Laman Webantu KM2A1: 4565 File Size: 17.7 Kb * |
MBD: Gelas Tertepis Air Tertumpah By Wartawan Kini 28/5/2001 2:39 am Mon |
[Kami menyiarkan kembali rencana ini untuk mengimbau lagi.
Apa yang berlaku sakarang adalah apa yang telah terancang....
Perhatikan beberapa laman sekarang sudahpun hilang mereka yang
mendokongnya dari belakang walaupun mungkin masih beroperasi.
Ada banyak lagi perancangan sedang diatur oleh Mahathir untuk
mengekalkan kuasa dan ini dilakukan senyap-senyap dalam bentuk
tulisan penulis upahan dan khabar angin yang sengaja ditiup
sebagai umpan untuk melihat di mana berlubang. Disitulah beliau
akan melancarkan serangan dengan polis bertopeng melengkapkan
skrip yang dirancang. http://www.parti-pas.org/utama/ 12 May 2000 Edisi 138 Pemilihan Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita Umno yang baru
telah menghantar isyarat yang salah kepada para perwakilan
Umno. Rafidah tokoh Umno yang dikaitkan dengan rasuah. Rafidah
juga dianggap orang Mahathir yang amat lantang dan setia.
Kemenangan Rafidah itu mewajarkan para perwakilan Umno memilih
dua orang lagi tokoh Umno yang dikaitkan dengan rasuah dan
politik wang sebagai Naib Presiden. Lalu menanglah Muhammad
Muhd Taib dan Muhyiddin Yassin. Demikianlah klimaks dalam
pemilihan Majlis Tertinggi Umno. Umno sebuah parti politik terbesar di Malaysia yang mempunyai
keanggotaan seramai 2,813,625 orang dengan 165 bahagian serta
17,909 buah cawangan memulakan perhimpunan agungnya pada 11
Mei, iaitu tepat tarikh ke 54 penubuhan parti itu. Sekali lagi
perhimpunan politik yang diwarnai dengan latarbelakang merah,
putih dan kuning dipegerusikan oleh Tan Sri Sulaiman Ninam
Shah, Pengerusi Persatuan Tuan-Tuan Punya Bas Ekspres Malaysia.
Dewan Merdeka PWTC yang besar itu dipenuhi lebih 3,000 orang
termasuk seramai 2010 para perwakilan dan juga 18 buah
pertubuhan politik dari 16 buah negara asing. Lapan orang wakil
pemerhati dari Indonesia, terdiri daripada Parti Golkar dan
PAN, tetapi tiada ada wakil dari parti PKB dan PDI-P. Banyak
parti-parti Komunis dijemput hadir, antaranya dari Cina, Cuba
dan Vietnam. Tidak ada Parti Islam dari negara Islam diundang.
Pengerusi Tetap Persidangan, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah dengan
suara besar dan garau memulakan sidang antara lainnya dengan
memperkenalkan satu senarai panjang para pemimpin Umno. Apabila
beliau memperkenalkan nama Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita
Umno yang baru dipilih, kedengaran bunyi "boo" yang kuat di
kalangan para perwakilan. Nampaknya, ramai di kalangan Umno
yang masih tidak dapat menerima kemenangan Rafidah dengan
kelebihan 12 undi mengatasi Dr Siri Zaharah. Rafidah kelihatan
tersenyum kecil dan menggelengkan kepalanya apabila mendengar
ejekan "boo" itu. Tetapi lensa kamera sempat menayangkan raut
muka Tan Sri Aishah Ghani, Pengerusi Tetap Wanita yang
kelihatan terkejut dan cemas. Sulaiman Ninam Shah yang menang sekali lagi sebagai Pengerusi
Tetap telah membuat satu kesalahan kecil dengan tak
disengajakannya, iaitu apabila mengumumkan bahawa Dr Mahathir
Mohamad telah dipilih menjadi Presiden Umno selama tiga tahun
lagi sehingga tahun 2000. Apakah Sulaiman dalam tak sedar telah
menghantar isyarat supaya Mahathir segera berundur!
