Laman Webantu KM2A1: 4560 File Size: 9.9 Kb * |
TAG SP 133: B2 Penipuan 'Islamic Bond' By Harun Rashid 27/5/2001 8:07 am Sun |
TAG 133 [Bon sebenarnya lebih bersifat janji membayar lebih setelah
sesuatu tempoh atau nilai semakin bertambah bila masak tempohnya.
Seolah-olah ia satu buah yang bila masak akan dapat dituai dan
dinikmati hasilnya. Tidak kiralah jika ribut memusnahkan semua
buah-buah itu atau ada serangga yang sudah memakannya atau tupai
sudah menebuknya. Yang peliknya perniagaan yang dijamin oleh
bon-bon itu tidak pula berbentuk pertanian yang ada masak dan
bernilai bila cukup tempohnya. Ia lebih kepada spekulasi semata-mata
seperti sektor hartanah yang kini sedang sakit jiwa.
Skim bon ini telah menjadi jalan mudah untuk mengutip wang dengan
memaparkan pelbagai spekulasi keuntungan hadapan yang molok-molok
belaka sehingga ramai tertipu dengannya termasuk bank dan dana awam
juga, Apabila projek itu kantul mulalah sakit bank yang menyangganya
sehingga datanglah danaharta untuk menutup malunya. Campur tolak,
simpanan kita juga yang semakin terkurang jadinya bila kerugian itu
ditelan melalui bon-bon baru(a) yang sudah bertukar nama. Ini semua
menipu namanya.... atau permainan silapmata.
- Editor] (The Islamic Bond Scam) Bon yang dikeluarkan oleh syarikat niaga mempunyai risiko yang lebih tinggi,
kerana cagarannya merupakan segala aset yang dimiliki oleh syarikat itu.
Selalunya mereka yang mempunyai tuntutan terhadap aset korporat mempunyai
prioriti ataupun keutamaan ke atas pemegang saham korporat itu.
(Penjelasan penterjemah: Bon adalah surat janji yang menjanjikan bayaran
faedah dua kali setahun; setiap enam bulan mengikut amalan pasaran bon
sejagat. Pasaran jual-beli bon selalunya mengambil kira tempoh kematangan
bon itu dan nilai faedah yang dibayar setiap enam bulan. Seorang pembeli bon
pada tahap awalnya tidak semestinya pemilik bon itu sepanjang hayatnya. Itu
sebabnya ada satu ketika dulu bon keluaran Brazil diberikan premium
'potongan harga' sehingga lapan puluh peratus lebih rendah daripada harga
asalnya di pasaran bon Amerika. Ciri-ciri keperitan ini nampaknya tidak akan
jauh berubah untuk menghenyak bon-bon keluaran beberapa syarikat tertentu
yang diproksikan kepada nomini oleh si Raja Kaaapuuur !!)
Seandainya pengeluar bon gagal melunaskan bayaran faedah berjadualnya,
seorang pemegang bon itu, boleh memaksa sesebuah syarikat yang kantul itu
menggantung operasinya untuk dikendalikan oleh seorang pentadbir yang
dilantik oleh mahkamah. Oleh kerana proses ini memakan masa yang lama,
kemungkinan berlakunya kemungkiran ini kerap dipantau secara dekat, dan
seandainya terserlah sebarang kelemahan, harga jualan bon syarikat itu di
pasaran terbuka dan nilai bonnya akan terjejas dengan teruknya.
Oleh kerana beberapa pemegang bon mempunyai tanggungan bayaran cukai yang
tinggi, bon yang menjanjikan bayaran faedah yang tinggi sebelum tiba tempoh
tarikh matangnya, menjadikan bon itu satu alat niaga yang menarik. Apabila
matang, bon itu pun dibersarakan dengan pembayaran faedahnya sekali. Bon
jenis ini semakin naik harganya mengikut peredaran masa kerana faedah yang
tertunggak itu menjadi terkumpul secara kompaunding. Kemudahan menukar bon
itu dengan bon-bon lain sebaik sahaja ia matang, pembayaran cukai daripada
faedah yang terkumpul itu boleh ditangguhkan sehingga hari kiamat. Inilah
bon yang disebut 'zero coupons' (di Hongkong dan Taiwan ia disebut 'Jelo
Kupong' - penterjemah) menjadi alat perbankan yang popular disebabkan
ciri-ciri mengelat pembayaran cukai itu. Namun, ia menjadi alat yang popular
kepada pihak yang mengeluarkannya disebabkan alasan lain pula. Dana yang
diperlukan itu mudah diperdapatkan tanpa dikenakan sekatan faedah sepanjang
tarikh kematangannya, dan tidak ada pula sekatan untuk mengirimkan wang yang
diperlukan untuk satu tempoh yang terdekat. Lagipun tidak perlu diuruskan
perakaunan kepada bon itu sepanjang hayatnya. Memang menyeronokkan.
(Catatan penterjemah: Adalah difikirkan waras dan sesuai untuk diberikan
sedikit penjelasan mengenai dunia bon ini. Ia adalah laksana wayang James
Bond juga, kerana itu tidak ramai anak Melayu yang mempunyai peluang
berkecimpung dalam bidang ini kerana risikonya yang dikatakan tinggi.
