Laman Webantu KM2A1: 4726 File Size: 10.6 Kb * |
TAG SP 169: Dua Belas Tahun Yang Tunggang-langgang By Harun Rashid 14/6/2001 6:51 pm Thu |
TAG 169 [Hakim Hishamuddin telah meletakkan hak seseorang yang tertuduh
serta hak polis ketempat yang sewajarnya. Sejak Mahathir berkuasa
(beliau menjawat menteri dalam negeri sekian lama) hak polis kerapkali
mengatasi hak rakyat melalui banyak akta seperti ISA sedangkan itu
bercanggah dan telah melanggar serta mengatasi perlembagaan. Perlembagaan
lebih mementingkan hak dan kebebasan rakyat - bukannya kebebasan polis.
Kes Hakim Muhammad Kamil pula menyerlahkan seseorang yang amat berkuasa
telah cuba mencampuri atau menggangu proses perbicaraan. Eusoff Chin
mengaku menalifon tetapi mengatakan sekadar ingin kes dipercepatkan
dan beranggapan kata-katanya telah di salah faham. Tetapi mengapa Eusoff
berdiam sahaja bila Hakim Arrifin Jakka masih belum menyediakan keputusan
bertulis terhadap Anwar sedangkan ia telah menjangkau had 3 bulan. Tanpa
ini rayuan tidak dapat dikemukakan. Apa yang berlaku hari ini telah menunjukkan institusi polis dan kehakiman
sudahpun tunggang-langgang tetapi sengaja dibiarkan oleh Mahathir kerana
ia memberi banyak kegunaan buat dirinya. Dalam semua kes seperti penangkapan
Anwar dan penyingkiran Tun Salleh Abbas orang yang paling seronok adalah
Mahathir seorang.... 2001-06-13 Dua Belas Tahun Yang Tunggang-langgang
(Twelve Years Overturned In A Day) oleh: Harun Rashid Undang-undang Inggeris adalah hasil sejarah tamadun yang menjelajahi ribuan
tahun yang panjang. Sepanjang musim itu keluhuran undang-undang dapat
dicerna untuk berlaku adil kepada semua yang berdepan dengannya. Kebanyakan
peraturan dan panduan telah difikirkan masak-masak. Kemunculan sesuatu
peristiwa baru adalah amat sukar akan berlaku. Seandainya terserlah
ketidakadilan, undang-undang itu akan menyorot kebelakang untuk memantau
semula kesilapan lama yang mungkin telah terjadi.
Peristiwa begitu terjadi di Amerika Syarikat, apabila seorang hakim
memutuskan agar setiap anggota polis yang menangkap seseorang itu diperlukan
terlebih dahulu membacakan dengan lantangnya hak orang yang ditahannya itu
untuk menghubungi peguamnya dan dia tidak perlu menjawab soalan polis itu
sebagai balasan (kerana jawapan itu boleh digunakan sebagai bukti di
mahkamah nanti). Hak diam membisu merupakan hak keramat yang dimuliakan.
Peraturan ini dianggap penting untuk membetulkan kezaliman polis yang
berleluasa satu ketika dulu dalam mencari bukti untuk mengenakan orang yang
tertuduh. Polis didapati terlalu ghairah dalam kaedah soal-siasat mereka,
menyebabkan banyak pengakuan yang ditarik-balik akhirnya. Pihak pembela
kerap mengaku di mahkamah terbuka betapa pengakuannya itu adalah palsu
kerana terdesak, diugut dan dizalimi. Ketika peraturan itu mula-mula diperkenalkan, mahkamah telah dihantui
masalah terpaksa melepaskan penjenayah yang sudah dikenakan hukuman. Ini
melibatkan ribuan pihak pembela. Masyarakat tidak mahu melihat mereka yang
didapati bersalah dan dihukum untuk satu tempoh yang lama dibebaskan
berasaskan kesilapan teknikal. Namun, keadilan mensyaratkan agar semua pihak
menerima layanan yang adil dan saksama.
