Laman Webantu KM2A1: 4482 File Size: 9.4 Kb * |
Azmin dedah kisah benar [Detik] By Detik 16/5/2001 9:00 pm Wed |
http://detik.daily.tripod.com/meia/11hbmeia.htm
di sebalik penghukuman penjara 18 bulan
KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ulu Kelang,
Selangor, Mohd Azmin Ali, yang dijatuhi hukuman 18 bulan penjara oleh
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 2 Mei lalu, mendedahkan telah berlaku
penyelewengan fakta sehingga beliau dihukum bersalah demikian.
Hakim Akhtar Tahir yang mengendalikan perbicaraan selama setahun itu
(10 Mac 2000 - 20 Mac 2001) mendapati Azmin bersalah kerana memberi
keterangan palsu pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar
Ibrahim, dua tahun lalu. "Kes ini bukan kes baru," kata Azmin. "Saya sudah dibebaskan dan
dilepaskan daripada tuduhan ini, pada 13 Julai 1999. Tetapi ia dibuka
semula." Dalam satu ceramah di Markas PAS Taman Melewar, 6 Mei, Azmin yang
juga Ketua Perhubungan keADILan negeri Selangor, menceritakan semula
susur galur kes tersebut, yang bermula sejak beliau ditangkap pada 16
September 1998, sebelum Anwar Ibrahim ditangkap.
Ketika dalam tahanan reman itu, katanya, beliau diugut, ditekan dan
dipukul supaya membuat pengakuan palsu untuk meng'aibkan Anwar.
Beliau diminta membuat pengakuan: "Anwar liwat saya, Anwar beri
rasuah kepada saya, Anwar kaki perempuan, kaki jantan, kaki rasuah.
Ustaz Haron Din kaki betina." Pada 22 September 1998 beliau dibawa ke Mahkamah Majistret dengan
tujuan untuk dilanjutkan tempoh tahanan reman ke atasnya. Di hadapan
Majistret Azhar Othman, beliau memohon supaya tahanan remannya tidak
dilanjutkan, dengan alasan beliau diugut dan didera sewaktu dalam
tahanan. "Dia minta saya mengaku Anwar beri saham beratus juta ringgit kepada
saya. Dia minta saya buat pengakuan saya ada RM400 juta. Saya tidak
boleh terima," kata Azmin menceritakan tekanan pihak polis ke atasnya
sewaktu dalam tahanan reman itu. Antara lain beliau ditanya: Pada tahun 1990 berapa belanja kamu
sebulan? Berapa belanja kamu keluarkan kereta? "Mereka memaksa saya
mengingati transaksi yang berlaku 10 tahun dulu. Mana kita ingat!"
katanya. Oleh itu, katanya kepada Majistret, "untuk berlaku adil kepada saya
dan pihak peguam saya, bebaskan saya supaya saya boleh dapatkan rekod
dan dokumen daripada bank, untuk saya kemukakan kepada pihak polis."
Akhirnya, setelah beliau menceritakan pelbagai tekanan yang dilakukan
ke atasnya, pada 22 September 1998 Majistret Azhar Othman membuat
keputusan: mahkamah memerintah agar tertuduh dibebaskan.
Tidak lama selepas itu Majistret Azhar Othman pun ditukar ke
Terengganu. Apabila Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,
pada Mac 1999 Azmin dipanggil menjadi saksi. Salah satu soalan yang
ditanyakan oleh peguam Christopher Fernando kepadanya ialah: "Apakah
yang berlaku kepada kamu dalam tahanan? Dan apakah yang kamu komplen
kepada Majistret sewaktu prosiding reman tersebut?"
Azmin menjawab di depan Hakim Augustine Paul: "Saya mengatakan kepada
Majistret mengapa saya tidak boleh dilanjutkan tempoh tahanan, kerana
tindakan dan ugutan pihak polis semasa dalam tahanan adalah terlalu
kejam, dan memaksa saya membuat pengakuan yang melibatkan Sdr Anwar."
Ketua Pendakwa Raya dalam kes itu, Ghani Patail, telah mengambil ayat
jawapan Azmin tersebut, lalu membandingkannya dengan nota prosiding
reman di depan Majistret Azhar Othman dulu, dan mengatakan Azmin
berbohong dalam mahkamah, kerana ayat-ayat tersebut tidak sama.
"Itu saja," kata Azmin, bercerita kepada ribuan orang yang membanjiri
markas PAS tersebut, untuk mendapat maklumat sebenar mengenai kes
berkenaan. "Itu saja kesalahan saya," katanya. "Memang benar saya tidak
menggunakan perkataan demi perkataan. Mustahil. Kalau kita bicara
pagi tadi pun, malam ini disuruh ulang balik - apakah kita mampu
ulang perkataan demi perkataan? Sudah tentu tidak. Apatah lagi kes
ini berlaku setelah tujuh lapan bulan. Mustahil. Tetapi maksudnya
sama." Berikutan itu, pada 23 April 1999 Azmin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen
Kuala Lumpur, di depan Hakim Hamdan Indah.
Salah seorang saksi yang dipanggil oleh pendakwa raya adalah
Majistret Azhar Othman sendiri. Dan salah satu soalan yang ditanyakan
oleh hakim kepada saksi tersebut ialah: "Walaupun tertuduh tidak
mengguna perkataan ugut, kejam, secara keseluruhannya mengambil kira
hujah peguam dan tertuduh, bermaksud tertuduh telah dipaksa, diugut
dengan kejam di dalam tahanan." Majistret Azhar Othman yang menjadi saksi pihak pendakwa
menjawab: "Saya fikir begitu." Akhirnya pada 13 Julai 1999, setelah tiga bulan perbicaraan
berlangsung, Hakim Hamdan Indah memutuskan membuang kes itu, dan
membebaskan Azmin daripada tuduhan tersebut.
