Laman Webantu KM2A1: 4496 File Size: 30.9 Kb * |
B1: ISA Dari Perspektif Hukum Islam By Ali Muda 18/5/2001 5:49 pm Fri |
http://mindarakyat0.tripod.com/2001mei/2001-1469.htm
1. Pengenalan ringkas ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan oleh parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos 1960 dan di Malaysia Timur pada 'Hari Malaysia' (16hb. September 1963). Akta yang dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) dan tersohor dengan singkatan ISA ini bertujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan orang yang substantial dari dalam dan luar Malaysia:
Sehingga tahun 1969, akta ini telah mengalami perubahan dan
pindaan sebanyak tidak kurang daripada 15 kali, iaitu sekali pada
tahun 1962, tiga kali pada 1963 dan juga 1964, dua kali pada 1965,
masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969 dan sekali pada 1989.
Sejak 1989, tiada sebarang pindaan tercatat sehingga hari ini.
(Lihat Panduan Undang-Undang Am, Jilid I, International Law Book
Services, K. Lumpur, 1998, m.s: 177) Melihat kepada tujuan penggubalan akta ini, ia jelas bermaksud
mencegah perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan negara dan
percubaan menggulingkan secara tidak sah (subversif) sebuah
kerajaan yang tertubuh dengan sah di bawah perlembagaan negara
(melalui pilihan raya demokrasi). Menurut bekas Presiden Majlis
Peguam, Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta ini
kerana berpegang kepada sebab-sebab yang dikemukakan oleh Perdana
Menteri Kedua (Tun Abdul Razak) ketika beliau membentangkan ISA di
Parlimen dahulu atas sebab ancaman subversif dan pengganas komunis
(Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000). Sepatutnya bila pergerakan dan
ancaman komunis telah tidak wujud lagi, akta ini dimansuhkan terus
oleh Parlimen. Tetapi nampaknya kelebihan majoriti 2/3 wakil
UMNO/BN di Parlimen sehingga kini lebih berminat untuk mengekalkan
akta ini demi survival kediktatoran mereka mencengkam rakyat yang
tidak mengikut arus perdana. Berdasarkan objektif mencegah ancaman keganasan dan subversif,
nampaknya ia tidak bertentangan dengan prinsip maslahah `aammah
(kepentingan awam) yang dibawa oleh Islam, jika kerajaan yang
tertubuh itu adalah kerajaan yang adil dan menjalankan
tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.
Tetapi sejarah membuktikan bahawa kewujudan akta ini menjadi lesen
terbesar bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa
pihaknya sentiasa benar, sentiasa memelihara ketenteraman awam
atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama kerajaan memiliki
super power untuk menekan suara kedua atau pendapat alternatif
yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang tidak mampu
dijawab dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang
memerhati dapat memahami bahawa 'ketenteraman awam atau
kepentingan rakyat' yang dilaung-laungkan itu, dalam banyak
keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan
pihak pemerintah. Penangkapan musuh-musuh politik para pemimpin pemerintah pada
tahun 70-an seperti A. Samad Ismail, Said Azhari dan lain-lain,
penangkapan di bawah Operasi Lalang 1987 dan penangkapan Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan rakan seperjuangannya dengan bermulanya kes
pemecatan beliau pada September 1998, adalah amat sukar untuk
diterima bahawa akta ini digunakan untuk tujuan memelihara
ketenteraman negara. Lebih-lebih lagi apabila memerhatikan
sebab-sebab tangkapan di bawah akta ini terhadap tujuh aktivis
reformasi pada 10 dan 11 April lepas (beberapa hari menjelang
penyerahan memorandum rakyat kepada Suhakam, 14hb. April 2001),
penangkapan Dr. Badrul Amin Baharom pada 20 April, Lokman Noor
Adam 24 April dan Pak Din 27 April lalu.
