Laman Webantu KM2A1: 4647 File Size: 5.9 Kb * |
BH: Daim Letak Semua Jawatan By Kadir Dikoh 6/6/2001 10:31 pm Wed |
Berita Harian http://www.emedia.com.my/Current_News/BH/
Wednesday/Mukadepan/20010606090433/Article/
Oleh Kadir Dikoh PM memangku jawatan Menteri Kewangan
PUTRAJAYA, Selasa - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim
Zainuddin meletakkan semua jawatannya dalam kerajaan dan parti
termasuk sebagai Bendahari Agung Umno kecuali kedudukannya
sebagai Ahli Parlimen Merbok. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika mengesahkannya hari ini
berkata, Daim mengemukakan surat peletakan jawatan bagi semua
jawatan itu baru-baru ini, serentak dengan surat peletakan jawatannya
sebagai Menteri Kewangan. Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, beliau memangku jawatan
Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkuat kuasa
mulai hari ini sehingga orang baru dilantik bagi mengisi kekosongan itu.
'Dia letak jawatan sebagai Bendahari Agung Umno juga, semua
sekali,' katanya ketika ditanya sama ada Daim turut meletakkan
jawatan lain seperti Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi
(Lada) dan Menteri Tugas-Tugas Khas. Dr Mahathir sebelum itu melancarkan buku The Propagation of Islam in
the Indonesian-Malay Archipelago susunan Dr Alijah Gordon, di
pejabatnya. Mengenai kemungkinan beliau akan terus memegang jawatan Menteri
Kewangan, Dr Mahathir berkata, ia hanya sementara sehingga orang
baru dilantik. 'Pagi tadi, saya sudah memberitahu Ketua Setiausaha Kementerian
Kewangan bahawa saya sekarang menjadi pemangku Menteri
Kewangan,' katanya. Dr Mahathir pernah memegang portfolio itu mulai September 1998
berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet
sehingga Daim, yang ketika itu Menteri Tugas-Tugas Khas, dilantik
sebagai Menteri Kewangan pada Januari 1999.
Ditanya mengenai kriteria bagi calon Menteri Kewangan yang baru, Dr
Mahathir berkata: 'Ia mestilah seorang yang sesuai untuk menjadi
seorang Menteri Kewangan.' Mengenai beberapa nama yang disebut-sebut oleh media untuk
dilantik sebagai Menteri Kewangan, Dr Mahathir berkata: 'Saya tak
tahu, saya akan tengok senarainya. Saya masih terbuka dan sedia
menerima cadangan daripada akhbar.' Berikut adalah soal jawab antara wartawan dengan Dr Mahathir petang
ini: Media: Adakah Datuk Seri sudah memutuskan siapa Menteri
Kewangan yang baru? Dr Mahathir: (secara berjenaka) Borang sudah dikeluarkan. Saya
sudah mempunyai beberapa siri borang. Media: Berapa banyak borang? Dr Mahathir: Beberapa ribu. Media: Baru-baru ini Datuk Seri kata sedang memikirkan pengganti
Tun Daim. Sudah adakah calonnya? Dr Mahathir: Saya masih memikirkannya.
Media: Apakah kriteria pemilihan calon Menteri Kewangan?
Dr Mahathir: Dia mestilah seseorang yang sesuai untuk jadi Menteri
Kewangan Media: Bagaimana dengan beberapa nama yang disebut-sebut oleh
pihak media bakal dilantik Menteri Kewangan?
Dr Mahathir: Siapa mereka tu? Media: Tan Sri Ali Abul Hassan, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk
Ghani Othman, Datuk Dr Awang Adik Husin dan nama Tan Sri Azman
Hashim juga turut dikaitkan. Dr Mahathir: Tak tahulah, saya akan tengok senarai
Media: Adakah Datuk Seri sudah menyenarai pendek nama-nama
yang berpotensi?. Dr Mahathir: Belum, saya masih membuka ruang. Oleh itu, mana-mana
cadangan daripada pihak media, saya alu-alukan.
Media: Adakah Datuk Seri akan membuat pelantikan itu sebelum atau
selepas Perhimpunan Agung Umno (19-22 Jun ini)?
Dr Mahathir: Insya-Allah, tapi saya tak tahu sebelum atau selepas
(perhimpunan Umno)...saya dok cari, tepi-tepi jalan....
Media: Adakah Tun Daim turut meletakkan jawatan lain seperti
Bendahari Agung Umno, Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi
(Lada) dan Menteri Tugas-Tugas Khas? Dr Mahathir: Dia letak jawatan sebagai Bendahari Agung Umno juga,
semua, semua sekali. Media: Bila dia letak semua jawatan itu?
Dr Mahathir: Hari yang sama. Media: Adakah Datuk Seri akan melantik pemangku Menteri
Kewangan? Dr Mahathir: Saya sekarang ini Pemangku Menteri Kewangan dan
Menteri Tugas-Tugas Khas. Media: Apakah pelantikan Datuk Seri itu akan kekal?
Dr Mahathir: Ia hanya sementara sehingga orang baru dilantik.
Media: Jadi Tun Daim tak ada lagi dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno?
Dr Mahathir: Dia bukan dipilih (ke dalam MT), dia dilantik sebagai
Bendahari. Kalau dia tak jadi Bendahari, dia tak ada dalam MT.
Media: Ada kemungkinan Tun Daim akan turut meletak jawatan sebagai
Ahli Parlimen Merbok? Dr Mahathir: Tidak. Media: Sekarang Datuk Seri memangku tugas-tugas Menteri
Kewangan? Dr Mahathir: Ya, saya pemangku Menteri Kewangan. Anda mahu
wang, tulis kepada saya. Media: Jadi, Datuk Seri sendiri lantik diri sebagai Pemangku Menteri
Kewangan? Dr Mahathir: Ya...pagi tadi saya sudah tulis surat kepada Ketua
Setiausaha Kementerian Kewangan, bahawa saya sekarang ini
Pemangku Menteri Kewangan. Media: Adakah Datuk Seri melawak? Dr Mahathir: Tidak, saya tidak melawak. Saya tak boleh melawak
mengenai benda macam ini. Media: Berapa lama Datuk Seri rancang nak jadi Pemangku Menteri
Kewangan? Dr Mahathir: Saya tidak tahu. Media: Mesyuarat dialog pra Belanjawan akan diadakan tidak lama
lagi. Adakah Datuk Seri masih sebagai pemangku Menteri Kewangan
nanti untuk mempengerusikan mesyuarat itu?
Dr Mahathir: Jika saya belajar cukup mengenai kewangan, saya akan menjadi menteri yang akan mengadakan dialog. Buat masa ini, saya belum yakin lagi (berseloroh). |