Laman Webantu KM2A1: 4617 File Size: 14.5 Kb * |
TAG SP 148: Kebebasan Wartawan By Harun Rashid 3/6/2001 8:18 am Sun |
TAG 148 [Wartawan sudah diikat tangan dan kaki mereka jika tidak akan
terbongkar tembelang kerajaan yang ada. Tindakkan menguasai akhbar
oleh pihak tertentu bertujuan untuk melindungi kebanjingan mereka
dan memutar minda rakyat agar dapat terus menjajah mereka.
Beberapa peristiwa di Bukit Jenalik sengaja ditutup agar tidak
terbuka jika tidak akan lingkuplah kerajaan yang asyik menipu rakyat
sahaja. Sampai bilakah kerajaan mahu memalsukan berita kerana internet
bakal mendedahkannya jua. Kecelaruan fakta akan menyebabkan rakyat
memburu maklumat di alam siber dan itu tidak sukar kerana mereka tidak
perlu berjalan jauh untuk mencarinya. Malah ramai yang sudah merasa
berita di alam siber sesuatu yang tidak dapat dipisahkan lagi dari
hidup mereka. Itulah sentuhan berbisa yang tidak terkata yang sukar
ditandingi oleh akhbar baru(a) MCA walaupun nilainya berjuta-juta.....
- Editor] (Freedom of The Reporter) oleh: Harun Rashid Kebebasan akhbar sebenarnya merupakan kebebasan golongan wartawan. Setiap
kali tercetusnya sesuatu peristiwa, pemberitaan peristiwa itu bergantung
kepada cara dan sikap serta kebebasan seseorang mentafsirkannya. Ini juga
bergantung kepada sokongan yang diberikan kepadanya ketika membuat
kerja-kerja siasatan, menulis dan bagaimana kerjanya itu disunting, dan
dibaca prufnya. Yang lebih penting lagi apakah si wartawan itu ada membuat
lawatan di tempat berlakunya sesuatu peristiwa itu.
Para wartawan memang diberikan tugas harian, dan mereka pun pergilah ke
tempat di mana tercetusnya peristiwa yang melahirkan berita. Semakin kerap
kini, apabila tiba di sesuatu tempat itu mereka disogokkan dengan
pemberitaan yang sudah disediakan dalam bentuk ringkasan, yang disediakan
oleh kakitangan bahagian hubungan luar. Ada juga persidangan akhbar di mana
kenyataan bertulis diulang kembali oleh para menteri yang mempertontonkan
keyakinan diri. Salinan yang tersedia diedarkan juga dengan kata-kata
ingatan yang jelas dipaparkan, supaya tidak dilakukan sebarang pindaan
kepada laporan. Soalan yang dikemukakan untuk menyanggah menu yang
disediakan itu tidak digalakkan. Pernah terjadi, tetamu (wartawan ) tertentu
sengaja dihalang, ataupun ditolak kerana tidak diundang, mungkin kerana
dianggap sudah terbuang. Kalau ini disedari, rakan wartawan yang lain akan
bersikap dingin tanpa mahu bertindak garang dan sengaja mengunci suara untuk
tidak dianggap berbisa. Seseorang wartawan yang dikurnia minda menyelongkar cerita sudah tentu akan
menolak kerja-kerja pengawalan seperti ini dan menumpukan usaha berkarya
yang amat diperlukan untuk mencungkil intipati berita secara terperinci.
Keghairahannya ini pasti ditentang kerana ada pihak tertentu yang terlibat
yang mahu menyekat, agar berita sebenar terus tertambat. Usaha besar-besaran
kerap dilaksanakan untuk menghalang siasatan bebas oleh wakil media. Polis
dan juga ahli-ahli parti politik yang berkuasa mudah gelabah untuk menudung
segala usaha konspirasi mereka daripada dikesan dan didedahkan.