2. Seksyen yang digunakan dalam kes tahanan ISA terkini
Dalam rencana ini saya akan menumpukan peristiwa penahanan sepuluh
orang (setakat ini) aktivis reformasi sebagai bahan kajian, untuk
melihat sejauh mana kedudukan akta yang juga ditafsirkan
sesetengah orang sebagai 'Ikut Suka Aku' ini daripada pandangan
Islam. Menurut sumber polis, para aktivis reformasi itu ditahan di bawah
seksyen (s.) 73 (1) ISA. Sebelum menyebutkan seksyen yang
digunakan untuk membuat penahanan itu, eloklah kita sebutkan
secara salinan semula beberapa seksyen penting yang menarik untuk
kita ketahui daripada keseluruhan 85 seksyen (termasuk s. 9, s. 84
dan beberapa subseksyen yang telah dimansuhkan) yang terdapat di
bawah akta ini. Perlu diterangkan bahawa s. 8 akta ini dipecahkan kepada
subseksyen-subseksyen seperti berikut:
S. 8 (1) 'Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana
orang adalah perlu dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak
dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan
Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan
perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya,
Menteri boleh membuat suatu perintah (yang kemudian daripada ini
disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu ditahan
bagi apa-apa tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
Melalui Akta A705 (1969) penambahan (pindaan) telah dibuat ke atas
s. 8 (1) ini dengan menyatakan bahawa penahanan dalam 'tempoh
peralihan' antara Akta ibu (iaitu akta asal, yang digubal pada
1960) dan Akta A705 ini (1969), adalah sah dan menurut
undang-undang; dan dengan menyatakan bahawa 'Tiada tindakan
guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang
lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk , boleh
dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas
apa-apa alasan selepas mula berkuatkuasanya Akta ini?'
S. 8 (2) Dalam subseksyen (1) 'perkhidmatan perlu', ertinya
apa-apa perkhidmatan, perniagaan, tred, perusahaan, pengilangan
atau atau pekerjaan yang termasuk dalam Jadual Ketiga (senarai
perkhidmatan perlu kepada orang awam - penyalin)
S. 8 (3) Tiap-tiap orang yang ditahan menurut suatu perintah
tahanan hendaklah ditahan di mana-mana tempat (yang kemudian
daripada ini disebut tempat tahanan) sebagaimana Menteri boleh
mengarahkan dan mengikut apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh
Menteri dan apa-apa kaedah yang dibuat di bawah subseksyen (4).
S. 8 (4) Menteri boleh melalui kaedah-kaedah memperuntukkan bagi
penyenggaraan dan pengurusan tempat-tempat tahanan dan bagi
disiplin dan perlakuan terhadap orang-orang yang ditahan di
dalamnya, dan boleh membuat kaedah yang berlainan bagi
tempat-tempat tahanan yang berlainan.
S. 8 (5) Jika Menteri berpuas hati bahawa bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) adalah perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau bahawa sekatan-sekatan dan syarat-syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu adalah tidak perlu untuk menahannya, Menteri boleh membuat satu perintah (yang kemudian daripada ini disebut perintah sekatan) mengenakan ke atas orang itu semua atau apa-apa sekatan dan syarat berikut:
S. 8 (6) Tiap-tiap perintah sekatan hendaklah terus berkuatkuasa
bagi apa-apa tempoh, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana
dinyatakan di dalamnya, dan boleh meliputi suatu arahan oleh
Menteri bahawa orang yang berkenaan dengannya arahan itu dibuat,
hendaklah mengikat suatu bon dengan atau tanpa penjamin dan dengan
apa-apa jumlah sebagaimana dinyatakan bagi pematuhan sewajarnya
sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan ke atasnya.