Peraturan itu menjadi satu piawaian amalan mempertahankan setiap kes jenayah
dalam rangka menentukan pihak pembela telah diberitahu dulu akan segala
haknya dengan jelas oleh pihak polis. Seandainya hak itu tidak dibacakan
degan jelasnya, pihak pembela boleh dibebaskan oleh mahkamah, walaupun wujud
bukti lain yang mungkin menunjukkan kesalahannya. Dengan cara ini polis
digalakkan untuk menentukan hak asasi setiap individu yang ditangkapnya.
Peraturan itu merupakan satu bahan sejarah, menunjukkan pentingnya hak-hak
orang yang dituduh itu melangkau kesangsian pihak polis. Anggota polis yang
melanggar hak-hak si banduan terpaksa mempertahankan tindakannya, dan menjadi
tidak berupaya apabila hakim mengarahkan dilepaskan yang tertuduh. Peraturan
ini menjadi satu hambatan ke arah perilaku professionalisme anggota polis.
Apabila seseorang 'dianiayai' oleh polis bererti dia dikenakan tuduhan yang
palsu dan sengaja diada-adakan. Dalam banyak hal, ia merupakan kerja jijik
polis walaupun ia berpunca daripada niat jahat seseorang dalam badan
kehakiman. Kadangkala pendakwa raya mengemukakan satu kes secara tersilap.
Apabila kesilapan itu dikesan, semua tuduhan digugurkan dalam nama keadilan.
Memang tidak banyak kes di mana pendakwaraya menuduh dengan niat jahat,
secara mengada-ngadakan tuduhan untuk menyebabkan hukuman yang palsu
dikenakan kepada rakyat yang tidak berdosa, selalunya disebabkan dendam dan
muslihat politik. Kita lebih kerap mendapati kes mahakamah dibatalkan kerana
bukti yang tidak mencukupi. Selalunya kita kurang mendengar kes mahakamah di mana hakim bertindak
memihak-mihak (bias). Lagi sukar kita mendapat kes di mana hakim telah
ditekan (ataupun disogok dengan duit - rasuah) untuk memberikan keputusan
pengadilan yang bertentangan dengan fakta yang dibentangkan. Hanya dalam
masyarakat haprak yang membolehkan kebebasan seseorang hakim itu dimusnahkan
oleh campurtangan penguasa dengan cara menggunakan ugutan ataupun ancaman.
Berlakunya kereputan badan kehakiman sebuah negara dalam Komanwel
disebabkan tindak-tanduk seorang bajingan tentunya merupakan satu
pengecualian yang haprak dalam zaman moden ini.
Tetapi, inilah yang terjadi di Malaysia. Kecurangan segelintir hakim di
negara ini dalam menjalankan tugas untuk menegakkan keluhuran undang-undang
telah dirakamkan selepas perdana menteri yang masih berkuasa menyingkirkan
ketua hakim negara Tun Salleh Abas pada 1989. Namun, tidak ada seorangpun
hakim yang berani melaporkan secara terbuka sebarang campurtangan tertentu
dalam keputusan setiap kes yang dikendalikannya.
Pendakwa raya masih diberikan peluang menjadikan mahkamah sebagai pentas
lakonannya laksana drama bersiri, sambil hakim duduk memberikan pendapat
yang memudahkan lakonan itu untuk menyekat sebarang bantahan yang
berlandaskan pengalaman undang-undang keramat mahkamah Inggeris itu oleh
pihak peguambela. Kini akhirnya, seorang hakim telah mendedahkan dalam satu penghakimannya
betapa ada tekanan daripada atasan untuk mengabui tindakannya. Dia telah
mengumumkan keputusannya yang bebas itu sambil menyatakan juga betapa dia
mendapat kekuatan berbuat demikian daripada ketaqwaannya. Rupanya
campurtangan melalui telefon itu bukan sahaja tertuju kepadanya. Rupanya
panggilan untuk tujuan begitu merupakan satu amalan biasa. Kini tercatat
sudah dalam rakaman perundangan betapa seorang hakim pernah cuba dipengaruhi
ketika membuat penghakimannya. Ini sudah tentu mempertikaikan keadilan dalam
keseluruhan badan kehakiman itu di Malaysia.