Tidak berapa lama selepas itu Hakim Hamdan bin Indah ditukar ke
Kementerian Pertahanan. Pihak pendakwa raya tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Mereka
membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi. Ketua Pendakwa Raya ialah Ghani
Patail; manakala hakim yang mendengar kes ini ialah abangnya, Wahab
Patail. (Dalam kes Ezam Mohd Noor baru-baru ini, Wahab Patail berkata beliau
tidak boleh mendengar kes tersebut, kerana Ketua Pendakwa Raya ialah
adiknya, Ghani Patail.) Peguam Azmin ketika itu membuat bantahan. Tetapi Wahab Patail
menjawab: dia profesional. Dan dia dengar juga kes tersebut.
"Maka dalam tempoh dua hari, Ghani Patail bawa kes ini di depan Wahab
Patail," jelas Azmin, "pada 17 Februari Wahab Patail membatalkan
keputusan Hamdan Indah, dan mengarahkan kes ini dibuka semula."
Hakim yang ditetapkan untuk membicarakan kes yang dibuka semula ini
ialah Akhtar Tahir, iaitu hakim yang pada ketika itu sedang
membicarakan kes Rahim Noor. Salah seorang saksi yang dipanggil oleh pihak Azmin untuk disoal
sekali lagi ialah saksi pihak kerajaan, iaitu Majistret Azhar Othman.
Antara lain beliau ditanya: "Setuju atau tidak, walaupun perkataan ugut, paksa dan kejam tidak
direkodkan oleh tuan, tetapi berdasarkan fakta dan hujah yang
dikemukakan oleh peguam dan tertuduh pada masa itu, kesimpulan yang
tak dapat dielakkan ialah tertuduh telah diugut, dipaksa dan
dikejam?" Azhar menjawab: "Saya setuju, tuan." Berdasarkan itu, kata Azmin dalam ceramahnya, beliau terkejut
mendengar hakim membuat keputusan pada 2 Mei 2001, dengan langsung
tidak mengambil kira keterangan dan fakta yang dikemukakan oleh
Majistret Azhar Othman. "Dia hanya berhujah bahawa saya pernah menulis surat kepada polis,
berterima kasih. Sebab itu maknanya polis tak dera saya, tak ugut
saya dan tidak melakukan kekejaman terhadap diri saya."
"Saya mengaku saya ada tulis surat kepada polis, pada 23 September
1998," jelas Azmin, "tetapi bukan berterima kasih kepada mereka."
Mengikut Azmin, apa yang sebenarnya berlaku ialah: sewaktu disoal
siasat ketika dalam tahanan reman September 1998, beliau meminta
pihak polis supaya jangan menekannya untuk mengingat transaksi yang
berlaku 10 tahun yang lepas. "Saya berjanji kalau saya dibebaskan saya akan dapatkan dokumen
berkenaan untuk mereka." Beliau dibebaskan pada 22 September 1998. Esoknya 23 September,
beliau terus pergi ke bank dan syarikat kewangan berkenaan, meminta
semua dokumen mengenai pinjaman kereta dan rumahnya, untuk diserahkan
kepada polis. "Tengahari itu juga saya tulis surat kepada Datuk Yaakob, Ketua
Bahagian Jenayah. Saya kata, `Datuk, saya telah menghubungi semua
institusi kewangan dan bank untuk mendapatkan salinan rekod, dan saya
akan serahkan kepada Datuk sebaik sahaja saya terima salinan ini
daripada pihak-pihak berkenaan.' Dan akhirnya saya tulis
ayat: `Kerjasama Datuk amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih'."
Seterusnya Azmin berkata: "Hakim menggunakan surat itu. Dia
kata, `kamu tulis terima kasih kepada Datuk Yaakob, maknanya polis
tak buat dera kepada kamu'." Azmin menjelaskan bahawa dalam perbicaraan itu peguamnya sendiri
telah bertanya kepadanya: Mengapa kamu tulis: "Kerjasama Datuk
amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih" dalam suratnya kepada
Datuk Yaakob? "Saya beritahu mahkamah: Ini memang cara tradisi kita menulis surat
kepada jabatan kerajaan. Kita menghormati jabatan kerajaan."
Adakah kerana menggunakan ayat tradisi itu di dalam suratnya kepada
pihak polis maka Azmin didapati bersalah dan menerima hukuman 18
bulan penjara? "Ini pembohongan, penyelewengan fakta," kata Azmin, sambil
bertanya: "Kalau kita terima surat daripada Majlis Daerah atau Majlis
Perbandaran, mengenai cukai, yang surat itu diakhiri dengan
ayat "Kerjasama tuan amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih",
apakah itu maknanya kita tak payah bayar cukai?"
(Berita Ini dipetik dari akhbar terbaru terbitan Penerbitan Pemuda
iaitu "Bebaskan" Editor Ahmad Lutfi Othman. Pastikan anda dapatkan
akhbar ini dipasaran.Pengedar pengedar yang berminat menjadi wakil
pengedar sila hubungi Encik Zabidi Morad 019 343 2056)
PENERBITAN PEMUDA |