Para wartawan sentiasa diawasi oleh para editor yang sentiasa pula diawasi
oleh para tuannya. Inilah hakikatnya dunia kewartawanan yang mesti disedari
di sebalik segala kenyataan oleh para pemilik, pegawai kerajaan, pegawai
polis dan para pengarang bahawa pengawalan seperti ini 'tidak pernah wujud'
mestilah diperakukan secara bebasnya oleh para wartawan itu sendiri. Pembaca
akhbar mesti bijak menilai kebenaran dan kesahihan berita yang
menggembar-gemburkan serta memuji dan memuja pelbagai acara dan perwatakan
yang melibatkan parti politik yang berkuasa kerana pemberitaan yang dibuat
itu memperlekehkan kebenaran sebenarnya dan sengaja memperbodohkan para
pembacanya. Apabila sesebuah parti politik menunjukkan minat menguasai akhbar, radio dan
TV, kebebasan media pun menghilang. Setiap berita dan gambar yang
ditayangkan mesti memenuhi tujuan propaganda. Walaupun ada pengecualian yang
dijanjikan, ia harus disangsikan kerana kemungkinan wujudnya satu helah
sementara untuk memulakan satu usaha mencerna keyakinan untuk kerja-kerja
tipudaya akhirnya. Apabila laporan bebas yang mampu menyelongkar berita dinafikan, ini
memberikan ruang bebas kepada para bajingan. Laporan polis mengenai sesuatu
peristiwa itu menjadi satu berita palsu kerana pembaca tahu wujudnya
muslihat penipuan yang sengaja diada-adakan. Apabila pegawai penyiasat
mengemukakan akuan bersumpah yang kemudiannya didapati mengandungi
unsur-unsur penipuan, ini membawa erti betapa pihak polis sudah semakin
berani membuat kerja-kerja penipuan kerana yakin mereka tidak akan
didedahkan ataupun dihukum kerananya. Terdapat aktiviti polis yang didedahkan sebagai haram, sehinggakan mereka
terpaksa mendapatkan panduan wakil rakyat yang mengkotak-katikkan kes itu.
Apabila pegawai awam dan para pendakwa sudah menjadi biadap dan bersikap
sebagai penjenayah, demokrasi pun terjerumus menjadikan negara dikuasai oleh
diktator yang korup. Inilah yang berlaku kepada Malaysia.
Sebarang kenyataan yang dibuat tanpa sokongan yang menyeluruh tentu tidak
mudah dipercayai. Jika ada kepalsuannya si penulis bolehlah dicemuh dan
dikutuk oleh rakyat marhaen yang cintakan negaranya. Tetapi, bagaimana pula
kisahnya dengan pihak polis dan para menteri yang menggalakkan seseorang
penulis menerima maklumat palsu? Tidak ada penulis yang berminat menulis dan
menggambarkan kisah yang ada unsur-unsur kesangsian. Kedaulatan negara dan
martabat bangsa menjadi kepentingan utama kerana itu setiap peristiwa mesti
diselidik untuk pemberitaan agar terdedah segala kerja-kerja bajingan yang
dirancang oleh pihak atasan. Ada teori mengatakan bahawa polis boleh menangkap rakyat jelata, menahan
mereka tanpa dijamin dan diberikan bantuan guaman. Lawatan sanak keluarga
dinafikan dengan alasan mereka diperlukan untuk disiasat, diazab dan
dizalimi di tempat kurungan yang tidak berperi-kemanusian. Ini bukannya
teori sebuah negara yang diamalkan oleh manusia berpendidikan yang setara
dengan manusia bertamadun di dunia ini. Inilah teori yang diamalkan oleh
penjenayah bajingan yang beruniform yang menganggap siasatan yang
dicampur-baur segala penyiksaan itu adalah satu jenis sukan harian. Kumpulan
keparat ini sudah menjadikan tugas kepolisian mereka sebagai punca
sara-hidup, tidak pula menerima latihan pengawasan yang sempurna untuk
menyekat kerja-kerja jijik mereka mendera orang awam. Lama kelamaan mereka
menjadi kesedapan dan menjadi manusia berhati syaitan, yang mudah mendera
dan menzalimi mangsa yang mereka penjarakan. Para menteri BN dan wakil
rakyat yang sengaja membuta-tuli dan membiarkan kelakuan biadap ini turut
berdosa dan menanggung beban kesalahan besar ini. Mereka dianggap tergolong
antara mereka yang turut memberikan arahan penyiksaan ini kerana sikap tidak
peka dan sanggup mengutuk kerja-kerja itu.
