Laman Webantu KM2A1: 4497 File Size: 25.7 Kb * |
B2: ISA Dari Perspektif Hukum Islam By Ali Muda 18/5/2001 4:49 pm Fri |
http://mindarakyat0.tripod.com/2001mei/2001-1469.htm
Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam.
Bagaimanakah pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang
sebegini menindas rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan?
Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam sebarang hukum yang
membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan tanpa
bicara terhadap yang tertuduh? Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran,
kitab hadis dan kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam
hubungan rakyat-pemerintah. Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili rakyat
ditaati selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w.
Allah s.w.t. berfirman maksudnya: 'Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah,
taatilah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri (wali, penjaga, ketua dan
pemerintah) di kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih pendapat
dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk Allah
(al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah) sekiranya kamu benar-benar
beriman kepada Allah dan hari Akhirat?' (al-Nisa': 59)
Dalam mentaati Ulil Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang
mutlak kerana sekiranya begitu, ia (Ulil Amri) itu telah menjadi
al-Toghut dan ini bertentangan dengan kehendak ayat al-Nahl: 36
yang dibawakan sebelum ini. Sedangkan ketaatan kepada Allah dan
Rasul itu tidak boleh dijual beli atau dikompromi dengan sesuatu
apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang dikompromi
dengan selain Allah dan Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang
berpura-pura beriman di atas kekufuran yang diselindungi.
Jadi Ulil Amri yang wajib ditaati ialah pemerintah yang telah
taatkan Allah dan Rasul sedangkan dia tidak mengeluarkan perintah
melainkan yang bertepatan ataupun tidak bercanggah dengan perintah
Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil Amri itu mengeluarkan
perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan
Islam, maka tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan haram
mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh.
Ini adalah hukum untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini
bertepatan dengan ajaran baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang
bermaksud: 'Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan
hanyalah dalam perkara makruf' (Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih
Muslim, Bab al-Imarah 8/39; dan lain-lain)
Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan
perbincangan hukum dalam hubungan rakyat -pemerintah. Bahkan ada
bab khusus yang membahaskan persoalan ini dalam kitab feqah yang
dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan kepada perundangan
lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan hadis. Bab
tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang Pemberontak
Bersenjata) dalam kitab-kitab feqah. Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari
ialah Ulil Amri ketika zaman ulama penulis kitab-kitab itu
merupakan pemerintah yang sedang mentadbir sebuah daulah (negara)
Islam dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber
perundangan dan pentadbiran mereka.(Perlu disebutkan bahawa sistem
khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah telah
dihapuskan secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada
Mac 1924). Walaupun di kalangan khalifah yang menjadi pemerintah
ketika itu ada yang disejarahkan sebagai zalim atau fasiq (tanpa
pengesahan jelas tentang kezaliman mereka selain daripada tulisan
para penulis buku sejarah), namun perundangan masih bersumberkan
dua sumber wahyu Allah s.w.t. itu. Ulil Amri umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka
bukan lagi menjalankan amanah rakyat di bawah daulah Islam, tetapi
negara moden dengan sistem pentadbiran sekular yang dianugerahkan
oleh penjajah kepada mereka setelah penjajah selesaikan 'tugas'
mereka di tanah jajahan. Antara 'tugas' penjajah ialah (1)
menyelenggarakan undang-undang di tanah jajahan berdasarkan restu
kerajaan mereka; (2) menyediakan pelapis daripada kalangan anak
tempatan yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas
anugerah 'kemerdekaan'. Para pelapis ini disediakan melalui sistem
pendidikan dan media; dan (3) meninggalkan undang-undang (seperti
undang-undang ISA) yang boleh memelihara survival kerajaan baru
yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka. Ulil Amri
kini lebih berkiblatkan kemajuan barat daripada berkiblatkan
petunjuk al-Quran dan sunnah. Bahkan ada antara mereka yang
mencela perundangan Islam yang terhasil daripada petunjuk wahyu
itu. Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka
mereka tiada hak lagi bagi mereka untuk mewajibkan ketaatan
daripada rakyat berdasarkan ayat al-Nisa': 59 itu.
Ulil Amri kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang
digunakan di zaman pemerintahan beraja dan diktator berkuku besi
yang memaksa rakyat tunduk tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat
tidak mampu menyoal 'kenapa'?, apatah lagi untuk berkata 'tidak!'
terhadap kehendak pemerintah. 7. Al-Bughah dalam perundangan Islam
Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan
Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud:
'Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka
damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah
menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan
yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan
meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka
damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah,
sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.'
Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang
al-Bughah. Antaranya:
Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh
didapati dalam kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam
al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai al-Islami (2/671-673)
karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-kitab lain.
Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam tentang al-Bughah (pemberontak bersenjata) seperti di bawah:
Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan penentang
pemerintah, barulah mereka dikira al-Bughah dan wajiblah
pemerintah mencegah perbuatan mereka secara hikmah, bukan terus
menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh mereka. Ini
berdasarkan ayat 9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang
pertama sekali memerintahkan supaya diadakan perdamaian.