Sebenarnya semua itu adalah omongan sahaja kerana habuannya yang sebenarnya
tinggi. Yang penting di sini ialah pembabitan pelbagai instrumen lain dalam
sistem perbankan yang melicinkan operasi 'zero coupons' itu kerana apa juga
keluaran kertas janji perbankan, ada satu kemestian betapa tukang-pegang
janji terakhir ialah Bank Pusat sesebuah negara di mana bank itu
didaftarkan. Di sinilah terserlah kuasa yang ada pada seorang menteri
kewangan yang punya kuasa mengarahkan bank pusat negaranya mengeluarkan
surat perjanjian kepada hutang yang dikeluarkan itu. Inilah yang ditakrifkan
sebagai 'Guarantor of Last Resort'. Apabila menteri kewangan mampu
bersekongkol dengan perdana menteri dalam semua kerja-kerja janji-menjanji
itu alamat punahlah negara akhirnya. Semua kerja-kerja bajingan ini boleh
diperkotak-katikkan seandainya para pemimpin dalam kabinet ataupun MT parti
adalah jenis yang pintar dan setongkang dengan kumpulan bijaksana mengengsot
get keretapi sahaja.) Sekarang kita akan bincangkan Bon Islam ataupun Bon Islamik pula. Kebanyakan
pengeluar bon Islam memilih kaedah pengeluaran 'zero coupons'. Populariti
bon jenis ini terletak kepada tidak perlunya membayar balik dana yang
dipinjam. Bon Islam yang matang selama sepuluh tahun dan jika dijual pada
hari ini, tidak perlu dipeningkan untuk mengetahui apa kisah yang terjadi
kepada pengeluarnya sepuluh tahun dari hari ini. Hmmmmm. Dia dapat wangnya
dan anda sedang memiliki bonnya. Sepuluh tahun adalah satu masa yang lama.
Seseorang boleh dapat darah tinggi menunggukan masa itu, mengomel sendirian
mengenai pulangan wang yang dipinjamkannya.
Bayangkanlah sepuluh tahun pun tiba, dan wang pokok mengikut nilai asal bon
itu menjadi matang. Kalau seseorang itu bernasib baik, wang pokok itu
terbayar bersama dengan faedahnya. Tidak kiralah apa namanya, tempohnya
adalah tetap. Apa juga jumlah yang berlebihan daripada nilai pokok adalah
dikira riba. Seandainya, pada saat tarikh kematangan surat janji itu semakin
menghampirinya, tukang pengeluar surat janji itu tidak berupaya melunaskan
hutangnya, kerana tidak ada tabung dana simpanan untuk peruntukan itu, apa
pula jadinya? Menyedari masalah ini, pengeluar asal itu akan mengeluarkan satu lagi bentuk
bon untuk sepuluh tahun menggantikan bon yang matang itu, dan dia pun terus
bersiulan ataupun bersialan untuk sepuluh tahun lagi. Sementara menunggu
sepuluh tahun lagi itu, syarikat itu boleh jatuh bankrap, mungkin dijual
kepada Danaharta, Danamodal dan Credit Restructuring Agency (CRA). Inilah
kaedahnya bagaimana hutang tertunggak dan bertimbun merata-rata di seluruh
Malaysia masakini. (Catatan Penterjemah; Hahaaaa...Siapakah yang mampu membeli berjuta-juta
harganya bon-bon yang terbaru itu nanti???? Tentulah tabung simpanan pencen,
tabung amanah orang Islam dan sebagainya. Siapa pula yang akan mengeluarkan
bon-bon 'Jelo Kupong' itu nanti?? Tentulah para kroni, syarikat pak-pacak,
anak-anak dan sukusakat Raja Kaaaapuuur sahaja!)
Sudah menjadi dasar terbuka parti pemerintah yang sedang berkuasa, untuk
melengahkan segala bebanan hutang agar tidak terlangsai. Hanya hutang yang
mustahak sahaja yang dilunaskan. Para kroni diselamatkan dan mereka yang
mempunyai kepentingan politik yang mendesak diberikan keutamaan. Kerana
semua inilah makanya bon Islam itu akan dijadikan satu alat perbankan yang
sungguh hebat kegunaannya. Apabila dana yang diperlukan itu sudah dialihkan
daripada perbendaharaan Islam yang kaya raya itu, keperluan untuk melunaskan
pembayaran balik secara berjadual itu akan diubah secara beragenda juga.
Tembok hutang itu akan dinaikkan lagi tanpa memikirkan keperluan masa depan
lagi. Inilah bentuk kewangan yang kini lebih terkenal sebagai 'Skim Ponzi' di
kalangan orang kewangan. Dalam rancangan ini sumber wang yang baru
diperdapatkan untuk mengenepikan mangsa lama di pinggiran. Apabila
keuntungan yang menggunung sudah dikumpul, satu upacara selamat tinggal pun
dirancang untuk membolehkan si 'tukang-sapu' beralih untuk bersara di sebuah
taman yang indah rupanya. Secara teorinya, harmoni adalah pengukur kata
sekarang ini. Si pembeli bon yang memegang kertas janji itu akan terus
dengan pegangannya, menyimpan kertas-kertas janji yang nilainya lebih rendah
daripada tisu jamban. Urusan mempromosikan 'bank Islam' dan bon 'Islam' sudah menular begitu luas
sehingga ia menjadi satu kerja-kerja penipuan yang besar yang seolah-olah
direstui oleh Bank Negara Malaysia. Satu masa depan yang cerah sengaja
digembar-gemburkan untuk aktiviti perdagangan jenis ini. Warga Islam di
seluruh dunia sengaja dipengaruhi untuk menderma kepada tabung khas 'dana
pelaburan' ini. Kepada Malaysia, rencana ini dilihat sebagai satu muslihat
untuk parti yang berkuasa cuba mengelat dengan kerjasama dan pembabitan para
kroni yang bersifat lintah darat. Semua pihak mengharapkan rencana ini akan
berjaya. Sama-samalah berdoa ia tidak akan menepati sasarannya.
-Harun Rashid- Terjemahan SPAR-05-006 (Hongkong)
Link Reference : Harun Rashid Worldview: The Islamic Bond Scam |