Laman Webantu KM2A1: 4668 File Size: 3.8 Kb * |
Perhimpunan 9 Jun : Jangan Tidak Pergi! By Dahlia 9/6/2001 1:01 am Sat |
[Setiap perjuangan tidak akan berjaya tanpa ada pengorbanan.
Kita sebenarnya lebih zalim kerana telah cukup faham tetapi masih
terus berdiam membiarkan kezaliman sedangkan apa yang diperlukan
hanyalah menghadirkan diri dengan aman. Itu bukan satu kesalahan
kerana perlembagaan lebih tinggi dari sebarang undang-undang. Itulah
hak yang kerapkali ditafsirkan sebagai penderhakaan sedangkan itu
dijamin oleh perlembagaan. Sudah tiba masanya untuk rakyat bangkit jika tidak bersedialah untuk
terus hidup di dalam penjajahan dan menjadi mangsa diperkotak-katikkan
oleh insan behati setan. Jika tidak kita sebenarnya telah bersekongkol
memperbesarkan kandang musang dan mempersempitkan reban ayam.
- Editor] Perhimpunan 9 Jun : Jangan Tidak Pergi!
Assalamualaikum wbth, Saya fikir, sudah sekian lama kita melihat dan merasai kesan
daripada kerakusan kuasa Mahathir Mohamad selaku Perdana
Menteri Malaysia menggunakan kuasa yang diberi rakyat menerusi
pilihanraya kepada kerajaan pimpinannya. Kita juga sudah
berbulan-bulan melihat pelbagai sandiwara berlaku di depan mata
kita. Kita semua mengeluh. Lepas satu satu. Tidak cukup dengan
hukuman "olok-olok" kepada Rahim Nor dan di"kidnap" di IJN, isu
al-Maunah, isu perpaduan Melayu kununnya, isu DSAI dan
perubatan beliau, isu pendakwaan ke atas Azmin Ali yang kununnya
menipu mahkamah, isu penangkapan pemimpin BA, isu perletakan
semua jawatan oleh anak Mahathir dalam semua syarikat, isu Daim
dan Mahathir, isu Fauzi di Beserah, isu Khalil Yaacob di Pahang,
isu MCA/Nanyang dan ratusan isu yang berjela panjang yang masih
dalam kantong kerajaan yang rakyat tidak dapat mencium baunya.
Yang malang sekali ialah apabila rakyat Malaysia membisu dan
membiarkan ia terus berlaku, lepas satu satu.
Kalau kita tidak berani untuk menyuarakan hak kita, maka eluk saja
kita duduk diam-diam. Jadi rakyat bisu , pekak dan tuli.
Pendek kata, Jangan Peduli dan Jangan Pergi. Selimutkan tubuh
badan erat-erat dengan selimut dan tekup bantal di telinga, tutup
mata. Jangan peduli atau ambil pusing apa yang berlaku dalam
negara ini, kerana yang bertanggungjawab bagi mempertahankan
agama dan bangsa dari dibinasakan oleh pemimpin yang ada
hanyalah sekelumit rakyat yang sedar, rakyat yang bertimbangrasa
dan rakyat yang cintakan agama dan bangsanya.
Jangan bicara lagi soal ruang dan peluang. Bila lagi ruang dan
peluang itu diberi kepada kita? Dan bila lagi boleh kita buktikan
bahawa kita adalah rakyat yang waras dan merdeka? Bila lagi kita
harus buktikan yang kita rakyat yang masih ada maruah dan prinsip?
Bila lagi? Nak tunggu pilihanraya? Jangan haraplah kalau peti
undipun boleh bertukar dalam perjalanan atau dikira "lost in transit".
Atau selagi adanya ratus ribuan pengundi hantu yang sedia menjadi
pengundi, asalkan berbaloi dengan ganjaran yang diterima.
Jadi, tak payah bercakap banyak sangat. Cubalah fikirkan bersama.
Semua ruang ditutup. Jangan sampai kita sendiri jadi bosan dengan
karenah yang kita sendiri letakkan dalam perjuangan ini.
Oleh itu, kepada seluruh masyarakat yang bertanggungjawab dan
sedar, kepada mereka yang berkeupayaan untuk hadir esuk, silalah
hadir di perhimpunan ini. Jangan perlekehkan usaha-usaha murni
ini. Fahamilah perasaan rakyat yang dianiayai, dizalimi dan
ditindas!! Kalau tidak kita, siapa?? Jom kita turun esuk. InsyaAllah.. semoga Allah memberikan kekuatan
kepada kita semua. Wassalam Dahlia/KL
|