Segala-gala dalam persidangan Umno itu kelihatan berjalan licin
mengikut skrip. Sulaiman hanya membacakan skrip yang telah
disediakan di atas meja. Beliau kemudian menjeritkan tiga kali
slogan "Merdeka!". Slogan itu diteriakan hanya beberapa hari
selepas pelbagai perintah Mahathir termasuk "menghalau" para
perwakilan yang berkeliaran di KL supaya pulang semula ke
kampung masing-masing. Termasuk arahan kebudak-budakan
Ibupejabat Umno yang tidak membenarkan pintu hotel perwakilan
diketuk dan akhir sekali kedengaran pantang larang bahawa tidak
dibenarkan para calon atau wakilnya mengedar kad nama kepada
para perwakilan. Termasuk sama para calon penting diminta
menandatangani surat ikrar. Tetapi itu semua kecil jika
berbanding arahan MT supaya dua jawatan tertinggi Umno itu
jangan ditandingi. Kemudian kelihatan lensa kamera tv menggambarkan barisan
kepimpinan Majlis Tetinggi Umno yang duduk di pentas tinggi.
Sama ada disengajakan atau tidak, kelihatan berdiri sebelah
menyebelah ketika lagu Umno dikumandangkan ialah Ibrahim Ali di
sisi Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang. Dua orang yang
disebutkan itu ada perhubungannya dari segi "p*nggung". Ibrahim
Ali ketika menjadi Ketua Pemuda Parti Semangat 46 pernah
berkata bahawa dia sanggup mencium punggung Mahathir kalau
tergamak masuk Umno semula. Adnan Yaakob pula kelihatan
menayangkan p*nggungnya pada hari penamaan calon pilihanraya
kecil di Sanggang tidak lama dulu. Doa kemudian dibacakan sebelum lagu. Umno meneruskan tradisi
kesekularannya. Mula-mulanya doa kemudian muzik. Hamid Othman
membaca doa antara lainnya supaya "janganlah dicabut
kenikmatan yang ada". Hamid berdoa agar kenikmatan itu
berkekalan. Memang baik doa itu tetapi siapa sebenarnya yang
menikmati kekayaan negara yang melimpah ruah di Malaysia ini?
Masih ramai rakyat yang miskin, susah dan sengsara, di kota dan
di desa. Hamid lupa mendoakan kesejahteraan mereka.
Dua tahun sudah persidangan Umno tidak disertai oleh Anwar
Ibrahim. Tetapi wajah-wajah Musa Hitam dan Tengku Razaleigh
Hamzah juga tidak kelihatan di skrin tv. Mungkin mereka datang
tetapi tidak kelihatan. Di barisan atas Majlis Tertinggi itu
kelihatan gabungan pemimpin-pemimpin tua yang keletihan dan
sakit, mengantuk dan menguap, termasuk Senator yang membacakan
doa sebentar tadi. Kelihatan sama di pentas MT itu beberapa
orang bekas menteri dan MB yang telah ditolak rakyat dalam
pilihanraya lalu, termasuk yang tumbang di Parit. Manakala
orang-orang muda yang ada di saf kepimpinan MT Umno itu terdiri
daripada jenis "yes- men" yang tidak berwibawa, kerana
berfungsi sebagai "All The President's Men"
Termasuk sugul dan bermasalah kelihatan di barisan kepimpinan
Umno itu ialah bekas MB Kedah, Sanusi Junid yang baru-baru ini
menampar dan menerajang kelihatan duduk bersebelahan dengan
Datuk Hussein Ahmad, bekas Ketua Penerangan Umno dan Ketua Umno
Rantau Panjang yang terkenal dengan sikap garang sepak
terajang. Tidak ramai muka intelektual dalam barisan MT Umno
itu. Bagaimanapun dua pemegang Phd yang rapat dengan Anwar
Ibrahim iaitu Dr Afifuddin dan Dr Ibrahim Saad kelihatan
seperti orang yang salah tempat dalam Umno.
Ucapan Dasar Presiden bermula tepat jam 10.05 pagi. Mahathir
mengambil tempat di rostrum dan berucap dengan penuh yakin
setelah menang tak bertanding. Mahathir berucap selama satu jam
empat puluh lima minit. Ucapan yang panjang itu termasuk
memuatkan terjemahan empat buah surah Al-Quran dan disudahi
dengan doa yang dibacakan oleh Mahathir sendiri. Ternyata
Mahathir yang tidak menjanjikan Umno akan lebih Islam daripada
Pas telah mengambil contoh kaedah ucapan kepimpinan Pas yang
bersulamkan petikan surah Al-Quraan dan doa.
