalau begitu, kita ingin
bertanya dengan barua-barua yang sanggup menjual maruahnya ini - siapa yang
meminta Anwar jadi begitu? Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan Anwar
terlantar sebegitu? Siapa yang bertanggungjawab menyumbatkan Anwar ke
dalam penjara begitu? Sejak bila pula saudara begitu prihatin dengan nasib
pembayar cukai hinggakan RM65,000 itu terlalu besar sangatkah ? Bagaimana
dengan orang yang merompak dan menyamun duit Tabung Haji dan KWSP untuk
menyelamatkan syarikat anak-anaknya yang nak bangkrap itu? Bagaimana pula
dengan orang yang membeli saham MAS dengan harga lebih RM8.00 walhal harga
sebenarnya cuma RM3.40 sahaja? Ini bukan duit pembayar cukaikah? Ini bukan
duit rakyatkah? Apa pandangan saudara tentang hal ini? Kalau anda selesa
menjadi barua, persilakanlah, tak ada orang yang nak melarang, tetapi
jangan lupa yang perhitungan hari akhirat nanti bakal menanti anda dengan
penuh pasti! Seperkara yang terlintas di fikiran saya mengapa beriya-riya sangat Mahathir
tidak mahu membenarkan Anwar dirawat di luar negeri ialah kemungkinan Anwar
akan diziarahi oleh pemimpin-pemimpin asing ketika sedang mendapat rawatan
nanti. Pemimpin-pemimpin seperti Tony Blair, Chirac, Helmut Kohl dan
lain-lain sudah tentu akan menziarahi Anwar ketika beliau sedang dirawat.
Apabila ini berlaku, mungkin Anwar akan dapat menjelaskan sendiri dari mulut
ke mulut kepada mereka dan kesannya, pemimpin-pemimpin tersebut akan
meningkatkan tekanan ke atas Mahathir. Inilah yang sebenarnya amat ditakuti
oleh Mahathir. Bukankah Tony Blair sendiri pernah memberikan amaran ketika
Mahathir mengunjunginya tidak lama dahulu ?
Saya tertarik dengan satu rencana yang disiarkan dalam Harakah keluaran
terbaru, yang pada saya telah menyindir penuh sinis kepada Mahathir sendiri
iaitu artikel bertajuk, 'Di tengah-tengah jahatnya Sukarno dan Suharto,
Masih Ada Timbangrasa Dan Kemanusiaan'. Saya kira rencana ini sudah cukup
untuk menggambarkan betapa Mahathir adalah terlebih teruk dan buruk daripada
bekas dua diktator Indonesia itu. Jelas menggambarkan betapa di sebalik
kezaliman dan kerasnya sikap Sukarno dan Suharto itu terhadap lawan
politiknya, tetapi apabila berdepan dengan musibah kesakitan dan penderitaan
yang dihidapi oleh musuh politiknya , mereka masih boleh bertolak ansur dan
melahirkan simpati. Bukan sekadar itu sahaja, malah membenarkan musuh
politiknya itu mendapatkan rawatan yang sewajarnya sehingga sembuh. Masih
ada nilai kemanusiaan dan sifat insan dalam diri mereka.
Misalnya, diceritakan bagaimana ketika Hamka ditahan, beliau telah diberikan
pelbagai kemudahan yang selayaknya untuk manusia. Bukan sahaja isteri dan
keluarga boleh berjumpa dengan tahanan, malahan pihak keluarga juga
dibenarkan membawa makanan dan diberikan langsung oleh isteri atau anak-anak
kepada tahanan berkenaan. Sutan Syahrir, Ketua Parti Sosialis Indonesia,
perdana menteri termuda Indonesia berumur 29 tahun pada awal merdeka, dia
sakit dan dibenarkan berubat ke Switzerland, yang belanja perubatannya
sepenuhnya ditanggung oleh kerajaan Sukarno.
