Laman Webantu KM2A1: 4649 File Size: 14.2 Kb * |
TAG SP 151: Peranan dan Kebebasan Badan Kehakiman By Penulis Perundangan 6/6/2001 9:31 pm Wed |
Terjemahan: SPAR-09-003
(Judicial Role And Independence) Oleh: Penulis Perundangan Di dalam rencana MGG Pillai yang bertajuk "Perlembagaan, Satu
Tongkat Untuk Penghakiman Yang Tempang", beliau menjelaskan bahawa
semenjak pindaan perlembagaan 1988, badan kehakiman telah
kehilangan kuasa kehakiman yang diperuntukkan kepadanya.
Seseorang mungkin berpendapat bahawa para hakimlah yang
sepatutnya membuat keputusan sama ada kuasa kehakiman di dalam
Persekutuan masih selari dengan badan kehakiman yang tidak
dapat bertahan terhadap pindaan Perlembagaan 1988 atau
sebaliknya. Sekiranya para hakim mahukannya mereka dengan mudah
sahaja boleh mengisytiharkan pindaan perlembagaan 1988 sebagai
tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang
berdasarkan satu alasan yang mudah iaitu pindaan tersebut
bermaksud untuk menghakis kuasa kehakiman yang menjadi
ciri-ciri dasar atau prinsip-prinsip asas kepada perlembagaan.
Adalah diakui bahawa peruntukan perlembagaan boleh dipinda
melalui artikel 159. Namun ia mestilah diiktiraf bahawa
terdapat peruntukan-peruntukan tertentu yang membentuk
ciri-ciri dasar perlembagaan yang tidak boleh dipinda; dan
dengan memindanya akan membinasakan terus keseluruhan
perlembagaan itu sendiri. Seperti yang telah diperkatakan, terpulang kepada para hakim
sendiri untuk membuat keputusan. Hanya mereka yang boleh
mengisytiharkan mana-mana undang-undang atau mana-mana artikel
yang dipinda atau fasal dari perlembagaan itu sebagai tidak
sah, tidak mengikut perlembagaan dan tidak boleh
dikuatkuasakan. Apabila Malaysia mencapai kemrdekaan pada tahun 1957, rakyatnya
menerima dan bersetuju untuk mematuhi perlembagaan persekutuan
yang berdasarkan kepada model Westminster di mana terdapat
jurang pemisah yang besar dari segi kuasa di antara tiga organ
utama kerajaan yang dipanggil Badan Eksekutif, Badan Legislatif
(Perundangan) dan Badan Kehakiman. Sudahpun diputuskan bahawa
semua ini adalah ciri-ciri dasar atau tunggak atau
prinsip-prinsip asas perlembagaan yang tidak boleh dipinda
tanpa konsensus (persetujuan bersama) di peringkat kebangsaan.
Di bawah artikel 39 perlembagaan, kuasa kedudukan Eksekutif di
dalam Persekutuan diberikan kepada Yang diPertuan Agong (YDPA)
dan boleh digunakan olehnya atau oleh Kabinet atau mana-mana
Menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet. Di dalam menggunakan
kuasanya YDPA boleh bertindak sejajar dengan "nasihat" Kabinet
atau seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa Kabinet,
kecuali jika sebaliknya yang diperuntukkan oleh perlembagaan.
Sungguhpun demikian, telahpun diputuskan bahawa YDPA tidak
boleh bertindak sewenang- wenangnya mengikut mana-mana nasihat.
Nasihat yang diberikan mestilah berlandaskan undang-undang,
mematuhi perlembagaan dan mesti dibuat demi kepentingan rakyat.
Sebagai contohnya, YDPA sepatutnya tidak menerima "nasihat"
Perdana Menteri untuk melantik bekas Peguam Negara sebagai
Hakim Persekutuan, berdasarkan banyak dakwaan-dakwaan rasuah
dan penyalahgunaan kuasa yang telah dilakukan oleh bekas Peguam
Negara itu. Nasihat sedemikian yang bertentangan dengan
undang-undang tidak boleh dianggap satu nasihat sebagai mana
yang dimaksudkan di dalam artikel berkenaan.