S. 8 (7) Menteri boleh mengarahkan supaya jangka masa apa-apa
perintah tahanan atau perintah sekatan dilanjutkan bagi apa-apa
tempoh selanjutnya, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana
dinyatakan olehnya, sama ada -
Dengan syarat bahawa jika suatu perintah tahanan
dilanjutkan atas alasan-alasan yang berlainan atau sebahagiannya
atas alasan-alasan yang berlainan, orang yang kepadanya perintah
itu berkaitan, hendaklah mempunyai hak-hak yang sama di bawah
seksyen 11 (salinan perintah daripada Menteri dan hak rayuan
kepada Lembaga Penasihat - penyalin) seolah-olah perintah yang
dilanjutkan sebagaimana tersebut dahulu adalah suatu perintah
baru, dan seksyen 12 (1) (Lembaga Penasihat menimbang dan membuat
syor kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari
tarikh rayuan diterima atau lebih lanjut berdasarkan perkenan Yang
di-Pertuan Agong - penyalin) adalah terpakai dengan sewajarnya.
S. 8 (8) Menteri dari semasa ke semasa dengan notis bertulis boleh
menyampaikan kepada seseorang yang adalah subjek suatu perintah
sekatan mengubah, memotong atau menambah apa-apa sekatan atau
syarat yang dikenakan ke atas orang itu oleh perintah itu, dan
sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang diubahkan dan apa-apa
sekatan atau syarat tambahan yang dikenakan hendaklah, melainkan
terlebih dahulu dipotong, terus berkuatkuasa bagi bahagian tempoh
yang belum tamat yang dinyatakan di bawah subseksyen (6) atau
(7)?. Selain subseksyen di atas, ada beberapa pecahan lain lagi yang
tidak perlu disebutkan semuanya di sini.
Manakala S. 73 (1) pula menyebutkan, 'Mana-mana pegawai polis
boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum
selesai siasatan yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab
untuk mempercayai-
S. 73 (2) 'Mana-mana pegawai polis, sebelum selesai siasatan,
boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang yang
selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai
itu mengenai identitinya atau mengenai maksud-maksud dia berada di
tempat di mana dia dijumpai, dan pegawai itu mengesyaki orang itu
telah bertindak atau hampir bertindak dengan apa cara yang
mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana
bahagian di dalamnya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu
di dalam atau kepada kehidupan ekonominya.'
S. 73 (3) 'Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini
boleh ditahan selama tempoh tidak lebih daripada enam puluh hari
tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah
seksyen 8.' Berdasarkan sebutan seksyen 73(1) di atas, adalah difahami bahawa
aktivis reformasi itu ditahan dengan kuasa polis atas
alasan-alasan yang sama seperti alasan arahan penahanan oleh
Menteri dalam seksyen 8(1), iaitu untuk mencegah daripada
bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada
keselamatan Malaysia; ATAU atas alasan bahawa para aktivis itu
'telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak
dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan
Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan
perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan
ekonominya.' 3. Tuduhan militan Maka Ketua Polis Negara pun memberitahu alasan penahanan mereka
itu ialah kerana mereka didapati merancang mencetuskan demontrasi
jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum
2004. Dikatakan 'bercorak militan' kerana kononnya pihak polis
mendapat maklumat mereka merancang menggunakan alat letupan
seperti bom dan molotov cocktail. Namun sehingga kini polis belum
berupaya menunjukkan kepada umum barang-barang kes, memaklumkan
tempat di mana dan bila mereka membuat pertemuan sulit itu atau
ucapan sulit mereka yang dikatakan ingin mengadakan demonstrasi
'militan'. Apabila disoal tentang bukti 'rancangan jahat' aktivis
reformasi itu di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri Chor Chee
Heung berkata itu 'top secret' polis, tak boleh ditunjuk atau
diberitahu kepada umum. Satu perkara yang amat tidak masuk akal, bahan bukti dan bukti
tuduhan dianggap sebagai 'top secret'. Kalau begitu sesiapa pun
boleh ditahan oleh polis dan boleh diarah ditahan oleh Menteri
Dalam Negeri dengan alasan 'mengancam keselamatan awam'. Bila
ditanya apakah bukti orang itu dituduh mengancam keselamatan awam,
pihak berwajib pun menjawab, 'itu top secret polis, tak boleh bagi
tau?'. Ketua Polis Negara (KPN) pula apabila didesak bertubi-tubi oleh
wartawan tentang adakah polis menemui sebarang senjata sebelum
atau semasa penahanan aktivis itu, jawapan yang diberikan amat
tidak bertanggungjawab, '' the tongue is mightier than weapons''.