Meskipun Sukarno zalim dan jahat ketika berkuasa, namun dia masih ada
sedikit rasa kemanusiaan dan dia tetap menghormati bekas pemimpin-pemimpin
Masyumi dan PSI meskipun tetap dipenjarakannya. Namun keluarga tahanan
dapat melihat suami dan ayahnya dengan selesa, sedangkan yang sakit dihantar
ke hospital malahan dibenarkan berubat ke luar negara tanpa halangan dan
sekatan. Dalam kes Jeneral (B) A.H. Nasution yang tidak ditahan tetapi tidak
dibenarkan keluar negara, tetapi apabila isterinya sakit dan ingin berubat
ke Amerika Syarikat, beliau dibenarkan menemani isterinya berubat ke sana
tanpa sekatan. Begitu juga dengan lain-lain tahanan dan musuh politik yang
lain. Mereka telah diberikan layanan dan rawatan yang selayaknya untuk
manusia, meskipun Sukarno dan Suharto bukanlah manusia yang baik orangnya.
Tetapi di dalam hatinya masih ada lagi rasa simpati dan sifat insan terhadap
sesama agama dan bangsa. Adakah Mahathir masih layak dipanggil insan? Adakah Mahathir masih layak
dipanggil manusia? Adakah Mahathir masih layak dipanggil muslim? Inilah
persoalan yang menuntut rasa tanggungjawab untuk setiap orang yang waras dan
sihat akal fikirannya memberikan jawapan. Namun sikap dan dendam yang
ditunjukkannya terhadap Anwar dalam mana kesakitan dan penyakit yang
dihidapi oleh Anwar begitu kritikal dapat menjelaskan kepada kita bahawa
manusia bernama Mahathir itu sudah tidak memiliki walau secebis pun nilai
insan dan sifat manusianya. Kalau haiwan pun masih mempunyai perasaan ihsan
terhadap sesama haiwan, namun ianya tidak pada Mahathir. Baginya, dendam
yang hitam terhadap Anwar tidak akan berampun. Sikap buruk sangka dan
kebenciannya terhadap makhluk yang bernama Anwar Ibrahim sudah tidak dapat
dilukiskan dengan kata-kata. Mimik wajahnya ketika memperkatakan tentang
Anwar sudah dapat menjelaskan tahap kebenciannya itu. Apa sahaja yang
bersangkut paut dengan batang tubuh Anwar tidak harus sama sekali diberikan
simpati dan belas kasihan. Apa sahaja yang keluar dari mulut Anwar atau
'body gesture'nya sekalipun akan tetap dianggap sebagai 'bohong' dan
muslihat politik semata-mata. Bagi saya, selagi Mahathir masih berada dalam ilusi dendam dan kebenciannya
yang tebal terhadap Anwar beliau sama sekali tidak akan kembali menjadi
manusia dan insan. Selagi beliau memiliki hati kering serigalanya , jangan
diharap Anwar akan mendapat sebarang belas simpati untuk mengurangkan
kesakitan dan deritanya itu. Selagi Mahathir masih bersalut hitam hati yang
gersang dari nilai iman dan takwa serta takutkan hari akhirat, usah diharap
apa-apa harapan daripadanya. Jauh sekali untuk pergi berubat keluar negara.
Manusia berhati serigala yang kejam dan bengis seperti itu tidak akan
meletakkan apa-apa simpati yang boleh diharapkan oleh mereka-mereka yang
masih menaruh harapan akan ihsannya. Pada saya, mana mungkin untuk
mengharapkan simpati dari seekor serigala terhadap mangsanya walhal
kerakusan dan lahapnya mengeronyok mangsanya tidak sedikit pun membayangkan
akan perasaan itu. Jika tidak, masakan Anwar mendapat 15 tahun penjara !!
Orang yang tidak mengasihani makhluk yang di bumi, tak akan dikasihani oleh
makhluk yang di langit. Orang yang terputus dari rahmat Allah tidak akan
memiliki hati yang bening dan simpati dengan musibah yang menimpa orang lain!
Apakah hanya maut sahaja bahasa yang sebaik-baiknya untuk melembutkan hati
manusia Mahathir ini? Atau cuma apabila malaikat maut datang dan nyawanya
tinggal di halkum maka baru terpekik terlolong memanggil-manggil nama Anwar?
Kalau begitu, pergi mamposss lah dengan manusia jahannam bernama Mahathir
itu! Cucu Datuk Bahaman
|