Mahathir memulakan ucapannya dengan menyebut sejarah Umno
sendiri. Terutama 11 Mei ini merupakan ulangtahun ke 54 parti
itu. Sejarah Malayan Union dan hak orang Melayu disentuh dalam
pembukaan ucapan Presiden Umno itu. Tepukan pertama diterima
oleh Mahathir apabila beliau berkata peranan Umno ialah untuk
menyatukan orang Melayu. Para perwakilan lupa bahawa Mahathir
pernah dituduh sebagai pemecah kesatuan orang Melayu.
Kemudian pemimpin nombor satu Umno itu yang dilatih sebagai
seorang doktor perubatan mulai bercakap sebagai seorang ahli
sosiologi. Mahathir mengupas tentang penghijrahan orang Melayu
dari desa ke bandar. Pandangan Mahathir tidak tepat apabila
berkata orang desa yang berhijrah ke bandar kemudian menjadi
kaya dan pendapatan mereka berlipat kali ganda. Lalu orang
Melayu di kota itu, kata Mahathir tidak mengenang jasa dan lupa
diri. Mahathir lupa hakikat sosio-ekonomi bahawa kesan
urbanisasi itu juga telah menyebabkan peningkatan kadar
kemiskinan orang Melayu di kota. Ertinya bukan semua orang
Melayu yang berpindah ke kota itu menjadi kaya. Ramai yang
hanya berpindah tempat tetapi meneruskan kemiskinan mereka di
kota. Mereka tinggal di kawasan sesak dan kawasan setinggan.
Mereka golongan pekerja berpendapatan rendah. Mereka tidak ada
kemahiran. Dalam keadaan media massa dalam negeri dan juga luar negara
memberi liputan yang agak banyak kepada Musa Hitam yang baru
dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia (SUHAKAM), Mahathir mengambil kesempatan membidas
Musa Hitam secara tidak langsung. Ada sesetengah orang, kata
Mahathir menyeru supaya orang Melayu "kurang ajar sedikit".
Jadi secara tidak langsung Mahathir menyalahkan seruan "kurang
ajar" itu sebagai sebab orang Melayu sekarang tidak mengenang
budi dan tidak bersyukur kepada Umno. Musa Hitam yang selalu
berkata wujudnya "sindrom bisu" di dalam Umno mendapat sedikit
habuannya dari Mahathir.
Mahathir yang tidak mahu mengaku akan kemerosotan teruk
sokongan yang Umno dapat dari orang Melayu dalam pilihanraya
lalu, kini cuba memperkecil-kecilkan Pas dan Parti Keadilan
Nasional. Mahathir menganggap parti-parti itu sebagai parti
serpihan. Manakala Umno pula bagi Mahathir adalah kumpulan
tunjang majoriti. Istilah siapa kumpulan majoriti, dan siapa
pula minoriti pernah terjadi di Rusia pada zaman Revolusi
Bolshevik. Kumpulan Bolshevik (majoriti) dan kumpulan
"Menshevik" (minoriti). Mahathir mungkin hendak meyakinkan
tetamu asing dari parti-parti komunis yang ada di Dewan PWTC
itu bahawa Umno semacam juga seperti Bolshevik yang majoriti
itu. Mahathir kelihatan risau juga dengan internet yang banyak
sekali website menggelarkan pelbagai jenama bagi kata gantidiri
Perdana Menteri. Mahathir menyebut tentang dirinya digelar
"mahazalim" dan "mahafiraun" dengan tujuan untuk menimbulkan
kebencian orang kepadanya dan juga Umno. Kemudian Mahathir
menyentuh tentang budaya buruk yang wujud di dalam Umno tentang
para calon yang bertanding menggunakan bomoh. Pendedahan bomoh
ini telah mendapat tepukan yang gemuruh. Mungkin memang meluas
wujudnya perkhidmatan jampi serapah bomoh dalam proses
pemilihan Umno. Umno sekarang sudah jadi semacam di zaman
Firaun di Mesir dulu yang terkenal banyak tukang sihir.