Kuasa kedudukan Legislatif (Perundangan) di dalam persekutuan
pula diberikan berdasarkan Artikel 44 di Parlimen yang terdiri
dari YDPA dan dua dewan Parlimen. Dan akhir sekali Artikel 121
menyatakan bahawa kuasa Kehakiman di dalam Persekutuan perlu
diberikan kepada dua Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang
kuasa dan status yang diselaraskan dan mahkamah-mahkamah yang
lebih rendah sebagaimana yang mungkin diperuntukkan oleh
undang-undang Persekutuan. Pindaan Perlembagaan 1988 itu telah bermaksud untuk menghakis
kuasa kehakiman di dalam Persekutuan Badan Kehakiman. Menurut
MGG, "pindaan itu menafikan kuasa yang diperuntukkan kepada
Badan Kehakiman," dan hanya dengan meminda perlembagaan kepada
keadaannya sebelum 1988 akan dapat memulihkan kembali kuasa
yang diperuntukkan kepada kehakiman, secara tidak langsung,
kepada Badan Kehakiman. Satu pandangan lagi adalah bahawa pindaan perlembagaan itu
adalah tidak perlu sama sekali berdasarkan dua alasan utama di
mana kuasa kehakiman di dalam Persekutuan adalah sejajar dengan
Badan Kehakiman yang tidak dapat bertahan dengan pindaan yang
mempunyai maksud tertentu itu. Pertama, pindaan kepada Artikel 121 itu menyentuh tentang
ciri-ciri dasar atau tunggak kepada perlembagaan iaitu konsep
dan doktrin tentang pemisahan kuasa di antara tiga organ di
dalam kerajaan yang diperuntukkan perlembagaan tersebut. Setiap
organ kerajaan itu mempunyai fungsinya yang tersendiri dan
kuasa dan setiap satunya memberikan penilaian dan keseimbangan
terhadap kuasa yang digunakan oleh pihak yang satu lagi supaya
sebarang keterlaluan Badan Eksekutif dan penyalahgunaan kuasa
dapat disekat oleh Badan Kehakiman dan sebakinya
ketidakhematan Badan Kehakiman akan diuruskan oleh dua lagi
organ kerajaan yang lain. Dari itu sebarang percubaan untuk
mengurangkan fungsi atau kuasa mana-mana organ kerajaan melalui
pindaan perlembagaan akan menyentuh ciri-ciri dasar
perlembagaan itu. Pindaan kepada dasar perlembagaan yang
penting itu hanya boleh dibenarkan melalui konsensus peringkat
kebangsaan dan bukannya melalui mekanisme pindaan seperti yang
diperuntukkan oleh Artikel 159. Seperti yang telah dianjurkan,
terpulang kepada para hakim untuk mengisytiharkan pindaan
tersebut sebagai melampaui semangat dan tujuan perlembagaan
1957 yang memperuntukkan bahawa kuasa kehakiman di dalam
Persekutuan adalah diberikan kepada Badan kehakiman, satu dari
tiga organ utama di dalam kerajaan. Kedua, pindaan artikel 121 tidak menyatakan kepada siapa
diberikan kuasa kehakiman itu di dalam Persekutuan. Pindaan
1988 juga tidak menyebut tentang perkara ini. Namun demikian,
dengan membaca bahagian IX dari perlembagaan secara
keseluruhan, adalah diputuskan bahawa kuasa kehakiman masih
diberikan kepada Badan Kehakiman dengan merujuk kepada sifat
perlembagaan dan bahawa ianya berasaskan kepada model
Westminster. Untuk menjawab soalan, kita perlu tahu apa yang dimaksudkan
dengan kuasa kehakiman? Zakaria J di PP melawan Dato' Yap Peng
yang memetik beberapa kes Inggeris telah mengatakan bahawa,
"kuasa kehakiman adalah satu kuasa di mana setiap penguatkuasa
yang berdaulat perlu memutuskan kontroversi di antara rakyatnya
atau di antara dirinya sendiri dan rakyatnya, sama ada hak-hak
tersebut berkait dengan kehidupan, kebebasan dan hartabenda."