Keadilan meronta-ronta agar dikembalikan semula, membabitkan semua kes
jenayah dan sivil yang pernah ditentukan oleh mahkamah sejak 1989. Belum
pernah terjadi dalam negara ini tercetusnya peristiwa seperti ini. Semua
pegawai kerajaan yang telah disuluh oleh nur kebenaran ini sedang mencuba
mendinginkan suasana. Namun, bencana sepenuhnya keaiban penghakiman ini akan
diiktiraf juga, bukan sahaja di Malaysia malahan di seantero dunia.
Selama sedekad yang lalu, badan kehakiman negara telah menjadi bahan
pengamatan yang serius ekoran beberapa kes yang menonjol terhadap para
wartawan yang telah mengecam dengan pedasnya beberapa peratuan negara yang
pelik-pelik. Beberapa penghakiman yang memberikan kemenangan besar kepada
perdana menteri dan parti politiknya telah menarik minat seluruh dunia.
Terdapat satu kes di mana hakim telah mengumumkan satu penghakiman yang
berasaskan dalil yang disediakan oleh peguamcara plaintif. Peguamcara yang
serupa telah dirakamkan bergambar ketika bersantai dengan seorang ketua
hakim negara yang telah melenting dengan berkata pertemuan mereka itu adalah
secara terserempak sahaja. Akan tetapi, seorang penyiasat bebas telah
mendedahkan tiket kapalterbang dua keluarga yang bersantai itu menunjukkan
banyak kesamaannya, menyebabkan kenyataan (mantan) ketua hakim negara itu
satu kenyataan yang haprak belaka.
Seorang hakim mahkamah jenayah mempunyai seorang anak lelaki yang sedang
menghadapi hukuman mati mandatori kerana gejala dadah. Hakim itu dinaikkan
pangkat menjadi hakim mahkamah tinggi sedangkan kelakonannya yang
sudah-sudah tidak meyakinkan dia mempunyai kebolehan yang menyerlah. Nasib
anaknya itu sengaja dibiarkan tertunggu menantikan keputusan banyak
peristiwa berlaku dulu. Seorang hakim lagi masih belum selesai menyudahkan
kertas penghakimannya satu tahun setelah penghakiman itu diumumkannya.
Tempoh kerja semacam itu hanya dibenarkan untuk tiga bulan sahaja. Pihak
pembela masih tertunggu-tunggu sambil terpenjara bersendirian menantikan
dengan penuh kesabaran penghakiman itu sebelum mampu mengemukakan rayuannya.
Polis Malaysia telahpun membuat pengumuman akan menyiasat kes panggilan
telefon yang mengganggu hakim itu dulu. Semua pihak menunggu keputusan
siasatan itu. Inilah kesan tompok keaiban yang terpalit kepada badan
kehakiman Malaysia yang tidak mudah dikikiskan. Semua banduan yang sedang
terpenjara sekarang ini, atas apa jenis tuduhanpun mesti dihadapkan semula
di mahkamah untuk mengkaji semula kes mereka. Proses ini akan membuatkan
mahkamah di Malaysia menjadi sibuk keseluruhan dekad ini dan seterusnya.
Kalau Malaysia mahu menonjolkan nama yang unggul di mata dunia, satu
tribunal khas mesti ditubuhkan untuk menyiasat keseluruhan aspek pengadilan
negara. Kurang daripada itu tidak akan memadai untuk membolehkan Malaysia
diberi kehormatan setara dengan negara komanwel yang lain. Inilah zaman
keaiban Malaysia dan perdana menteri adalah orang yang patut disalahkan
kerana keaiban itu. Terjemahan: SPAR-05-011 Asal: http://home.yqi.com/harunrashid1/76Twelve.html
Link Reference : Harun Rashid Worldview: Twelve Years Overturned In A Day |