Laman Webantu KM2A1: 4641 File Size: 7.1 Kb * |
Pengunduran Daim - Punca Dan Kesannya By Dr Syed Husin Ali 6/6/2001 8:32 am Wed |
PENGUNDURAN DAIM - PUNCA DAN KESANNYA
Oleh Dr Syed Husin Ali Tun Daim Zainuddin telah membuat kejutan besar apabila beliau meletakkan
jawatan bukan saja sebagai Menteri Kewangan bahkan Bendahari UMNO juga.
Khabarnya beliau telah membuat keputusan muktamad selepas mengadakan
pertemuan di Honolulu pada penghujung bulan Mei dengan kira-kira 20 orang
tokoh korporat besar yang rapat dengannya.
Beberapa orang pemimpin UMNO serta pemerintahan BN menyesali tindakan beliau
dan menganggapnya sebagai satu kerugian besar kepada pemerintahan.
Sebenarnya, Daim sendiri menyedari bahawa sekarang ini, kehadiran atau
ketiadaan beliau sebagai menteri dan juga bendahari parti tidak ada bezanya.
Segala-galanya sudah ditentukan mengikut kehendak dan kuasa Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad seorang diri saja.
Ramai orang, termasuk saya sendiri, tidak menyangka Daim akan berhenti
kerana kami mengetahui hubungan beliau dengan Mahathir dari segi sejarah,
kepentingan ekonomi dan juga perkongsian rahsia begitu rapat sekali. Namun
begitu, kami mengetahui juga bahawa perbezaan dasar, percanggahan pendapat
dan juga pertentangan kepentingan semakin besar di antara mereka sejak tahun
lalu lagi. Daim sering dikemukakan sebagai tokoh yang berkebolehan untuk menyelamatkan
kemerosotan ekonomi negara. Apabila beliau dilantik pada kali pertama
sebagai Menteri Kewangan, Malaysia menghadapi kemerosotan ekonomi, akibat
kejatuhan harga barangan utama keluaran negara di pasaran dunia.
Semasa beliau menjadi menteri itu keadaan ekonomi pulih, dan ramai yang
memuji bahawa ini ialah kerana kebolehan Daim. Tetapi, sebenarnya faktor
penting yang memulihkan ekonomi negara ialah kerana harga barangan utama itu
telah naik semula. Daim berhenti kononnya sebagai penyelamat ekonomi negara.
Kali kedua beliau diangkat menjadi Menteri ialah selepas Datuk Seri Anwar
disingkir setelah diaibkan pada tahun 1998. Ketika itu sebahagian besar
wilayah Asia, termasuk Malaysia, sedang menghadapi krisis kewangan.
Apabila abad ke-21 bermula, keadaan mulai pulih, bukan di Malaysia saja,
bahkan juga di negeri-negeri lain yang pernah terjejas oleh krisis kewangan
itu. Sekarang ini, terdapat banyak tanda-tanda yang menunjukkan bahawa keadaan
ekonomi di Malaysia sedang menurun dan akan terus merosot lebih teruk lagi,
akibat jangkitan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat. Simpanan asing
menurun, pasaran saham merudum, beberapa kilang asing ditutup, ramai pekerja
dibuang, dan gaji sebenar merosot akibat kenaikan harga barang.
Langkah menyuntik RM3 bilion kononnya untuk menepis jangkitan itu, pada
hakikat sebenarnya, ialah untuk mengadakan projek-projek yang boleh
menyelamatkan anak-pinak serta suku-sakat Dr Mahathir. Dalam keadaan
ekonomi negara bertambah tenat dan sumber kekayaan kian terhakis akibat
perbelanjaan membazir untuk projek-projek mega, semakin tegang pertentangan
di antara Daim dengan Mahathir, terutama sekali dalam dua bidang.