(Harakah, 1-15 Mei, 2001) Ini jelas menunjukkan bahawa tiada
sebarang senjata yang boleh dijadikan bukti kewujudan unsur
perjuangan reformasi secara 'militan' yang menjadi alasan
penahanan aktivis itu. Satu-satunya senjata yang mereka miliki
ialah 'lidah,' yang disifatkan oleh KPN sebagai 'lebih bahaya
daripada senjata'. Jadi mereka ditangkap kerana berjuang dengan
senjata 'lidah'. Nampaknya di Malaysia sekarang, bercakap dan berucap menjadi
kesalahan, apabila ucapan dan percakapan itu tidak searus dengan
aliran perdana yang memerintah. Polis boleh menangkap anda kerana
bersenjatakan lidah (atau pena) mengkritik elit politik negara
atas dakwaan membangkitkan perjuangan 'militan' dan 'mengancam
keselamatan negara'. 'Militan' tidak lagi merujuk kepada senjata
api, bom dan pertempuran berdarah, tetapi dengan tafsiran baru
iaitu 'senjata lidah yang lebih bahaya daripada senjata api'.
Ini sudah jadi macam sebuah police state, atau sebuah negara yang
mempunyai polis rahsia seperti Israel. Polis menjadi polis,
penyiasat, pendakwa dan hakim dalam satu masa untuk menjatuhkan
hukuman di mahkamahnya sendiri (ibu pejabat atau balai polis). Apa
sudah jadi dengan 'negara Islam' Malaysia ini? Polis bukan lagi
memberi ketenteraman kepada rakyat, tapi sudah jadi alat untuk
menekan dan menyakitkan rakyat, bermaharajalela dan berlagak
seperti samseng di bawah seksyen 73 ISA, terutama terhadap rakyat
yang tidak menyokong kerajaan. Apa tidak samsengnya kalau segala tindakannya langsung tidak boleh
dipersoal? Kalau dipersoal pun, si penyoal tidak berhak untuk
mendapat jawapan tentang alasan sebenar penahanan itu dan bukti
bagaimana alasan itu timbul. Polis juga mendapat kuasa menceroboh
tanpa arahan mahkamah (waran) premis-premis persendirian seperti
tindakan ala Desprado yang berlaku semasa penahanan Datuk Seri
Anwar Ibrahim di rumahnya. Polis juga telah membuktikan samsengnya
di bawah akta ini melalui peristiwa lebam mata bekas Timbalan
Perdana Menteri itu semasa dalam tahanan. Bahkan polis diberi
lesen untuk melepaskan tembakan jika orang yang diperintah untuk
ditahan cuba melarikan diri - S. 74 (2) ISA. Ini juga semacam
polis rahsia Israel, Mossad. Mungkin polis berhujah mereka bertindak menurut kuasa dan
undang-undang yang diperuntukkan dalam ISA. Undang-undang itu
diluluskan oleh Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat
sejak 1960. Soalnya adakah undang-undang yang bertentangan
semangat demokrasi, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Perlembagaan,
lebih-lebih lagi bertentangan dengan hukum Islam, wajib dilaksana
dan dikuatkuasakan juga oleh polis yang bertanggungjawab kepada
'negara Islam' Malaysia ini? Sedangkan banyak laporan tentang
salah laku anggota pemerintah yang tidak dibuktikan proses
penyiasatannya oleh polis, apatah lagi hendak menangkap. Dalam
menguatkuasakan undang-undang yang memberi keuntungan kepada
pemerintah dan melemahkan pembangkang, polis bertindak tegas
seperti malaikat yang melaksanakan perintah Tuhan secara mutlak
sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah ayat al-Quran yang
bermaksud; 'Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli
keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri
daripada manusia dan batu-batan, ia dijaga oleh para malaikat yang
kasar lagi keras, sedikit pun tidak mengingkari perintah Allah dan
melakukan apa sahaja yang diperintahkan.' (al-Tahrim: 6)
Dalam menguatkuasakan ISA ini, polis seolah-olah telah
mempertuhankan orang yang memerintah undang-undang draconian itu
digunakan, tanpa sebarang bantahan, seperti malaikat yang tidak
membantah perintah Tuhan. Malaikat terpuji dengan sifat itu,
tetapi manusia terkeji apabila bersifat seperti malaikat terhadap
manusia lain yang diberi kedudukan seperti tuhan.
