Laman Webantu KM2A1: 4527 File Size: 13.3 Kb * |
TAG SP 127: Darurat di Malaysia By Harun Rashid 23/5/2001 10:12 am Wed |
TAG 127 [Jika Mahathir begitu kuat dia tidak akan menggunakan ISA.
Beliau sudah merasa tergugat sehingga terdesak menggunakan akta
zalim itu dengan alasan palsu aktivis reformasi mahu berperanng
dengan peluru tentera yang hidup sedangkan dengan peluru kata
sahaja pun BN sudah jatuh sebelum tersentuh. Dan gambar Anwar
yang lebam sahaja sudah cukup untuk menggegarkan sebarang pemilu
sehingga Mahathir menjadi cemburu ia lebih laku dari gambar mudanya
dahulu. Lagipun Mahathir sendiri mencederakan Umno tanpa perlu
pembangkang banyak berkata-kata. Isu keahlian Umno baru untuk kaum
Cina AKAR itu adalah salah satu darinya.
Malaysia pada hakikatnya sudah berada dalam keadaan darurat
kerana segala-galanya ingin dikawal dan disekat termasuk ruang
untuk bersuara - bukan sahaja di jalanraya malah di parlimen juga
(melalui speaker robot) dan di mahkamah (melalui hakim robot
yang mengugut 'contempt of court') serta di alam siber (melalui
akta hasutan). Tindakkan menekan rakyat dan menahan tanpa bicara
hanya akan mempermudahkan Mahathir tersungkur jua kerana itulah
yang berlaku di banyak negara. Kemarahan rakyat yang terperam
itu akan menjadi bom maut buat Mahathir yang akan meletup bila
cukup tekanannya dan ramuannya. Bila ini berlaku polis dan
tentera pun tidak akan dapat berbuat apa-apa seperti yang
terbukti di Serbia kerana picu senjata sudah terkunci dengan
sendirinya oleh sesuatu yang tidak dapat dibunuh walau oleh
sebarang senjata milik tentera. (The Emergency In Malaysia) Oleh: Harun Rashid - Mei 21, 2001 Pengisytiharan darurat, mempermudahkan usaha menangani peristiwa yang
menyulitkan kerajaan untuk melindungi rakyat jelata daripada tindakan yang
dianggap menyulitkan proses pemerintahannya. Secara kasarnya, ini ada kaitan
dengan tindakan rakyat marhaen yang berbondong-bondong secara bebas tanpa
memikirkan kemungkinan terjejasnya undang-undang yang menentukan keselamatan
negara. Keghairahan merobah iklim politik kerap dilihat sebagai penyebab
pengisytiharan darurat. Dengan gambaran betapa penunjuk perasaan yang
marah-marah terlibat dengan kemusnahan harta-benda. Kumpulan manusia itu
mudah membayangkan satu suasana yang menggugat, seolah-olah mencetuskan satu
bentuk ancaman kepada pihak polis ataupun tentera. Presiden Filipina yang
terbaru (Arroyo), telah mengisytiharkan darurat untuk menangani himpunan
manusia yang ramai bilangannya yang menunjukkan kemarahan untuk menyerbu
masuk perkarangan istana presiden dan menarik beliau keluar daripada istana
itu. Pengisytiharan beliau itu telah dicemuh oleh rakyat jelata, dan sebaik
sahaja ugutan yang mencabarnya menjadi reda, dia telah menarik balik
tindakannya. Tindakan itu memberikan gambaran betapa beliau memang amat
sensitif kepada amalan berdemokrasi.
Apabila keadaan darurat diisytiharkan, ia memberikan kuasa berlebihan dan
istimewa kepada pegawai yang terlantik. Pihak polis dan tentera diberikan
arahan menggunakan beberapa undang-undang istimewa yang sengaja dikhaskan
kepada keadaan seperti itu. Undang-undang tentera mungkin diisytiharkan
untuk membolehkan angkatan tentera mengambil-alih kuasa politik untuk
sementara, dan memerintah negara sehinggalah keadaan darurat sudah reda.
Undang-undang khas itu sudah pasti menyekat kebebasan hak-hak setiap rakyat
biasa, sehinggakan ia merupakan sesuatu yang berbahaya terhadap amalan
demokrasi. Apabila memegang tampuk kuasa, pihak tentera mungkin keseronokan
dengan kuasa kepimpinan negara, sehinggakan menjadi culas dan sengaja
melambatkan pengembalian proses demokrasi itu. Kalau kuasa semacam itu
diberikan pula kepada pihak polis, gelagat mereka sudah pasti amat sukar
untuk diawasi. Para pembangkang yang telah ditahan, merupakan satu ancaman
yang mesti terus diperam untuk satu masa yang tidak ada ketentuan tempohnya.
Malaysia sekarang ini berada dalam keadaan darurat. Inilah keadaan darurat
yang menyelubunginya sejak perdana menteri yang ada memegang tampuk kuasa.