Kesediaan menangkap seseorang tanpa bersebab dan menyiasat tanpa hadnya
untuk mendapatkan pengakuan diri yang kena dera adalah kerja jijik yang
kerap dikaitkan kepada pasukan polis Malaysia. Amalan ini sudah dikutuk oleh
masyarakat sejagat, dan Malaysia boleh menjangkakan bahana kesan penentangan
amalan ini daripada rakan niaga utamanya di seluruh dunia. Kini, martabat
kerajaan dan syarikat besar Malaysia dalam bidang kewangan dan keupayaan
bon-bon mereka sudahpun diperlekehkan oleh penggiat pasaran kewangan
antarabangsa. Kalau kita perhatikan kes mahkamah membabitkan sekumpulan pejuang Islam,
memang tidak nampak adanya pembelaan yang berkesan. Orang-orang yang dituduh
tidak mempunyai peluang untuk menceritakan kisah sebenarnya. Saksi-saksi
yang bebas tidak dibenarkan untuk memperlekehkan dan mencela saksi-saksi
pihak pendakwa. Namun, keseluruhan perkara itu dilihat sebagai peristiwa
yang berkait-kait yang sengaja direka-reka sehingga terlalu jelas
pembohongannya. Banyak yang boleh disebut dalam hal ini. Terdapat satu
senarai panjang mengandungi bukti sahih yang melebihi lima puluh jumlahnya.
Tiga contoh sudah mencukupi kali ini, untuk mendedahkan kerja pembohongan
yang direncana itu. Pertama, lubang di Bukit Jenalik dikatakan telah digali oleh wirawan yang
mati terkorban. Ketika berlakunya penyerahan diri, tidak banyak pun lubang
yang digali dan dalamnya pun boleh diukur dengan jari kerana tidak cukup
untuk menanam bangkai binatang yang kecil. Sesiapa yang melawat tempat
kejadian beberapa bulan selepas kejadian pada tahun 2000 itu boleh nampak
beberapa lubang yang digali itu tidak pun mampu menjadi benteng dan kubu
manusia yang bertahan di situ. Tetapi, apabila hakim dan pegawai mahkamah
dibawa melawat tempat kejadian, dengan iringan TV dan para wartawan, semua
lubang itu menjadi besar saiznya sehingga layak untuk menanam sebuah kereta
setiap satu. Ini bererti ada jentera berat yang dibawa ke situ untuk
membesarkan lubang yang kecil dulu. Siapa yang membuatnya dan kenapa?
Kedua, kematian Jaafar Putih adalah satu peristiwa yang aneh. Dia merupakan
saksi penting yang masih hidup ketika itu, kerana itu ada tanda-tanda
sekongkolan polis untuk sengaja menutup sesuatu. Sepatutnya beliau
dibebaskan pada waktu semua kumpulan yang dikepung sudah menyerah-diri,
seperti yang disebut oleh KPN. Sebaliknya beliau ditahan juga di Balai
Polis Lenggong sehinggalah sepuluh hari kemudian ketika terjadi kematiannya.
Satu jam sebelum kematiannya itu dia masih ditahan oleh polis lagi. Selepas
dibebaskan dan dalam jangka waktu satu jam dia didapati mati tidak jauh
daripada balai itu. Sebab sebenar kematiannya tidak pun didedahkan oleh
pihak polis kerana sebab yang boleh difahami. Polis tidak boleh
mempertahankan laporannya itu. Jaafar Putih sudah tahu banyak rahsia yang
sebenarnya dan sengaja disekat bercerita kepada pihak media dan daripada
masyarakat yang terlalu ingin bertanya. Ada seorang anak buahnya yang muda
telah membawanya membonceng motorsikal pada hari kematian itu telah disuruh
datang ke Balai Polis Lenggong keesokan harinya. Dia tidak pulang ke rumah
selepas itu kerana terus di tahan di balai itu. Di manakah Mahmoud bin
Manssor di waktu ini? Apakah dia hilang kerana tahu cerita sebenar di mana
Jaafar Putih menikmati makanannya yang terakhir sebelum dia mati?