Pertama, Daim berbeza pendapat dengan Mahathir tentang beberapa dasar untuk
memulihkan ekonomi. Daim merasakan bahawa perlu peranan lebih besar yang
dimainkan oleh kuasa pasaran. Oleh itu beliau lebih suka 'sangkutan' (atau
pegging) ringgit dengan dolar dikaji semula dan tidak terus ditetapkan pada
kadar RM3.8 bersamaan US$1.00. Beliau juga merasakan nilai ringgit perlu
disesuaikan berikutan kejatuhan nilai yen dan juga mata wang beberapa negara
tetangga, supaya kita boleh bertanding dengan lebih berkesan untuk menjual
barangan eksport. Sebaliknya, Mahathir mahu terus mempertahankan 'pegging'
dan tidak mahu menilai semula ringgit.
Kedua, dalam keadaan sumber kewangan dan kontrak-kontrak besar semakin
berkurang berikutan kemerosotan ekonomi, Daim dan Mahathir bersaingan bahkan
semacam berebut-rebut untuk mendapatkan sumber kewangan dan kontrak yang
masih ada, untuk menyelamatkan kroni atau suku-sakat masing-masing.
Presiden MTUC pernah menyatakan bahawa beliau diberitahu Mahathir tidak
mengetahui lebih awal dan konon tidak sempat menentang langkah menyelamatkan
Syarikat MAS dan Time.Com (sebenarnya Tan Seri Tajuddin Ramli dan Tan Seri
Halim Saad). Dalam suasana yang kalut ini Mahathir telah mengangkat bekas Gabenor Bank
Negara, Tan Seri Ali Abul Hassan yang pernah menghadapi tuduhan korupsi
tetapi terselamat, sebagai seorang lagi Penasihat Ekonomi beliau. Sebelum
itu, beliau melantik Dr Mohd Nor Yackub, bekas Timbalan Bank Negara yang
dikatakan bertanggungjawab secara langsung atas kerugian kira-kira RM15
bilion wang rakyat kerana menjalankan arahan pihak atas untuk berspekulasi
dengan wang sterling pada tahun 1993. Daim tidak mempunyai hubungan yang
baik dengan kedua-dua orang ini. Beliau melihat perlantikan mereka sebagai
tamparan kepadanya. Apakah kesan pengunduran Daim kepada ekonomi dan politik negara? Dari segi
ekonomi, tidak akan ada perubahan dasar sekarang. Yang baik, dasar menentang
penguasaan IMF, Bank dunia dan juga WTO serta globalisasi yang merugikan
negara membangun akan terus ditentang, walaupun dengan kata-kata serta
retorik semata-mata. Yang tidak baiknya, dasar pembangunan yang masih
menekankan projek-projek mega membazir akan diteruskan. Begitu juga amalan
kronisme, nepotisme dan rasuah akan terus berlanjutan. Ada kemungkinan
Mahathir melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan dengan Ali Hassan dan Md
Nor memainkan peranan harian lebih besar. Jikalau tidak, Mahathir mungkin
akan melantik seorang pak turut yang setia dan boleh menjamin segala
kepentingan serta kehendaknya. Dari segi politik, pengunduran Daim ini pasti akan meruncingkan lagi keadaan
perpecahan atau krisis dalam UMNO dan BN. Kemungkinannya, cabaran kepada
Mahathir akan lebih kuat lagi dalam Perhimpunan Agung UMNO. Adakah Daim akan
dapat mendorong Datuk Abdullah Badawi menentang Mahathir? Dan sanggupkah
Abdulah menentang Mahathir? Walaupun Mahathir masih boleh berpura-pura
senyum, hatinya tentu gundah gulana, kerana sebagai Menteri Kewangan dan
Bendahari UMNO begitu lama, Daim mengetahui banyak tentang pekong Mahathir.
Tetapi mungkin beliau terpaksa menutup mulut kerana Mahathir pun mengetahui
segala pekongnya. Adakah Daim akan bergabung tenaga dengan BA? Mengenal Daim
serta segala kepentingannya, ini tidak mungkin berlaku; jauh panggang dari
api. Tetapi apa yang mustahil dalam politik?
|