Untuk menaikkan semangat kemelayuan dan semangat juang
orang-orang Umno, lalu Mahathir menyebut tentang keazaman dan
kesungguhan Datuk Azhar Mansor yang belayar seorang diri
mengelilingi dunia. Semangat seperti Azhar itulah yang Mahathir
kehendaki dalam pembentukan "klon baru" bagi orang Melayu iaitu
"Melayu Baru". Untuk jangan dituduh Melayu Baru itu sebagai
imej golongan korporat yang tamak dan serakah, Mahathir berkata
Melayu Baru itu adalah golongan yang dapat membendung nafsu.
Bagi Mahathir Melayu Baru ialah golongan yang berpegang kuat
pada agama Islam dan nilai-nilai murni. "Bukannya kaki arak dan
kaki judi" ujar Mahathir. Tak lama selepas kalimat Mahathir
itu, kamera tv segera memalingkan lensanya tepat kepada Megat
Junid. Mahathir yang berkali-kali cuba untuk menegaskan hubungan kuat
Umno dan Islam itu tidak mengupas lebih lanjut soal Islam.
Mahathir segera kemudian berpindah kepada persoalan ekonomi
seperti DEB dan penswastaan. Sampai ke hari ini Mahathir
kelihatan masih risau dengan tuduhan bahawa dasar-dasar
penswastaan yang kerajaan bawa itu bertujuan untuk
memperkayakan kroni-kroni yang rapat dengan pucuk pimpinan
kerajaan. Mahathir cuba menafikannya. Tetapi Mahathir lupa
bahawa dialah orangnya di dalam Persidangan Agung Umno tahun
1998 dan 1999 telah mendedahkan senarai kroni-kroni yang
mendapat pelbagai projek penswastaan. Yang didedahkan Mahathir
senarai tidak lengkap. Kononnya kroni-kroni rapat dengan Datuk
Seri Anwar Ibrahim yang banyak mendapat faedah. Manakala orang
ramai yang tahu hal sebenarnya mahukan Mahathir mendedahkan
senarai lengkap kroni-kroninya sendiri yang terdiri daripada
anak-pinak, saudara-mara dan kawan-kawan rapatnya.
Untuk membuktikan Umno itu memperjuangkan kepentingan Melayu
dan Bumiputera maka Mahathir menyenaraikan seratus satu macam
dasar membantu rakyat pribumi, seperti dana pinjaman dan
pendidikan, biasiswa pelajar, AP, lesen dan permit, MARA, sewa
rendah, potongan harga murah, perniagaan francais dan lain-lain
lagi. Tetapi Mahathir berkata dia kesal kerana orang Melayu
yang sudah naik itu kemudiannya "tolak jatuh tangga" yang
mereka naik itu. Yang ramai orang faham, orang yang "sudah
bakar jambatan" kini telah pulang semula ke dalam Umno. Yang
"tolak jatuh tangga" masih belum dikenal siapa pula mereka?
Kemudian Mahathir pemimpin Selatan yang tidak bergambar di
barisan depan di Havana baru-baru ini, bercakap pula soal
globalisasi. Tidak banyak perkara baru yang disentuh mengenai
isu dunia tanpa sempadan di segi ekonomi itu. Kecuali Mahathir
mengingatkan para perwakilan akan ancaman kuasa asing yang mahu
menjatuhkan kerajaan Malaysia. Lalu Mahathir menyebut betapa
betul dasar "kawalan matawang asing" yang diperkenalkannya
semasa kegawatan ekonomi baru-baru ini. Mahathir segera
menyindir Camdesus, Pengarah IMF yang terpaksa meletakkan
jawatan lebih awal. Manakala "George Soros telah rugi besar"
Mahathir menempelak. Dalam masa yang sama Mahathir
membandingkannya dengan Soros dan Camdesus. Dua orang itu telah
jatuh, tetapi Mahathir kini terus berkuasa! Inilah agaknya
bentuk "kenikmatan yang berpanjangan" yang Hamid Othman doakan
awal-awal itu. Mahathir tetap berasa bersalah dengan arahan tidak boleh
ditandingi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno. Lalu
dia berusaha untuk menghalalkkan tindakannya itu dengan
bercerita tentang demokrasi. "Umnolah parti yang mula-mula
memperkenalkan demokarsi di negara ini," dakwa Mahathir. Tetapi
dia tidak bercakap lama tentang isu demokrasi itu kerana perlu
membelasah Pas. Katanya Pas sejak dulu menjalankan "strategi
kebencian kepada Umno" dengan mengkafirkan Umno. Mahathir
seterusnya menuduh Pas memperalatakan nasib malang Anwar
Ibrahim untuk mendapat keuntungan politik. Semacam satu usaha
Mahathir untuk melaga-lagakan keADILan dengan Pas.