Ketiga, senjata yang dikatakan dirompak daripada kem tentera telah
ditontonkan kepada rakyat jelata. Semua senjata ini adalah peralatan baru
yang dikeluarkan daripada sarongnnya. Semuanya baru dilumuri minyak dan
tanpa sebarang gurisan calar dan kecacatan. Tetapi, KPN dan Menteri
Pertahanan telah membuat sidang akhbar berasingan dan mengatakan itulah
senjata yang sudah terpakai yang dirompak daripada dua khemah tentera (yang
dipertikai). Senjata itu pula dikatakan diangkut dalam tiga buah Pajero dan
diangkut mendaki Bukit Jenalik yang berdebu dan berlumpur itu. Semua senjata
dihumban ke dalam tangki simen yang penuh menakung air Tetapi tidak ada pun
sebarang tangga di atas bukit itu untuk menyimpan senjata dan kelengkapannya
ke dalam tangki air itu. Bagaimana pula mahu mengambil senjata tambahan
daripada tangki air itu kalau perlu menambahkan alat pertahanan? Ini
menunjukkan, idea menyorokkan senjata dalam tangki air adalah merupakan
cetusan minda seorang penulis skrip di jabatan pendakwa raya, kerana sesiapa
yang telah membuat lawatan ke Bukit Jenalik akan faham betapa semua cerita
yang dilakarnya itu memang sukar untuk dipercayai.
Cerita pembohongan semacam ini memang mudah didengar daripada mulut pegawai
polis yang berdiri megah di sebelah para menteri Malaysia. Laporan mereka
itu kebanyakannya adalah palsu yang memerlukan pengesahan wartawan bebas
untuk memperakukan cerita itu walaupun ringkasannya sudah disediakan secara
rasminya. Pihak polis memberitahu para hakim apa yang mereka suka beritahu
tanpa mengusahakan sesuatu untuk menjamin cerita itu boleh masak akal.
Apabila peguam pembela tidak ada, amat mudahlah hakim membuat keputusannya.
Seterusnya, apabila ada jolokan di sana sini dan sogokan di sana sini pula,
seorang hakim amat mudah menghukum seorang insan yang sebenarnya tidak pun
bersalah. Inilah kerja bajingan yang menjanjikan lubang neraka yang paling
dalam untuk mereka. Apabila wujudnya wartawan bebas, maka terjaminlah demokrasi yang amat rapuh
itu. Terpulanglah kepada seseorang wartawan membuat siasatan dan
mencantumkan segala cebisan berita yang diperolehinya untuk menjadi satu
gambaran yang nyata yang mampu menjadi perisai untuk kita sebagai penampan
terhadap kerja-kerja bajingan polis dan wakil rakyat yang mempunyai tugas
untuk menyelia mereka. Di Malaysia terlalu banyak pembunuhan ganas yang
diberikan immuniti oleh polis sedangkan pembunuhan itu memerlukan siasatan.
Itulah yang terjadi kepada lima orang India di Sungai Besi dan enam orang
India lagi yang terkorban di Tumpat (Kelantan). Dua kisah ini merupakan
tambahan kepada banyak cerita lagi yang menunjukkan kekejaman pihak polis
yang sepatutnya dikutuk oleh rakyat jelata.
Apakah cerita semacam ini mesti dilaporkan oleh para wartawan dan penulis
ataupun dibiarkan sahaja diselidik oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ? Apapun
yang akan dilakukan, ia merupakan sesuatu yang mesti dilaksanakan. Ahli
keluarga dan anak-anak mangsa yang teraniaya memerlukan keadilan. Pihak
polis sudah pun memberikan cerita mereka secara mengangkat sumpah. Kini,
tibalah masanya kepada pihak yang menjadi mangsa menuturkan cerita mereka.
Dalam semua keadaan ini, adalah lebih baik kalau polis melepaskan semua
tahanan politik negara dan menumpukan perhatian mereka membetulkan segala
kepincangan dalaman yang ada. Sudah tibalah masanya setiap kepincangan itu
diperbetulkan. Biarlah semua kisah benar itu bermula.
- Harun Rashid Terjemahan SPAR-05-008
Link Reference : Harun Rashid Worldview: Freedom Of The Reporter |