Perdamaian ini boleh dicapai dengan pertemuan, perbincangan,
muzakarah dan soal-jawab supaya semua pihak berpuas hati. Peluang
mesti diberikan secara saksama kepada kedua-dua pihak untuk
menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya satu pihak
(pemerintah) yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan (yang
merupakan hak semua rakyat yang membayar cukai) seperti siaran tv
dan radio, akhbar-akhbar perdana, stadium, dewan-dewan serba guna
dan sebagainya. Sekiranya kemudahan itu tidak boleh diberikan juga
kepada rakyat pembangkang, batalkan peraturan mengutip cukai ke
atas mereka dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan
kemudahan siaran suara mereka sendiri dengan sekatan permit.
Sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat
sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah,
maka ada di kalangan mereka yang tidak mampu lagi duduk diam lalu
keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata,
ketika itu mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah
tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara.
Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan
kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu
adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq
dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya
daripada terus berlaku fasiq dan zalim.
Tentang perkara ini Ibn `Abidin menyebutkan dalam kitabnya al-Durr
al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430)
bahawa 'keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat
bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya adalah menjadi
kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana
tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf?.' (Dr. `Awdah,
ibid, m.s. 675) Tindakan aktivis reformasi keluar berdemontrasi disebabkan mereka
tidak diberi ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak
kerajaan dan penyokongnya miliki. Apatah lagi apa yang mereka
ingin suarakan ialah tentang ketidakadilan pemerintah dalam
membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat,
penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar
sekali ialah kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar
jasanya kepada negara dengan membuat tuduhan zina dan liwat tanpa
saksi. Jadi mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf
pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah, pemberontak atau penceroboh.
Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam konteks
pertikaian sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak
dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah
jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan
seluruh agama dunia. Jika pemerintah telah melakukan pencerobohan,
maka ayat itu menyuruh ''jika salah satu kumpulan telah menceroboh
ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang
menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan
meninggalkan perbuatan menceroboh)''. Maka berdasarkan mesej
daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang yang mengaku beriman
dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu
pemerintah) ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan
dengan pemerintah). Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, 'Antara perkara
yang disepakati oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak
harus pemerintah memerangi al-Bughah sebelum diketahui sebab
penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa tentang kezaliman dan
penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka menjadi
kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan
itu. Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali
taat dan mereka wajib kembali taat (selepas kezaliman dan
penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah
berhak memerangi mereka'' (ibid, m.s. 679)
Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak
bersenjata yang diajar oleh Islam (al-Bughah), maka tindakan
aktivis reformasi TIDAK SEDIKIT PUN menjadikan diri mereka sebagai
al-Bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah. Ini berdasarkan
sebab-sebab berikut:
Sekiranya mereka bukanlah al-Bughah seperti yang diperuntukkan
dalam syariah Islam, maka perbuatan 'agamawan' UMNO (tidak sesuai
untuk dinamakan ulama) menggunakan nas-nas hadis tentang hukuman
al-Bughah seperti di atas adalah satu perbuatan menyelewengkan
amanat Nabi s.a.w. dan cuba mengadakan pendustaan di atas nama
Islam. Nampaknya agamawan UMNO seperti Astora Jabat, Wan Zahidi WanTeh,
Mustafa Taib dan suku-sakatnya dalam JAKIM dan YADIM kerap
menggunakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn
`Abbas r.a. yang bermaksud 'Sesiapa yang melihat sesuatu perkara
yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar.
Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun
sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.'
'Sesuatu perkara yang tidak disukai'? itu ditafsirkan oleh
agamawan-agamawan terbabit sebagai semua perkara yang tidak
disukai rakyat termasuk perkara maksiat dan kezaliman pemerintah.
Menurut mereka, rakyat tidak harus sama sekali menentang
pemerintah berdasarkan hadis ini. Rakyat kena bersabar sahaja.
Ini merupakan satu pendustaan dalam agama. Sebab pendustaan ini
dilakukan mungkin kerana mereka jahil atau tidak cukup ilmu atau
cuai tentang hadis lain yang mengkhususkan hadis ini, walaupun
mereka tidak akan mengaku kejahilan mereka. Kalau benar mereka
tidak jahil tentang hadis yang mengkhususkan itu dan mereka
mengetahui serta sedar akan maknanya, maka sesungguhnya mereka
telah melakukan kesalahan yang besar iaitu menjual agama Allah
s.w.t. dengan dunia yang sedikit. Kita mengatakan mungkin mereka jahil kerana mereka gagal
menyelaraskan hadis yang membawa makna umum di atas dengan hadis
yang mengkhususkan makna umum itu. Ajaran mereka itu menyebabkan
berlaku percanggahan antara nas-nas yang sahih. Cuba kita lihat
satu hadis lain yang boleh difahami sebagai bercanggah dengan
hadis daripada Ibn `Abbas di atas jika tidak dilakukan
penyelarasan antara hadis yang umum dengan hadis yang khusus.