Selepas kempen memburukan Pas dilancarkan, Mahathir terus
kepada serangannya terhadap Anwar Ibrahim dengan menuduh bekas
timbalannya itu tidak bermoral. Persidangan Umno sekali lagi
digunakan oleh Mahathir untuk memburukkan Anwar yang kini
sedang dibicarakan. Mahathir terang-terangan telah melanggar
arahan jangan "menghina mahkamah" kerana menyentuh perkara yang
sedang dibicarakan. Persidangan Umno tidak semacam Parlimen
yang dilindungi oleh keistimewaan "bebas berucap". Jadi
Mahathir sengaja mencabar larangan hakim yang banyak kali
meminta semua pihak, termasuk PM sendiri, usah mengulas tentang
isu yang sedang dibicarakan dalam kes Anwar. Tetapi sekali lagi
Mahathir kelihatannya tidak memperdulikan para hakim dan
mahkamah. Dia tidak hirau dan tidak ambil pusing. Tidak ada
penghormatan yang ditunjukkan kepada institusi mahkamah.
Sebaliknya Mahathir bercakap tentang "rule of law".
Kelihatnnya konsep "rule of law" telah diberi pendekatan yang
baru oleh Mahathir yang cuba bertindak sebagai seorang ahli
jurisprudence. Mahathir cuba untuk menghalalkan tindakannya ke
atas Anwar Ibrahim. Jelaslah isu Anwar masih membayangi dalam
kepala Mahathir. Mahathir bermati-matian dalam ucapannya itu
cuba meyakinkan bahawa dia tidak terlibat dengan konspirasi
menjatuhkan Anwar. Sambil menafi, Mahathir terus-terusan
memfitnah dan menyeranah Anwar.
Pada ketika itu, lalu berlaku sesuatu di luar perancangan
Mahathir. Tangan Mahathir bergerak tanpa kawalan. Ketika
kata-kata hina dan kesat ditujukan kepada Anwar, tiba-tiba
tangan Mahathir tertepis gelas minumannya di atas rostrum itu.
Mahathir kelihatan cemas. Air dalam gelas habis tumpah ke
lantai. Mahathir terhenti bercakap seketika. Nasib baik bagi
Mahathir kerana gelas itu tidak jatuh dan pecah. Kalau gelas
itu pecah, tentu sekali ada pihak-pihak dalam Umno yang biasa
dengan bomoh-bomoh dan kepercayaan karut atau "superstitious",
akan mentakrif kejadian itu sebagai petanda buruk bagi Umno.
Peristiwa air dalam gelas tertumpah telah menyebabkan Mahathir
segera memberhentikan serangan fitnahnya kepada Anwar Ibrahim.
Selepas itu Mahathir hanya menumpu kepada isu politik wang
dalam pemilihan Umno. Mahathir memohon para perwakilan Umno
supaya menolak pemimpin-pemimpin yang rasuah. Tetapi Mahathir
terlupa bahawa hanya beberapa kerusi, di atas pentas MT, di
sebelahnya kini sedang diduduki oleh Ketua Wanita Umno yang
baru. Ketua Wanita yang baru ini telah diperakui oleh Laporan
Peguam Negara pada tahun 1995 sebagai mempunyai "kes prima
facie" telah melakukan kesalahan rasuah dalam pemberian saham
kepada anak menantunya sendiri. Jadi bagaimana rakyat dapat
yakin Umno boleh bebas dari rasuah sekiranya pemimpin politik
yang rasuah seperti Rafidah Aziz, Muhammad Muhd Taib dan
Muhyiddin Yassin kembali menang dalam perebutan jawatan?
|