Dia memang seronok dengan keadaan ini dan tidak menunjukkan sebarang minat
untuk mengakhirinya. Seseorang pemantau yang prihatin, tentu sedar betapa
pengisytiharan keadaan darurat sebenarnya bukan termasuk dalam bidang kuasa
seorang perdana menteri. Kuasa sebenarnya adalah hak mutlak seorang raja
kepada segala raja dan sultan di negara ini. Kuasa ini dipegang oleh raja
yang bergelar Yang DiPertuan Agong yang berhak memerintah selama lima tahun
tempohnya. Tetapi, keadaan darurat di negara ini sudah berkuatkuasa sejak
beberapa raja saling bertukar peranan menaikki takhta di kerajaan pusat itu.
Ini menunjukkan seolah-olah mereka juga turut merasa selesa dengan keadaan
darurat yang menggugat rakyat jelata. Setiap rakyat marhaen merasakan betapa keadaan darurat yang berkuatkuasa itu
adalah satu penipuan, yang tidak diperlukan sehingga kebanyakan rakyat
merasakan betapa pengisytiharan itu dilaksanakan secara tidak sah. Apabila
keadaan ini dicabar, para hakim yang bersidang di mahkamah Malaysia,
memperakukannya. Tindakan mereka itu menghampakan sebilangan besar rakyat
jelata yang tidak percaya dengan keputusan mereka. Lantas mereka telah
merestui segala undang-undang purba yang merelakan kerja-kerja bajingan itu.
Perilaku bidang guaman dan pengadilan menjadi kabur di mahkamah negara. Satu
usaha untuk memperbaiki semula maruah mahkamah seiras dengan sistem
perundangan British amat diperlukan supaya segala sifat putar-belit dan
kelentongan yang menodai sistem kehakiman negara dapat dihumbankan.
Ada satu undang-undang negara yang menjadi berkesan apabila diisytiharkan
keadaan darurat yang diberi nama ISA (Internal Security Act: Akta
Keselamatan Dalam Negara). Undang-undang ini memberikan kuasa kepada perdana
menteri menangkap sesiapa sahaja yang diminatinya. Orang yang ditangkap itu
tidak mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan guaman ataupun berjumpa sanak
keluarganya bila-bila masa. Tidak ada barang bukti yang diperlukan lagi dan
tidak ada undang-undang lain untuk melindungi hak yang ditangkap itu. Yang
ditangkap terus disumbat ke dalam bilik soal-siasat pihak polis cawangan
khas. Merekapun digasak dan dilanyak oleh tukang siasat dan para al-gojo
yang digaji oleh pihak polis (dengan cukai pendapatan rakyat marhaen -
penterjemah) Mereka yang menerima pengalaman ini telah melaporkan betapa azabnya
kesiksaan yang dikenakan. Segala gambaran keazaban yang mereka lalui begitu
menyayat hati sehinggakan kita menyoal sendiri apakah jenis manusia bajingan
yang sanggup bersukan dengan mendera sesama insan sambil menerima gaji
bulanan kerana gelagat kebinatangan mereka itu? Ramai sanak saudara mangsa
telah menyatakan betapa yang didera itu berubah rupa dan perwatakan mereka
kerana terlalu lama diazab dan didera sehinggakan merobah perlakuan mental
dan psikologi mereka. Perdana menteri sengaja berlagak pekak dan tuli kepada
keadaan ini sambil pihak polis terus berlagak ceria melakonkan tarian
mengikut irama sumbang yang didendangkan oleh perdana menteri itu. Kita
tidak pasti apakah perdana menteri ada membuat kajian mengenai gelagat Idi
Amin, namun yang pastinya dia tidak terlupa mengamalkan segala taktik
bajingan diktator hitam bumi Afrika itu. Yang kita tahu perdana menteri
memberikan upahan dan imbuhan yang tinggi-tinggi kepada mereka yang sanggup
sebulu dengan tindakan jijiknya itu. Dia juga menyediakan habuan yang bukan
kepalang azabnya kepada mereka yang sanggup mencabarnya.
Semakin jelas bagaimana perdana menteri merasa senang bersekongkolan dengan
para diktator sejagat yang lain. Seperti mereka juga dia mengharapkan
kematian orang yang tidak berdosa tidak akan mencemar segala lakaran indah
di pusaranya. Namun, dia harus disedarkan roh yang sudah pergi itu masih
lagi ada suaranya. Sekarang inipun mereka bercakap kepadanya daripada perut
bumi. Dia mungkin tidak mendengarnya, tetapi, tidak lama lagi suara-suara
itu akan semakin hampir kepada telinganya.
Keadaan darurat yang diisytiharkan di Malaysia merupakan sesuatu yang aneh.
Pada dasarnya, para menteri dan mereka yang rapat dengan kuasa yang ada,
kerap sangat berbangga dengan perihal perundangan Malaysia yang meniru
sistem perundangan British. Kita tidak perlu debatkan isu ini secara serius.