Kuasa ini kadangkala sangat jelas diberikan kepada
mahkamah-mahkamah tertinggi di negara itu oleh perlembagaan dan
bagi yang lain tidak pula dinyatakan oleh perlembagaan
tersebut. Di dalam isu untuk memberikan kuasa kehakiman yang tidak
disebutkan kepada siapa oleh perlembagaan, ianya telah
diputuskan melalui kes Majlis Sulit di dalam kes di Sri Lanka
di mana Liyanage melawan Permaisuri (1967) AC 259. Hakim Pearce
yang menyampaikan keputusan penghakiman Majlis itu berkata
bahawa tiada keperluan yang meyakinkan untuk membuat sebarang
rujukan khusus kepada kuasa kehakiman mahkamah di dalam
perlembagaan. Beliau mengatakan bahawa, "peruntukan mengenai
perlantikan, penyingkiran dan saraan hakim-hakim menunjukkan
dengan jelas akan tujuan untuk memastikan agar badan kehakiman
bebas dari kawalan politik, legislatif dan eksekutif. Sifat
Perlembagaan yang tidak menyebut tentang kepada siapa kuasa
kehakiman itu diberikan adalah selaras dengan apa yang
ditinggalkannya, di mana ia telah meletakkan selama lebih dari
satu dekad, di dalam tangan Badan Kehakiman."
Begitu juga halnya dengan kes di dalam Badan Kehakiman
Malaysia. Amat malang buat kita, Badan Kehakiman selama lebih
satu dekad telah diterajui oleh dua hakim penyeleweng yang
membenarkan diri mereka terhutang budi kepada Perdana Menteri.
Ini telah membawa kepada perlantikan hakim-hakim yang korup dan
lemah yang menganggap Perdana Menteri sebagai satu-satunya
ketua kepada Badan Kehakiman dan mengambil arahan kehakiman
daripadanya. Sehinggakan Ketua Hakim Negara yang ada sekarang
pun tidak mempunyai kuasa untuk menyekat perlantikan bekas
Peguam Negara yang korup dan terlalu menurut perintah, Mohtar
Abdullah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Seseorang yang
tidak layak menjadi Peguam Persekutuan sudah jelas tidak akan
layak untuk menjadi Hakim Persekutuan.
Para hakim Malaysia perlu diperingatkan sekali lagi bahawa
perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi di negara ini
dan sebarang undang-undang yang diluluskan yang tidak selaras
dengan perlembagaan perlu diisytiharkan sebagai tidak sah. Dan
seperti di negara-negara lain di mana perlembagaan adalah
undang-undang yang tertinggi di dalam sesebuah negara itu, dan
tindakan dari kedua-dua rakyat biasa dan negara boleh diuji di
dalam mahkamah, peranan dan kebebasan badan kehakiman adalah
lebih penting daripada yang sebelumnya. Dan peri pentingnya
doktrin pemisahan kuasa dan keutamaan diberi kepada kedaulatan
undang-undang. Amatlah penting sekali untuk badan Kehakiman
itu bebas dari pengaruh politik dan lain-lainnya. Para Hakim
sepatutnya memiliki keberanian untuk menentang campurtangan
sebegitu dan berani pula mengatakan kepada Badan Eksekutif
supaya tidak mengganggu fungsi Kehakiman. Ahli Politik yang
sering mengganggu Badan Kehakiman seperti Perdana Menteri
seharusnya disedarkan kedudukannya. Para hakim mesti
menghambakan dirinya kepada Undang-undang, bukannya kepada
orang perseorangan. Badan Legislatif (Perundangan) harus
bersikap adil kepada semua golongan, tanpa takut atau pilih
kasih, perasaan kasih atau berniat jahat. Sekiranya mereka
tidak boleh mencapai ke tahap itu, mereka sepatutnya meletakkan
jawatan Kehakiman, sebaliknya mencari pekerjaan lain seperti
menjadi pensyarah undang-undang mengajar matapelajaran seperti
BAHAN BUKTI. Prinsip kebebasan Kehakiman bukan khusus terdapat pada
undang-undang sekular sahaja. Ianya adalah relevan di dalam
sebarang Sistem Perundangan dan merupakan syarat asas dalam
resolusi yang dipertikaikan. Teori Kerajaan Demokrasi dan
Prinsip-prinsip Kehakiman yang bebas adalah berhubungkait
antara satu sama lain dengan Doktrin Pemisahan Kuasa dan
Kebebasan Asasi. Kesemua Prinsip-prinsip ini, konsep-konsep dan
Dokrin-doktrin adalah berdasarkan kepada KESIMPULAN yang pihak
yang berkuasa tidak boleh DIAMANAHKAN dengan KUASA MUTLAK.