Tulisan ini tidak sekali-sekali berniat untuk memburukkan imej
polis di mata masyarakat, tetapi dalam kes penahanan ISA
akhir-akhir ini, untuk ke sekian kalinya mempamerkan imej yang
buruk itu. Dan ini juga tidak menggambarkan semua unit polis,
kerana unit-unit yang lain didapati menjalankan tugas dengan baik
dan cemerlang demi ketenteraman rakyat. Sekiranya apa yang ditulis
tentang penahanan ISA kali ini tidak benar, masyarakat akan
menolak mentah-mentah tulisan ini. Saya juga sedar, dengan menulis
rencana ini, bahawa saya terdedah kepada pendakwaan di bawah
beberapa akta reka cipta penjajah (yang dikekalkan oleh rejim
UMNO/BN) seperti Akta Hasutan dan Akta ISA sendiri. Tetapi demi
Islam yang benar, demi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam, demi
Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran rahmat untuk seluruh alam,
saya menggagahkan diri untuk mencegah kemungkaran ISA setakat
kemampuan saya dengan cara ini. 4. Respon media kerajaan Pihak kerajaan dan penyokongnya sudah pasti mengatakan penahanan
di bawah ISA ini wajar, dan kesal kerana kerajaan kononnya dituduh
mencabul hak asasi manusia. Para pengampu yang dulu pernah ditahan
di bawah akta yang sama pun kali ini menyokong penuh penahanan
lapan aktivis itu sambil memberi kepercayaan kononnya polis mesti
bertindak berlandaskan 'bukti kukuh'. Ini juga seolah-olah
meletakkan pasukan polis sebagai satu pasukan 'malaikat' yang tak
pernah silap. Polis buatlah apa sahaja pun, sudah pasti polis
betul, walaupun gagal membuktikan tuduhan ke atas orang yang kena
tahan. Cuma seorang kolumnis Berita Harian (edisi 28 April 2001) yang
agak rasional dalam kolumnya 'Bila Sauh Dilabuh'. Wartawan veteran
itu juga pernah diISAkan pada tahun 70-an selama hampir lima tahun
tanpa tuduhan berasas dan sebarang perbicaraan. Beliau berpendapat
bahawa ISA sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menentang
suara yang tidak sehaluan, yang bukan komunis. Pihak yang
memangsai beliau pada 70-an itu juga ialah para pemimpin UMNO,
tegasnya. Dan UMNO itu jugalah yang menerkam dan menggigit
mangsanya hari ini dengan kuku dan taring ISA.