Cukuplah setakat memperakukan betapa British telah menyumbang kepada
perundangan Malaysia ketika mencengkamkan kuasa ketuanan penjajahannya di
negara ini. Pihak British telah merangka undang-undang jenayah di Malaysia berdasarkan
'criminal code' yang mereka cipta di India, dan menjadikannya sesuatu yang
berkesan. Anak-anak Malaysia yang terlatih di pengajian tinggi ilmu
undang-undang di England dan Australia memang amat arif tentang keadilan dan
kesaksamaan dalam susur galur penentuan penghukuman yang tercetus daripada
sistem perundangan British itu. Hak berlebihan raja-raja terhadap rakyat
jelata telah menjadi bahan ketidak-senangan rakyat sejak 'Magna Carta'
ditandatangani, lebih 700 tahun yang lalu. Malaysia telah berjaya memberikan
sedikit ruang kemewahan kepada raja-rajanya.
(MAGNA CARTA -catatan penterjemah: Magna Carta ialah satu pengisytiharan politik yang memaksa King John
menyetujui satu peraturan yang dirangka oleh satu kumpulan pegawai istana
-baron- di Runnymede pada 1215. Para pegawai tinggi istana yang diketuai
oleh Archbishop Langston telah melakar satu watikah yang menyenaraikan
hak-hak dan sempadan bidang kuasa raja-raja, kesan daripada kerenah raja
yang menyulitkan rakyat jelata. Watikah diraja itu telah memberikan
penghormatan kepada hak-hak individu rakyat marhaen. Soalnya sekarang, raja
manakah di Malaysia ini termasuk Rajakaapuuuur daripada Kerala yang
menyedari hak rakyat marhaen?) Malaysia telah melahirkan banyak manusia yang berotak pintar untuk
menghayati sistem perundangan British. Mereka memang arif dalam bidang itu.
Mereka sememangnya arif sehingga mampu memutar-belitkan sistem itu. Keadaan
darurat yang sedang berkuatkuasa sekarang ini di Malaysia sebenarnya satu
keadaan yang mereka pertahankan. Begitu juga dengan segala taktik penderaan,
keazaban dan penahanan tanpa hadnya yang mereka anggap sebagai sesuatu yang
perlu untuk menjamin stabiliti dan keselamatan negara ini. Nampaknya semua
golongan Yang Arif ini tertinggal buku-buku perundangan mereka untuk
ditimbuni debu di para buku di England dulu.
Masih ada lagi bentuk debu yang berserabut dalam minda dan jiwa para
penunggang harimau garang di negara ini. Mereka takut jatuh darinya dan amat
kecut kalau-kalau perbuatan mereka itu menyakitkan hati raksasa yang mereka
tunggangi itu. Mereka terus berdalih memberikan alasan betapa mereka cuba
memperbetulkan keadaan yang menyimpang dari dalam, sambil terus bernafas
setiap hari mencuba menyekat jenayah berat daripada terjadi. Inilah pilihan
mereka. Cuma, jangan ada pula orang yang keliru kepada lakonan itu sehingga
sanggup menahan kemarahan dan kutukan apabila tiba masanya nanti.
Inilah keadaan darurat yang diisytiharkan di Malaysia. Ia sedang membara dan
menyala dalam setiap minda warga negara ini yang cuba memperbetulkan
kebajingan diri mereka di masa silam. Inilah kemaraan bahang yang membara
yang mencabut akar umbi setiap pusara yang menyemadikan segala
ketidak-adilan yang dijatuhkan terhadap yang menjadi mangsa dan juga yang
telah melakukan azab sengsara. Inilah keadaan darurat di Malaysia. Garis penentu semakin menyerlah
memisahkan mereka yang arif mengenai hukum pengadilan yang lebih asasi
dengan mereka yang memutar-belitkannya, sambil warga isteri para mangsa
menyimpul jejari ke muka dan anak-anak terus melinangkan airmata.
Kecanggihan teknologi memberi kita ruang melihat dengan jelas perubahan
airmuka mereka dan mendengar rintihan suara mereka, mengamati renungan mata
mereka, melihatkan betapa nafsu serakah yang membarah telah menyaluti hati
nurani bakal pemimpin negara sehingga menjadi karat untuk menyedari keadaan
sebenar darurat negara ini. Itulah mereka yang berdiri tegak di dewan perdana, berpakaian indah dan
tampan untuk disinari segala pantulan cahaya, sambil berlagak menyuarakan
konsep kejujuran, kebenaran, kesatuan, dan pengabdian kepada Pencipta alam
semesta. Tidak ada di kalangan mereka itu yang sanggup menjejakkan kaki melihat
gambaran segala keazaban nurani dan mendengar suara rintihan golongan yang
menjadi mangsa sistem kebinatangan ini. Semua itu menusuk usus-usus pihak
yang dicengkam sahaja. Diterjemahkan oleh SPAR-05-005 Rencana Asal: http:///home.yqi.com/harunrashid1/69Emergency.html Link Reference : Harun Rashid Worldview: The Emergency In Malaysia |