Mereka akan menyalahgunakannya untuk kepentingan Politik
seperti yang dilihat dalam penangkapan di bawah ISA baru-baru
ini dan penahanan Pemimpin Keadilan, Musuh utama kepada Umno
milik Mahathir. Pemimpin Keadilan, yang merupakan ahli parti
Politik yang berdaftar secara undang-undang telah ditahan
sewenangnya atas arahan Mahatir hanya kerana mereka mengancam
kedudukan politik Mahathir dan kelangsungan kerjayanya
memandangkan akan gejala RASUAH yang menyeluruh dan kronik yang
telah beliau lakukan. Doktrin yang tersebut di atas dirangka
untuk mencegah PENINDASAN yang boleh terhasil oleh
penganugerahan kuasa yang keterlaluan kepada seseorang atau
badan berkuasa. Dalam Perlembagaan telah termaktub akan hak-hak kebebasan yang
asas yang memperuntukkan Hak-hak Asasi seperti Hak Kebebasan,
Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Kesemua hak ini
hanya akan menjadi KHAYALAN semata jika mereka hanya DILAUNGKAN
tanpa PENGUATKUASAANNYA. Hak kebebasan ini menjadi tidak
bermakna sekiranya Mahkamah TUNDUK kepada arahan pihak
Eksekutif. Jadinya Badan kehakiman yang bebas amat perlu dalam
memainkan peranan antara dua konsep iaitu pemisahan kuasa dan
kebebasan asasi. Ketiga-tiga konsep inilah yang membentuk
KEDAULATAN undang-undang. Kebebasan kehakiman adalah asas kepada system pentadbiran
undang-undang. Konsep kebebasan Kehakiman dengan mudahnya
mengasingkan hubungan atau bidang tanggungjawab antara Badan
Eksekutif dan Badan Legislatif (Perundangan). Di dalam kawasan
masing-masing, setiap satunya bebas dalam menjalankan fungsi
masing-masing yang tertakluk kepada beberapa pembatasan.
Kebebasan kehakiman bukanlah semata-mata untuk mengelakkan
campurtangan Badan Eksekutif terhadap kebebasan para hakim
untuk membuat keputusan, tetapi juga bermaksud supaya para
hakim dapat membuat satu-satu keputusan dan menggunakan kuasa
mereka berlandaskan tanggungjawab kehakiman. Sebarang keputusan
yang dibuat mestilah dikawal oleh nilai-nilai etika dan moral
masyarakat - di mana seseorang yang yang dapat berfikir boleh
membuat pertimbangan yang sewajarnya sebagaimana pertimbangan
moral para hakim itu sendiri. Sebagai sebahagian dari
tanggungjawab kehakiman, seorang hakim tidak boleh bertindak
secara memalukan rakan sejawatannya atau sehingga memusnahkan
keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran perundangan. Contoh
sedemikian boleh dilihat dalam kedua-dua kes perbicaraan Anwar.
Salah seorang begitu terkenal dengan frasa sebutan yang sering
dikeluarkannya "tidak relevan" dan penilaian berat sebelahnya
terhadap seksyen 136 Akta Bahan Bukti dengan sengaja
menghalang pihak yang tertuduh dari mengemukakan bahan bukti di
dalam sessi pembelaan. Seorang lagi mempunyai keberanian dan
kebodohan untuk mensabitkan kesalahan berdasarkan keterangan
bukti mangsa "yang mendakwa diliwat" dengan terus tidak
mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwa sentiasa mencari
alasan untuk menghalang mangsa dari menjalani pemeriksaan
perubatan. Adalah diharapkan supaya para Hakim itu dapat melaksanakan apa
yang telah diperuntukkan di dalam perlembagaan dengan baik.
Terjemahan SPAR-09-003 |