Sedangkan inilah satu bentuk kediktatoran (istibdad) dan
perhambaan (isti`bad), apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang
ada kuasa, justifikasinya adalah benar dan betul. Rakyat juga
wajib menerimanya sebagai betul dan adil. Demi Allah, inilah
gambaran masyarakat manusia yang hidup di zaman Firaun dulu. Apa
sahaja kata Firaun, maka dia pasti betul. Apa sahaja tindakan
orang suruhan Firaun (al-Quran menamakan mereka sebagai al-Mala?),
maka sudah pasti benar kerana mereka bertindak berasaskan 'bukti
kukuh' dan 'sah' menurut timbangan undang-undang Firaun. Hari ini
ISA adalah undang-undang yang sah menurut pertimbangan ISA yang
diwujudkan di zaman ancaman komunis, BUKAN sah menurut
perlembagaan negara, deklarasi hak asasi manusia, apatah lagi
menurut prinsip keadilan Islam. Keangkuhan mereka yang memiliki kuasa amat melampau. Cadangan
sebuah suruhan jaya yang ditubuhkan khas oleh Parlimen untuk
memantau kebebasan asasi di Malaysia (Suhakam) dalam sebuah negara
demokrasi dikatakan hanya semata-mata cadangan dan kerajaan tidak
terikat dengan cadangan itu. Ada pula yang mengatakan Suhakam
tidak berhak mempertikai tindakan tidak demokratik orang suruhan
kerajaan (polis), kerana kononnya Suhakam tidak diberi
tanggungjawab menjaga keselamatan awam.
Polis pula nampaknya berdolak-dalik. Mula-mula KPN berkata boleh
buat permohonan rasmi untuk bertemu dengan aktivis reformasi yang
ditahan itu dan tiada masalah untuk menimbang permohonan yang
mengikut prosedur (Utusan Malaysia, 13 April 2001). Kini, mahkamah
diberitahu bahawa KPN tidak membenarkan lawatan terhadap tahanan
kerana tidak mahu menjejaskan siasatan (Mingguan Malaysia, 29
April). Apakah jenis siasatan pun kita tak tahu, sehingga nak
bertemu dan melihat sekejap mangsa tahanan pun tak boleh. Apa yang
hendak disiasat sehingga perlu ditahan selama 60 hari tanpa arahan
hakim di mahkamah, melainkan pegawai polis itu sendiri yang
menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman 60 hari penjara. Cuma kita
pernah dengar daripada bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd
Said Awang memberitahu mahkamah bahawa polis mengamalkan teknik
torture (fizikal dan mental) dan brainwash untuk mengubah
pendirian mangsa kepada pendirian yang sama dengan kehendak polis.
Ini dinamakan proses turn-over atau neutralise. Mungkin ini yang
memerlukan masa sehingga 60 hari dan perbuatan kotor yang tiada
peri kemanusiaan ini perlu dirahsiakan daripada pengetahuan awam,
termasuk Suhakam. Adakah polis memiliki sebarang hak untuk menyekat wakil Suhakam,
ahli keluarga dan doktor daripada bertemu dengan tahanan ISA?
Ataupun kerana ada sesuatu perkara yang hendak disembunyikan?
Kemungkinan polis melakukan sesuatu di luar bidang kuasa dan
undang-undang tidak dapat ditolak lagi apabila ada bukti kes mata
lebam angkara perbuatan jahat orang yang berpangkat KPN juga (kini
bekas). Jaminan mulut Timbalan KPN, Datuk Jamil Johari bahawa
'semua tahanan selamat di bawah jagaan polis dan tiada siapa yang
lebih selamat jagaannya daripada polis', tidak mudah untuk
diterima begitu saja. Ini memandangkan bekas KPN itu dulu pun
bermanis muka di depan orang awam kononnya Datuk Seri Anwar
Ibrahim berada dalam jagaan polis dengan selamat dan beliau sihat
walafiat. Sedangkan dia baru sahaja selesai memukul mangsa ISA
sehingga pengsan dan lebam mata yang kesan deritanya ditanggung
mangsa itu sehingga sekarang. (Sehingga saat ini diberitakan enam
tahanan Isa tersebut telah dibenarkan bertemu anak isteri mereka)
Itulah dia gambaran nasib 'penjenayah' yang dihukum menurut ISA.