Hadis itu ialah yang bermaksud; 'Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah
dia mencegahnya dengan tangan, kalau tidak mampu, dengan lidah,
kalau tidak mampu, dengan hati, yang demikian itu (cegah dengan
rasa benci di hati) adalah selemah-lemah iman.' (Riwayat Muslim
daripada Abu Sa`id al-Khudri) Apakah mungkin Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam dua perkara
yang bertentangan? Dalam hadis Abu Sa`id al-Khudri ini baginda
menyuruh sesiapa yang melihat kemungkaran (tanpa menyebut siapa
yang melakukan kemungkaran itu) hendaklah dia mencegahnya setakat
kemampuannya sama ada dengan tangan (kekuatan) atau lidah atau
hati. Tetapi mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman.
Adakah mungkin baginda menyongsang ajaran baginda sendiri dengan
menyuruh supaya bersabar sahaja terhadap kemungkaran pemerintah
sehingga mengkritik (mencegah dengan lidah) pun tidak boleh? Tidak
mungkin! Sebaliknya bila diteliti betul-betul keumuman makna 'sesuatu
perkara yang tidak disukai?' dalam hadis riwayat Ibn `Abbas itu
khusus untuk perkara-perkara yang bukan kemungkaran seperti bentuk
fizikal atau asal keturunan seseorang pemerintah itu. Ada pun bila
pemerintah sendiri melakukan kemungkaran (yang sudah pasti rakyat
yang beriman tidak menyukainya), maka mencegahnya dengan lisdah
dan hati adalah wajib. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis
sahih yang lain yang bermaksud; 'Dengar dan taatlah, walaupun pemerintah yang dilantik ke atas
kamu merupakan seorang hamba kulit hitam yang kepalanya berbentuk
seperti sebiji anggur.' (Riwayat al-Bukhari daripada Anas bin
Malik) Sifat-sifat fizikal luaran pemerintah inilah yang dimaksudkan
dengan 'sesuatu perkara yang tidak disukai'? dalam hadis Ibn
`Abbas tadi, iaitu sesuatu perkara yang tidak disukai oleh rakyat
tetapi bukan termasuk kemungkaran. Jadi hadis Ibn `Abbas itu ialah
hadis umum yang makna sebenar hanya boleh difahami secara betul
setelah dikhususkan oleh hadis Anas bin Malik tersebut. Kalau
tidak dikhususkan, ia boleh bercanggah dengan maksud hadis Abu
Sa`id al-Khudri pula. Dalam ilmu Usul al-Fiqh, percanggahan makna
antara dua atau lebih nas yang sahih sebegini dipanggil
al-ta`arudh. Masalah Al-ta`arudh ini mesti diungkai supaya semua
nas yang sahih dapat diamalkan (ma'mul bihi)dan tiada mana-mana
nas sahih yang terabai (muhmal). Tidak menjadi masalah kalau nas
yang bercaggah itu adalah antara yang sahih dengan yang dhaif,
kerana yang dhaif itu boleh dibuang terus. Tetapi jika
kedua-duanya adalah nas yang sahih, maka adalah wajib ke atas
orang yang beriman beramal dengan semua perintah wahyu yang sahih.
Soalnya, bagaimana hendak beramal jika antara kedua-duanya ada
percanggahan? Inilah yang perlu diselesaikan secara penyelarasan
atau menghimpunkan (al-jam`u) antara nas-nas itu, iaitu nas yang
umum dihimpunkan bersama nas yang khusus lalu dikeluarkan makna
yang paling dekat dengan tujuan umum syariat (maqasid syar`iyyah)
Di sinilah terletak peri pentingnya kefahaman mendalam terhadap
ilmu Usul al-Fiqh sebelum berhujah dengan mana-mana nas. Jika
tidak, seseorang itu akan dilihat terumbang-ambing bila dibacakan
nas lain yang bercanggah dengan maksud umum yang tidak dikehendaki
dalam syariah. Inilah antara punca agamawan UMNO tidak stabil bila
berhujah dan lebih suka berucap secara sehala kerana tidak berani
menghadapi soalan daripada audiens. Kalau ada soal-jawab pun,
jawapannya dilencongkan ke tempat lain daripada kehendak soalan si
penyoal. 8. Penutup Berdasarkan perbahasan di atas, bolehlah disimpulkan
perkara-perkara di bawah:
Akhir sekali saya memohon maaf di atas kelewatan menyiapkan
rencana ini. Janji untuk menyiapkannya dalam masa beberapa hari
hanya terlaksana setelah sebulan berlalu, disebabkan
halangan-halangan yang tidak mampu saya elakkan. Inilah sahaja
sumbangan kecil saya untuk membela mangsa ISA selama ini dan juga
ahli keluarga mereka yang saya ibaratkan sebagai 'seberat-berat
mata memandang berat lagi bahu yang memikul'.
Sekian salam sejahtera daripada saya, wassalam `ala man ittiba`a
al-huda. alimuda@hotmail.com 20 Safar 1422 (14/5/2001) ....tamat.... Link Reference : MR2: Ustaz Ali Muda - ISA |