Laman Webantu KM2A1: 4397 File Size: 6.5 Kb * |
AM: Sah - Pencabar Aziz Digantung By AM 6/5/2001 11:55 am Sun |
[Rencana ini mengesahkan lapuran di KM2 oleh penulis Kelawar UMNO.
Mustapha Kamal Mat Nawi telah digantung hak bertanding 6 tahun sehingga
tahun 2007. Lawannya, Aziz Shamsuddin tewas dengan 6 undi sahaja.
Mustapha digantung kerana didapati bersalah atas dakwaan 'melanggar
tatatertib pemilihan jawatan'. Oleh itu jawatan ketua bahagian yang
dimenangi adalah terbatal dan akan dipangku oleh timbalan ketua
bahagian sehinggalah pemilihan yang akan datang. Tidak ada pemilihan
semula. Walaupun Mustapha boleh merayu kita sangsi dia akan mendapat simpati
kerana Aziz Shamsuddin adalah orang kanan sang presiden. Mustapha
mungkin bermasaalah untuk membela diri jika orangnya sendiri berjaya
dibeli untuk mengaku melakukan politik wang dalam pemilihan ini.
Sikap hipokrit dan berpura-pura memang menjadi darah daging Umno,
dan kita tidak heran Mustapha terbuang kerana lagikan Anwar boleh
disisihkan dengan beberapa pengakuan seseorang yang pernah berdamping
seiringan. Semasa berita ini ditulis tidak disebut pula bukti kukuh
bagaimana Mustapha melanggar tatatertib kerana tiada lapuran polis
pun dibuat ataupun mahkamah memberi keputusan sedemikian. Sepatutnya
Mustapha dipanggil membela diri dahulu sebelum dijatuhkan hukuman
bukannya dihukum dulu dan diumumkan boleh membuat rayuan. Nampak
jelas tiada keadilan diberikan kerana terhukum gantung secara spontan.
- Editor] Analisis Berita UMNO : DOLLAH KFC & MUSTAPHA KAMAL MAT NAWI DIGANTUNG
BERTANDING HINGGA 2007 Oleh Wartawan AM KUALA LUMPUR, Sabtu 5 Mei - Mustapha Kamal Mat Nawi
yang menewaskan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul
Aziz Shamsuddin dalam pemilihan jawatan ketua Umno Bahagian
Gopeng, Perak adalah salah seorang daripada enam pemimpin
Umno yang digantung hak bertanding hingga 2007 kerana
didapati bersalah atas dakwaan melanggar tatatertib pemilihan
jawatan baru-baru ini. Seorang lagi tokoh yang ditarik balik kemenangannya minggu lalu
ialah Datuk Abdullah Omar atau lebih dikenali sebagai ?Dollah
KFC? yang mengalahkan ketua Umno Bahagian Muar, Abdul
Malik Munip untuk jawatan ketua. Seorang lagi ketua Umno bahagian yang digantung hak
bertanding ialah Datuk Zainol Mat Isa dari Baling, Kedah. Beliau
menewaskan penyandang jawatan, bekas timbalan menteri pusat,
Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman pada pemilihan bulan lalu.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad
Rithauddeen ketika memberitahu demikian dalam satu sidang
akhbar di Ibu Pejabat Umno hari ini, bagaimanapun berkata,
kesemua mereka yang dikenakan tindakan itu berhak
mengemukakan rayuan. Katanya, keputusan ini juga bermakna jawatan yang mereka
menangi pada pemilihan bahagian bulan lalu terbatal dengan
sendirinya. Beliau memberitahu, antara pelanggaran tatatertib yang
dimaksudkan itu ialah menggunakan wang, menganjurkan makan
percuma, menaja percutian dan ugut mengugut.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Sri Abdullah Ahmad
Badawi telah pun memberitahu para wartawan bahawa
mana-mana ketua Umno bahagian yang didapati bersalah oleh
Lembaga Disiplin parti maka keputusan kemenangannya akan
dibatalkan dan pemilihan tidak perlu diadakan semula.
Sebaliknya, jawatan itu akan dipangku oleh timbalan ketua
bahagian sehingga pemilihan akan datang.
Pada pemilihan di Gopeng, Mustapha telah menewaskan Aziz
dengan kelebihan cuma enam undi. Beliau mendapat 135 undi
manakala Aziz yang ketika itu sedang menjalani pembedahan di
Institut Jantung Negara (IJN) mendapat 129 undi.
Kempen pemilihan itu dikatakan cukup sengit hingga ada yang
menyifatkannya jika ada poster calon dipasang ia tidak ubah
seperti kempen pilihan raya kecil. Terdapat juga dakwaan mengatakan ramai yang berpeluang
menjamu selera percuma di coffee house hotel-hotel ternama
sekitar Ipoh semasa kehangatan kempen pemilihan itu dan wang
khabarnya silih berganti tangan. Ada juga desas-desus yang tersebar luas waktu itu mengatakan
terdapat pihak-pihak tertentu yang berusaha bersungguh-sungguh
untuk memastikan kekalahan Aziz sebagai satu tamparan kepada
Perdana Menteri Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad.
Malah ada juga cakap-cakap mengatakan orang-orang dari
Parti Keadilan Nasional sendiri turun padang secara sukarela
?berkempen? untuk memastikan kekalahan Aziz kerana
mendakwa beliau adalah konspirator utama mengakibatkan
kejatuhan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar
Ibrahim. Usaha-usaha yang sama dikatakan digerakkan ke atas bekas
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang bertanding menentang
Tan Sri Ramli Ngah Talib di Pasir Salak.
Sementara itu Dollah KFC yang menewaskan Malik dalam satu
persaingan sengit yang disifatkan sebagai ?The Ceasar Palace
Match? di Johor telah menghadapi masa depan politik yang pada
mulanya kelihatan amat cerah tetapi kini penuh dengan
ketidaktentuan. Abdullah yang menerajui restoran makanan segera KFC sebagai
timbalan pengerusi eksekutif mendapat 254 undi manakala Malik
209 undi. Sekalipun Abdullah sebelum itu mendapat 80 pencalonan
mengatasi Malik yang mendapat kira-kira 40 pencalonan sahaja
ramai para pemerhati politik tempatan meletakkan harapan mereka
50-50. Abdullah sebenarnya gagal dalam cubaan pertama pada tahun
1998 di mana berlaku pertandingan tiga penjuru antaranya, Malik
dan ketua Umno bahagian ketika itu, Abdul Aziz Yassin (abang
kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin). Pada pemilihan tahun itu,
Malik telah berjaya menewaskan Abdullah dan Aziz.
Tetapi kali ini Abdullah berjaya merampas kerusi Umno bahagian
itu dari tangan Malik. Sudah tentulah keputusan Lembaga Disiplin
itu memberi tamparan hebat ke atas masa depan politiknya.
Dalam pada itu, lain-lain pemimpin bahagian yang turut
dibatalkan keputusan pertandingan mereka dan dikenakan
tindakan tatatertib yang sama ialah Ketua Penerangan Gopeng,
Mohd Anuar Baharuddin; Ketua Penerangan Umno Selayang,
Rahmat Abdullah dan Timbalan Ketua Bahagian Bagan Serai,
Perak, Zaki Hj Din. |