Laman Webantu KM2A1: 4715 File Size: 6.7 Kb * |
Saya Tahu Identiti Pemanggil: Dzaiddin By Berita Harian 13/6/2001 5:48 pm Wed |
[Rencana ini secara berkiasnya telah menunjukkan siapa yang membuat
panggilan talifon kepada Hakim Muhammad Kamil. Hanya seorang yang berkuasa
dalam bidang kehakiman sahaja yang boleh mengarahkan sesiapa antara
anak-buahnya (kata Hakim Lamin). Hakim Muhammad Kamil tidak perlu membuat lapuran polis kerana peguam negara
boleh menyiasatnya tanpa menunggu apa-apa lagi. Apa yang telah dilakukan
oleh Hakim Muhammad Kamil setakat ini sudahpun mencukupi untuk tindakkan
selanjutnya oleh pihak yang berkenaan.
Soalnya... di mana Eusoff Chin sekarang??
- Editor] KUALA LUMPUR, Selasa - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamed
Dzaiddin Abdullah, berkata beliau tidak terkejut apabila mengetahui
identiti pemanggil yang dikatakan mengarahkan seorang Hakim
Mahkamah Tinggi supaya membatalkan dua petisyen pilihan raya
Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas. 'Saya tahu pemanggil itu...Saya tidak terkejut,' katanya dalam sidang
akhbar di kamarnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.
Mohamed Dzaiddin berkata beliau tidak terkejut kerana sebelum ini
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Kamil Awang, sudah
menamakan bekas pegawai tertinggi kehakiman itu antara Ketua Hakim
Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan
Sarawak. Beliau juga mengesahkan menerima surat daripada Muhammad Kamil
yang dihantar melalui tangan pagi ini yang mendedahkan identiti
pemanggil itu, tetapi beliau enggan mendedahkan nama pegawai
terbabit. Ketua Hakim Negara mengulas kenyataan Muhammad Kamil semalam,
yang mendakwa bekas pegawai tertinggi badan kehakiman
mengarahkan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu membatalkan
dua petisyen pilihan raya Likas. Mohamad Dzaiddin berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang
laporan daripada hakim lain berhubung perkara yang sama sejak
menjadi Ketua Hakim Negara pada Disember tahun lalu.
Ditanya sama ada peruntukan dalam undang-undang membenarkan
Ketua Hakim Negara mengarahkan hakim untuk membatalkan sesuatu
kes, Mohamed Dzaiddin berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian.
Katanya, berdasarkan kepada pengalamannya sebagai Hakim
Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi, beliau tidak menerima
arahan seumpama itu daripada ketuanya.
Beliau berkata, jika ada hakim menerima arahan seumpama itu, mereka
perlu mengikut tindakan Muhammad Kamil.
Mengenai tindakan yang boleh diambilnya, Mohamad Dzaiddin
menyerahkan kepada Muhammad Kamil untuk membuat laporan polis
berhubung dakwaannya itu. 'Muhammad Kamil yang membuat dakwaan itu dalam penghakimannya
ketika membenarkan petisyen pilihan raya, jadi dialah orang yang
sesuai untuk membuat laporan polis jika beliau ingin berbuat demikian.
'Bagi saya, tindakan yang sesuai berhubung perkara ini adalah
Muhammad Kamil atau sesiapa saja membuat laporan polis. Selepas ini
bolehlah polis memulakan siasatan,' katanya Mohamed Dzaiddin berkata, beliau bukan pihak yang terbabit dalam
kontroversi itu dan tidak akan mengambil tindakan membuat laporan
polis terhadap dakwaan Muhammad Kamil.
Beliau berkata, setakat ini beliau tidak tahu sama ada Muhammad Kamil
sudah membuat laporan polis atau belum.
'Saya ada bercakap dengan beliau pagi ini tetapi saya tidak tanya
mengenai laporan polis. Tengoklah mungkin esok, selepas laporan
dibuat dan siasatan dimulakan, saya tidak bertanggungjawab lagi
berhubung perkara itu. 'Jika laporan polis dibuat saya akan menunggu keputusan siasatan
sebelum mengambil tindakan selanjutnya,' katanya.
Mohamed Dzaiddin berkata, Peguam Negara juga boleh memulakan
tindakan menghina mahkamah terhadap bekas pegawai tertinggi badan
kehakiman yang dinamakan itu tanpa menunggu hasil siasatan polis.
Bagaimanapun, katanya, pada kebiasaannya Peguam Negara akan
menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan seterusnya. Sementara itu, bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin
Yunus, menafikan beliau adalah bekas pegawai tertinggi yang membuat
panggilan kepada Muhammad Kamil. Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memilih hakim mendengar
petisyen pilihan raya kerana ia terletak dalam bidang kuasa Hakim
Besar Malaya atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, Ketua Hakim Negara mempunyai kuasa penuh terhadap
badan kehakiman. 'Sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, saya tidak terbabit...saya tidak
membuat panggilan,' katanya ketika dihubung di sini hari ini.
Lamin yang bersara Mac lalu, berkata beliau tidak ingin membuat
sebarang tekaan bekas pegawai yang membuat panggilan itu kerana
tidak mahu terbabit dalam kontroversi itu.
Bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Chong Siew Fai,
berkata beliau tidak ingin membuat sebarang ulasan kerana dakwaan
Muhammad Kamil itu tidak khusus dan samar.
Chong yang bertanggungjawab memilih hakim mendengar petisyen
pilihan raya di kedua-dua negeri itu, berkata Muhammad Kamil tidak
menamakan bekas pegawai terbabit dalam penghakimannya dan
dakwaan itu samar ketika memberitahu pemberita, semalam.
Katanya, hakim berkenaan sudah menamakan pegawai itu kepada
Mohamed Dzaiddin dan terpulang kepada Ketua Hakim Negara
menanganinya. Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin,
gagal ditemui di rumahnya di Petaling Jaya dan diberitahu belum balik
dari Melaka. Jumaat lalu, Muhammad Kamil membenarkan dua petisyen pilihan raya
dan mengisytiharkan pemilihan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong
Teck Lee pada pilihan raya negeri pada 13 Mac 1999 tidak sah dan
terbatal. Dalam alasan penghakimannya, Muhammad Kamil berkata: 'Pada
pandangan saya ia adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan
seseorang untuk diarah melalui telefon supaya petisyen itu dibatalkan
tanpa perbicaraan.' Semalam, beliau berkata pemanggil itu adalah bekas pegawai tertinggi
badan kehakiman tetapi enggan menamakan pengenalan orang terbabit.
Muhammad Kamil kini bertugas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini dan
akan bersara pada 25 Jun ini. Sebelum ini, beliau menjadi Hakim
Mahkamah Tinggi di Kuching dan Kota Bahru.
|