Kesalahannya ialah memerangi kerajaan dengan senjata 'lidah' yang
dianggap lebih bahaya daripada senjata api. Soalnya sekarang,
(kalau benar demonstrasi jalanan mengancam keselamatan), sekiranya
salah satu cadangan Suhakam (yang telah dicadangkan oleh Barisan
Alternatif lama sebelum kewujudan Suhakam) diterima pakai, iaitu
berkenaan hak berhimpun di tempat yang terkawal seperti stadium,
dewan seperti di PWTC, tanah lapang hak persendirian dan lain-lain
seperti yang dibenarkan kepada perhimpunan anjuran UMNO/BN, adakah
para aktivis reformasi itu akan berarak dan berdemonstrasi lagi di
tengah jalan? Tetapi kerajaan nampaknya tidak berani membenarkan
perhimpunan aman di tempat yang terjamin keamanannya itu dengan
menggunakan kuasa polis (tidak mengeluarkan permit perhimpunan)
berbanding kalau perhimpunan itu anjuran UMNO/BN. Bahkan kalau
anjuran UMNO/BN, tiada permit polis pun tidak dikira perhimpunan
haram walaupun perhimpunan yang membakar api perkauman. Jadi
perhimpunan yang tiada permit hanya haram untuk BA, tidak untuk
UMNO/BN. Lebih merimaskan lagi apabila ada orang yang berada di kelas
intelek tetapi telah memberi pandangan yang mencemarkan
intelektualismenya dengan mendakwa Suhakam menyusahkan kerajaan
dan memberi pandangan yang sama dengan suara minoriti iaitu
pembangkang (kenyataan seorang menteri luar yang berkelulusan
undang-undang). Kenyataan ini telah membodohkan si penanya dan si
penjawab yang mengadakan wawancara yang disiarkan oleh sebuah
akhbar perdana yang tabiatnya menyiarkan berita politik yang
meloyakan dengan perencah pembohongan (seperti mengatakan John R.
Mallot dan para pemimpin BA menghadiri 'pertemuan sulit' KeADILan
di Kuala Lumpur). Para wartawannya pula nampak terlalu bodoh dan
kehingusan tentang undang-undang perlembagaan apabila mengemukakan
soalan (sebenarnya pegangan) di depan Timbalan Pengerusi Suhakam
kononnya 'Suhakam jelas hanya condong kepada pihak pembangkang
sahaja' dan mendakwa 'Suhakam sebagai lebih sudu daripada kuah'.
(Lihat Mingguan Malaysia, 29 April 2001)
Namun inilah mentaliti pihak kerajaan dan para penyokong kerajaan.
Mereka seolah-olah telah menelan kepercayaan bahawa kerajaan yang
ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang diturunkan dari langit
(the revealed rulers) atau pemimpin kerajaan itu semua telah
dilahirkan, bahkan telah ditakdirkan sejak azali untuk menjadi
pemimpin kerajaan Malaysia, bukan menjadi kerajaan atas dasar
pilihan raya demokrasi dan mereka hanyalah wakil-wakil kepada
rakyat yang berkuasa. Oleh itu, rakyat tidak harus membantah atau
merentangi arus perdana kerajaan 'yang diturunkan dari langit'
walaupun kerajaan berada dalam situasi yang salah (antara
kesalahannya ialah mengekalkan ISA yang zalim dan bercanggah
dengan nilai keadilan sejagat). Pihak penyokong kerajaan
seolah-olah telah menjadikan diri mereka berfikir seperti hamba
kulit hitam di Eropah yang mempercayai bahawa tuan mereka tidak
boleh dilawan kerena tuan itulah yang memberi mereka makan. Macam
mana zalim pun tuan itu, dia mesti dipatuhi. Kalau tidak si hamba
tidak boleh hidup, kerana bekalan makanan hanya terdapat di tangan
si tuan. Ini sebenarnya satu bentuk pengabdian kepada al-Toghut (iaitu
segala perkara selain Allah s.w.t. yang ditaati tanpa soal),
sedangkan setiap rasul diutuskan kepada setiap umat untuk
menghapuskan pengabdian kepada al-Toghut ini. Maksud firman Allah
s.w.t: 'Sesungguhnya Kami telah utuskan rasul bagi setiap umat untuk
menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi
al-Toghut' (al-Nahl: 36) 5. ISA undang-undang draconian zaman purba dan pertengahan
Raja Namrud, dinasti Firaun dan pemerintahan Raja-Paderi (atau
King-Pope) di Eropah terkenal dalam sejarah manusia mengamalkan
undang-undang memaksa rakyatnya tunduk tanpa soal kepada
pemerintah, peraturan siapa berkuasa dia pasti betul. Cuma mereka
mungkin tidak mempunyai undang-undang yang bertulis seperti ISA di
Malaysia dan beberapa negara lain. Pemerintahan campuran King-Pope zaman pertengahan di Eropah
(antara 500 - 1500 Masihi) mengamalkan peraturan rakyat wajib
mengikut pendapat pemerintah sehingga diwujudkan Court of
Inquisition (Mahkamah Pemeriksaan) untuk memastikan rakyat taat
tanpa sebarang soal. Sesiapa yang didapati ataupun disyaki
mengeluarkan pendapat bertentangan dengan pemerintah akan dihukum
bunuh termasuk dibakar hidup-hidup. Ramai saintis dihukum bunuh
atau penjara kerana mengeluarkan pendapat baru yang bertentangan
dengan arus perdana istana-gereja. Inilah antara faktor yang
membangkitkan rakyat melakukan revolusi dan reformasi agama
pimpinan Martin Luther pada 1517 untuk menentang pemerintahan
istana yang dicorakkan oleh gereja. Akhirnya masyarakat Eropah
menukar sistem pemerintahan daripada beraja mutlak (sistem feudal)
kepada demokrasi bebas dan daripada beragama di bawah payung
gereja kepada sekularisme yang membuang agama acuan gereja.
ISA adalah umpama peraturan yang diamalkan oleh Court of
Inquisition di Eropah dulu. Polis-polis yang menguatkuasakan
peraturan ISA itu adalah sama dengan para Inquisitors yang
merisik, menangkap, mengurung dalam bilik gelap, menyiksa tanpa
peri kemanusiaan dan menafikan hak bertemu keluarga dan membela
diri bagi orang tahanan. Penderaan fizikal dan mental dilakukan
selagi tahanan tidak mengaku salah atau berjanji untuk mengubah
pendirian. Polis Cawangan Khas di Malaysia menamakan proses
pemeriksaan/siasatan Inquisitor ini sebagai proses neutralise atau
turn-over. Hak untuk menangkap tanpa waran diberikan kepada polis
hanya berdasarkan syak, bukan bukti. Tempoh tahanan untuk proses
'siasatan' yang sebenarnya neutralise dan turn-over itu memakan
masa sehingga 60 hari tanpa arahan mahkamah. Tempoh 60 hari itu
hakikatnya adalah 'hukuman' yang dijatuhkan oleh polis, bukan
tempoh siasatan. Undang-undang perlembagaan tidak membenarkan
seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi
tempoh 24 jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan
orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa
majistret itu (Perkara 5 Fasal 4, Perlembagaan Persekutuan).
Selepas itu Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan supaya tempoh
tahanan disambung maksimum dua tahun-dua tahun jika menteri itu
'berpuas hati' bahawa tahanan adalah 'perlu' untuk mencegah
tindakan yang 'mengancam keselamatan negara'. Di sini menteri pula
berkuasa menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman penjara, juga
tanpa hak untuk membela diri bagi tertuduh. Ini juga bertentangan
dengan Perlembagaan seperti tersebut di atas.
alimuda@hotmail.com 20 Safar 1422 (14/5/2001) Link Reference : MR2: Ustaz Ali Muda - ISA |